Wednesday, June 15, 2016

‘BOM DIA’ DAN ‘JET ROSMAH’ AKAN MENUMBANGKAN BN DI KUALA KANGSAR

            Sebagai ‘Oghang Kuale’ aku yakin bahawa pengundi kawasan Kuala Kangsar khususnya tidak bersikap seperti dua tiga ‘kerat’ ‘orang kuale’ yang membuat laporan polis terhadap kenyataan YB Rafizi Ramli (secara melawak dan bergurau) yang akan ‘mengembom DS Najib’ di parlimen. Biasanya ‘oghang kuale’ (setahu aku) faham dan mengerti erti bergurau dan bersenda gurau atau berjenaka dalam perbualan harian mereka.

            Dan aku hairan ada pula antara ‘oghang kuale’ yang tidak faham erti gurau dan berjenaka yang lantas terus menerus membuat laporan polis berkaitan dengan jenaka YB Rafizi berkenaan. Dan untuk menambahkan lagi ‘kekalutan’ yang ada dan ‘memeriahkan’ suasana ‘kebodohan dan kepandiran’ ini, maka ada pula pemimpin (kononnya bergelar pemimpin) yang ‘tumpang semangkuk’ menyokong tindakan ‘oghang kuale’ yang membuat laporan polis berkenaan. Dan tidak pula ada pemimpin BN yang agak waras pemikirannya (mungkin aku tak tahu ada pemimpin yang berbuat demikian) yang cuba ‘menenangkan’ suasana demikian. Malah keadaan sedemikian semakin ‘rancak’ apabila pihak polis akan memanggil YB Rafizi untuk mengambil keterangan dari beliau.

            Aku amat yakin ‘Oghang Kuale’ akan ketawa terbahak-bahak melihatkan ‘cerita jenaka’ ini. Aku amat yakin. Setahu aku  dan seingat aku, tanda kemesraan yang ditunjukkan oleh seorang sahabat dan kenalan ialah dengan cara berjenaka. Kalau kata  orang putih menggunakan ‘metaphor’. Orang Melayu kata menggunakan ‘kata kiasan’. Dan bukan orang Melayu namanya jika dalam tutur katanya atau dalam perbualannya tidak menggunakan kata-kata kiasan dan peribahasa.

            Oleh itu kata kiasan yang digunakan oleh YB Rafizi itu tidak ada cacat cela jika dilihat dari kacamata seorang yang berbangsa Melayu (kecualilah jika dilihat dari kacamata kaum lain). Dan aku yakin juga bahawa ramai rakyat Malaysia dari keturunan bukan Melayu yang tidak ada masalah langsung dengan kenyataan YB Rafizi itu. Mereka faham apa yang dimaksudkan. Mungkin golongan ‘pemakan dedak’ sahaja yang tidak faham atau terpaksa menunjukkan sikap tidak faham disebabkan ‘kekenyangan’.

            Kini para pengundi di Kuala Kangsar akan lebih faham tentang setengah sikap yang ditunjukkan oleh orang dari bandar apabila melihatkan ‘gelagat’ mereka ketika berkempen. ‘Perkara kecil’ sedemikian dibesar-besarkan demi untuk menarik perhatian para pengundi. Dan berkemungkinan juga tujuan mereka membesar-besarkan isu berkenaan semata-mata untuk mengelirukan para pengundi dan cuba ‘menenggelamkan’ isu yang lebih besar.

            Sebenarnya ‘bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru’. Sebelum aku melanjutkan perbincangan ini, perlu juga aku jelaskan bahawa aku bukan berhasrat untuk bercerita tentang bangkai gajah. Aku bimbang pula kalau-kalau ada yang membuat laporan polis mengatakan bahawa pihak perhilitan tidak bertindak mengawal gajah-gajah di Kuala Kanngsar atau di kawasan Suak Petai di Manong atau membiarkan gajah berkeliaran dekat Istana Iskandariah, Bukit Chandan.

            Yang aku maksudkan banyak perkara besar yang melibatkan negara kini yang perlu diambil perhatian oleh pengundi-pengundi di Kuala Kangsar. Kisah negara kita yang akan ‘tenggelam’ ekoran dari ‘ledakan IMDB’ harus dipertimbangkan dengan secara serious. Pengundi Kuala Kangsar harus sedar dan peka bahawa inilah masanya para pengundi di Kuala Kangsar menunjukkan kepekaan mereka tentang apa yang berlaku kini dalam negara kita. Janganlah ‘Oghang Kuale’ bersikap seperti Si Luncai yang sentiasa meneriakkan, ‘ biarkan…biarkan…’.

            PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar sebenarnya akan meletakkan ‘demarcation line’ dalam negara. Maknanay apa saja keputusan yang dicetuskan dalam PRK itu nanti akan menentukan nasib negara samada akan timbul atau tenggelam. Tentulah aku tidak dapat meramalkan apa yang akan terjadi selepas peristiwa berkenaan. Sekurang-kurangnya akan memberikan isyarat kepada para pemimpin kerajaan kini bahawa rakyat sudah sedar dan tahu apa yang mereka lakukan. Apakah yang mereka lakukan sebagai pemimpin itu betul-betul untuk kepentingan bangsa dan negara ataupun hanya mementingkan diri dan ‘tembolok’ sendiri sahaja.

            Rakyat akan menjadi pengadil di Kuala Kangsar dan di Sungai Besar. Rakyat Malaysia akan memberikan pengiktirafan kepada pengundi Kuala Kangsar samada pengundi di sini sudah sedar dan peka dengan keadaan yang berlaku kini ataupun masih lagi ‘tenggelam dan khayal’ dengan mimpi- mimpi’ indah zaman ‘penjajahan’. Dengan berbagai-bagai penjelasan yang telah disampaikan tentunya para pengundi dapat membuat penilaian dan keputusan yang jitu.

            Ini bukan cerita ‘durian dengan mentimun’ dimana yang menggolek luka dan yang kena golek punluka. Ini bukan cerita sedemikian. PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah kisah ‘pisau sudah berada ditangan’ dan hanya menunggu masa untuk melakukan….

abuhassanadam

15 Jun 2016

Sunday, June 5, 2016

PRK SUNGAI BESAR DAN KUALA KANGSAR PENGHANTAR ISYARAT YANG BERKESAN

            Kedua-dua pilihan raya kecil ini penting. Samada di Sungai Besar atau di Kuala Kangsar, kedua-duanya penting sebagai penghantar isyarat kepada kerajaan yang memerintah pada hari ini. Rakyat Malaysia seolah-olah menyerahkan kepada pengundi di kedua-dua kawasan ini untuk membuat penentuan, melakar hala tuju negara pada hari-hari mendatang. Ia merupakan ‘wake-up call’ kepada kepada kerajaan sekiranya keputusan PRK nanti tidak langsung memihak kepada calon Barisan Nasional.

            Pihak kepimpinan kerajaan sentiasa berpaut kepada rakyat luar bandar (khususnya orang Melayu) untuk memberikan ‘nafas’ dan ‘talian hayat’ untuk terus mememerintah di negara ini, walaupun seluruh dunia melihat apa yang sedang berlaku dalam negara kita kini tidak ubah sepertimana mereka melihat kepimpinan Idi Amin (Uganda) pada suatu ketika dahulu, ataupun pemerintahan Robert Muggabe di Zimbabwe kini ataupun Filipinan dibawah Presiden Marcos (dan keborosan isterinya Imelda Marcos) suatu ketika dahulu.

            Orang Melayu (dari kawasan luar bandar dan FELDA ) sentiasa menjadi bahan ‘kutukan’ pihak tertentu yang menyebabkan pemimpin-pemimpin negara dapat ‘bermaharajalela’ membelanjakan wang negara sesuka hati mereka. Dan kepimpinan negara sentiasa ‘menggunakan’ ‘orang kampung dan FELDA’ untuk dijadikan sebagai tempat ‘menyangkutkan dagu’ apabila berhadapan dengan masalah negara. Dan tentunya BRIM merupakan ‘ubat’ yang paling mujarab untuk dijadikan ‘penawar’ bagi hati yang duka lara.

            Lantas apa yang dilakukan oleh kepimpinan negara dilihat sebagai sesuatu yang lumrah dan yang biasa berlaku kepada sesebuah negara. Walaupun seluruh dunia ‘berketak’ dan ‘bergoncang’ melihatkan bagaimana IMDB yang telah hampir memusnahkan negara Malaysia yang tercinta, namun hasil ‘kebijaksanaan’ media masa (cetak dan elektronik) dapat memutarbelitkan berita yang hasilnya dapat ‘diperbodohkan’ golongan yang kurang cerdik di kampung-kampung. Bagi golongan yang agak cerdik digunakan pula ‘dedak’ hasil daripada ‘rompakan’ untuk ‘menutup mulut, memekakkan telinga dan menutup mata’ siapa sahaja yang melihat.

            Kini masanya telah tiba bagi pengundi di kedua-dua kawasan PRK ini untuk memberikan isyarat yang jelas bahawa pengundi di kawasan ini bukan merupakan orang Melayu kampung yang bodoh yang tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku khususnya yang berkaitan dengan IMDB yang hampir menghancurkan negara ini. Tunjukkan kepada pihak kepimpinan bahawa orang Sungai Besar dan ‘Oghang Kuale’ juga tahu apa yang sebenarnya telah berlaku.

            ‘Oghang Kuale’ tahu dan mendengar khabar tentang penutupan beberapa buah bank Swiss di Singapura yang terlibat dengan IMDB. ‘Ogang Kuale’ juga tahu tentang bagaimana dua orang anak muda dari Malaysia yang telah begitu ‘berjaya’ menggunakan ‘wang rompakan’ untuk membiayai pembuatan filem lucah yang tidak pernah ditayangkan di negara ini. ‘Oghang Kuale’ juga tahu dan dengar khabar bagaimana ‘hebat’nya anak muda dari Malaysia berbangsa Melayu yang menjadi hartawan dalam sekelip mata dapat membeil hartanah yang bermillion paunds harganya di kawasan ‘porsch’ di London. ‘Oghang Kuale’ tidak pekak telinganya. ‘Ogahng Kuale’ juga tidak buta matanya. ‘Ogahng Kuale’ diam membisu hanya untuk sementara waktu. Kini sudah sampai masa dan waktunya ‘oghang kuale’ bersuara dan melahirkan hasrat melalui peti undi.

            Harapan rakyat Malaysia tentulah menggunung agar kesemua isu yang membabitkan negara yang lantas boleh membawa kepada keruntuhan negara ini dapat disampaikan kepada pengundi di Kuala Kangsar dan di Sungai Besar. Yang penting perkhabaran ini disampaikan dan terserahlah kepada pengundi untuk membuat perhitungan.

            Kita akan lihat juga suatu pertarungan yang amat sengit dari segi penyampaian maklumat kepada rakyat. Sekuat mana dan sehebat manapun hebahan media arus perdana kepada rakyat, pasti lambat laun akan kecundang juga. Peribahasa Melayu telah menyatakan bahawa, ‘bangkai gajah tidak boleh ditutupi dengan nyiru’. Selama mana ‘pembohongan’ yang dilakukan oleh media arus perdana itu dapat diterima oleh rakyat. Akhirnya pasti rakyat akan menyedari tentang pembohongan yang dilakukan.

            Kini telah kedengaran tentang berita ketua pengarang sebuah akhbar terkemuka yang telah meletakkan jawatan. Menunjukkan sudah mula ada kesedaran di pihak setengah akhbar yang sudah tidak ‘termampu’ untuk menyampaikan berita yang bertujuan semata-mata untuk mengelirukan rakyat. Mungkin akan muncul lebih ramai lagi golongan wartawan yang mahu mengikuti jejak langkah Samad Said, Samad Ismail, Usaman Awang, Rahim Kajai yang telah menjadikan profession mereka semata-mata untuk menjadi mata dan telinga rakyat.

            Para pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar pasti tidak akan mensia-siakan harapan rakyat Malaysia dalam membuat penentuan dalam PRK yang akan diadakan. Pasti ada ‘dedak’ yang akan diberikan kepada ‘itik-itik’ dan ‘ayam-ayam’, namun bagi yang mementingkan negara dan bangsa pasti tidak berperangai seperti itik dan ayam.

            Selamat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

abuhassanadam
5 Jun 2016



Friday, June 3, 2016

ORANG MELAYU AKAN ‘HANYUT’ JIKA…..

            Orang Melayu akan ‘hanyut’ entah ke mana sekiranya keadaan yang berlaku dalam negara kini tidak diperbetulkan dengan kadar segera. Dan kedua PRK yang akan diadakan tidak berapa lagi merupakan langkah yang awal yang paling sesuai untuk memperbetulkan keadaan sedemikian.

            Ketika ‘meniti’ usia yang sudah ‘senja’ aku sentiasa memikirkan tentang nasib masa depan orang Melayu khususnya dan nasib anak Malaysia secara umumnya, nasib anak cucu kita yang akan menempuh zaman-zaman yang mendatang. Aku amat bimbang dengan keadaan yang melanda negara kini. Jikalau pada suatu ketika dahulu kita sentiasa memperkatakan tentang ‘tidak akan hilang Melayu di dunia’ (kononnya kata-kata hikmat Hang Tuah yang pada akhir-akhir ini sudah terbukti tidak wujud dalam zaman kerajaan Melaka), tetapi aku amat bimbang sekiranya pada masa terdekat kita menangisi tentang nasib orang Melayu yang sudah ‘hanyut’.

            Aku mengharapkan tidak ada rintihan yang sedemikian terkeluar dari sanubari dan perasaan anak cucu kita pada masa akan datang. Dan aku harap juga agar anak cucu kita (pada suatu ketika nanti) tidak menyumpah dan mengutuk generasi dan pemimpin hari ini yang telah merosak-punahkan kehidupan mereka. Dan tentulah tidak perlu ditangiskan lagi oleh generasi terkemudian ‘nasi yang sudah menjadi bubur’.

            Aku tidak setuju dengan ‘dendangan’ yang sentiasa ditiupkan di telinga orang Melayu hari ini, kononnya orang Melayu sudah setaraf dengan penduduk dunia lain. Orang Melayu sudah maju setaraf dengan bangsa lain di dunia. Kononnya orang Melayu sudah boleh berdiri sama tegak dan duduk sama rendah dengan bangsa lain di dunia. Dan kononnya ‘tidak akan Melayu hilang di dunia’. Hanya ‘rhetorik’ untuk menyedapkan hati orang Melayu. Hanya kata-kata manis untuk membiarkan orang Melayu terus ‘lena’. Inilah kata-kata yang selalu ‘dinyanyikan’ oleh pemimpin kini semata-mata untuk menghayalkan orang Melayu khususnya ( sedangkan golongan bukan Melayu tidak langsung terpengaruh dengan kata-kata sedemikian)

            Aku tidak menafikan tentang kemajuan yang dicapai oleh orang Melayu. Memang ada. Memang ada perbezaan antara kampung Melayu dahulu dengan kampung Melayu kini. Jikalau dulu jalan kampung tidak bertar tetapi kini telah diperluaskan. Jikalau dulu gertak (jambatan) kampung hanya darpada batang kelapa yang dilintangkan tetapi kini sudah tidak kelihatan lagi ‘jambatan’ yang sedemikian. Jikalau dulu pelita bersumbu yang menerangi kegelapan malam maka kini cahaya letriklah yang memainkan peranan sedemikian. Jikalau dulu air telaga yang menjadi air bersih untuk minuman tetapi kini sudah bertukar kepada paip.

            Apakah itu sahaja bentuk kemajuan yang dibanggakan oleh orang Melayu? Apakah kita perlu memekik dan melolong mengatakan yang orang Melayu sudah maju hnaya dengan bersandarkan kepada kemajuan fizikal sedemikian?

            Persepsi dan anggapan ramai orang kini merasakan bahawa orang Melayu sudah hilang tempat bergantung. Maknanya semacam sudah tidak ada pemimpin yang boleh diharapkan untuk membantu dan melindungi orang Melayu khususnya dan bangsa Malaysia umumnya. Rakyat Malaysia seolah-olah merasakan bahawa pemimpin di Malaysia hanya mementingkan kumpulan yang hanya mahu dilindunginya dan mendatangkan kepentingannya dirinya sedangkan rakyat terbanyak dibiarkan begitu saja. Rakyat merasakan begitu. Semacam ada anak kandung dan ada anak tiri.

            Ada usaha untuk membantu orang Melayu tetapi usaha yang dilakukan itu semacam hanya untuk melepaskan batuk ditangga. Ada juga terdengar tohmahan yang mengatakan bahawa pihak berwajib tidak dengan sesungguhnya memajukan orang Melayu. Hanya melepaskan batuk di tangga. Alasan yang diberikan ialah bahawa pihak berwajib sengaja bertindak sedemikian dengan harapan orang Melayu akan terus daif dan senang untuk dieksploitasi dan diperkotak-katikan.

            Sampai bila agaknya kita masih memperkatakan tentang kemunduran orang Melayu? Sampai bila?

            Secara kebetulan aku berada di Singapura dua bulan lepas dan baru sahaja pulang dari Jepun. Lawatan ke dua-dua negara berkenaan yang telah ‘memanggil’ aku untuk melahirkan ‘kekecewaan’ aku apabila berada di kedua-dua buah negara itu. Aku tidak begitu ‘berkecil hati’ atau ‘cemburu’ apabila berada di Tokyo atau Osaka atau Hiroshima kerana sememangnya negara berkenaan sudah jauh lebih maju dari negara kita Malaysia. Tetapi aku merasa begitu sedih dan pilu apabila melihatkan pencapaian dan kemajuan negara Singapura.

            Kemajuan Singapura berbanding dengan Malaysia dapat dikatakan seperti langit dan bumi. Aku merasakan tidak salah sekiranya kita memuji negara lain supaya dapat menyedarkan bangsa kita (orang Melayu) tentang betapa mundurnya orang Melayu berbanding dengan orang lain. Memang betul orang Melayu sudah maju jika dibandingkan dengan keadaan orang Melayu zaman Zaaba atau zaman Abdul Rahim Kajai atau zaman Usman Awang. Tetapi orang Melayu bukan lagi hidup pada zaman berkenaan. Orang Melayu seharusnya ‘bersepak-terajang’ dengan tangkas dengan bangsa lain dalam Kurun ke 21.

            Orang Melayu belum boleh dikatakan maju sekiranya masih bertengkolok dan berdasta dan berpakaian secara pahlawan Melayu, berkeris panjang sedepa. Orang Melayu belum boleh diiktiraf maju sekiranya hanya pandai berpidato dengan ucapan yang berai-rapi sedangkan ‘cakap tidak serupa bikin’. Orang Melayu yang menggelarkan diri sebagai pemimpin belum boleh diiktiraf telah menyumbangkan jasanya kepada kemajuan orang Melayu sekiranya prinsip perjuangan dan anutan perjuangan yang sentiasa berbah-ubah.

            Peribahasa orang Perak ada mengatakan, “ cakap saja berdegar-degar, t--- sangkut digelegar’

            Apakah bangsa Melayu masih menunggu dan menanti kehadiran ‘penghuni’ dari Sungai Buluh untuk memimpin bangsa Melayu khususnya dan bangsa Malaysia amnya?

            Entahlah….

abuhassanadam

3 Jun 2016

Wednesday, June 1, 2016

‘OGHANG KUALE’ MIRIP ‘PENDEKAR BUJANG LAPUK’

            Kuala Kangsar akan menjadi ‘buah mulut’ rakyat Malaysia menjelang Pilihan Raya Kecil yang akan diadakan tidak berapa lama lagi. Lantas nama Kuala Kangsar akan sentiasa disebut-sebut. Dan yang paling penting lagi ialah ramai ‘peminat’ politik akan berkunjung ke Kuala Kangsar untuk berkempen. Malangnya bulan Ramadhan agak ‘menghalang’ para pengunjung ke bandar kecil ini yang amat terkenal dengan berbagai juadah untuk dinikmati. Pastinya ‘durian runtuh’ pula bagi peniaga-peniaga kecil Pasar Ramadhan yang akan berniaga pada bulan yang mulia nanti.

            Sebenarnya yang boleh dianggap sebagai ‘downtown’ bandar Kuala Kangsar ialah di ‘Lembah’. Aku tak tahu samada ‘Oghang kuale’ masih ingat lagi dimana letaknya ‘Lembah’ itu. Aku pasti anak-anak muda tidak lagi tahu kedudukan ‘lembah’ itu. Mungkin mereka tahu tetapi tidak dapat membayangkan ‘kehebatan’ lembah pada tahun-tahun 1950an dan 1960an. Memang hebat!..

            Yang dikatakan kawasan ‘Lembah’ itu ialah kawasan yang berdekatan dengan Sungai Perak. Dari Jam Besar yang berdekatan dengan ‘white bridge’ (mengahala ke Bukit Chandan) sehinggalah ke ‘gigi’ Sungai Perak. Di situlah pusat kegiatan yang paling sibuk pada tahun-tahun 1950an dan 1960an, khususnya pada hari-hari Sabtu dan Ahad. Dan yang paling ‘happeing’ sekali ialah pada hari-hari menjelang bulan Ramadhan dan menjelang Hari Raya AidilFitri.

            Tidak dapat aku bayangkan kesibukan dan keseronokannya pada waktu itu!...

            Kawasan ‘Lembah’ pada waktu itu redup dan nyaman kerana dinaungi oleh rimbunan pokok Ara yang kebanyakannya lebih sepemeluk. Dan tentunya tidak sesibuk sekarang kerana pada waktu itu tidak banyak kereta yang lalu lalang di kawasan itu. Maknanya di situ merupakan kawasan bersantai (walaupun bukan hasratnya ke situ untuk bersantai). Mungkin keadaan yang sedemikianlah yang menjadi faktor untuk mendorong orang Melayu kelihatan ‘relax’ sebagaimana yang digambarkan oleh penulis Barat seperti R.O. Winstedt ataupun Maxwell.

            Yang tidak dapat aku lupakan tentang ‘Lembah’ ialah tentang kehadiran penjual ubat yang begitu ramai di situ untuk menjual berbagai ubat untuk berbagai jenis penyakit. Itu merupakan satu fenomena tahun 50an dan 60an yang kini sudah tidak kelihatan lagi. Di ‘Lembah’lah para penjual ubat ini ‘berkempen’ untuk menjual ubat-ubat mereka. Dan suasana yang ada di situ pada ketika itu merupakan satu pesta yang pasti diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Aku juga jarang melepaskan peluang untuk ke situ bersama Atuk ku.

            Antara ‘ceramah’ penjual ubat yang paling menyeronokkan (bagi aku dan Atuk aku juga)  ialah yang disampaikan oleh ‘Wak Malaya’. ‘Wak Malaya’ sememangnya penjual ubat yang terkenal di seluruh Malaya pada ketika itu. Aku tak tahu apa jenis ubat yang dijualnya dan untuk penyakit jenis apa. Tetapi yang aku pasti ialah begitu ramai yang membeli ubatnya. 50 sen sebotol. Mungkin yang membeli ubat ‘Wak Malaya’ itu sebenarnya sebagai ‘sumbangan’ di atas ‘ceramah’ yang disampaikannya. Mungkin.

            Berdekatan dengan Jam Besar adalah deretan penjual Cendol (pada ketika itu). Seingat aku ada terdapat lebih kurang 10 buah gerai penjual cendol dan kesemuanya terdiri dari kumpulan mamak. 10 sen semangkuk. Amat puas untuk menghilangkan dahaga (untuk kanak-kanak seperti aku pada ketika itu). Untuk mengenyangkan pula, cendol akan dicampurkan dengan pulut. Hanya tinggal kenangan dan tidak dapat dilupakan apabila pulang sekali sekala ke kampung.

            Suasana di tepian Sungai Perak pada tahun-tahun 50an dan 60an adalah lebih kurang sama dengan suasana yang digambarkan oleh P.Ramlee dalam filemnya yang berjodol,’Pendekar Bujang Lapuk’. Saling tak tumpah. Pada ketika itu terdapat bot penambang yang dimiliki oleh pemilik Melayu bernama Pak Bidin (jikalau aku tak silap). Dan penduduk dari kampong Sayung yang ingin ke Kuala Kangsar terpaksalah menyewa bot penumpang dengan bayaran tambang sebanyak 15 sen.

            Olehkerana belum ada jalan raya ke Kati dan Kampong Cheh, maka untuk pergi ke tempat-tempat berkenaan terpaksa juga menyewa bot. Aku pernah menaiki bot berkenaan dalam perjalanan dengan Opah aku ke Kampung Cheh untuk menghadiri majlis khenduri kahwin. Amat menakutkan!. Dan tidak pula terdapat peristiwa bot tenggelam atau karam pada ketika itu. Pelik juga…

            Dan tidak lengkap coretan ini sekiranya tidak aku masukkan kisah ‘Mee Lambung’. Di tepian Sungai Perak berdekatan dengan ‘Jetty’ bot penambang terdapat deretan gerai mamak menjual mee goreng. Mee goreng inilah yang dipanggil ‘Mee Lambung’. Jangan ditanya aku mengapa dipanggil ‘Mee Lambung’. Yang aku dapat sahkan bahawa mee berkenaan memangnya lazat dan sedap. Tidak terdapat mee sesedap itu kini, dimana-mana saja aku pergi di seluruh Malaysia!!...

            Mungkin agaknya mee berkenaan tak ler sesedap mana, tetapi disebabkan kekurangan jenis makanan pada ketika itu maka ‘mee lambung’ menjadi makanan pilihan yang amat sedap.

            Mungkin!..

abuhassanadam
1 Jun 2016