‘OGHANG KUALE’ MIRIP ‘PENDEKAR BUJANG
LAPUK’
Kuala
Kangsar akan menjadi ‘buah mulut’ rakyat Malaysia menjelang Pilihan Raya Kecil
yang akan diadakan tidak berapa lama lagi. Lantas nama Kuala Kangsar akan
sentiasa disebut-sebut. Dan yang paling penting lagi ialah ramai ‘peminat’
politik akan berkunjung ke Kuala Kangsar untuk berkempen. Malangnya bulan
Ramadhan agak ‘menghalang’ para pengunjung ke bandar kecil ini yang amat
terkenal dengan berbagai juadah untuk dinikmati. Pastinya ‘durian runtuh’ pula
bagi peniaga-peniaga kecil Pasar Ramadhan yang akan berniaga pada bulan yang
mulia nanti.
Sebenarnya
yang boleh dianggap sebagai ‘downtown’ bandar Kuala Kangsar ialah di ‘Lembah’.
Aku tak tahu samada ‘Oghang kuale’ masih ingat lagi dimana letaknya ‘Lembah’ itu.
Aku pasti anak-anak muda tidak lagi tahu kedudukan ‘lembah’ itu. Mungkin mereka
tahu tetapi tidak dapat membayangkan ‘kehebatan’ lembah pada tahun-tahun 1950an
dan 1960an. Memang hebat!..
Yang
dikatakan kawasan ‘Lembah’ itu ialah kawasan yang berdekatan dengan Sungai
Perak. Dari Jam Besar yang berdekatan dengan ‘white bridge’ (mengahala ke Bukit
Chandan) sehinggalah ke ‘gigi’ Sungai Perak. Di situlah pusat kegiatan yang
paling sibuk pada tahun-tahun 1950an dan 1960an, khususnya pada hari-hari Sabtu
dan Ahad. Dan yang paling ‘happeing’ sekali ialah pada hari-hari menjelang
bulan Ramadhan dan menjelang Hari Raya AidilFitri.
Tidak
dapat aku bayangkan kesibukan dan keseronokannya pada waktu itu!...
Kawasan
‘Lembah’ pada waktu itu redup dan nyaman kerana dinaungi oleh rimbunan pokok Ara
yang kebanyakannya lebih sepemeluk. Dan tentunya tidak sesibuk sekarang kerana
pada waktu itu tidak banyak kereta yang lalu lalang di kawasan itu. Maknanya di
situ merupakan kawasan bersantai (walaupun bukan hasratnya ke situ untuk
bersantai). Mungkin keadaan yang sedemikianlah yang menjadi faktor untuk
mendorong orang Melayu kelihatan ‘relax’ sebagaimana yang digambarkan oleh
penulis Barat seperti R.O. Winstedt ataupun Maxwell.
Yang
tidak dapat aku lupakan tentang ‘Lembah’ ialah tentang kehadiran penjual ubat
yang begitu ramai di situ untuk menjual berbagai ubat untuk berbagai jenis
penyakit. Itu merupakan satu fenomena tahun 50an dan 60an yang kini sudah tidak
kelihatan lagi. Di ‘Lembah’lah para penjual ubat ini ‘berkempen’ untuk menjual
ubat-ubat mereka. Dan suasana yang ada di situ pada ketika itu merupakan satu
pesta yang pasti diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Aku juga jarang
melepaskan peluang untuk ke situ bersama Atuk ku.
Antara
‘ceramah’ penjual ubat yang paling menyeronokkan (bagi aku dan Atuk aku
juga) ialah yang disampaikan oleh ‘Wak
Malaya’. ‘Wak Malaya’ sememangnya penjual ubat yang terkenal di seluruh Malaya
pada ketika itu. Aku tak tahu apa jenis ubat yang dijualnya dan untuk penyakit
jenis apa. Tetapi yang aku pasti ialah begitu ramai yang membeli ubatnya. 50
sen sebotol. Mungkin yang membeli ubat ‘Wak Malaya’ itu sebenarnya sebagai
‘sumbangan’ di atas ‘ceramah’ yang disampaikannya. Mungkin.
Berdekatan
dengan Jam Besar adalah deretan penjual Cendol (pada ketika itu). Seingat aku
ada terdapat lebih kurang 10 buah gerai penjual cendol dan kesemuanya terdiri
dari kumpulan mamak. 10 sen semangkuk. Amat puas untuk menghilangkan dahaga
(untuk kanak-kanak seperti aku pada ketika itu). Untuk mengenyangkan pula,
cendol akan dicampurkan dengan pulut. Hanya tinggal kenangan dan tidak dapat
dilupakan apabila pulang sekali sekala ke kampung.
Suasana
di tepian Sungai Perak pada tahun-tahun 50an dan 60an adalah lebih kurang sama
dengan suasana yang digambarkan oleh P.Ramlee dalam filemnya yang
berjodol,’Pendekar Bujang Lapuk’. Saling tak tumpah. Pada ketika itu terdapat
bot penambang yang dimiliki oleh pemilik Melayu bernama Pak Bidin (jikalau aku
tak silap). Dan penduduk dari kampong Sayung yang ingin ke Kuala Kangsar
terpaksalah menyewa bot penumpang dengan bayaran tambang sebanyak 15 sen.
Olehkerana
belum ada jalan raya ke Kati dan Kampong Cheh, maka untuk pergi ke
tempat-tempat berkenaan terpaksa juga menyewa bot. Aku pernah menaiki bot
berkenaan dalam perjalanan dengan Opah aku ke Kampung Cheh untuk menghadiri
majlis khenduri kahwin. Amat menakutkan!. Dan tidak pula terdapat peristiwa bot
tenggelam atau karam pada ketika itu. Pelik juga…
Dan
tidak lengkap coretan ini sekiranya tidak aku masukkan kisah ‘Mee Lambung’. Di
tepian Sungai Perak berdekatan dengan ‘Jetty’ bot penambang terdapat deretan
gerai mamak menjual mee goreng. Mee goreng inilah yang dipanggil ‘Mee Lambung’.
Jangan ditanya aku mengapa dipanggil ‘Mee Lambung’. Yang aku dapat sahkan
bahawa mee berkenaan memangnya lazat dan sedap. Tidak terdapat mee sesedap itu
kini, dimana-mana saja aku pergi di seluruh Malaysia!!...
Mungkin
agaknya mee berkenaan tak ler sesedap mana, tetapi disebabkan kekurangan jenis
makanan pada ketika itu maka ‘mee lambung’ menjadi makanan pilihan yang amat
sedap.
Mungkin!..
abuhassanadam
1 Jun 2016
Mee ketuk bila awal bln musim ambik gaji....penuh kedai mamak tu masak sambil ketuk2 kuali memanggil pelanggan....mee hanya kicap cili dan sawi tp kedai penuh jugak org berebut utk makan....diceritakan oleh Bonda krn Bonda seorang guru yg stiap bln ke kuala mengambil gaji....cash di malayan banking bank...mbb
ReplyDeleteMee ketuk bila awal bln musim ambik gaji....penuh kedai mamak tu masak sambil ketuk2 kuali memanggil pelanggan....mee hanya kicap cili dan sawi tp kedai penuh jugak org berebut utk makan....diceritakan oleh Bonda krn Bonda seorang guru yg stiap bln ke kuala mengambil gaji....cash di malayan banking bank...mbb
ReplyDeleteRozina,
ReplyDeleteBetui ler tu cerita mak kamu tu.
Pak Abu