Sunday, June 5, 2016

PRK SUNGAI BESAR DAN KUALA KANGSAR PENGHANTAR ISYARAT YANG BERKESAN

            Kedua-dua pilihan raya kecil ini penting. Samada di Sungai Besar atau di Kuala Kangsar, kedua-duanya penting sebagai penghantar isyarat kepada kerajaan yang memerintah pada hari ini. Rakyat Malaysia seolah-olah menyerahkan kepada pengundi di kedua-dua kawasan ini untuk membuat penentuan, melakar hala tuju negara pada hari-hari mendatang. Ia merupakan ‘wake-up call’ kepada kepada kerajaan sekiranya keputusan PRK nanti tidak langsung memihak kepada calon Barisan Nasional.

            Pihak kepimpinan kerajaan sentiasa berpaut kepada rakyat luar bandar (khususnya orang Melayu) untuk memberikan ‘nafas’ dan ‘talian hayat’ untuk terus mememerintah di negara ini, walaupun seluruh dunia melihat apa yang sedang berlaku dalam negara kita kini tidak ubah sepertimana mereka melihat kepimpinan Idi Amin (Uganda) pada suatu ketika dahulu, ataupun pemerintahan Robert Muggabe di Zimbabwe kini ataupun Filipinan dibawah Presiden Marcos (dan keborosan isterinya Imelda Marcos) suatu ketika dahulu.

            Orang Melayu (dari kawasan luar bandar dan FELDA ) sentiasa menjadi bahan ‘kutukan’ pihak tertentu yang menyebabkan pemimpin-pemimpin negara dapat ‘bermaharajalela’ membelanjakan wang negara sesuka hati mereka. Dan kepimpinan negara sentiasa ‘menggunakan’ ‘orang kampung dan FELDA’ untuk dijadikan sebagai tempat ‘menyangkutkan dagu’ apabila berhadapan dengan masalah negara. Dan tentunya BRIM merupakan ‘ubat’ yang paling mujarab untuk dijadikan ‘penawar’ bagi hati yang duka lara.

            Lantas apa yang dilakukan oleh kepimpinan negara dilihat sebagai sesuatu yang lumrah dan yang biasa berlaku kepada sesebuah negara. Walaupun seluruh dunia ‘berketak’ dan ‘bergoncang’ melihatkan bagaimana IMDB yang telah hampir memusnahkan negara Malaysia yang tercinta, namun hasil ‘kebijaksanaan’ media masa (cetak dan elektronik) dapat memutarbelitkan berita yang hasilnya dapat ‘diperbodohkan’ golongan yang kurang cerdik di kampung-kampung. Bagi golongan yang agak cerdik digunakan pula ‘dedak’ hasil daripada ‘rompakan’ untuk ‘menutup mulut, memekakkan telinga dan menutup mata’ siapa sahaja yang melihat.

            Kini masanya telah tiba bagi pengundi di kedua-dua kawasan PRK ini untuk memberikan isyarat yang jelas bahawa pengundi di kawasan ini bukan merupakan orang Melayu kampung yang bodoh yang tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku khususnya yang berkaitan dengan IMDB yang hampir menghancurkan negara ini. Tunjukkan kepada pihak kepimpinan bahawa orang Sungai Besar dan ‘Oghang Kuale’ juga tahu apa yang sebenarnya telah berlaku.

            ‘Oghang Kuale’ tahu dan mendengar khabar tentang penutupan beberapa buah bank Swiss di Singapura yang terlibat dengan IMDB. ‘Ogang Kuale’ juga tahu tentang bagaimana dua orang anak muda dari Malaysia yang telah begitu ‘berjaya’ menggunakan ‘wang rompakan’ untuk membiayai pembuatan filem lucah yang tidak pernah ditayangkan di negara ini. ‘Oghang Kuale’ juga tahu dan dengar khabar bagaimana ‘hebat’nya anak muda dari Malaysia berbangsa Melayu yang menjadi hartawan dalam sekelip mata dapat membeil hartanah yang bermillion paunds harganya di kawasan ‘porsch’ di London. ‘Oghang Kuale’ tidak pekak telinganya. ‘Ogahng Kuale’ juga tidak buta matanya. ‘Ogahng Kuale’ diam membisu hanya untuk sementara waktu. Kini sudah sampai masa dan waktunya ‘oghang kuale’ bersuara dan melahirkan hasrat melalui peti undi.

            Harapan rakyat Malaysia tentulah menggunung agar kesemua isu yang membabitkan negara yang lantas boleh membawa kepada keruntuhan negara ini dapat disampaikan kepada pengundi di Kuala Kangsar dan di Sungai Besar. Yang penting perkhabaran ini disampaikan dan terserahlah kepada pengundi untuk membuat perhitungan.

            Kita akan lihat juga suatu pertarungan yang amat sengit dari segi penyampaian maklumat kepada rakyat. Sekuat mana dan sehebat manapun hebahan media arus perdana kepada rakyat, pasti lambat laun akan kecundang juga. Peribahasa Melayu telah menyatakan bahawa, ‘bangkai gajah tidak boleh ditutupi dengan nyiru’. Selama mana ‘pembohongan’ yang dilakukan oleh media arus perdana itu dapat diterima oleh rakyat. Akhirnya pasti rakyat akan menyedari tentang pembohongan yang dilakukan.

            Kini telah kedengaran tentang berita ketua pengarang sebuah akhbar terkemuka yang telah meletakkan jawatan. Menunjukkan sudah mula ada kesedaran di pihak setengah akhbar yang sudah tidak ‘termampu’ untuk menyampaikan berita yang bertujuan semata-mata untuk mengelirukan rakyat. Mungkin akan muncul lebih ramai lagi golongan wartawan yang mahu mengikuti jejak langkah Samad Said, Samad Ismail, Usaman Awang, Rahim Kajai yang telah menjadikan profession mereka semata-mata untuk menjadi mata dan telinga rakyat.

            Para pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar pasti tidak akan mensia-siakan harapan rakyat Malaysia dalam membuat penentuan dalam PRK yang akan diadakan. Pasti ada ‘dedak’ yang akan diberikan kepada ‘itik-itik’ dan ‘ayam-ayam’, namun bagi yang mementingkan negara dan bangsa pasti tidak berperangai seperti itik dan ayam.

            Selamat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

abuhassanadam
5 Jun 2016



No comments:

Post a Comment