Saturday, November 30, 2019

MALAYSIA MASIH DI TAKUK LAMA


MALAYSIA  MASIH DI TAKUK LAMA

            Jikalau aku sarankan dengan mengatakan bahawa Malaysia masih ‘di takuk lama’ setelah hampir dua tahun ditadbir oleh Pakatan Harapan, maka akan ada yang ‘melompat’ minta bukti mengapa aku katakan begitu. Memang tidak ada bukti konkrit untuk membuktikan kenyataan demikian kerana itu hanya merupakan persepsi, pemerhatian banyak orang. Dan jika masih mahukan bukti, maka bolehlah digunakan keputusan PRK Tanjung Piai baru-baru ini yang menunjukkan pengundi sudah mula bosan dengan kepimpinan Pakatan Harapan.

            Sepatutnya pentadbiran Pakatan Harapan sudah mula mengorak langkah drasti melaksanakan dasar-dasar yang boleh ‘membuka mata’ para pengundi rakyat Malaysia. Seharusnya para menteri Pakatan Harapan sudah mula bertindak dengan berkesan merencanakan apa yang sepatutnya ‘dihidangkan’ kepada rakyat. Ini tidak. Para menteri dan pelaksana pentadbiran negara masih dalam ‘honey-moon mood’ meraikan kemenangan PRU14 yang masih dirasakan terngiang-ngiang di telinga mereka. Dan yang merunsingkan rakyat Malaysia, sikap para pemimpin Pakatan Harapan seolah-olah sama dan serupa dengan cara pimpinan Barisan Nasional. Masih menunggu peluang untuk ‘mengaut’ apa yang patut ‘dikaut’.

            Belum pun sampai genap dua tahun melaksanakan pemerintahan sudah mula kedengaran kisah-kisah rasuah dikalangan kepimpinan Pakatan Harapan. Sudah mula kedengaran kisah-kisah pemberian projek-projek khas untuk kroni dan mengenepikan tanggungjawab terhadap masyarakat terbanyak. Maknanya perangai lama berulang kembali. Bak kata peribahasa Melayu seolah-olah sepert anjing yang makan tahi kalau pun tidak dimakan maka diciumnya juga’

            Semacam tidak kelihatan dasar-dasar besar dan agung yang dilaksanakan oleh Pakatan Harapan demi untuk memajukan kehidupan rakyat. Mungkin telah banyak projek yang dihasratkan dan diumumkan, namun itu hanya merupakan suatu cadangan dan belum tentu akan mendatangkan keuntungan atau kebaikan kepada rakyat. Projek kereta terbang misalnya. Bagi aku ( yang bodoh tongong ) memang tidak lojik projek ini dilaksanakan di negara ini. Terlalu banyak halangan yang perlu diselesaikan sebelum projek itu dapat dilaksanakan.  Lagi pun apakah faedah yang dapat dinikmati oleh rakyat terbanyak ( rakyat marhaen seperti aku) dengan pelaksanaan projek berkenaan. Dan yang paling ketara sekali ialah seolah-olah tugas Menteri Pembangunan Usahawan ialah melaksanakan projek kereta terbang. Amat malang sekali rakyat Malaysia.

            Sepatutnya para menteri telah mula berfikir untuk melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan ‘WOW’ ( pinjam kata orang muda kini) di pemikiran rakyat Malaysia. Sebagai contoh. Pada tahun 1959, ketika usianya baru 37 tahun, Ungku Aziz telah mengemukakan kertas kerja bertajuk ”Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji” kepada kerajaan dan sejak itu idea beliau telah dikaji dan diperkembangkan sehingga apa yang kita lihat sekarang ini. Daripada ‘ZERO’, Tabung Haji (TH) sekarang adalah Pengurus Dana Islam terbesar negara dengan dana melebihi RM55 bilion!
            TH juga telah menceburi bidang pelaburan di beberapa sektor seperti perladangan, pembangunan hartanah dan pembinaan, kewangan Islam, teknologi maklumat, minyak dan gas, perkhidmatan pelancongan dan makanan halal dengan keuntungan bersih melebihi RM3 bilion setiap tahun. Pendeposit mereka juga dah cecah 8 juta orang.
            Itu yang aku maksudkan projek ‘WOW’. Dan ketika menjadi Menteri Pendidikan pada zaman kepimpinan Dr. Mahathir ( awal 1980an) Saudara Anwar Ibrahim telah mewar-warkan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa dan penubuhan Bank Islam. Tun Dr Mahathir telah menjadikannya satu realiti dan sehingga kini sudah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Megah berdiri dan dibangga dan dapat dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dan antarabangsa.
            Tun Ghaffar Baba, seorang pemimpin yang kelihatan betul-betul untuk memajukan rakyat Malaysia (orang Melayu khususnya) telah mengasaskan penubuhan MARA (Majlis Aamanah Rakyat) yang peranannya sehingga hari ini betul-betul boleh dimanfaatkan oleh orang Melayu. Hanya pemimpin yang terkemudian yang telah cuba ‘merosakkan’ pentadbiran MARA yang telah ‘mengabdikan’ diri kepada perjuanagan orang Melayu.
            Sumbangan Tun Ghaffar juga boleh dilihat dari segi penubuhan ITM (Institut Teknoloji Mara). ITM telah direalisasikan sejurus selepas diumumkan penubuhannya. Dan lantas dimulakan operasinya. Menampakkan bahawa pemimpin terdahulu betul-betul ikhlas dalam usaha untuk memajukan orang Melayu. Melalui ITM lah yang telah melatih ratusan (pada awal penubuhannya) dan ratusan ribu pelajar Melayu menjadi golongan professional yang diperlukan oleh negara.
            Tidak salah Menteri Pendidikan kita pada hari ini memperkenalkan pemakaian kasut hitam kepada murid-murid sekolah, namun perlulah juga beliau dan para pegawai di Kementerian Pendidikan melihat sesuatu yang lebih besar demi kemajuan negara kita yang akan menempuh zaman globalisasi ini. Perlulah dilakukan penyelidikan yang jitu demi untu kemajuan negara kita Malaysia.
            Berbanding dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar zaman kemerdekaan, apa yang dilakukan oleh Menteri sekarang adalah amat mengecewakan. Jangankan untuk memikirkan pelaksanaan projek sebeasr FELDA, masih tidak kelihatan sesuatu yang konkrit demi untuk memajukan masyarakat luar bandar. Sepatutnya kementerian berkenaan (khususnya menterinya) sudah mula merangka apakah yang sepatutnya dilakukan untuk memajukan masyarakat luar bandar ( orang Melayu) dari segi jangka panjang.
            Apakah pada pandangan mereka orang Melayu luar bandar sudah betul-betul maju dari segenap segi. Tentu sekali tidak. Dan seharusnya dimulakan mengorak langkah dengan segera ke arah itu.

abuhassanadam
30 November 2019

Friday, November 29, 2019

TINDAKAN SEGELINTIR MELAYU MEMALUKAN


TINDAKAN SEGELINTIR MELAYU MEMALUKAN

            Kadang-kadang aku terfikir tentang apakah yang boleh aku tunjukkan kepada bangsa lain bagi meyakinkan bahawa sebenarnya Melayu ini hebat, orang Melayu berbudi bahasa, orang Melayu berjaya dalam lapangan ekonomi, orang Melayu bijak berpolitik, orang Melayu berjaya dalam lapangan pelajaran dan lain-lain. Hampir tidak dapat dikemukakan contoh-contoh yang baik mengenai orang Melayu.

            Yang selalu kita dengar dan dibaca ialah pemimpin politik yang terdiri dari orang Melayu terlibat dengan skandal rasuah, anak Melayu yang ramai terlibat dengan penagihan dadah, graduan Melayu yang ramai menganggur, kehebatan aktiviti Mat Rempit yang hampir keseluruhannya terdiri dari belia Melayu, kehebatan kanak-kanak Melayu yang terlibat dengan basikal lajak dan lain-lain. Pendek kata apa sahaja yang kelihatan ‘negatif’ terpalit kepada orang Melayulah.

            Yang paling merunsingkan sebahagian besar orang Melayu ( yang berfikiran agak waras) ialah sikap segelintir orang Melayu yang semacam tidak dapat berfikir dengan waras. Sikap segelinitr orang Melayu yang menyokong dengan membabi buta ‘pemimpin’ yang terbabit dengan rasuah dan dihadapkan di mahkamah. Seolah-olah golongan ‘pengikut’ yang tolol / bodoh ini sudah melupakan peraturan dan undang-undang yang ada dalam negara yang seharusnya dipatuhi.

            Terfikir juga aku bahawa orang Melayu pada Kurun ke 21 tidak banyak bezanya dengan keadaan orang Melayu tradisional seperti yang digambarkan dalam cerita-cerita jenaka yang pernah kita baca ketika di sekolah Melayu zaman dahulu. Ramai orang Melayu kini yang wataknya hampir sama dengan watak Mat Jenin. Suka berkhayal dan berangan-angan. Bezanya Mat Jenin berangan-angan di atas pokok kelapa sedangkan ramai orang Melayu kini berangan-angan di kedai kopi. Maknanya orang Melayu semenjak zaman dahulu kala sentiasa memikirkan jalan pintas untuk mencari kesenangan hidup.

            Tidak banyak berbeza dengan keadaan orang Melayu kini. Segelinitr orang Melayu kini sentiasa melihat penglibatan dalam politik itu sebagai jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Mereka merasakan dengan cara itulah merupakan jalan yang paling senang untuk mencapai apa yang diharapkan. Dengan sebab itulah sudah ramai orang Melayu kini ‘bermati-matian’ untuk melibatkan diri dalam politik. Dan dapat dilihat dengan jelas betapa kecewanya orang Melayu di seluruh negara apabila Barisan Nasional tewas dalam PRU14 yang lalu.

            Dalam zaman pemerintahan UMNO (Barisan Nasional) ramai orang Melayu yang ‘cari makan’ melalui penglibatan mereka dalam kegiatan politik UMNO. Golongan orang Melayu sedemikian seolah-olah ‘berpesta’ pada ketika itu, dan tidak kira samada mereka berada di kampung-kampung atau di bandar. Orang Melayu hampir lupa daratan. Seolah-olah mereka berbelanja pada ketika seolah-olah wang yang mereka belanjakan itu datangnya dari langit. Dan sebenarnya itulah cara yang paling disukai oleh orang Melayu. Tidak ada kerja tetapi senang untuk mendapat wang dan cara yang paling senang untuk mendapat wang ialah melaui penglibatan dalam politik.

            Watak Pak Pandir, Pak Kaduk, Lebai Malang sememangnya ada dikalangan orang Melayu kini. Watak bodoh/ ‘betul bendul’ Pak Pandir itu digunakan oleh golongan agama untuk menyokong perjuangan politik sempit mereka. Ada yang menggunakan petikan dari Al-Quran untuk mempengaruhi pemikiran orang Melayu yang bukan sahaja Melalyu kampung tetapi Melayu intelek di bandar juga. Disebabkan terlalu jahil dalam hal-hal keagamaan, maka golongan Melayu sedemikian akan menjadi ‘pak angguk’ tentang apa sahaja yang disampaikan kepada mereka.

            Orang Melayu merasa amat ‘bahagia’ dan ‘tenang’ apabila dapat mendengar cerita-cerita dan kisah yang menyenangkan. Orang Melayu pada zaman dahulu telah ditenangkan fikiran mereka dengan ‘falsafah’ yang berbunyi ‘rezeki secupak tidak akan jadi segantang’. Dan guru-guru agama pula sentiasa menyampaikan ‘kuliah’nya disurau-suaru dengan mengatakan bahawa tempat orang Islam ialah di akhirat dan bukan di dunia. Orang Melayu amat senang dengan kenyataan sebegini. Kata-kata sedemikian menjadi  ‘ubat’ yang mujarrab untuk mereka tidak berusaha dan merupakan alasan yang cukup kuat mengapa orang Melayu masih miskin papa kedana. ‘Dadah’ yang disampaikan oleh golongan agama yang sedemikianlah yang mungkin juga merupakan salah satu sebab orang Melayu masih mundur sehingga hari ini. Mungkin!

            Aku tak kata semua Melayu begitu. Dan aku juga dari keturunan Melayu totok, keturunan orang darat (asli) tetapi telah aku buangkan jauh-jauh perangai buruk seperti yang diamalkan oleh segelintir orang Melayu kini. Tentulah aku tidak sebodoh sehingga seperti kerbau dicucuk hidung untuk menyokong ‘pemimpin’ yang sudah terang-terang melakukan kesalahan (walaupun belum dijatuhkan hukuman oleh mahkamah). Apa gunanya otak dan fikiran yang dikurniakan Tuhan sekiranya tidak boleh berfikir dan dapat membuat pertimbangan dengan waras.

            Janganlah orang Melayu terlalu bodoh sehingga meletakkan diri setaraf dengan Pak Pandir, Lebai Malang, Mat Jenin, Pak Kaduk…

abuhassanadam
29 November 2019

Thursday, November 28, 2019

MENGAPA SEKOLAH ANTARABANGSA JADI PILIHAN?


MENGAPA SEKOLAH ANTARABANGSA JADI PILIHAN?

            Jawapan yang tidak perlu berfikir panjang-panjang ialah kerana sekolah antarabangsa lebih baik dari sekolah kerajaan. Itu merupakan jawapan yang tidak perlu banyak berfikir dan tidak perlu dianalysis. Ringkas.

            Sebenarnya tajuk muka depan akhbar Berita Harian bertarikh 18 November 2019 yang bertajuk, ‘Sekolah antarabangsa jadi pilihan’ merupakan tajuk yang amat penting yang memerlukan pemerhataian banyak pihak terutama pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Dan yang lebih penting lagi sepatutnya Menteri Pendidikan sudah pun memberikan ‘responsnya’ berkaitan dengan tajuk ini.

            Sedar tak sedar bilangan pelajar Malaysia yang menuntut di Sekolah antarabangsa pada tahun 2019 sudah melebihi dua kali ganda pelajar dari luar negara (Pelajar Malaysia – 44,575 sedangkan pelajar bukan warganegara Malaysia – 25,220). Jumlah keseluruhan pelajar yang menuntut di sekolah antarabangsa berjumlah 69,795 orang berbanding pada tahun 2010 hanya berjumlah 19,929 orang. Itu merupakan satu peningkatan yang agak drastik.

            Penganalisis merasakan fenomena sedemikian merupakan sesuatu yang membimbangkan kerana kononnya ‘subjek Bahasa Melayu dan Sejarah yang wajib diajar di sekolah antarabangsa juga tidak cukup untuk membina jati diri pelajar tempatan yang mengikuti pengajian di institusi itu’. Demikian kata Teo Kok Seong, Felo Utama Institute Kajian Etnik (KITA), University Kebangsaan Malaysia (UKM). Bukan tugas aku untuk menyokong atau mempertikaikan pendapat beliau. Mungkin betul dan mungkin tidak berapa betul.

            Aku lebih condong untuk memperkatakan tentang mengapa ibu bapa yang berkemampuan sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit setahun untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah antarabangsa. Dan mengapa terdapat peningkatan yang begitu drastik ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan. Apakah para ibu bapa yang berkemampuan sudah hilang keyakinan kepada sekolah-sekolah kerajaan untuk menyerahkan anak mereka menimba pelajaran di sana?

            Bermula pada tahun 2010 hanya terdapat 8,077 orang pelajar Malaysia yang belajar di sekolah antarabangsa. Dan dalam masa sepuluh tahun jumlah itu meningkat kepada 44,575 orang. Menampakkan peningkatan itu terus bertambah dari setahun ke tahun. Menampakkan bahawa ibu bapa yang berkemampuan sudah mula ‘meindahkan’ anak mereka dari sekolah kerajaan ke sekolah antarabangsa. Apakah tindakan yang dilakukan oleh ibu bapa berkenaan harus dianggap tidak patriotik dengan ‘mengenepikan’ sekolah kerajaan?

            Ibu bapa mana yang tidak sayangkan anak dan yang tidak mementingkan pendidikan anak demi masa depan mereka. Tentulah ibu bapa yang berkemampuan akan berlumba-lumba untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka, apatah lagi ibu bapa berkenaan sudahpun menyediakan simpanan dan peruntukan yang mencukupi untuk keperluan pendidikan anak-anak mereka. Lantas wang bukan lagi menjadi persoalan dan pertimbangan mereka dan yang dipentingkan tentulah kualiti pendidikan yang diterima.

            Bertolak dari keadaan sedemikian tentulah timbul persoalan tentang mengapa ibubapa yang berkemampuan itu memilih sekolah antarabangsa dan ‘meninggalkan’ sekolah kerajaan. Mahu tidak mahu semua pihak harus mengakui adanya kelemahan dalam sistem pembelajaran di sekolah-sekolah kerajaan. Pastinya kelengkapan pembelajaran di sekolah kerajaan tidak dapat menandingi kelengkapan yang ada di sekolah-sekolah antarabangsa. Namun begitu harus juga ada persediaan yang mencukupi untuk menyediakan pendidikan ala kurun ke 21 dis sekolah-sekolah kerajaan.

            Walaupun Menteri Pendidikan dan pihak Kementerian Pendidikan merasakan bahawa sekolah kerajaan sudah cukup bersedia dengan berbagai kelengkapan dan cara pengajaran dan pembelajaran yang canggih untuk menghadapi Kurun ke 21 ini, namun perpindahan yang agak ketara ke sekolah antarabangsa itu seharusnya membuka mata pelaksana dasar di Kementerian Pendidikan. Tidak harus ada perasaan ‘syok sendiri’ dengan mengatakan bahawa pengajaran dan pembelajaran yang berjalan kini sudah boleh dianggap sesuai untuk era globalisasi dunia.

            Pihak kementerian pendidikan seharusnya tidak berasa ‘segan dan malu’ untuk meninjau apakah yang sedang berlaku disekolah-sekolah antarabangsa yang menyebabkan ‘penghijrahan’ yang ketara ke sekolah-sekolah antarabangsa. Harus diadakan ‘penempatan’ guru-guru dari sekolah kerajaan di sekolah antarabangsa demi untuk meninjau dan mempelajari cara-cara pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan. Tentulah jauh pencapaian yang dilakukan oleh sekolah antarabangsa yang menyebabkan ibu bapa ‘berduyun-duyun’ menghantar anak-anak mereka di sana.

            Salah satu faktor yang menyebabkan berlaku perpindahan berkenaan adalah disebabkan oleh kebebasan ibu bapa untuk berinteraksi dengan guru-guru meninjau tentang perkembangan pelajaran anak-anak mereka. Tidak pula bermakna di sekolah-sekolah kerajaan, ibu bapa tidak berbuat demikian. Bezanya ialah di sekolah-sekolah antarabangsa ibu bapa sedar yang mereka ‘melabur’ wang yang begitu banyak terhadap pendidikan anak-anak mereka dan dengan demikian mereka mengharapkan ‘pelaburan’ mereka mendatangkan faedah yang maksimum. Lantas guru-guru di sekolah antarabangsa juga perlu bersiap-siaga apabila mengahadapi ibu bapa pada ‘Report Card Day’.

            Guru-guru disekolah antarabangsa bukan sahaja diawasi oleh pentadbir sekolah tetapi diawasi juga oleh ibu bapa. Ibu bapa tidak segan-segan mengkritik apa yang dilakukan oleh para guru disekolah kerana mereka merasa bertanggungjawab terhadap pelajaran anak-anak mereka. Guru ada ‘suara’ menentukan kehadiran seseorang guru untuk mengajar anak-anak mereka. Sekiranya prestasi guru tidak menepati harapan yang diperlukan maka guru-guru akan dilepaskan jawatan dari sekolah berkenaan.

            Keadaan kebimbangan yang dihadapi oleh pihak kerajaan kini bukan sahaja ramainya pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di sekolah-sekolah antarabangsa, tetapi ramai juga pelajar Melayu yang ‘berhijrah’ ke sekolah-sekolah Cina. Aku tidak memiliki statistik mengenai keadaan ini tetapi berdasarkan pemerhatian dan cakap-cakap perkembangan sedemikian agak membimbangkan.

            Kementerian Pendidikan dan khususnya Menteri Pendidikan harus mengambil perhatian serious tentang hal sedemikian dan bukan sekadar memperkenalkan kasut hitam di sekolah-sekolah.

abuhassanadam
28 November 2019 

Wednesday, November 27, 2019

MUSTAHIL TUN MAHATHIR SEORANG SAHAJA YANG BOLEH...


MUSTAHIL TUN MAHATHIR SEORANG SAHAJA YANG BOLEH...

            Aku tak kata Tun Mahathir tidak boleh dengan berkesan mendtadbir negara Malaysia yang tercinta ini. Telah terbukti berpuluh tahun Tun Mahathir telah mengangkat martabat dan maruah negara ini dari 1981 sehingga 2003 sehinggakan Malaysia sudah mula diegani dan dianggap sebagai ‘harimau Asia’ yang baru muncul. Menunjukkan yang bangsa kita memiliki seorang negarawan yang ulung yang boleh ‘bersepak-terajang’ di pentas dunia antara bangsa.

            Atas landasan sedemikianlah rakyat menghimpunkan doa agar Tun Mahathir dapat kembali semula ke pentas yang pernah dilaluinya ia itu menjadi Perdana Menteri Malaysia bagi kali kedua setelah dilihat bahawa negara Malaysia yang kaya raya ini hapir-hampir muflis dibawah kepimpinan Barian Nasional. Rata-rata rakyat amat bimbang dengan keadaan negara menjelang PRU 14 yang mana diperhatikan sekiranya regim lama tidak ditumbangkan, maka kita amat bimbang negara Malaysia menjadi ‘padang jarak padang terkukur’. Lantas rakyat mencari pemimpin yang boleh memperbetul dan ‘menebus’ kembali maruah negara yang hampir hilang.

            Rakyat pada umumnya meletakkan harapan untuk menebus maruah negara ini dan memimpin rakyat terbanyak kepada dua tokoh ia itu Tun Mahathir dan Saudara Anwar Ibrahim. Mungkin sekiranya Saudara Anwar Ibrahim berada ‘di luar’ ketika menghadapi PRU14, maka Tun Mahathir tidak ditonjolkan untuk mempimpin negara ini buat kali kedua. Munghkin. Ini disebabkan keyakinan rakyat yang begitu tinggi juga kepada Saudara Anwar Ibrahim. Malangnya disebabkan Saudara Anwar berada ‘di dalam’ maka mahu tidak mahu Tun Mahathir terpaksa juga memikul tanggungjawab yang amat berat ini.

            Pakatan Harapan yang ditubuhkan pada ketika itu kelihatan lebih kuat dan berpengaruh dengan ‘campurtangan’ Saudara Anwar Ibrahim. Dengan sebab itulah  Tun Mahathir sanggup ‘menyembah duli’ ketika Saudara Anwar masih dipenjara, dengan melupakan segala ‘persengketaan politik’ dan ‘mengubati luka lama’ demi kepentingan untuk memperbetulkan keadaan negara yang sudah hampir ‘hancur lebur’ disebabkan kepimpinan pemimpin Barisan Nasional lampau.

            Pakatan Harapan terus memenangi PRU 14 dan Tun Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri (buat sementara) sehinggalah Saudara Anwar dapat pengampunan dari Sri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung. Apa yang diharap dan dirancang berjaya dimakbulkan oleh Allah.

            Keputusan PRK di Tanjung Piai membuka mata rakyat Malaysia. Tidak pernah berlaku keputusan PRK yang begitu mengejutkan rakyat negara ini. Bukan sahaja pihak pembangkang dapat mengalahkan pihak kerajaan (PH) tetapi pihak Kerajaan (PH) ditewaskan dengan majoriti yang amat memeranjatkan. Dan yang anihnya lagi ialah rakyat Malaysia pada umumnya tidak mberasa sedih dan terkejut dengan kekalahan PH sedemikian kerana seolah-olah memang telah di duga bahawa PH akan kalah dalam ‘pertempuran’ itu.

            Seolah-olah tidak ada siapa pun yang menduga PH akan menang. Seolah-olah dengan sendirinya menunjukkan bahawa rakyat memberikan isyarat ‘GAGAL’ kepada pemerintahan selama  hampir dua tahun. Berbagai-bagai alasan diberikan mengapa PH mengalami kekalahan teruk dalam PRK berkenaan. Kesannya hanya seperti ‘mencurahkan air di daun keladi’. Rakyat tidak lagi mahu meperdulikan segala alasan dan hujah yang diberikan. Mungkin ada segelintir ahli Parti Bersatu yang ‘bermati-matian’ cuba memepertahankan hujjah mengapa kekalahan sedemikian berlaku.

            Jika diperincikan Tun Mahathir tidak boleh dipersalahkan dengan kekalahan di Tanjung Piai itu. Tentulah tidak mungkin seorang Perdana Menteri dan juga sebagai Presiden Pakatan Harapan akan turun padang untuk sama-sama berkempen di PRK Tanjung Piai. Tidak pernah berlaku keadaan sedemikian. Rasanya jika sekiranya Tun Mahathir sendiri pun yang turun berkempen, besar kemungkinannya PH akan kalah juga. Mungkin. Itu hanyalah sebagai andaian.

            Sebenarnya rakyat tidak dapat diyakinkan tentang keberkesanan pentadbiran PH selama hampir dua tahun. Para menteri Pakatan Harapan boleh memberikan berbagai alasan dan sebab mengapa keadaan terjadi demikian. Mungkin segelintir ada yang ‘termakan’ dengan hujah sedemikian namun umumnya merasakan bahawa para pemimpin PH yang menang masih ‘mengelamun dan bermimpi’ mengenangkan ‘diri sebagai pemerintah’ yang tidak banyak bezanya dengan apa yang dilakukan oleh pentadbiran Barisan Nasional. Lantas untuk ‘mengajar’nya ialah dengan cara melalui peti undi.

            Walaupun Tun Mahathir tidak boleh dipersalahkan, tetapi sebagai seorang ketua beliaulah akan bertanggungjawab diatas kekalahan demikian. Tun Mahathirlah yang patut dipertanggungjawabkan kerana memilih menteri yang dianggap setengah pihak hanya layak sebagai ‘penyelia kelas dewasa’ sajaja ataupun hanya layak sebagai ‘salesman’ menjual kereta ataupun ramai yang merasakan bahawa mereka hanya layak sebagai ‘penjual nasi lemak’ sahaja. Semacam tidak ada dasar yang konkrit yang boleh ‘membuka mata’ rakyat. Rakyat tertunggu-tunggu sesuatu yang boleh dimanfaatkan sebagaimana yang telah dijanjikan. Itulah persepsi rakyat yang membawa kepada kekalahan di Tanjung Piai. Mungkin.

            Dengan jelas menampakkan bahawa Tun Mahathir juga bukan lagi seperti Tun Mahathir pada tahun 1980an dan 1990an yang boleh ‘berpencak dengan rancak di pentas dunia’. Bukan lagi yang boleh berdepan dengan ‘garang’ memperlekehkan Persidangan Komanwel ataupun Tun Mahathir yang digeruni juga oleh Margaret Thatcher ataupun Tun Mahathir yang dengan lantang menyuarakan ‘buy British last’. Rakyat memahami mengapa Tun Mahathir tidak sepantas dulu. Usianya juga mempengaruhi tindakan beliau.

            Mungkin sudah sampai masanya dan sesuai berlaku ‘the changing of the guard’ dan ‘baton’ diserahkan kepada Saudara Anwar Ibrahim sebagaimana yang telah diputuskan oleh pucuk Kepimpinan Pakatan Harapan dalam mesyuarat sebelum PRU 14 yang lalu.

abuhassanadam
27 November 2019