PAS DIPERSIMPANGAN DI TANJUNG PIAI
Dalam bahasa orang kampung, tindakan para pemimpin PAS
dan prinsip perjuangan PAS sangat keliru dan menyesatkan. Orang Perak kata
‘surung-sentap’. Cakap pagi tak boleh pakai petang, apatah lagi malam.
Berbelit-belit. Sekejap condong ke sana sekejap lagi condong ke sini. Macam
lalang di tiup angin.
Kesimpulannya memang tak boleh pakai!
Apa tidaknya. Ketika berlaku PRK Cameron Highlands tak
lama dulu, Presiden PAS Dato Sri Abdul Hadi Awang dengan jelas mengatakan
bahawa pengundi Islam wajib menyokong calon BN ( calon yang beragama Islam)
berdasarkan sifat keagamaannya. Dan kebetulan calon Pakatan Harapan ialah
seorang yang bukan Islam.
Dalam PRK Tanjung Piai lain pula ‘bunyi’nya lenggok
bahasa mereka. Buktinya apabila Ketua Ulama PAS Pusat, Dr. Nik Zawawi Salleh
menyatakan tentang penentangan parti itu terhadap calon bukan Islam berdasarkan
kepada sentimen berlainan agama. “Malah Islam sendiri tidak melarang untuk
berbuat baik dan melakukan keadilan kepada non-Muslim yang tidak melawan Islam.
Maknanya dalam bahasa mudahnya ialah di Cameron Highlands orang Islam dilarang
mengundi calon bukan Islam tetapi sebaliknya di PRK Tanjung Piai nanti mereka
boleh berbuat demikian.
Ini jelas menunjukkan bahawa parti yang mengharapkan pada
suatu kaum sahaja untuk mencapai kemenangan tidak akan berlaku di negara ini.
Ia memerlukan kerjasama antara kaum. Ada keadaan yang menunjukan bahawa hanya
mengharapkan kepada suatu kaum boleh mencapai kemenangan. Itu yang berlaku di
Terengganu dan Kelantan dan Pulau Pinang. Namun amat sukar untuk dipraktikkan
di negeri-negeri lain. Keadaan sedemikian tentulah tidak sihat untuk kesuburan
perpaduan di Malaysia. Pakatan Harapan telah mengorak langkah untuk menyatukan
kaum-kaum di Malaysia dalam menentukan kemenangan dalam pilihan raya disamping
mengemukakan dasar yang tidak semata-mata mementingkan sesuatu kaum.
Para pemimpin PAS tahu dan sedar bahawa pengikut PAS amat
taksub dan fanatik dan akan mengikut sahaja apa yang dikatakan oleh pemimpin
mereka. Pendek kata macam ‘ dicucuk hidung’. Bagi mereka apa yang diperkatakan
oleh pemimpin mereka semuanya betul belaka. Ini selari dengan ajaran tok guru zaman
tahun-tahun 1920an yang sering mengatakan bahawa, ‘tok guru jangan disoal,
berdosa!’
Sampai ke hari ini, zaman yang sudah memasuki Kurun ke
21, orang Melayu khususnya setengah pengikut PAS masih boleh diperkotak-katikan
dengan hujah-hujah yang dangkal tetapi dipercayai dan diyakini oleh pengikut
mereka. Lihat sahajalah apa yang telah berlaku kini. Tok guru yang mengajar di
surau-surau dan di masjid dan di TV seolah-olah ‘pakar’ dalam semua perkara
yang semua tahu tentang selok belok agama Islam. Perhatikan sajalah gelagat Tok
guru yang berceramah melalui radio atau TV. Tanyalah soalan apa pun pasti
mereka akan menjawabnya. Dan dijawab dengan spontan.
Aku tidak pula mengatakan yang jawapan yang diberikan
oleh mereka tidak betul dan tidak tepat. Banyak yang betulnya. Tetapi takkanlah
semua perkara mengenai selok belok agama Islam mereka mahir dalam halnya. Yang
anihnya belum pernah aku dengar dan lihat melalui ( mungkin aku yang tidak
menontonnya) TV seseorang penceramah agama menyatakan, ‘saya kurang pasti
dengan soalan tuan/puan dan saya akan rujuk dan kembali semula pada suatu
ketika kelak..” Aku tak pernah mendengar jawapan sedemikian melainkan mereka
akan terus menjawab seolah-olah mereka amat pakar dalam hal sedemikian.
Berbalik kepada persoalan di PRK Tanjung Piai, sebenarnya
PAS yang bersekutu dalam Barisan Nasional sudah ‘terkedu’ dan ‘bisu’ apabila
dibangkitkan percanggahan pandangan antara perbezaan PRK di Cameron Highlands
dengan PRK Tanjung Piai.
Aku ulang semula kenyataan YB Nik Zawawi ketika menggesa ahli PAS khususnya mengundi
calon MCA di Tanjung Piai. Katanya, ‘
,,malah Islam sendiri tidak melarang untuk berbuat baik dan melakukan keadilan
kepada non-Muslim yang tidak melawan Islam’. Jikalau hendak dihujjahkan bahawa
calon PH di Cameron Highlands tidak pernah melawan Islam, tetapi mengapa
dimusuhi dengan hujjah yang dangkal. Dengan jelas menampakkan kecetekan hujjah
yang mudah untuk dipatahkan.
Yang anihnya kebanyakan ahli PAS tidak ambil pusing tentang lojik tidaknya
sesuatu hujjah itu. Yang diutamakan oleh setengah mereka ialah apa yang
disuarakan oleh Tuan Guru adalah benar belaka. Sama jugalah dengan apa yang
berlaku kepada sebahagian besar ahli UMNO ( yang fanatik). Mereka tidak peduli
tentang kredibiliti seseorang pemimpin itu. Walaupun seseorang pemimpin mereka
dituduh dengan berbagai tuduhan rasuah dan penyalah-gunaan kuasa, namun mereka
tetap memberikan sokongan kepada pemimpin berkenaan. Mereka seringkali
menggunakan hujjah bahawa selagi tidak terbukti bersalah, mereka tetap
menyokong pemimpin berkenaan. Mereka sudah tidak mempedulikan peribahasa Melayu
yang mengatakan ‘ jikalau tidak ada angin takkan pokok bergoyang”. Mereka ‘tak
pakai’ peribahasa sedemikian.
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa yang menyebabkan
kebanyakan ahli UMNO tidak mahu renggang dan lekang sokongan kepada pemimpin
mereka ( yang rasuah) boleh jadi disebabkan terlalu banyak ‘dedak yang sudah
dimakan’ sehinggakan akibat termakan budi maka ‘body’ tergadai. Mungkin. Yang
berfikiran waras akan merasa hairan dan pelik tentang perangai kebanyakan ahli
UMNO yang ‘membabi buta’ terus menerus memberikan sokongan kepada pemimpin
mereka yang jelas tidak jujur dan merosakkan ekonomi negara.
Dan yang menambah pelik lagi keadaan yang sudah pelik itu
ialah sikap ‘pemimpin’ (yang sudah jelas tidak bermaruah) masih mahu
menggelarkan dirinya sebagai pemimpin dan terus menerus ‘mendabik dada’ mahu
terus menerus diiktiraf sebagai pemimpin. Sanggup hadir sama dalam majlis yang
memperkatakan tentang isu menebus maruah sedangkan golongan pemimpin sedemikian
sudah jelas tidak bermaruah. Apa tidaknya.
Dengan bermuka tebal, mereka sanggup lagi berada
dikhalayak ramai dan memperkatakan tentang maruah sedangkan dari mata kasarnya
jelas golongan ini tidak bermaruah. Golongan ini jugalah yang sering
memperkatakan tentang budi dan budaya Melayu sedangkan kelakuan dan tindakan
mereka sudah jauh menyimpang dari amalan orang Melayu yang berbudi dan
berbudaya Melayu.
Malangnya masih ramai orang Melayu yang masih mengiktiraf
mereka sebagai pemimpin mereka.
Malangnya bangsaku…
abuhassanadam
1 November 2019
Kesian melihat ramai lagi rakyat Melayu Isle yg termakan dengan budaya 'tok guru' yakni masih mengikuti apa2 saranan drp tok Guru mereka yg berfikiran kolot dari segi politik. Pemimpin2 agamawan baik dari PAS dan UMNO begitu dirasuk dengan pemikiran "ketuanan Melayu Isle' yg sering condong kpd xenophobia. Ramai oreng Melayu Isle takleh nak berfikir secara sekular dan melihat keadaan secara lebih berperspektif rasional dan seimbang, melainkan segala2ya melalui kaca sempit Ketauanan Melayu feudal Isle. Dan mereka dah dibelenggu dengan pemikiran tu agaknya selama dekad.
ReplyDelete