BN DAN PAS TANPA HALUAN
Katalah apa pun.
Yang jelasnya samada Barisan Nasional atau PAS sememangnya tanpa tujuan dan
haluan. Pengikut BN dan PAS di peringkat akar umbi sedang ‘pening’ melihatkan
gelagat pemimpin mereka. Tidak tentu tujuan semacam cacing kepanasan. Tidak
tentu dasar mana dan perjuangan macam mana yang akan dilakukan oleh kepimpinan
mereka. Kesemuanya berbentuk ‘ad hoc’. Jikalau dalam bahasa kampung
diistilahkan sebagai ‘tak tentu ketumbuk’ atau ‘kacau kena’ atau ‘surung
sentap’. Dan dalam bahasa mudahnya, ‘pagi cakap lain, petang cakap lain, malam
lagi lain…’.
Aku yakin
kepimpinan samada UMNO atau PAS amat takut dan bimbang untuk bertemu dengan
para wartawan. Banyak soalan pukulan maut akan dikemukakan dan tidak mudah
untuk dijawab. Tak payah lah nak
diberikan contoh-contoh soalan yang mungkin disoal oleh wartawan dan yang tidak
boleh dijawab secara objektif oleh kepimpinan PAS dan UMNO. Yang paling
menyukarkan untuk dijawab tentuya jika dikemukakan soalan perbandingan berkaitan
dengan PRK Cameron Highlands dengan Tanjung Piai.
Pakatan Harapan
juga aku rasa sudah melakukan kesilapan besar terutama yang bersangkut paut
dengan perasaan orang Cina. Pengundi Cina semacam menganggap pemimpin Bersatu
bukan rakan karib mereka berbanding dengan kepimpinan PKR dan Amanah yang lebih
liberal dari segi perjuangan mereka. Walaupun tidak kelihatan secara terus
terang, namun tindakan beberapa orang pemimpin Bersatu (menteri-menterinya)
sudah semacam meragukan orang Cina terutama dasar pendidikan yang dikemukakan
Menteri Pendidikan semacam mengguris perasaan orang cina, walaupun dilihat
semacam untuk mengambil hati orang Melayu, dan sepatutnya dilaksanakan
sedemikian. Penglibatan keimpimpinan dalam perhimpunan menebus maruah Melayu
baru-baru ini juga dilihat oleh orang Cina sudut yang negatif dari kaca mata
orang Cina.
Keadaan sebegini
tidak menyebelahi Pakatan Harapan dalam PRK Tanjung Piai yang akan datang
apabila isu sedemikian diketengahkan. Masyarakat Cina di Tanjung Piai pastinya
menunggu ‘peluang’ sebegini untuk membalas dendam dan ‘mengajar’ tokoh-tokoh
dan ‘pemimpin’ yang agak sombong dan yang tidak mengambil kira hati dan
perasaan masyarakat Cina. ‘Kesombongan’ yang ditunjukkan oleh pemimpin UMNO dan
PAS khususnya pada PRK di Cameron Highlands sudah cukup memberi tamparan kepada
masyarakat Cina. Dalam PRK berkenaan isu ‘kafir/Islam’ dimainkan dengan cara
berleluasa dengan tidak langsung berhasrat untuk menjaga hati golongan yang
terkena tempiasnya.
Jikalau di PRK
Cameron Highlands pemimpin PAS mengenengahkan satu ‘fatwa’ bahawa orang Islam
tidak harus mengundi calon dari golongan kafir ( calon Pakatan Harapan) tetapi
di Tanjung Piai dibolehkan pulak. Ini yang menyebabkan para pengundi yang
terdiri dari rakyat bawahan dalam keadaan ‘pening’ kepala melihatkan gelagat
kepimpinan PAS. Dan ramai yang sudah mula melihat parti PAS sebagai parti
‘lawak’ yang boleh bertanding dalam pesta lawak jenaka.
Keadaan yang berlaku
di Tanjung Piai itu seolah-olah memberi pengajaran dan iktibar kepada
parti-parti politik di Malaysia bahawa isu agama dan perkauman harus
dihindarkan oleh kepimpinan politik sekiranya kita betul-betul mahukan negara
Malaysia menjadi sebuah negara berbilang kaum yang hidup dengan aman dan
harmoni. PRU 14 telah mengajar kita bahawa rakyat Malaysia boleh bersatu dalam
satu arah tujuan tanpa memikirkan tentang memainkan isu agama dan bangsa.
Rakyat Malaysia
betul-betul bersatu hati dan bertekad untuk menumbangkan kerajaan Barisan
Nasional yang hampir-hampir ‘menghumbankan’ negara ini di lembah kehinaan.
Rakyat Malaysia betul-betul bersatu hati dibawah kepimpinan Tun Mahathir
memenangkan Pakatan Harapan agar kepimpinan kleptocracy BN dapat dinyahkan dari
bumi ini. Keadaan harmoni dan kerjasama antara kaum di Malaysia kini agak
‘pudar’ disebabkan berbagai anasir yang ditimbulkan yang berkemungkinan membawa
perpecahan dikalangan masyarakat Malaysia. PAS dan UMNO bersungguh benar
nampaknya memainkan isu sedemikian kerana dengan memainkan isu sebeginilah
mereka dapat bernafas dan bertapak semula. Telah terbukti berjaya di beberapa
PRK yang diadakan sebelum ini.
Para pengundi di
Tanjung Piai harus berlaku adil pula dalam menentukan siapa yang harus
dimenangkan dalam PRK berkenaan. DS Anwar Ibrahim ada menyatakan bahawa para
pemilih di Tanjung Piai harus diberikan penjelasan tentang ‘usia’ Pakatan
Harapan yang terlalu muda yang memerintah negara ini. Tentulah tidak adil para
pemilih ‘menjatuhkan hukuman’ kepada kepimpinan PH yang baru setahun jagung
ini. Mereka harus diberikan peluang untuk mentadbirkan negara dengan sebaik
mungkin.
Kini pengundi di
Tanjung Piai betul-betul berada dipersimpangan untuk membuat keputusan. Mereka
betul-betul dalam keadaan serba salah. Setiap parti yang bertanding mempunyai
hujah masing-masing yang perlu difikir dan diteliti oleh para pengundi. Untuk
menghukum Pakatan Harapan yang baru setahun jagung memerintah negara ini
tentulah tidak begitu adil. Pakatan Harapan perlu diberikan kesedaran tetapi
bukan kesedaran yang berbentuk satu hukuman. Apakah cara dan tindakan yang
perlu dilakukan terpulanglah kepada pengundi di Tanjung Piai.
lakulah seperti
mengambil ‘rambut dalam tepung’ agar rambut dapat diambil dan tepung tidak
bertaburan. ‘Bunuhlah ular sehingga mati tetapi kayu jangan patah’.
abuhassanadam
11 November 2019
According to Stanford Medical, It's really the one and ONLY reason women in this country get to live 10 years more and weigh on average 19 KG less than us.
ReplyDelete(And really, it has NOTHING to do with genetics or some secret diet and absolutely EVERYTHING to "how" they eat.)
BTW, I said "HOW", and not "what"...
CLICK this link to discover if this little test can help you discover your real weight loss possibility