Sunday, November 10, 2019

KOKOKNYA BERDERAI SEDANGKAN EKORNYA BERGELUMANG TAHI



KOKOKNYA BERDERAI SEDANGKAN EKORNYA BERGELUMANG TAHI

            Jangan silap faham. Aku tak kata semua Melayu begitu sebab aku pun belum lagi ‘meletakkan jawatan’ sebagai orang Melayu totok. Tetapi kelihatan sekarang kebanyakan pemimpin Melayu tak tahu malu atau pun sudah hilang perasaan malunya.  Inilah rupa keadaan yang betul-betul amat sukar untuk difahami mengapa keadaan jadi begini.

            Orang Melayu sememangnya terkenal dengan sifat malu atau pemalu. Orang melayu terkenal dengan bangsa yang berbudi bahasa. Peribahasa, pantun, seloka banyak yang menekankan tentang budi dan bahasa. Datuk nenek kita dulu tak lepas-lepas menekankan tentang manusia yang berbudi. Sehinggakan untuk memilih menantu sekali pun kriteria yang diutamakan ialah orang yang berbudi.

            Itu dulu.

            Kini ke mana hilang dan ‘ghaib’nya orang Melayu yang berbudi dan berbahasa itu. Masih ada. Tetapi bilangan mereka terlalu sedikit. Mungkin boleh dibilang dengan jari. Mungkin ‘species’ yang sedemikian masih terdapat di kampung-kampung pendalaman yang masih belum ‘tersentuh’ dengan proses kemajuan dan pemodenan. Itu pun belum tentu berkeadaan demikian. Mungkin juga pemimpin-pemimpin kecil di kampung berkenaan sudah pun ‘tercemar’ dengan budaya yang dibawa oleh para wakli rakyat yang ‘bergelumang’ dengan aktiviti yang memalukan.

            Rakyat Malaysia tahu yang kebanyakan wakil rakyat mereka terlibat dengan kegiatan rasuah. Yang tidak mahu mengaku yang mereka telah terlibat dengan kegiatan sedemikian ialah yang empunya diri itu sendiri. Mereka berselindung disebalik keputusan hakim ( sekiranya mereka dibicarakan) atau pun mereka masih ‘berselindung’ disebalik hujjah yang mengatakan bahawa mereka belum ditangkap oleh SPRM.

            Lantas ramai pemimpin Melayu (khususnya) berkeliaran dengan ‘tebal muka’ berjumpa rakyat dan ‘berkokok’ di sana seolah-olah mereka itu sebersih kain putih sedangkan ‘ekor bergelumang tahi’. Amat tepat peribahasa Melayu yang menyamakan pemimpin sedemikian seperti perangai ayam jantan, ‘ kokoknya berderai sedangkan ekor bergelumang tahi’.

            Inilah peribahasa Melayu yang amat tepat menggambarkan tentang suasana para pemimpin kita yang ‘berderai-derai kokok’ mereka sedangkan mereka terpalit dengan kegiatan berbagai rasuah dan penyelewengan. Mereka tidak malu langsung berjumpa dengan rakyat bawahan, bertemu muka dengan rakyat ( yang kebanyakannya rakyat miskin tetapi amat mulia dan tidak terpalit dengan kegiatan seperti yang dialami pemimpin itu sendiri). Mereka tidak malu. Tidak ada segan silunya sedangkan mereka tahu yang mereka sudah melakukan penyelewengan yang bukan kecil dan hampir meruntuhkan ekonomi negara.

            Ada juga para pemimpin Melayu yang kononnya memperjuangkan Islam sedangkan kegiatan mereka sudah agak terkeluar dari batasan-batasan yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang Islam yang terdahulu.  Mereka berdolak-dalik mengemukakan hujjah mereka kepada masyarakat. Mereka tidak merasa malu walau sedikit pun kepada ‘diri mereka’. Golongan sedemikianlah yang amat tahu dan arif tentang ‘dosa-pahala’ tetapi golongan ini juga yang tidak merasakan segan silu berhadapan dengan rakyat. Mereka seolah-olah merasakan yang rakyat tidak tahu apa yang telah mereka lakukan. ‘Rompakan’ yang telah mereka lakukan hanya ‘disembunyikan’ buat sementara waktu dan mereka tahu lambat laun mereka akan ‘dimalukan’ juga. Namun begitu mereka tidak malu dan mereka masih berselindung disebalik ungkapan yang mengatakan bahawa, ‘ mereka tidak bersalah selagi tidak terbukti bersalah’. Yang naihnya mereka sedar dan tahu bahawa mereka sebenarnya bersalah.

            Kadang-kadang aku terfikir juga bahawa para pemimpin yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa ini lebih hina daripada mereka yang menyalahgunakan dadah. Mengapa dikatakan begitu. Seorang penagih dadah yang keluar dari pusat tahanan amat sukar diterima oleh masyarakat sehinggakan golongan ‘yang malang’ itu terpaksa mencari kehidupan bersendirian. Sekurang-kurangnya si penagih tahu dan sedar diri bahawa beliau bersalah dan menyisihkan diri dari masyarakatnya.

            Berbanding dengan para pemimpin yang rasuah yang tahu akan kesilapan dan kesalahan mereka tetapi masih merasakan diri tidak bersalah. Masih dengan berani menonjolkan diri di khalayak ramai, ‘mendabik dada’ mengatakan akulah sebenarnya pemimpin yang membela rakyat.

            Yang menyebabkan si pemimpin terus ‘bermaharajalela’ adalah berpunca daripada sikap rakyat yang ‘bodoh-tongong’ yang masih lagi ‘mendewa-dewakan’ pemimpin sedemikian. Kita hairan kenapa masih ada lagi anggota masyarakat Melayu (Kurun ke 21) yang masih belum dapat mengenali antara kaca dan intan. Masih ada lagi anggota masyarakat Melayu yang boleh digula-gula dengan ‘habuan’ dan ‘dedak’ yang akhirnya dapat ‘meruntuhkan’ maruah orang Melayu. Mengapa masih ramai orang Melayu yang bersikap demikian?

            Sedarlah bangsaku. Tak usahlah bercakap mengenai ‘MARUAH’ sekiranya masih ramai lagi para pemimpin Melayu yang tidak bermaruah.

abuhassanadam
10 November 2019

No comments:

Post a Comment