Saturday, November 30, 2019

MALAYSIA MASIH DI TAKUK LAMA


MALAYSIA  MASIH DI TAKUK LAMA

            Jikalau aku sarankan dengan mengatakan bahawa Malaysia masih ‘di takuk lama’ setelah hampir dua tahun ditadbir oleh Pakatan Harapan, maka akan ada yang ‘melompat’ minta bukti mengapa aku katakan begitu. Memang tidak ada bukti konkrit untuk membuktikan kenyataan demikian kerana itu hanya merupakan persepsi, pemerhatian banyak orang. Dan jika masih mahukan bukti, maka bolehlah digunakan keputusan PRK Tanjung Piai baru-baru ini yang menunjukkan pengundi sudah mula bosan dengan kepimpinan Pakatan Harapan.

            Sepatutnya pentadbiran Pakatan Harapan sudah mula mengorak langkah drasti melaksanakan dasar-dasar yang boleh ‘membuka mata’ para pengundi rakyat Malaysia. Seharusnya para menteri Pakatan Harapan sudah mula bertindak dengan berkesan merencanakan apa yang sepatutnya ‘dihidangkan’ kepada rakyat. Ini tidak. Para menteri dan pelaksana pentadbiran negara masih dalam ‘honey-moon mood’ meraikan kemenangan PRU14 yang masih dirasakan terngiang-ngiang di telinga mereka. Dan yang merunsingkan rakyat Malaysia, sikap para pemimpin Pakatan Harapan seolah-olah sama dan serupa dengan cara pimpinan Barisan Nasional. Masih menunggu peluang untuk ‘mengaut’ apa yang patut ‘dikaut’.

            Belum pun sampai genap dua tahun melaksanakan pemerintahan sudah mula kedengaran kisah-kisah rasuah dikalangan kepimpinan Pakatan Harapan. Sudah mula kedengaran kisah-kisah pemberian projek-projek khas untuk kroni dan mengenepikan tanggungjawab terhadap masyarakat terbanyak. Maknanya perangai lama berulang kembali. Bak kata peribahasa Melayu seolah-olah sepert anjing yang makan tahi kalau pun tidak dimakan maka diciumnya juga’

            Semacam tidak kelihatan dasar-dasar besar dan agung yang dilaksanakan oleh Pakatan Harapan demi untuk memajukan kehidupan rakyat. Mungkin telah banyak projek yang dihasratkan dan diumumkan, namun itu hanya merupakan suatu cadangan dan belum tentu akan mendatangkan keuntungan atau kebaikan kepada rakyat. Projek kereta terbang misalnya. Bagi aku ( yang bodoh tongong ) memang tidak lojik projek ini dilaksanakan di negara ini. Terlalu banyak halangan yang perlu diselesaikan sebelum projek itu dapat dilaksanakan.  Lagi pun apakah faedah yang dapat dinikmati oleh rakyat terbanyak ( rakyat marhaen seperti aku) dengan pelaksanaan projek berkenaan. Dan yang paling ketara sekali ialah seolah-olah tugas Menteri Pembangunan Usahawan ialah melaksanakan projek kereta terbang. Amat malang sekali rakyat Malaysia.

            Sepatutnya para menteri telah mula berfikir untuk melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan ‘WOW’ ( pinjam kata orang muda kini) di pemikiran rakyat Malaysia. Sebagai contoh. Pada tahun 1959, ketika usianya baru 37 tahun, Ungku Aziz telah mengemukakan kertas kerja bertajuk ”Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji” kepada kerajaan dan sejak itu idea beliau telah dikaji dan diperkembangkan sehingga apa yang kita lihat sekarang ini. Daripada ‘ZERO’, Tabung Haji (TH) sekarang adalah Pengurus Dana Islam terbesar negara dengan dana melebihi RM55 bilion!
            TH juga telah menceburi bidang pelaburan di beberapa sektor seperti perladangan, pembangunan hartanah dan pembinaan, kewangan Islam, teknologi maklumat, minyak dan gas, perkhidmatan pelancongan dan makanan halal dengan keuntungan bersih melebihi RM3 bilion setiap tahun. Pendeposit mereka juga dah cecah 8 juta orang.
            Itu yang aku maksudkan projek ‘WOW’. Dan ketika menjadi Menteri Pendidikan pada zaman kepimpinan Dr. Mahathir ( awal 1980an) Saudara Anwar Ibrahim telah mewar-warkan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa dan penubuhan Bank Islam. Tun Dr Mahathir telah menjadikannya satu realiti dan sehingga kini sudah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Megah berdiri dan dibangga dan dapat dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dan antarabangsa.
            Tun Ghaffar Baba, seorang pemimpin yang kelihatan betul-betul untuk memajukan rakyat Malaysia (orang Melayu khususnya) telah mengasaskan penubuhan MARA (Majlis Aamanah Rakyat) yang peranannya sehingga hari ini betul-betul boleh dimanfaatkan oleh orang Melayu. Hanya pemimpin yang terkemudian yang telah cuba ‘merosakkan’ pentadbiran MARA yang telah ‘mengabdikan’ diri kepada perjuanagan orang Melayu.
            Sumbangan Tun Ghaffar juga boleh dilihat dari segi penubuhan ITM (Institut Teknoloji Mara). ITM telah direalisasikan sejurus selepas diumumkan penubuhannya. Dan lantas dimulakan operasinya. Menampakkan bahawa pemimpin terdahulu betul-betul ikhlas dalam usaha untuk memajukan orang Melayu. Melalui ITM lah yang telah melatih ratusan (pada awal penubuhannya) dan ratusan ribu pelajar Melayu menjadi golongan professional yang diperlukan oleh negara.
            Tidak salah Menteri Pendidikan kita pada hari ini memperkenalkan pemakaian kasut hitam kepada murid-murid sekolah, namun perlulah juga beliau dan para pegawai di Kementerian Pendidikan melihat sesuatu yang lebih besar demi kemajuan negara kita yang akan menempuh zaman globalisasi ini. Perlulah dilakukan penyelidikan yang jitu demi untu kemajuan negara kita Malaysia.
            Berbanding dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar zaman kemerdekaan, apa yang dilakukan oleh Menteri sekarang adalah amat mengecewakan. Jangankan untuk memikirkan pelaksanaan projek sebeasr FELDA, masih tidak kelihatan sesuatu yang konkrit demi untuk memajukan masyarakat luar bandar. Sepatutnya kementerian berkenaan (khususnya menterinya) sudah mula merangka apakah yang sepatutnya dilakukan untuk memajukan masyarakat luar bandar ( orang Melayu) dari segi jangka panjang.
            Apakah pada pandangan mereka orang Melayu luar bandar sudah betul-betul maju dari segenap segi. Tentu sekali tidak. Dan seharusnya dimulakan mengorak langkah dengan segera ke arah itu.

abuhassanadam
30 November 2019

2 comments:

  1. If you're trying hard to lose pounds then you absolutely have to jump on this brand new personalized keto diet.

    To create this keto diet service, licenced nutritionists, fitness trainers, and top chefs united to produce keto meal plans that are effective, convenient, economically-efficient, and enjoyable.

    From their first launch in 2019, 1000's of clients have already remodeled their figure and well-being with the benefits a smart keto diet can give.

    Speaking of benefits: clicking this link, you'll discover 8 scientifically-confirmed ones given by the keto diet.

    ReplyDelete