Thursday, November 14, 2019

BUKAN TUN MAHATHIR TAK BAGUS TAPI…


BUKAN TUN MAHATHIR TAK BAGUS TAPI…

            Tidak ada siapa yang dapat menafikan kehebatan Tun Mahathir yang membawa kemajuan yang begitu membanggakan pada zaman pentadbirannya yang terdahulu ia itu (1981-2003). Dan rakyat Malaysia mengharapkan Tun Mahathir mengulangi pencapaiannnya yang terdahulu dan lupa bahawa sememangnya lumrah alam bahawa terlalu sukar bagi sesiapa pun untuk mengulangi kejayaan yang telah dilakukan sebelumnya.

            Bukan kerana Tun Mahathir kini lemah dan tidak berdaya. Walau apa pun yang dilakukan kini tentunya tidak dapat menandingi apa yang telah dilakukannya sebelum ini, pentadbirannya pada zaman yang terdahulu (1981-2003).

            Aku masih ingat lagi keghairahan rakyat menunggu ‘kemunculan’ Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat menggantikan Tun Hussein Onn. Rakyat Malaysia pada ketika itu seolah-olah tidak sabar-sabar menunggu kedatangannya sebab beliau telah pun menunjukkan bakat dan ‘belang’nya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan sebelum itu. Rakyat di serata pelusuk tanah air memberikan sokongan padu apabila beliau memegang tampuk pemerintahan negara. Rakyat mengharapkan sangat kemunculan Tun Mahathir dengan jangkaan yang beliau akan  membawa perubahan kepada negara.

            Dan Tun Mahathir pula seolah-olah seperti pelumba lari pecut berganti-ganti apabila ‘baton’ diserahkan kepadanya oleh Tun Hussein Onn. Tanpa berlengah terus memecut tanpa melihat ‘kiri-kanan’ untuk meletakkan negara ini setanding dengan negara-negara maju dunia. Aku masih ingat ‘kejutan’ yang pertama yang dilakukan oleh Tun Mahathir ialah ‘memusing’ jarum jam satu jam kehadapan. Tindakannya itu ‘menggemparkan’ kebanyakan rakyat Malaysia kerana pada anggapan mereka tindakan itu tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia. Ramai rakyat Malaysia pada ketika itu (1981) tidak tahu dan sedar bahawa United Kingdom menukar jarum jam mereka setiap tahun ( satu jam kehadapan dan satu jam kebelakang ketika musim winter). Mungkin pada ketika itu tidak ramai lagi rakyat Malaysia yang pernah menjejakkan kaki di bumi orang putih itu. Tidak pula dijelaskan secara terperinci maka beliau terpaksa menukar jarum jam.

            Belum reda dengan kejutan (mengubah jarum jam) beliau memperkenalkan dasar ‘Pandang Ke Timur’. Lagi sekali rakyat Malaysia ‘pening’ dengan dasar sedemikian. Disarankan agar rakyat Malaysia meniru dan mengamalkan budaya kerja Jepun dan Korea dari segi ketepatan menghormati waktu dan budaya kerja yang membawa negara itu ke mercu kejayaan. Berbulan-bulan dan malah bertahun-tahun rakyat Malysia cuba 'menghazam’ apakah sebenarnya dasar ‘Pandang ke Timur’ itu. Dan yang ‘lucu’nya seolah-olah sehingga tamat pentadbiran peringkat awalnya rakyat Malaysia belum dapat memahami sebenar-benarnya apakah yang dikehendaki oleh Tun Mahathir dalam dasar berkenaan.

            Dasar ‘Buy British Last’ tidak lebih daripada usaha Tun Mahathir untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia ketika itu tidak harus diperkotak-katikan oleh negara besar seperti British apatah lagi British merupakan bekas penjajah yang menjajah negara ini. Punca yang menyebabkan Tun Mahathir mengambil tindakan sedemikian berpunca daripada tindakan Perdana Menteri British ketika itu (Margaret Thatcher) menaikkan yuran pengajian university di Great Britain. Lantas Malaysia pastinya terkena ‘tempias’ ekoran dari pengenalan dasar berkenaan kerana begitu ramai penuntut Malaysia yang menuntut di university di Great Britain.

            Sebagai tindak balas Malaysia kepada dasar berkenaan ialah memperkenalkan dasar ‘Buy British Last’ yang menyarankan agar Malaysia tidak mengutamakan pembelian barangan dari Great Britain kecualilah tidak terdapat barangan berkenaan di tempat lain. Great Britain ‘panik’ juga dengan tindakan berkenaan. Itulah kehebatan Tun Mahathir.

            Pendek kata ada dasar yang diperkenalkan itu berjaya dan berkesan dan ada juga yang tidak begitu berjaya. Namun yang penting pada ketika itu rakyat Malaysia sebenarya dalam usaha membina keyakinan diri sebagai sebuah bangsa Malaysia yang merdeka. Rakyat mula beransur-ansur sedar bahawa terlalu sukar untuk mengisi hasrat kemerdekaan negara. Dan dengan hasil usaha yang dilakukan oleh Tun Mahathir dengan sokongan para menteri yang ‘kuat’ seperti DS Anwar Ibrahim, TS Rafidah Aziz, DS Abdullah Badawi dll maka Malaysia hampir-hampir menjadi ‘ the Asian Tigers’ seperti Hong Kong, Jepun, Korea dan Singapura. Tetapi malangnya kini kita  berada ‘di belakang’ dan 'di takuk' lama semula.

            Keadaan sedemikianlah yang hendak dipulihkan oleh Tun Mahathir kini dalam usahanya menjadi Perdana Menteri Malaysia kali kedua. Seolah-olah beliau mahu melihat negara ini seperti Malaysia yang dipimpinnya pada peringkat awal. Mungkin agak mustahil beliau untuk melakukannya memandangkan usianya yang sudah agak lanjut dan yang paling ketara sekali beliau tidak mempunyai ‘penyokong-penyokong’ ia itu para Menteri yang ‘kuat dan kukuh’ seperti mana yang dimilikinya pada pemerintahan terdahulu. Seolah-olah Tun Mahathir sudah kelihatan begitu ‘letih’ semacam ‘keseorangan’ membina negara tanpa mendapat sokongan kuat dari para menterinya

            Apatah lagi  suasana negara ketika disambutnya dari Tun Hussein Onn adalah sebuah negara yang stabil dari semua segi terutamanya dari segi ekonomi berbanding dengan keadaan ekonomi sekarang yang hampir 'telungkup' disebabkan pentabiran yang tidak bertanggungjawab pemimpin BN. Keadaan sedemikian tentunya amat sukar untuk dipulihkan.

            Rakyat Malaysia kini pada umumnya sudah merasakan bahawa Tun Mahathir sudah agak ‘letih’ dan tidak terdaya untuk mentadbir negara ini sebagaimana ‘performance’ beliau pada pentadbiran terdahulu. Sudah hampir dua tahun PH mentadbir negara ini tetapi kemajuan yang dicapai tidak menyerlah sebagaimana ‘pesembahan’ beliau pada zaman pentadbiran terdahulu. Bukan salah Tun Mahathir. Banyak faktor yang menyebabkan keadaan terjadi demikian.

            Perlu ada penyelesaiannya. Mungkin Tun Mahathir perlu mengamalkan sikap yang dilakukan oleh Tun Hussein Onn terdahulu ia itu menyerahkan kepimpinan kepada tokoh yang lebih bertenaga untuk meneruskan perjuangan memajukan negara ini. Rata-rata rakyat bawahan di negara ini merasakan sudah sampai masanya DS Anwar Ibrahim diberikan tanggungjawab berkenaan sebagaimana yang telah dipersetujui oleh kepimpinan Pakatan Harapan sebelum PRU 14 dahulu. Tidak syak lagi bahawa DS Anwar Ibrahim berkemampuan menyambut ‘baton’ berkenaan dan memecut laju ke hadapan sebagaimana yang dilakukan oleh Tun Mahathir pada awal tahun 1980an dulu.

abuhassanadam
14 Novermber 2019




1 comment:

  1. If you're looking to lose fat then you have to jump on this totally brand new personalized keto diet.

    To create this keto diet, certified nutritionists, fitness couches, and professional cooks united to provide keto meal plans that are effective, convenient, money-efficient, and fun.

    Since their grand opening in January 2019, thousands of people have already remodeled their body and well-being with the benefits a certified keto diet can give.

    Speaking of benefits: in this link, you'll discover eight scientifically-proven ones given by the keto diet.

    ReplyDelete