Friday, November 29, 2019

TINDAKAN SEGELINTIR MELAYU MEMALUKAN


TINDAKAN SEGELINTIR MELAYU MEMALUKAN

            Kadang-kadang aku terfikir tentang apakah yang boleh aku tunjukkan kepada bangsa lain bagi meyakinkan bahawa sebenarnya Melayu ini hebat, orang Melayu berbudi bahasa, orang Melayu berjaya dalam lapangan ekonomi, orang Melayu bijak berpolitik, orang Melayu berjaya dalam lapangan pelajaran dan lain-lain. Hampir tidak dapat dikemukakan contoh-contoh yang baik mengenai orang Melayu.

            Yang selalu kita dengar dan dibaca ialah pemimpin politik yang terdiri dari orang Melayu terlibat dengan skandal rasuah, anak Melayu yang ramai terlibat dengan penagihan dadah, graduan Melayu yang ramai menganggur, kehebatan aktiviti Mat Rempit yang hampir keseluruhannya terdiri dari belia Melayu, kehebatan kanak-kanak Melayu yang terlibat dengan basikal lajak dan lain-lain. Pendek kata apa sahaja yang kelihatan ‘negatif’ terpalit kepada orang Melayulah.

            Yang paling merunsingkan sebahagian besar orang Melayu ( yang berfikiran agak waras) ialah sikap segelintir orang Melayu yang semacam tidak dapat berfikir dengan waras. Sikap segelinitr orang Melayu yang menyokong dengan membabi buta ‘pemimpin’ yang terbabit dengan rasuah dan dihadapkan di mahkamah. Seolah-olah golongan ‘pengikut’ yang tolol / bodoh ini sudah melupakan peraturan dan undang-undang yang ada dalam negara yang seharusnya dipatuhi.

            Terfikir juga aku bahawa orang Melayu pada Kurun ke 21 tidak banyak bezanya dengan keadaan orang Melayu tradisional seperti yang digambarkan dalam cerita-cerita jenaka yang pernah kita baca ketika di sekolah Melayu zaman dahulu. Ramai orang Melayu kini yang wataknya hampir sama dengan watak Mat Jenin. Suka berkhayal dan berangan-angan. Bezanya Mat Jenin berangan-angan di atas pokok kelapa sedangkan ramai orang Melayu kini berangan-angan di kedai kopi. Maknanya orang Melayu semenjak zaman dahulu kala sentiasa memikirkan jalan pintas untuk mencari kesenangan hidup.

            Tidak banyak berbeza dengan keadaan orang Melayu kini. Segelinitr orang Melayu kini sentiasa melihat penglibatan dalam politik itu sebagai jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Mereka merasakan dengan cara itulah merupakan jalan yang paling senang untuk mencapai apa yang diharapkan. Dengan sebab itulah sudah ramai orang Melayu kini ‘bermati-matian’ untuk melibatkan diri dalam politik. Dan dapat dilihat dengan jelas betapa kecewanya orang Melayu di seluruh negara apabila Barisan Nasional tewas dalam PRU14 yang lalu.

            Dalam zaman pemerintahan UMNO (Barisan Nasional) ramai orang Melayu yang ‘cari makan’ melalui penglibatan mereka dalam kegiatan politik UMNO. Golongan orang Melayu sedemikian seolah-olah ‘berpesta’ pada ketika itu, dan tidak kira samada mereka berada di kampung-kampung atau di bandar. Orang Melayu hampir lupa daratan. Seolah-olah mereka berbelanja pada ketika seolah-olah wang yang mereka belanjakan itu datangnya dari langit. Dan sebenarnya itulah cara yang paling disukai oleh orang Melayu. Tidak ada kerja tetapi senang untuk mendapat wang dan cara yang paling senang untuk mendapat wang ialah melaui penglibatan dalam politik.

            Watak Pak Pandir, Pak Kaduk, Lebai Malang sememangnya ada dikalangan orang Melayu kini. Watak bodoh/ ‘betul bendul’ Pak Pandir itu digunakan oleh golongan agama untuk menyokong perjuangan politik sempit mereka. Ada yang menggunakan petikan dari Al-Quran untuk mempengaruhi pemikiran orang Melayu yang bukan sahaja Melalyu kampung tetapi Melayu intelek di bandar juga. Disebabkan terlalu jahil dalam hal-hal keagamaan, maka golongan Melayu sedemikian akan menjadi ‘pak angguk’ tentang apa sahaja yang disampaikan kepada mereka.

            Orang Melayu merasa amat ‘bahagia’ dan ‘tenang’ apabila dapat mendengar cerita-cerita dan kisah yang menyenangkan. Orang Melayu pada zaman dahulu telah ditenangkan fikiran mereka dengan ‘falsafah’ yang berbunyi ‘rezeki secupak tidak akan jadi segantang’. Dan guru-guru agama pula sentiasa menyampaikan ‘kuliah’nya disurau-suaru dengan mengatakan bahawa tempat orang Islam ialah di akhirat dan bukan di dunia. Orang Melayu amat senang dengan kenyataan sebegini. Kata-kata sedemikian menjadi  ‘ubat’ yang mujarrab untuk mereka tidak berusaha dan merupakan alasan yang cukup kuat mengapa orang Melayu masih miskin papa kedana. ‘Dadah’ yang disampaikan oleh golongan agama yang sedemikianlah yang mungkin juga merupakan salah satu sebab orang Melayu masih mundur sehingga hari ini. Mungkin!

            Aku tak kata semua Melayu begitu. Dan aku juga dari keturunan Melayu totok, keturunan orang darat (asli) tetapi telah aku buangkan jauh-jauh perangai buruk seperti yang diamalkan oleh segelintir orang Melayu kini. Tentulah aku tidak sebodoh sehingga seperti kerbau dicucuk hidung untuk menyokong ‘pemimpin’ yang sudah terang-terang melakukan kesalahan (walaupun belum dijatuhkan hukuman oleh mahkamah). Apa gunanya otak dan fikiran yang dikurniakan Tuhan sekiranya tidak boleh berfikir dan dapat membuat pertimbangan dengan waras.

            Janganlah orang Melayu terlalu bodoh sehingga meletakkan diri setaraf dengan Pak Pandir, Lebai Malang, Mat Jenin, Pak Kaduk…

abuhassanadam
29 November 2019

1 comment:

  1. Did you know there's a 12 word phrase you can speak to your man... that will induce deep emotions of love and instinctual appeal to you buried inside his heart?

    Because hidden in these 12 words is a "secret signal" that triggers a man's impulse to love, admire and guard you with his entire heart...

    12 Words That Trigger A Man's Love Response

    This impulse is so hardwired into a man's brain that it will make him work harder than before to to be the best lover he can be.

    Matter of fact, fueling this powerful impulse is so binding to having the best ever relationship with your man that as soon as you send your man one of these "Secret Signals"...

    ...You will soon find him expose his heart and mind to you in a way he never experienced before and he'll perceive you as the one and only woman in the galaxy who has ever truly attracted him.

    ReplyDelete