Tuesday, November 12, 2019

ANAK MUDA UBUN-UBUN LEMBUT


ANAK MUDA UBUN-UBUN LEMBUT

            Politik era baru di Malaysia menampakkan sedikit kelainan berbanding dengan keadaan politik sebelumnya. Yang paling ketara ialah usaha mengenengahkan orang muda. Pemimpin muda mula ditonjolkan dengan harapan mereka boleh menjadi pemimpin menggantikan pemimpin tua pada suatu hari. Hasrat ‘pemimpin tua’ untuk menonjolkan pemimpin muda seharusnya dipandang tinggi oleh golongan muda.

            Sememangnya sudah ada slogan perjuangan pada zaman kemerdekaan dahulu yang mengatakan bahawa , ‘pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara’. Tetapi di hari-hari kemudian ini sudah jarang kedengaran slogan yang sedemikian sedangkan slogan sebegitu amat sesuai untuk membakar semangat anak muda yang menjadi harapan bangsa dan serikandinya menjadi tiang negara. Bukankah pernah diungkapkan oleh Raden Ajeng Kartini dari Indonesia yang menyebut bahawa, ‘ tangan kiri menghayun buaian dan tangan kanan menggoncang dunia’. Dan pejuang Sukarno pula pernah mengungkapkan, ‘berikan aku seratus pemuda untuk aku bebaskan Indonesia sebelum berkokok ayam’.

            Anak muda Malaysia mungkin tidak secocok dengan slogan-slogan sedemikian. Mungkin sudah ada ciptaan baru yang mereka cipta sendiri demi untuk penerusan perjuangan bangsa dan negara. Sementelahan pula sudah ramai anak muda yang berpelajaran tinggi ‘mengatasi’ apa yang dicapai oleh golongan tua kini semasa mereka masih muda remaja.

            Yang agak membimbangkan mengenai pemimpin muda kini ialah keghairahan untuk menjadi pemimpin sehinggakan lupa batas-batas nilai yang perlu diikuti untuk meletakkan diri sebagai seorang pemimpin.Golongan muda kini sangat cepat ‘meniru’ gelagat dan ‘amalan’ yang dilakukan oleh golongan tua khususnya pemimpin tua. Kelihatan kini sudah ramai golongan muda ( para pemimpin dan pegawai kerajaan) yang sudah berjinak-jinak dengan kegiatan rasuah ( yang kebiasaannya diamalkan oleh golongan tua ataupun pemimpin tua)

            Sudah banyak kali dilaporkan tentang kegiatan negatif yang dilakukan oleh golongan muda kini yang kadang-kadang amat merunsingkan. Pemimpin-pemimpin muda yang berkecimpung dalam politik seolah-olah berfahaman bahawa keterlibatan dalam politik merupakan jalan singkat untuk mengejar kekayaan dan kesenangan. Tidak dapat dinafikan bahawa ‘falsafah’ sedemikian adalah merupakan ‘ajaran dan falsafah’ dari pemimpin tua juga. Namun jikalau keadaan demikian berterusan, apakah kegiatan rasuah sedemikian dapat dibendung?

            Sepatutnya para pemimpin muda bertekad untuk berjuang memerangi rasuah secara habis-habisan. Cukuplah apa yang berlaku dibawah pentadbiran BN yang lepas yang menyebabkan negara hmpir-hampir bankrup disebabkan para pemimpin negara yang rasuah. Jikalau ada pun para pemimpin yang tidak rasuah (kononnya!) mereka tidak pula cuba menghalang kegiatan sedemikian dilakukan oleh rakan-rakan mereka yang lain. Dalam hal sebeginilah para pemimpin muda (pemuda dan pemudinya) harus bertekad untuk ‘memerangi’ merebaknya gejala rasuah dikalangan pemimpin.

            Aku masih teringat tekad perjuangan anak-anak muda zaman awal 1970an khususnya yang berada di pusat-pusat pengajian tinggi pada ketika itu – Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, ITM. Senang cakap zaman anak muda pimpinan Anwar Ibrahim. Perjuangan anak muda khsusnya para pelajar universiti ketika itu ialah sebagai ‘the conscience of the majoriti’. Perjuangan kita pada ketika itu ialah untuk membangunkan masyarakat luar bandar yang amat jauh tercicir dari pembangunan yang sepatutnya.

            Anak mahasiswa mengadakan kempen kesedaran dengan menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air dan cuba melakukan sesuatu dalam apa segi sekali pun yang matlamatnya untuk memajukan orang Melayu khsusnya yang jauh ketinggalan. Bukan sahaja para mahsiswa yang berkecimpung ‘terjun’ bersama mahasiswa lain ke kampung-kampung, malah yang sudah berjawatan tinggi juga sama-sama melibatkan diri. Tentulah tidak lupakan sumbangan tokoh-tokoh seperti Tan Sri Ishak Tadin, Dato Hassan Ibrahim, Tan Sri Ani Arop, Tan Sri Arshad Ayub ( dan ramai lagi ) yang sama-sama memberikan semangat kepada anak muda mahsiswa pada ketika itu.

            Pemimpin muda kini mungkin pernah tahu dan kenal siapa dia tokoh-tokoh yang disebutkan di atas. Mungkin juga anak-anak muda hanya mengenali Anwar Ibrahim  selepas tahu 1999 tetapi tidak mengenali perjuangan Anwar Ibrahim sebelum itu. Seingat aku belum ada lagi anak muda Malaysia yang boleh menandingi perjuangan dan pencapaian anak muda Malaysia yang bernama Anwar Ibrahim. Pencapaian beliau bukan sahaja di dalam negeri tetapi juga di peringkat antara bangsa.

            Oleh itu sudah sampai masanya anak muda kini terutamanya pemimpin muda ( yang berubun-ubun masih lembut)  mengkaji sejarah perjuangan tokoh-tokoh lama supaya dapat dijadikan iktibar dan pasak perjuangan untuk masa hadapan. Perjuangan pemimpin lama tidak langsung mengenal letih lelah dan jauh sekali bersifat ‘mata duitan’. Perjuangan mereka semata-mata untuk memajukan bangsa Melayu (yang kebetulan pada ketika itu amat jauh ketinggalan berbanding dengan bangsa asing) terutama yang tinggal di luar bandar.

            Golongan muda (yang berubun-ubun lembut) harus sentiasa ‘menoleh ke belakang’ dan mempelajari sedikit sebanyak petua golongan tua agar tidak tergelincir. Slogan ‘Pemuada harapan bangsa dan pemudi tiang negara itu’ amat sesuai dipakai sepanjang zaman’.


abuhassanadam
12 November 2019

1 comment:

  1. If you're attempting to burn fat then you have to start following this brand new custom keto plan.

    To create this service, licenced nutritionists, fitness couches, and top chefs joined together to develop keto meal plans that are useful, painless, price-efficient, and enjoyable.

    From their launch in 2019, 100's of clients have already transformed their figure and well-being with the benefits a proper keto plan can offer.

    Speaking of benefits; clicking this link, you'll discover 8 scientifically-tested ones offered by the keto plan.

    ReplyDelete