Sunday, December 31, 2017


DR. MAHATHIR BERJUANG MENYELAMATKAN RAKYAT MALAYSIA

            Kecuali ahli UMNO yang amat kuat kepentingan ‘dedaknya’ dan beberapa ‘kerat’ penyokonh parti PAS, hampir seluruh rakyat Malaysia kini sudah semacam ‘sebulat suara’ menyokong kepimpinan Dr Mahahthir untuk menggantikan kerajaan yang ada. Mngkin ada yang mempersoalkan andaian yang diketengahkan ini, tetapi pada hakikatnya rakyat Malaysia kini memang sudah meluat dan betul-betul meluat dengan kepimpinan kerajaan yang ada.

            Dan apabila Tun Dr. Mahathir sanggup memohon maaf dalam ucapanya semalam dan mengatakan beliau hanya sebagai manusia biasa yang membuat kesilapan sudah cukup untuk mengubati hati siapa saja yang terluka sebelum ini demi untuk mencapai matlamat besar. YB Nurul Izzah telah menerima permohonan maaf Dr Mahathir demi untuk penerusan perjuangan menamatkan pemerintahan yang penuh dengan ketidakadilan di Malaysia kini.

            Bagi sesiapa yang melalui dan mengikuti perkembangan politik Dr. Mahathir pastinya terkejut dan hairan dengan kesanggupan Dr. Mahathir meminta maaf kepada rakyat Malaysia. Tidak mudah bagi seorang yang bernama Dr. Mahahtir untuk meluahkan perasaan sedemikian melainkan didorong oleh suatu hasrat yang begitu besar yang terpendam. Beliau sanggup berbuat demikian disebabkan hasratnya untuk menghilangkan sebarang keraguan rakyat Malaysia terhadap dirinya dan lantas bersiap sedia secara habis-habisan berjuang untuk membebaskan negara ini dari genggaman dan cengkaman golongan ‘penyamun’.

            Jikalau sebelum ini ramai juga golongan pencen yang mempersoalkan mengapa Dr. Mahathir sanggup bertungkus lumus menceburkan dirinya semula dalam politik, maka kini golongan ini sudah mula sedar tentang pengorbanan yang bukan kecil yang dilakukan oleh ‘orang tua’ ini kepada bangsa dan negara. Seolah-olah tidak ada lagi tokoh yang boleh diharapkan untuk memulihkan keadaan negara kini. Hendak diharapkan kepada Saudara Anwar Ibrahim, sudah awal-awal lagi ‘direhatkan’ dan semacam hilang semangat rakyat Malaysia kesan daripada pemenjaraan Saudara Anwar Ibrahim.

            Dengan sebab itulah kebangkitan gelombang baru yang dipimpin oleh Dr. mahathir ini amat membimbangkan kepimpinan UMNO kini. Amat jelas kelihatan kepimpinan negara dalam keadaan ‘kacau-kena’ disebabkan gelombang yang luar biasa ibarat sunami besar yang akan merobah senario politik negara. Gelombang baru ini juga pastinya akan merobah persepsi sebahagian besar ahli UMNO yang selama ini dikelirukan oleh ‘dedak’ yang bertaburan dan mula sedar tentang pentingnya mereka juga perlu ‘pindah’ untuk menyokong kepimpinan Dr. mahathir demi menyelamatkan negara yang tercinta ini.

            Mungkin selepas ini rakyat Malaysia akan menyalahkan ahli PAS (dan bukannya UMNO) yang menyebabkan negara terjadi sebegini. Sekiranya kepimpinan PAS khususnya TG Haji Hadi terus menerus bersama dengan Pakatan Rakyat untuk mengharungi PRU14, pastinya Pakatan Rakyat tidak mengalami laluan agak sukar untuk memenangi PRU14. Kini seolah-olah PAS menjadi ‘pengganggu’ dalam perjalanan Pakatan Harapan menuju ke Puterajaya. Namun laluan sedemikian tidaklah sesukar mana memandangkan berlakunya penghijrahan ahli PAS dalam skala yang besar terutamanya di kawasan FELDA dan di kawasan lain yang sudah mula sedar tentang laluan PAS yang entah ke mana.

            Keasan langsung atau tidak langsung daripada mesyuarat agung Bersatu yang diadakan semalam ialah perletakan jawatan YB Mahfuz Omar dalam PAS dan seterusnya keluar dari parti berkenaan yang didokongnya selama 34 tahun. Ini menunjukkan pertanda yang PAS semakin hari semakin hilang kredibilitinya. Terdengar juga khabar-khabar angin yang mengatakan ada (mungkin ramai) ADUN Pas Selangor yang akal meninggalkan parti berkenaan walaupun dinafikan pihak pengurusan PAS. Namun bak kata peribahasa Melayu, ‘ jikalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang’

            Rakyat pastinya begitu yakin dengan kepimpinan yang diterajui oleh Dr. mahathir ini berasaskan kepimpinan negara yang diterajuinya selama 23 tahun. Terlalu banyak sumbangan yang telah diberikannya sehinggakan bangsa Malaysia dipandang begitu tinggi oleh masyarakat dunia berbanding dengan keadaan kini dimana bangsa kita sudah hilang kehormatannya di mata orang asing. Keadaan sebeginilah yang harus diperbetulkan dan diharap dapat dipulihkan kembali.

            Keyakinan rakyat bertambah terhadap kepimpinan Pakatan Harapan melihatkan kepada matlamat dan hasrat Pakatan Harapan sebagaimana yang digariskan dalam mesyuarat semalam. Anatara matlamat dan hasrat yang juga merupakan amanat Dr. Mahathir adalah:

·      Jatuhkan kerajaan BN
·      Bebaskan rakyat daripada cukai tidak berasas dan cukai-cukai baru
·      Pulihkan semula khidmat kesihatan, pelajaran dan sosial, serta tingkatkan peluang pekerjaan dan perniagaan
·      Pulih nilai mata wang ringgit
·      Pengasingan kuasa antara pembuat undang-undang, pelaksana dan penghakiman dikembalikan. (Sinar Harian 31 Disember 2017)

            Melihatkan kepada keadaan demikian jelas menampakkan bahawa Pakatan Harapan bersedia untuk mengambil alih kepimpinan negara apatah lagi sudah bersedia dengan barisan kabinet walaupun belum diumumkan secara rasmi.

abuhassanadam
31 Disember 2017


Saturday, December 30, 2017

ANJAKAN PARADIGMA – SEPATUTNYA BERLAKU  DALAM PAS DAN UMNO

            Anjakan paradigma sebenarnya terjemahan daripada ‘paradigm shift’ yang dipopularkan oleh seorang ahli falsafah dari Amerika bernama Thomas Kuhn melalui bukunya, ‘ The Structure of Scientific Revolution’ 1962. Sebenarnya ‘anajakan paradigma’ ialah mengenai tindakan membuat perubahan setelah didapati cara dan keadaan yang ada sudah tidak sesuai dan lantas difikirkan perlu untuk melakukan perubahan demi menambah baik keadaan yang ada.

            Dirasakan konsep sedemikian amat sesuai dirujukkan kepada keadaan politik yang ada di Malaysia kini khususnya yang melibatkan dua parti yang beberapa tahun yang lampau dianggap ‘gah’. UMNO dan PAS. Sememanggnya parti ini merupakan parti yang gah dan hebat memperjuangkan idealogi yang jelas dan dapat senang diikuti oleh pengikut. Namun begitu dengan perkembangan zaman dirasakan kedua-dua parti ini sudah mula agak menyimpang daripada perjuangan asal.

            Tentulah ruang yang terhad ini bukan untuk memperincikan setiap aspek tentang tidak sesuai dan relevannya parti berkenaan dengan keadaan kini samada di Malaysia atau pun di peringkat global. Yang jelasnya ialah ‘penghijrahan’ beramai-ramai pemimpin-pemimpin PAS keluar parti berkenaan pada suatu ketika dulu menunjukkan bahawa mereka sudah tidak secocok lagi dengan parti yang sama-sama mereka bena dan  sudah banyak terpesong dari matlamat dan perjuangan asal.

            Sepatutnya peristiwa ‘penghijrahan’ memberikan kesedaran kepada yang masih tinggal dan yang masih menyokong parti berkenaan. Disitulah terletaknya kehairanan kebanyakan rakyat Malaysia melihatkan telatah ahli PAS atau UMNO yang masih tidak mahu berubah. Apakah mereka tidak nampak kepincangan yang sedang berlaku dalam kedua-dua parti berkenaan. Apakah mereka tidak dapat menilai tentang perbuatan dan tindakan ‘dulu lain sekarang lain’ yang dilakukan oleh kepimpinan yang ada sekarang.

            Untuk terus menjadi renungan kita khususnya ahli PAS yang masih berpegang teguh kepada perjuangan PAS elok kita lihat tentang apa yang dikatakan ‘dulu lain sekarang lain’itu.  Elok kita lihat amanat yang telah diberikan oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang yang diberikannya bertarikh 7 April 1981. Katanya,

            “Saudara-saudara sekalian, percayalah kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang BN, bukan kerana nama BN.Kita menentang dia kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka, oleh kerana itulah kita berjuang melawan mereka. Percayalah saudara-saudara, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad dan kerana kita berjuang dengan puak-puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini, mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam. Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Kristian, kita tidak payah masuk Hindu, kita tidak payah masuk Budha, tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku”

            Apakah TG Haji Hadi masih konsisten dengan perjuangannya. Dan seolah-olah ramai yang sudah tidak tahu ke mana arah yang hendak dituju oleh PAS  apatah lagi apabila melihatkan keakraban yang terjalin antara TG Haji Hadi dengan DS Najib.

            Kemudian timbul pula isu yang mengatakan bahawa bekas Timbalan Presiden PAS Tuan Haji Nasharudin Mat Isa telah menerima wang sebanyak RM90 juta daripada IMDB yang dicetuskan oleh YB Rafizi Ramli ( Free Malaysia Today  1April 2017). Dan tuduhan yang dibuat oleh YB Rafizi itu adalah kenyataan bersumpah yang kesannya amat buruk sekiranya didapati beliau berbohong dengan tuduhannya itu.

            Namun sehingga kini belum ada lagi tindakan yang konkrit daripada Tuan Haji Nasharudin untuk memfailkan saman terhadap YB Rafizi. (Mungkin aku terlepas pandang dan tidak melihat tindakan yang telah diambil. Mungkin..) Justeru sekiranya tidak ada tindakan untuk mengheret YB Rafizi Ramli ke mahkamah, memberikan makna bahawa apa yang dikatakan oleh YB Rafizi itu adalah betul belaka. Lantas jikalau dalam hal sebegini pun ahli PAS  masih yakin dan percaya, aku tidak tahu matlamat akhir dan ke mana  ‘tersungkurnya’ bangsa Malayu yang dikatakan oleh Hang Tuah ‘Takkan Melayu hilang d dunia’ ini.

            Keadaan yang berlaku kini di negara kita yang tercinta ini hampir serupa dengan keadaan yang dialami di Eropah ada Abad ke 16. Selalu disebut zaman Reformation. Munculnya gerakan Reformation di sana pada ketika itu adalah berpunca daripada sikap penguasa gereja yang melakukan tindakan ‘cakap tak serupa bikin’. Penguasa gereja pada ketika itu sudah tidak mengamalkan apa yang sepatutnya diamalkan oleh mereka dan amat jauh bertentangan dengan amalan penguasa gereja. Mereka mengamalkan cara hidup seperti golongan bangsawan dan langsung tidak mengamalkan apa yang sepatutnya diamalkan oleh penganut Kristian.

            Yang paling ketara sekali ialah kegiatan penjualan surat “Indulgence’, yang merupakan ‘tiket’ untuk seseorang untuk menebus dosa dan memberi laluan untuk ke syurga. Pihak penguasa gerjea telah memberikan kelonggaran kepada pesalah-pesalah yang membuat dosa di dunia untuk menebus dosanya dengan membeli surat ‘indulgence’ daripada pihak gereja. Dengan memiliki surat ‘indulgence’ berkenaan segala doasa akan diampunkan.

            Atas kesedaran dan penyelwengan yang sedemikianlah rakyat Eropah pada ketika itu sedar tentang penipuan yang dilakukan yang menyebabkan mereka menentang habis-habisan kegiatan sedemikian, yang dipimpin oleh Martin Luther. Kegiatan sedemikianlah yang disebut sebagai gerakan Reformation. Walaupun bukan merupakan gerakan bersenjata tetapi apa yang dilakukan ialah satu perubahan yang cukup besar, suatu anjakan paradigma dikalangan rakyat Eropah pada ketia itu.

            Apakah rakyat Malaysia belum sedar dan tidak peka dengan segala kegiatan rasuah dan penyelwengan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu kini. Harus dimulakan juga anjakan paradigma itu sebelum berlangsungnya PRU14 nanti.

abuhassanadam
30 Disember 2017



Friday, December 29, 2017

GANDINGAN DR MAHATHIR WAN AZIZAH – JELMAAN ‘REALPOLITIK’ YANG SEBENAR

            Otto Eduard von Bismarck dan Count Camilio Benson di Cavour menggunakan idea ‘Ralpolitik’ untuk menyatukan bangsa. Bismarck menggunakan ‘realipoiltik’ untuk menyatukan bangsa Jerman sedangkan  Di Cavour seorang pemimpin Itali juga menggunakannya untuk penyatuan bangsa Itali.

            Amalan ini menggunakan slogan ‘ The End Justifies The Means’ yang membawa maksud bahawa apa saja cara digunakan untuk mencapai sesuatu matlamat. Tidak kiralah melalui tektik kotor seperti menipu dan memperdayakan lawan. Pemimpin-pemimpin yang disebutkan tadi telah menggunakan tindakan tipu hela seperti pemalsuan dokumen, provokasi, ugutan, ancaman, kekerasa senjata dan lain-lain cara untuk mencapai matlamat yang ingin dituju ia ltu penyatuan bangsa. Penyatuan bangsa Jerman oleh Bismarck dan penyatuan bangsa Itali oleh Cavour.

            Pengamalan ‘Realpolitik’ yang sebenarnya sedang berjalan di Malaysia kini. Sekiranya betullah berita yang mengatakan bahawa Pakatan Harapan sudah bersetuju untuk menamakan Dr Mahathir dan Dr. Wan Azizah sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya 14 nanti, maka ini merupakan pengamalan ideologi ‘Realpolitik’ secara praktikal.

            Tidak terfikir oleh kebanyakan rakyat Malaysia yang Dr Wan Azizah sanggup berkerjasama dengan Dr Mahathir yang merupakan seteru dan musuh lama. Tentu tidak terfikir oleh mereka bahawa Dr Wan Azizah sanggup memaafkan Dr Mahathir atas tindakannya ke atas Saudara Anwar Ibrahim. Dan yang anihnya lagi ialah kesanggupan Saudara Anwar Ibrahim untuk menyetujui keputusan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Dr. Wan Azizah sebagai Timbalannya.

            Ini merupakan satu tindakan luar biasa yang dilakukan oleh kedua-dua orang pemimpin besar. Agaknya inilah yang dikatakan ‘pemimpin tulin’ yang sentiasa mementingkan kesejahteraan rakyat dan seolah-olah membelakangkan kepentingan diri sendiri. Ini juga merupakan satu tindakan ‘watershed’ dalam sejarah Malaysia. Tindakan sedemikian hanya boleh dilakukan oleh pemimpin yang betul-betul faham dengan kehendak rakyat.

            Rakyat Malaysia hendaknya jangan gusar dengan perkembangan ini. Tidak banyak pemimpin dunia yang sanggup berbuat demikian. Mungkin jikalau ada pun tokoh dunia yang boleh disamakan dengan sikap Dr Mahathir dan Saudara Anwar Ibrahim ialah apa yang dilakukan oleh De Klerck pemerintah Afrika Selatan terhadap Nelson Mandela pada suatu ketika dahulu. Ragam peristiwanya hampir serupa. Seorang seteru yang sanggup melupakan peristiwa lampau demi untuk kesejahteraan rakyat Afrika.

            Peristiwa sejarah yang berlaku di Malaysia kini mengingatkan kita kepada kisah lampau yang berlaku tiga puluh lima  tahun yang lalu di mana Dr Mahathir (Perdana Menteri Malaysia) pada ketika itu bersungguh benar untuk memujuk Saudara Anwar Ibrahim untuk bersamanya menyertai UMNO. Rakyat Malayisa pada ketika itu meramalkan bahawa usaha sedemikian hapir mustahil bagi Dr Mahathir melakukan memandangkan Saudara Anwar amat condong kepada poltik yang berasaskan Islam ( bukan UMNO).

            Namun Dr Mahathir berjaya memujuk Saudara Anwar. Dan bagi Saudara Anwar Ibrahim pula tentulah amat berat untuk bersekongkol dengan parti yang bukan pilihannya (pada ketika itu). Tentulah banyak ‘tarik tali ‘ yang perlu dilakukan pada ketika itu. Ramai juga rakan-rakan dalam ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) yang merasakan bahawa Saudara Anwar tidak wajar bersama dengan UMNO pada pada ketika itu walaupun berbagai janji  telah dijanjikan, khususnya yang berkaitan dengan usaha memertabatkan bangsa Melayu.

            Memang ramai yang yakin bahawa Saudara Anwar pastinya tidak dapat menerima pelawaan Dr Mahathir itu berdasarkan penglibatan beliau yang amat jauh menyimpang dari perjuangan UMNO pada ketika. Namun atas dasar perjuangan yang dutamakan oleh Dr. Mahathir pada ketika itu maka Saudara Anwar telah menerima ‘jemputan’ demikian dan terus diletakkan bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1982 di kawasan Permatang Pauh. Dengan kemenangan selepas itu beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

            Yang cuba dijelaskan disini ialah keadaan yang luar biasa yang mungkin wujud dalam percaturan politik. Ramai yang tidak terfikir pada ketika itu yang Saudara Anwar boleh ‘termakan’ umpanan Dr. Mahathir. Namun rakyat biasa hanya melihat percaturan itu dari aspek luaran semata-mata dan tidak faham apa yang tersirat dalam rundingan mereka berdua. Dan serupa jugalah dengan keadaan yang wujud kini dimana amat sukar rakyat untuk memahami keadaan yang berlaku kini ia itu apabila memikirkan tentang dua tokoh yang ‘bermusuhan’ boleh berbaik-baik dan bersatu semula.

            Hakikat ini wujud tidak lain dan dan tidak bukan adalah disebabakan hasrat untuk menyelamatkan bangsa dan negara Malaysia dari terus ‘diceroboh’ oleh pemimpin yang tidak bertanggung jawab sebagaimana yang sentiasa disebut oleh Dr Mahathir sebagai ‘penyangak’ dan ‘penyamun’. Atas dasar itulah kedua-dua tokoh ini sanggup melupakan apa sahaja ‘peseteruan’ dan ‘permusuhan’ demi untuk menyelamatkan bangsa yang disayangi ini.

            Rakyat Malaysia kena yakin bahawa tidak mudah bagi kedua orang pemimpin ini melakukan pengorbanan sedemikian jikalau bukan disebabkan hasrat untuk menyelamatkan bangsa dan negara. Dan kesediaan mereka untuk melupakan segala persengketaan mereka seharusnya dibalas semula oleh rakyat dengan menyokong apa yang diperjuangkan.

abuhassanadam
29 Disember 2017