Thursday, December 14, 2017

ANTARA LAS VEGAS DAN BUKIT CHANDAN

            Entah macam mana pada malam yang hening jernih ini fikiran aku menerpa kepada suatu peristiwa yang pernah berlaku dan yang pernah aku alami sendiri pada penghujung tahun-tahun 1960an. Episod sejarah ini jarang diperkatakan. Dan bagi aku elok jugalah peristiwa sebegini dipaparkan untuk tatapan generasi kini supaya mereka tahu bahawa apa yang pernah berlaku dan tentulah menghairankan juga bagaimana ia boleh berlaku.

            Persitiwa yang aku paparkan nanti pastinya tidak mungkin akan berlaku lagi. Aku yakin tidak akan berlaku lagi. Sekurang-kurangnya dalam masa terdekat. Yang aku maksudkan ialah pesta hiburan di Bukit Chandan. Pesta berkenaan diadakan diperkarangan Istana Iskandaraiah dalam zaman pemerintahan Sultan Idris Syah. Ia bukan calang-calang pesta dan pastinya ‘mengalahkan’ sebarang pesta yang diadakan pada ketika itu, walaupun dimana saja diadakan di negara ini. Pasti ‘tewas’.

            Mungkinlah agaknya Sultan yang memerintah pada ketika itu mahu menyediakan hiburan sepuas-puasnya kepada rakyat negeri Perak pada ketika itu, pada hari merayakan keputeraan baginda pada bulan September. Mungkin. Jikalau aku tidak silap pesta hiburan dan perjudian diadakan selama satu bulan di perkarangan Istana Iskandariah Bukit Chandan Kuala kangsar.

            Dalam masa satu bulan itu rakyat negeri Perak betul-betul berhibur dan berpesta. Bersantai kata orang sekarang. Pada setiap malam perkarangan Istana Iskandariah menjadi tumpuan. Maka berpusu-pusulah rakyat negeri ini, terutamanya rakyat yang berada didaerah Kuala Kangsar. Dari Sayung, Manong, Teroso, Padang Rengas, Kota Lama, Cheh, Kati, Sauk, Talang berduyun-duyun menuju ke Istana Iskandariah.Untuk memudahkan orang dipersikataran Padang Rengas mengunjungi pesta berkenaan, syarikat bas ‘Red &Yellow’ berfungsi sampai tengah malam untuk memberi kemudahan penduduk Padang Assam, Kuala Dal, Talang mengunjungi pesta berkenaan.

            Tentulah para pembaca rencana ini tidak sabar-sabar lagi ingin tahu apakah yang hebat dan istemewanya pesta di Istana Iskandariah itu. Bagi aku memang hebat dan sememangya luar biasa. Yang boleh menandingi pesta berkenaan kemungkinannya pesta di Las Vegas di Amerika Syarikat yang dapat menandinginya. Mungkin ramai yang tidak yakin dan percaya apabila dikatakan demikian. Hanya yang berada pada waktu itu yang dapat mengiakan apa yang aku katakan itu.

            Telah dikatakan pada awal rencana ini bahawa Sultan Idris seolah-olah mahu menyediakan hiburan sepuas-puasnya kepada rakyat negeri Perak. Apa tidaknya. Sebut saja jenis hiburan. Semuanya ada. Peminat Kugiran pop ye ye disediakan satu pentas untuk peminat berkenaan dengan penyanyi jemputan yang didatangkan dari Singapura. Untuk peminat lagu-lagu ghazal disediakan pula satu pentas untuk Ghazal Pati Kepala Batas. Untuk anak muda yang ketagih nak berjoget disediakan juga satu pentas joget moden yang mana peserta yang ingin berjoget boleh naik ke pentas secara percuma. Boleh berjoget selagi mahu.

            Satu hal yang unik yang dianggap amat luar biasa ialah bentuk perjudian yang diadakan. Mungkin ramai yang tidak percaya dan yakin apabila aku katakan bahawa bentuk perjudian yang diadakan boleh menyamai apa yang ada di Las Vegas . Ini cerita betul. Walaupun kerajaan Malaysia melarang perjudian, namun mungkin disebabkan diadakan di persekitaran istana maka dibenarkan perjudian dijalankan.

            Dan hampir keseluruhan rakyat negeri Perak yang mengunjungi pesta berkenaan pada ketika itu terlibat dalam perjudian. Dari sekecil-kecil (10 sen) sehinggalah mencecah ribuan ringgit. Dan perjudian sedemikian dijalankan secara terang-terangan. Dalam hal perjudian mungkin jugalah pengunjung-pengunjung bukan sahaja rakyat negeri Perak tetapi mungkin dari luar negara juga memandangkan penglibatan perjudian dalam skala yang besar. Mungkin.

            Satu perkara yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat persekitaran ialah pesta sedemikian telah menyediakan peluang berniaga kepada mereka khususnya menjual barang makanan. Penglibatan sedemikian boleh memberikan pendapatan yang lumayan selama sebulan.

            Pada tahun 1986, aku berpeluang mengunjung Las Vegas di Amerika Syarikat dan antara tempat yang aku lawati tentulah tempat perjudian (bukan untuk bejudi). Ketika berada disitu teringatlah aku mengenai kawasan perjudian yang diadakan di kawasan Istana Iskandariah Bukit Chandan sebagaimana  yang aku jelaskan sebentar tadi. Sememangnya tidak banyak perbezaan. Tentulah kawasan perjudian di Bukit Chandan diadakan di luar bangunan sedangkan di Las vegas diadakan di dalam bangunan hotel yang cantik. Pada ketika perjudian di Istana Iskandariah diadakan, berkemungkinan juga ada para penjudi dari Las Vegas yang mengunjungi kawasan perjudian Istana Iskandariah. Mungkin.

            Keadaan pesta sedemikian sudah tidak diadakan lagi di perkaranagan Istana iskandariah. Malah dalam zaman Sultan Azlan Syah tidak pula kedengaran tentang adanya pesta sedemikian di jalankan, apatah lagi zaman pemerintahan Sultan Narin.

            Bukan hasrat aku untuk memberikan komen tentang baik buruknya pesta yang diadakan itu. Yang ingin disampaikan ialah tentang adanya peristiwa sedemikian diadakan di perkarangan istana Iskandaraiah Kuala Kangsar pada suatu waktu penghujung tahun 1960an. Jikalau aku tak silap pada tahun 1970.

            Hanya tinggal kenangan kata penyanyi R. Azmi.

abuhassanadam
14 Disember 2017




















































No comments:

Post a Comment