PPD KUANTAN DAN UMNO
PAHANG SUDAH BERSEDIA
Memang sudah lama aku tak menulis.
Kekok rasanya. Namun begitu aku terpanggil untuk menyatakan sesuatu, memberikan
pandangan (tidak sebernas mana pun) mengenai isu yang agak hangat diperkatakan
kini terutama ketika Persidangan Agung UMNO sedang rancank berjalan. Mengenai
arahan PPD Kuantan yang mengarahkan pelajar-pelajar Islam mengadakan solat
berjemaah lepas waktu sekolah yakni sebelum pulang ke rumah.
Sebenarnya aku tak berapa
berani nak mencampuri hal sebegini, terutama yang berkait rapat dengan hal-hal
agama. Terlampau sensitif. Cuma aku ingin menyentuh sedikit tentang hasrat
Pegawai PPD mengadakan solat berjemaah sebagaimana yang dilaporkan oleh
Malaysiakini bertarikh 3 Disember 2017.
Razali was quoted by Bernama as saying that he targeted 10
percent of male Muslim students in the district to be able to lead the doa
selamat and tahlil prayers, and become imams someday’
Bila aku baca kenyataan PPD berkenaan teringat pula aku
tentang hasrat penjajah British pada zaman penjajahan dulu yang mana tujuan
British menubuhkan sekolah Inggeris supaya dapat melatih anak Melayu menjadi
petani yang lebih baik daripada bapa mereka. Dan kesannya memang tidak ramai
anak Melayu yang terpelajar pada ketika itu.
Oleh itu
apabila terbaca hasrat pegawai PPD yang mengharapkan 10 % daripada pelajar
Islam di daerah Kuantan supaya dapat membaca doa selamat dan memimpin upacara
Tahlil dan seterusnya menjadi imam solat pada suatu ketika nanti menyebabkan
aku agak termenung juga mengenangkan hasrat yang hendak dicapai oleh PPD
berkenaan.
Mungkinlah
pada pandangan UMNO Pahang apa yang disarankan oleh Pegawai PPD Kuantan itu
suatu rancangan yang begitu bernas yang patut diteruskan dan jangan sekali-kali
dibagkang. Namun apakah ‘membaca doa selamat’, ‘memimpin tahlil’ dan ‘menjadi
imam’ merupakan keutamaan pelajar-pelajar di sekolah menengah kerajaan.
Bukankah matlamat mereka dihantar oleh ibu bapa ke sekolah-sekolah untuk
menguasai seberapa banyak ilmu dan lulus dengan cemerlang supaya dapat
menguasai seberapa banyak kemahiran bagi membolehkan mereka ‘bersepak terajang’
di arena yang lebih luas. Arena global! ( yang selalu disebut-sebut oleh ahli
UMNO)
Aku tidak
menafikan tentang kepentingan yang disuarakan oleh pegawai PPD sebagai satu
hasrat yang murni. Apa yang dihasratkan itu adalah penting tetapi bukan
keutamaan di sekolah-sekolah kerajaan. Mungkin hasrat sedemikian sudah dipenuhi
oleh sekolah-sekolah tahfiz dan sekolah agama
lain yang tumbuh seperti cendawan kini. Rasanya lebih sesuai sekiranya
pihak PPD Kuantan ‘menggalakkan’
pelajar-pelajar bersembahayang berjemaah daripada ‘mengarahkan’ (mungkin aku tersilap) pelajar-pelajar berbuat
demikian.
Pertengahan
tahun-tahun 1990an teringat pula aku tentang kegiatan Sekolah Menengah Sains
Kuala Selangor yang menumpukan perhatian kepada sembahayang berjemaah oleh
pelajar-pelajarnya. Sebagaimana yang diceritakan oleh Pengetuanya pada ketika
itu ia itu Tuan Haji Ariffin bin Abdul Rahman bahawa sepanjang masa beliau
menjadi pengetua di sekolah berkenaan, tidak sekali pun beliau gagal
mengimamkan sembahayang subuh bersama pelajar-pelajarnya (sekiranya beliau
tidak diarahkan bertugas diluar). Namun begitu penekanan beliau tidak pula
untuk melatih anak-anak muridnya menjadi imam atau mengetuai pembacaan tahlil
atau pun membaca doa.
Setahu aku
sepanjang beliau berada di sekolah berkenaan, beliau telah berjaya menempa
kecemerlangan pelajar-pelajar dalam bidang akademik termasuk juga matapelajaran
agama Islam dalam Peperiksaan PMR, SPM. Maknanya penekanan beliau ialah kepada
pendidikan/pembelajaran akademik dismping mengukuhkan juga pemahaman dan
pengamalan tentang agama Islam.
Mungkin
agaknya PPD Kuantan telah mengkaji sehalus-halusnya tentang kesan buruk baiknya
hasrat yang hendak dilaksanakan itu. Jikalau tidak begitu masakan pihak UMNO
Pahang telah menyokong hasrat dan cadangan sedemikian. Mungkin telah dibuat
kajian terperinci agaknya tentang berbagai masalah yang mungkin berbangkit.
Tentu agaknya apa yang dihasrat oleh PPD itu sudah dipersetujui oleh ibu bapa
pelajar dan para ibu bapa telah memberikan persetujuan mereka secara bertulis.
Tentulah juga agaknya pihak PPD dan Pengetua sudah bersedia untuk menghadapi
kemungkinan sekiranya ramai pelajar yang tidak mematuhi arahan pihak PPD
berkenaan.
Isu yang
berkaitan dengan kegiatan keagamaan sememangnya sensitif dikalangan orang
Melayu beragama Islam. Isu sebegini harus ditangani dengan cermat dan berhemah.
Pandangan sekali imbas tidak memadai untuk membuat sesuatu keputusan. Kadang-kadang
ia memerlukan maklumat yang cukup lengkap bagi memantapkan sesuatu keputusan.
Yang lebih penting lagi ialah kesan jangka panjang ekoran daripada sesuatu
keputusan yang dibaik. Kadang-kadang setiap keputusan nampak memberikan kesan
positif tetapi akhirnya kecundang.
Tentulah
agaknya pihak PPD dan UMNO Pahang sudah cukup bersedia untuk melakukan hasrat
sedemikian.
abuhassanadam
3 Disember 2017
No comments:
Post a Comment