Friday, December 29, 2017

GANDINGAN DR MAHATHIR WAN AZIZAH – JELMAAN ‘REALPOLITIK’ YANG SEBENAR

            Otto Eduard von Bismarck dan Count Camilio Benson di Cavour menggunakan idea ‘Ralpolitik’ untuk menyatukan bangsa. Bismarck menggunakan ‘realipoiltik’ untuk menyatukan bangsa Jerman sedangkan  Di Cavour seorang pemimpin Itali juga menggunakannya untuk penyatuan bangsa Itali.

            Amalan ini menggunakan slogan ‘ The End Justifies The Means’ yang membawa maksud bahawa apa saja cara digunakan untuk mencapai sesuatu matlamat. Tidak kiralah melalui tektik kotor seperti menipu dan memperdayakan lawan. Pemimpin-pemimpin yang disebutkan tadi telah menggunakan tindakan tipu hela seperti pemalsuan dokumen, provokasi, ugutan, ancaman, kekerasa senjata dan lain-lain cara untuk mencapai matlamat yang ingin dituju ia ltu penyatuan bangsa. Penyatuan bangsa Jerman oleh Bismarck dan penyatuan bangsa Itali oleh Cavour.

            Pengamalan ‘Realpolitik’ yang sebenarnya sedang berjalan di Malaysia kini. Sekiranya betullah berita yang mengatakan bahawa Pakatan Harapan sudah bersetuju untuk menamakan Dr Mahathir dan Dr. Wan Azizah sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya 14 nanti, maka ini merupakan pengamalan ideologi ‘Realpolitik’ secara praktikal.

            Tidak terfikir oleh kebanyakan rakyat Malaysia yang Dr Wan Azizah sanggup berkerjasama dengan Dr Mahathir yang merupakan seteru dan musuh lama. Tentu tidak terfikir oleh mereka bahawa Dr Wan Azizah sanggup memaafkan Dr Mahathir atas tindakannya ke atas Saudara Anwar Ibrahim. Dan yang anihnya lagi ialah kesanggupan Saudara Anwar Ibrahim untuk menyetujui keputusan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Dr. Wan Azizah sebagai Timbalannya.

            Ini merupakan satu tindakan luar biasa yang dilakukan oleh kedua-dua orang pemimpin besar. Agaknya inilah yang dikatakan ‘pemimpin tulin’ yang sentiasa mementingkan kesejahteraan rakyat dan seolah-olah membelakangkan kepentingan diri sendiri. Ini juga merupakan satu tindakan ‘watershed’ dalam sejarah Malaysia. Tindakan sedemikian hanya boleh dilakukan oleh pemimpin yang betul-betul faham dengan kehendak rakyat.

            Rakyat Malaysia hendaknya jangan gusar dengan perkembangan ini. Tidak banyak pemimpin dunia yang sanggup berbuat demikian. Mungkin jikalau ada pun tokoh dunia yang boleh disamakan dengan sikap Dr Mahathir dan Saudara Anwar Ibrahim ialah apa yang dilakukan oleh De Klerck pemerintah Afrika Selatan terhadap Nelson Mandela pada suatu ketika dahulu. Ragam peristiwanya hampir serupa. Seorang seteru yang sanggup melupakan peristiwa lampau demi untuk kesejahteraan rakyat Afrika.

            Peristiwa sejarah yang berlaku di Malaysia kini mengingatkan kita kepada kisah lampau yang berlaku tiga puluh lima  tahun yang lalu di mana Dr Mahathir (Perdana Menteri Malaysia) pada ketika itu bersungguh benar untuk memujuk Saudara Anwar Ibrahim untuk bersamanya menyertai UMNO. Rakyat Malayisa pada ketika itu meramalkan bahawa usaha sedemikian hapir mustahil bagi Dr Mahathir melakukan memandangkan Saudara Anwar amat condong kepada poltik yang berasaskan Islam ( bukan UMNO).

            Namun Dr Mahathir berjaya memujuk Saudara Anwar. Dan bagi Saudara Anwar Ibrahim pula tentulah amat berat untuk bersekongkol dengan parti yang bukan pilihannya (pada ketika itu). Tentulah banyak ‘tarik tali ‘ yang perlu dilakukan pada ketika itu. Ramai juga rakan-rakan dalam ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) yang merasakan bahawa Saudara Anwar tidak wajar bersama dengan UMNO pada pada ketika itu walaupun berbagai janji  telah dijanjikan, khususnya yang berkaitan dengan usaha memertabatkan bangsa Melayu.

            Memang ramai yang yakin bahawa Saudara Anwar pastinya tidak dapat menerima pelawaan Dr Mahathir itu berdasarkan penglibatan beliau yang amat jauh menyimpang dari perjuangan UMNO pada ketika. Namun atas dasar perjuangan yang dutamakan oleh Dr. Mahathir pada ketika itu maka Saudara Anwar telah menerima ‘jemputan’ demikian dan terus diletakkan bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1982 di kawasan Permatang Pauh. Dengan kemenangan selepas itu beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

            Yang cuba dijelaskan disini ialah keadaan yang luar biasa yang mungkin wujud dalam percaturan politik. Ramai yang tidak terfikir pada ketika itu yang Saudara Anwar boleh ‘termakan’ umpanan Dr. Mahathir. Namun rakyat biasa hanya melihat percaturan itu dari aspek luaran semata-mata dan tidak faham apa yang tersirat dalam rundingan mereka berdua. Dan serupa jugalah dengan keadaan yang wujud kini dimana amat sukar rakyat untuk memahami keadaan yang berlaku kini ia itu apabila memikirkan tentang dua tokoh yang ‘bermusuhan’ boleh berbaik-baik dan bersatu semula.

            Hakikat ini wujud tidak lain dan dan tidak bukan adalah disebabakan hasrat untuk menyelamatkan bangsa dan negara Malaysia dari terus ‘diceroboh’ oleh pemimpin yang tidak bertanggung jawab sebagaimana yang sentiasa disebut oleh Dr Mahathir sebagai ‘penyangak’ dan ‘penyamun’. Atas dasar itulah kedua-dua tokoh ini sanggup melupakan apa sahaja ‘peseteruan’ dan ‘permusuhan’ demi untuk menyelamatkan bangsa yang disayangi ini.

            Rakyat Malaysia kena yakin bahawa tidak mudah bagi kedua orang pemimpin ini melakukan pengorbanan sedemikian jikalau bukan disebabkan hasrat untuk menyelamatkan bangsa dan negara. Dan kesediaan mereka untuk melupakan segala persengketaan mereka seharusnya dibalas semula oleh rakyat dengan menyokong apa yang diperjuangkan.

abuhassanadam
29 Disember 2017



No comments:

Post a Comment