Thursday, December 28, 2017

PEMIMPIN UMNO BERSIKAP ‘SENYAP DAN SUNYI’

            Sehingga kini hampir keseluruhan pemimpin UMNO di seluruh negara, disemua peringkat seolah-olah mengamalkan sikap ‘senyap dan sunyi’ terhadap isu ‘panas’ yang sedang dibincangkan rakyat di seluruh negara. Hampir setiap ceruk rantau rakyat terus menerus membincangkannya tetapi yang anihnya para pemimpin UMNO (hampir disemua peringkat) terus bersikap ‘senyap dan sunyi’. Seolah-olah mereka tidak mahu campuratangan langsung dalam hal yang mungkin membabitkan kepimpinan mereka.

            Jikalau sebelum ini rakyat Malaysia semacam tidak mempedulikan apa yang berlaku kepada IMDB tetapi semakin hari rakyat semakin disedarkan bahawa sebenarnya negara kita berada dalam keadaan bahaya mengikut apa yang digambarkan oleh golongan mereka yang faham tentang seolok belok perniagaan dan yang berpengalaman mentadbir negara seperti yang digambarkan oleh Tun Dr. Mahathir atau TS Muhyiddin Yassin.

            Yang betul-betul menyedarkan tentang kepincangan negara kini ialah apabila berlaku penyelewengan yang bukan kecil dalam FELDA, walaupun sebelum ini rakyat sudah disedarkan tentang penyelwengan yang berlaku dalam pengurusan MARA, Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) dan beberapa agensi kerajaan lain, namun rakyat umum hanya menyerahkan kepada pemimpin dan golongan tertentu untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Tetapi dengan ‘ledakan’ dan letupan yang berlaku dalam FELDA ini telah membuka mata rakyat umum khususnya para peneroka FELDA yang isu ini sudah ibarat ‘cacing yang sudah sampai ke mata’

            Hendaknya pihak yang bertanggungjawab janganlah lagi hendaknya menghampa perasaan rakyat yang memerlukan sangat-sangat pertolongan saudara-saudara sekalian untuk membawa segala ‘penyamun’ ini ke muka pengadilan. Cukuplah agakanya lakonan dan drama yang ditunjukkan kepada rakyat. Rakyat ( yang tinggal di bandar misalnya) bukan tidak tahu dan bukannya tidak faham ‘mainan’ saudara-saudara sekalian tetapi sifat penyabar dan bertimbang rasa rakyat itu yang mempengaruhi mereka untuk melakukan sesuatu yang diluar dugaan.

            Segala ‘penyamun-penyamun’ yang terlibat dalam skandal  IMDB, MARA, LUTH tetap bersalah. Mereka perlu dihukum dengan hukuman yang seberat-beratnya kerana kesalahan mereka yang bukan sahaja tergolong dalam kategori pecah amanah tetapi yang paling menyedihkan mereka telah memusnahkan harapan orang Melayu khsusnya orang Melayu luar bandar. Mereka tidak syak lagi mesti dihukum. Tetapi yang tidak kurang juga bersalahnya ialah golongan yang bersekongkol dengan mereka.

            Dalam Persidangan Agung UMNO yang diadakan  baru-baru ini tidak terdengar langsung komen, sungutan, pandangan yang berkaitan dengan IMDB atau MARA atau LUTH yang disuarakan oleh para perwakilan UMNO. Langsung tidak ‘berdetik’ langsung. Apakah golongan pemimpin UMNO ini tidak tahu tentang berlakunya penyelewengan dalam agensi kerajaan milik Melayu itu. Mengapakah para pemimpin UMNO (kononnya!) langsung tidak menegur langsung kepincangan yang telah berlaku. Apakah mereka tidak tahu tentang berlakunya penyelwengan sedemikian? Mustahil. Ataupun mungkin agaknya terlalu ‘kenyang’ maka sudah tidak terdaya lagi untuk menyuarakan sesuatu pandangan atau teguran.

            Lantas golongan ini harus dipersalahkan juga kerana tidak berani  menegur kepincangan yang dilakukan. Sekiranya mereka ‘bersuara’ sekurang-kurangnya ada juga segan dan silunya para pemimpin yang diatas kerana para pemimpin sentiasa mengharapkan sokongan dari pihak akar umbi untuk memenangi sesuatu jawatan dalam UMNO. Sekurang-kurangnya mereka juga berbisa dan kata-kata mereka ‘didengar’ juga oleh pucuk pimpinan. Tetapi malangnya mereka tidak langsung bersuara dan ‘bermaharajalela’lah para pemimpin mereka untuk melakukan penyelewengan.

            Sekurang-kurangnya sudah ada, dan sudah mula para artis menyuarakan rasa ketidakpuasan terhadap sesuatu perkara. Apa yang disuarakan oleh Chef Wan, dan Sheila Majid merupakan sesuatu yang agak luar biasa. Jikalau pada zaman kemerdekaan dahulu, golongan wartawan/ sastrawa, dan guru-guru yang sentiasa memberikan teguran kepada kerajaan, tetapi kini golongan ini sudah mengamalkan sikap senyap dan sunyi juga. Para guru sudah menghadkan diri mereka hanya untuk mengajar anak murid sahaja dan tidak lagi mahu berkecimpung dalam menentukan kemajuan masyarakat.

            Golongan wartawan dan sastrawan pun seolah-olah kelihatan sudah ramai yang ‘meletakkan senjata’ dan tidak mahu lagi berjuang sebagaimana wartawan/sastrawan zaman dahulu. Tambah menyedihkan lagi ialah tentang adanya golongan para penulis/sastrawan/wartawan yang sanggup memutarbelitkan berita, memihak kepada ‘penyangak-penyangak’ dan ‘penyamun’ tertentu yang mengekpolitasi wang hasil titik peluh rakyat. Mereka sudah sanggup menjadi ‘tentera upahan’ untuk mendapatkan sedikit bayaran untuk menyara sesuap nasi untuk keluarga dan anak tercinta. Mungkin golongan ini sudah lupa tentang tanggungjawab mereka yang lebih besar yang berada dihadapan mereka dan yang perlu dipikul.


abuhassanadam
28 Disember 2017








No comments:

Post a Comment