CIKGU AZIZAN, ANDA
TIDAK KESEORANGAN
Sebagai
seorang guru tua, aku pasti apa yang dilakukan oleh Cikgu Azizan adalah
bertepatan dengan sikap seorang guru yang mahu melihat anak muridnya berjaya
dalam pelajaran dan mempunyai pekerti yang baik. Itu pasti. Aku yakin Cikgu
Azizan adalah tergolong dalam kategori guru yang sedemikian. Dan aku pasti juga
beliau bertindak bukan kerana dendam kesumat, bukan kerana benci kepada anak
muridanya dan bukan juga disebabkan oleh faktor-faktor lain.
Lantas
aku berkeyakinan apa yang dilakukan oleh Cikgu Azizan bertepatan dengan sikap
dan tindakannya sebagai seorang guru. Noktah. Lantas aku memberikan sokongan.
Namun sekiranya tindakan Cikgu Azizan bertentangan dengan apa yang sepatutnya
dilakukan oleh seorang guru maka serahkan kepada pentadbbiran sekolah dan
kementerian untuk menghukumnya. Apakah berat benarkah kesalahan seorang guru
sehingga membawa kes sedemikian ke mahkamah?
Ada
satu ‘rahsia’ yang ingin dikongsikan dengan pembaca yang bukan dari golongan
guru dan yang tidak pernah menjadi guru. Hanya yang bergelar guru ( guru pencen
khususnya) yang pernah merasakan pengalaman dan ‘nikmat’ sedemikian.
Kebiasaannya anak murid yang pada suatu ketika dulu merupakan murid dan pelajar
yang nakallah yang sentiasa mengingati jasa dan sumbangan guru. Murid yang
sedemikianlah yang sentiasa menjadi ‘penghiubur’ kehidupan seorang guru pencen.
Merekalah yang kerapkali mengunjungi dan bertanya khabar tentang guru yang
pernah ‘merotan’, ‘memukul’, ‘melempang’ mereka ketika mereka dalam ‘proses
untuk menjadi seorang manusia’.
Cikgu
Azizan mungkin tergolong dalam kumpulan guru yang sedemikian yang sentiasa
memikirkan tentang ‘pembentukan pribadi dan sahsiah’ anak muridnya sehingga
terlupa (agaknya) tindakannya sudah ‘melampau batas’ ( mengikut perkiraan
setengah ibu bapa moden yang sanggup akhirnya mengheret beliau ke mahkamah).
Sebagai
orang tua, aku ingin menasihati guru-guru muda agar meneruskan perjuangan
cikgu-cikgu. Jangan undur, bermakna jangan ikut ‘rentak’ sebagaimana yang diperlukan
oleh setengah ibu bapa (yang kononya moden). Setiap perjuangan sememangnya
memerlukan pengorbanan. Dan pihak kementerian juga harus bersama para guru yang
betul-betul menepati istilah sebagai seorang pendidik. Pihak kementerian
khususnya Menteri Pelajaran harus tegas berdepan dengan situasi yang wujud
kini. Berikan keadilan kepada Cikgu Azizan dan pihak Menteri Pelajaran tidak
terikut-ikut dengan rentak politik kini yang kelihatan boleh
‘memporak-perandakan’ pentadbiran sekolah dan mengecewakan para guru.
Jikalau
dberi kesempatan kita merenung kembali tentang suasana persekolahan suatu
ketika dulu, tentulah ramai yang tahu bahawa antara syarat-syarat yang
diberikan oleh ibu bapa kepada guru ketika menyerahkan anak-anak mereka ialah
agar anak-anak mereka ‘tidak capik dan buta’. Dan diringi dengan sebatang rotan
yang diberikan kepada guru/ustaz untuk digunakan apabila perlu. Dan kesanya
tidak pula terdapat dalam sejarah
persekolahan di negara ini (semenjak dahulu hingga sekarang) murid-murid
yang capik atau buta dipukul guru.
Jangan
pula dituduh yang aku mencadangkan suasana sedemikian dikembalikan di sekolah.
Aku faham dan amat mengerti tentang perubahan masa dan keadaan. Mungkin
‘penyerahan rotan’ tidak lagi sesuai dan menggunakan rotan secara berleluasa
juga tidak sesuai pada zaman ini. Namun menyerahkan kuasa kepada Pengetua atau
guru disiplin untuk merotan pelajar-pelajar yang melanggar peraturan sekolah
adalah sesuai dan tentunya telah difikirkan sehalus-halusnya oleh pihak
kementerian sebelum peraturan menjadi undang-undang.
Tentulah
ramai yang sependapat agaknya bahawa mendenda semestinya dilakukan terhadap
pelajar yang sentiasa ponteng sekolah, melakukan kegiatan ‘membuli’ rakan-rakan
lain, mengamalkan tabiat menghidu gam dan kegiatan-kegiatan lain yang dirasakan
tidak sesuai bagi seorang pelajar. Dan yang perlu dilakukan oleh para pengetua
atau guru disiplin ialah mengambil tindakan yang sesuai bagi pelajar yang
sedemikian. Dan tugas ibu bapa pula ialah mengadakan pertemuan dan perbincangan
dengan pihak pentadbiran sekolah dan bukannya mengambil tindakan mahkamah
sekiranya anak-anak mereka melakukan kegiatan negatf seperti yang dinyatakan.
Cikgu
Azizan tidak keseorangan dalam menghadapi suasana sepertimana yang dihadapi
kini. Tentulah ramai bekas murid-murid beliau yang telah berjaya dalam menempuh
hidup yang akan sentiasa bersama beliau. Sekurang-kurangnya mendoakan beliau
‘berjaya’ dalam ‘perjuangan’ begini. Cikgu Azizan dan keluarganya seharusnya
berbangga dengan beliau diheret ke mahkamah kerana kesalahan beliau (mungkin)
hanya disebabkan usahanya untuk membetulkan perangai seorang muridnya. Lantas
dalam usaha ke arah itu mungkin beliau tersilap langkah yang menyebabkan beliau
dalam keadaan yang dihadapinya kini. Namun begitu Cikgu Azizan harus berbangga
sebagai seorang guru.
Teruskan
‘perjuangan’ mu Cikgu Azizan dan guru-guru muda lain yang seangkatan dengan
beliau demi pembinaan bangsa Malaysia tercinta.
abuhassanadam
18 Disember 2017
No comments:
Post a Comment