GEGARAN DARI ARTIS
Penglibatan kumpulan artis
dalam hal membicarakan hal yang berkaitan dengan negara kini tidak harus
dipandang ringan oleh masyarakat Malaysia khususnya ahli UMNO yang sedang
mengadakan persidangan kini. Dikatakan demikian kerana tidak pernah berlaku lagi
dalam sejarah Malaysia sebelum ini dimana para artis mula melahirkan pandagan
mereka tentang perjalanan pentadbiran negara ini, dalam bentuk yang agak
kritikal.
Apa yang disuarakan oleh
Dato Sheila Majid dan artis Fathia Latiff itu adalah benar belaka pada
pandangan masyarakat di Malaysia kini. Tidak ada yang tak betulnya. Harga
barang naik melambung yang menyebabkan rakyat Malaysia amat terasa tekanannya.
Pengangguran semakin meningkat yang menyebabkan para graduan yang menganggur
semakin hari semakin ramai walaupun pihak kerajaan sentiasa menafikan tentang
keadaan itu.
Timbulnya kesedaran yang
mendadak dikalangan para artis ini merupakan sesuatu yang diluar dugaan.
Sebagaimana yang dikatakan sebelum ini, ini merupakan ‘ledakan’ yang julung
kali disuarakan oleh artis. Sebelum ini, yang sentiasa menyuarakan tentang
keadaan sebegini adalah kesatuan sekerja ataupun persatuan pengguna atau pun
kumpulan NGO yang sedar dan perihati tentang penderitaan rakyat ataupun para
penulis dan sastrawan yang merupakan mata dan telinga rakyat. Malangnya peranan
golongan ini sudah tidak begitu ketara kini. Mungkin ada tetapi tidak
mendatangkan banyak kesan.
Seingat aku akhbar
biasanya memainkan peranan penting dalam hal menyuarakan isi hati rakyat
mengenai sesuatu perkara. Rencana-rencana yang disiarkan akhbar ( zaman
dulu-dulu) dapat menyedarkan rakyat dan kerajaan tentang sesuatu isu. Namun
pada hari ini kelihatan peranan akhbar semacam telah berubah ia itu lebih
merupakan lidah rasmi kerajaan yang memerintah dan langsung tidak menyiarkan
berita-berita yang mengkeritik dasar-dasar kerajaan.
Kini era baru telah
muncul. Jikalau selama ini ada pihak-pihak tertentu yang memandang rendah
kepada golongan artis maka dengan kemunculan Dato Sheila Majid dan Fathiya
Latif seolah-olah telah membawa cahaya baru kepada perkembangan sosial di
Malaysia. Mereka telah berani berterus terang menjelaskan tentang keadaan yang
berlaku di Malaysia kini. Dan teguran mereka pastinya mendapat response yang
bukan kecil dari masyarakat terutamanya
dari kalangan anak muda.
Ada pemimpin UMNO yang
telah mengkritik dan membidas apa yang disuarakan oleh mereka. Ada yang
mencadangkan agar mereka terlibat dalam politik dan terlibat secara langsung
sebagaimana yang mereka alami. Harus disedarkan juga pemimpin sedemikian bahawa
apa yang disuarakan oleh artis berkenaan adalah sesuatu yang benar dan
seharusnya diterima dengan hati terbuka. Mereka tidak ada kepentingan langsung
selain daripada memberitahu pihak berwajib agar segera buat perubahan. Apa yang
disuarakan oleh mereka adalah merupakan suara rakyat terbanyak. Tanyalah rakyat
terbanyak pasti ramai yang menyokong apa yang telah disuarakan itu.
Amat tidak kena sikap yang
ditunjukkan oleh sebahgian pemimpin UMNO yang seolah-olah ‘menghina’ artis
berkenaan. Peribahasa orang putih ada mengatakan, ‘ don’t kill a messenger’
yang bermaksud bahawa tidak seharusnya kita ‘membunuh’ penyampai berita sahih
demi untuk kepentingan kita semua. Dan sepatutnya juga para pemimpin dan perwakilan
UMNO menggunakan forum ini untuk membincangkan apa yang telah disuarakan oleh
kedua-dua artis ini. Para perwakilan seharusnya melihat isu ini secara positif.
Harus membincangkan dan meneliti apakah tindakan-tindakan yang perlu
dilaksanakan bagi mengatasi masalah demikian.
Ada juga setengah pemimpin
UMNO yang mengarahkan para artis supaya tutup mulut dan menganggap para artis
tidak tahu menahu tentang keadaan negara kini. Tentulah amat tidak wajar para
pemimpin mengeluarkan kata-kata sedemikian
seolah-olah hanya para pemimpin UMNO yang serba tahu tentang keadaan
negara kini dan mengamalkan sikap, ‘jangan ditegur dan jangan dilarang’ dan
seolah-olah membiarkan sahaja golongan mereka ‘bersultan di mata dan beraja di
hati’.
“Suara’ artis jangan dipandang
ringan kini. Bukan semacam artis tahun-tahun 40an dan 50an yang tidak
berpendidikan tinggi. Malah mereka menjadi artis setelah mendapat didikan yang
sempurna daripada pusat pengajian tinggi awam dan swasta. Mereka adalah terdiri
golongan cerdi pandai yang tahu menilai dan melihat suasana negara kini yang
dianggap oleh mereka sudah tidak ketentuan dengan kenaikan harga barang dan
penggangguran yang semacam sudah tidak terkawal. Lantas mereka memberikan
pandangan mereka yang bernas melalui pemerhatian yang tidak berbelah bagi.
Apabila ada para pemimpin
UMNO yang memperkecil-kecilkan kemampuan para artis kita, maka cermin
seharusnya dihalakan ke muka mereka dan bukannya ke wajah artis. Mereka yang
sepatutnya mencermin muka mereka sebelum mengeluarkan kenyataan tentang artis.
Geggaran yang melanda
negara kini hasil ledakan kenyataan para artis tidak seharusnya dipandang
ringan. Keadaan sebegini boleh dianggap
sebagai satu ‘watershed’ dimana tidak pernah berlaku keadaan artis yang bertindak
sedemikian, menyuarakan pandangan mereka terhadap keadaan negara yang tercinta.
Jangan dianggap enteng apa yang disuarakan oleh mereka. Letupan yang kecil
mungkin merupakan satu ledakan yang besar, yang boleh merobah keadaan dalam
negara kini dan berkemungkinan menjadi seperti ledakan bom atom yang
menggegarkan Hiroshima dan Nagasaki pada suatu ketika dahulu.
abuhassanadam
6 Disember 2017
No comments:
Post a Comment