Sunday, December 10, 2017

BUKAN MENENTANG UMNO TETAPI  KEPIMPINANNYA

            Semenjak dari dahulu lagi, rakyat Malaysia, apatah lagi orang Melayu tidak pernah menentang UMNO. Malah ramai orang Melayu yang berpendapat bahawa UMNO merupakan parti yang sesuai untuk dipraktikkan di negara. Ini tidak dapat dinafikan. Dan sekiranya orang Melayu dan kaum lain tidak menyokong perjuangan UMNO (PERIKATAN dan BARISAN NASIONAL kemdiannya) masakan kita dapat mencapai kemerdekaan dari penjajah British. Itu jelas.

            Maknanya orang Melayu dan kaum lain di Malaysia kini bukanlah menentang UMNO tetapi yang menyebabkan majority rakyat melakukan penentangan adalah terhadap kepimpinan UMNO itu sendiri yang jelas kelihatan menyelweng dari perjuanagn asalnya. Amat jauh bezanya dengan perjuangan yang dilalui oleh pejuang terdahulu seperti Dato Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail.

            Para pemimpin UMNO kini jangan sebarangan menuduh orang Melayu tidak menyokong UMNO ataupun menuduh orang Cina dan India sebagai anti Melayu ataupun anti UMNO. Tidak begitu. Kepimpinan UMNO seharusnya menyoal dan merenung kembali apa salahnya kepimpinan UMNO yang ada sekarang yang menyebabkan tertubuhnya parti-parti politik baru seperti KEADILAN, BERSATU, AMANAH, DAP, PAS dll. Harus dipersoalkan juga oleh ahli-ahli UMNO yang rasional pemikirannya tentang mengapa Tun Dr. Mahathir sanggup meninggalkan UMNO dan memimpin parti baru.

            Tidak perlulah dijelaskan dalam rencana ini tentang berbagai alasannya kerana sudah terlalu banyak diperkatakan tentangnya. Cukup sekadar untuk dinyatakan bahawa dalam bahasa yang agak kasarnya bahawa pemimpin seperti Dr. Mahahtir agak ‘bosan’ dengan tingkah laku sebahagian pemimpin UMNO yang ada kini. Kadang-kadang langsung tidak menggambarkan watak seorang pemimpin yang berwibawa yang bertanggungjawab kepada rakyat dan negara. Seolah-olah mereka sudah ‘bertuhankan’ wang dan kuasa dan langsung tidak mempedulikan tentang kesejahteraan rakyat yang menaikkan mereka ke takhta kuasa.

            Kepimpinan UMNO lupa bahawa rakyat sedang memerhatikan gelagat mereka. Mereka boleh berbangga dengan mengatakan bahawa mereka akan memenangi PRU14 nanti dengan majority yang lebih besar. Tak tentu lagi. Walaupun mereka sudah merancang dengan berbagai perancangan ( termasuk juga perancangan yang tidak diredha oleh Allah dan amat bertentangan dengan amalan demokrasi) namun berdasarkan kebencian rakyat kepada kepimpinan kerajaan yang diterajui oleh UMNO kini boleh menyebabkan BN kecundang dan tersungkur.

            Persidangan Agung UMNO baru sahaja selesai dijalankan. Riuh pikuk tempik sorak di PWTC baru saja reda. Kepimpinan UMNO jangan ingat bahawa gelagat mereka tidak diperhatikan oleh golongan veteran (orang tua-tua yang pernah bertungkus lumus dalam perjuangan UMNO pada suatu ketika dahulu). Mereka memerhatikan dengan penuh minat gelagat pemimpin UMNO kini yang mengamalkan prinsip ‘syok sendiri’, dan ‘hanyut dan tenggelam’ dalam pujian pengikut yang sentiasa memerlukan ‘dedak’ seperti itik dan ayam yang kelaparan.

            Terlalu jauh bezanya persidangan agung UMNO dulu dan sekarang. Janganlah sekali-kali disamakan persidangan UMNO yang diadakan ketika UMNO memerlukan bantuan kewangan yang menyebabkan kaum ibu pada ketika itu sanggup mengorbankan barang kemas mereka demi untuk perbelanjaan rombongan kemerdekaan pergi ke London. Amat jauh bezanya PAU ketika itu dengan PAU kini. Seperti membandingkan malam dan siang. PAU kini sudah merupakan sebagai pesta-pestaan memperagakan barang kemas dan beg tangan yang bernilai ratusan ribu ringgit. Dan mungkin juga ada diantara beg tangan yang dimiliki oleh pemimpin UMNO kini bernilai jutaan ringgit. Mungkin!. Dan itu pun mungkin ‘diperah’ dari titik peluh rakyat.

            Mungkin para perwakilan UMNO pulang ke kampung masing-masing dengan perasaan yang begitu puas setelah ‘berhempas pulas’ selama beberapa hari ‘memerah otak’ bergelak ketawa, puji-memuji antara satu sama lain. Tetapi persoalannya ialah apakah mereka telah dapat memecahkan isu besar yang menyelubung kehidupan rakyat Malaysia kini. Apakah langkah-langkah yang akan diambil untuk menurunkan harga barang yang kenaikannya sentiasa mencanak saban hari. Apakah sudah diperjelaskan oleh kepimpinan tentang isu IMDB yang sering menghantui pemikiran rakyat Malaysia kini. Apakah para perwakilan UMNO sudah begitu berpuas hati dengan kepimpinan UMNO yang ada kini dan merelakan mereka menruskan kepimpinan 1000 tahun lagi.

            Mungkin ada ahli UMNO yang merelakan keadaan sedemikian berterusan tetapi pastinya sudah ramai yang merasakan bahawa ‘cukuplah’ bersikap demikian. Kata orang putih ‘enough is enough’. Rakyat (yang dulunya sememang ahli UMNO tegar) sememangnya menunggu dan melihat perjalanan PAU yang baru selesai diadakan. Kebanyakan mereka menanti apakah UMNO akan berubah atau apakah ada perubahan-perubahan yang bakal dilakukan. Namun setelah terbukti bahawa seolah-olah perwakilan UMNO semacam tidak mahu berubah dan masih mahu meneruskan ‘perjuangan’ yang sedia ada, maka rakyat akan membuat kesimpulan bahawa kepimpinan UMNO yang ada kini perlu ditamatkan menjelangnya PRU14.

            Jangan diperslahkan orang Melayu yang sudah bersikap demikian. Orang Melayu tidak membenci UMNO tetapi membenci kepimpinan yang ada. Orang Melayu yang rasional tidak membenci kaum Cina atau kaum India kerana mereka sedar yang mereka memegang prinsip datuk nenek yang terdahulu bahawa mereka adalah juga merupakan rakyat Malaysia yang sah di sisi undang-undang. Melayu yang rasional juga merelakan wujudnya DAP atau PAS kerana itu merupakan seruan demokrasi yang membenarkan kebebasan bersuara dan bertindak dalam sesebuah negara. Itu hak rakyat yang tidak boleh dipertikaikan. Melayu yang rasional membiarkan kesuburan demokrasi itu sendiri.

            Kesimplannya UMNO dibawah kepimpinan yang ada sekarang berkemungkinan tidak akan selamat mengharungi PRU14 apatah lagi untuk bertahan 1000 tahun lagi sekiranya amalan-amalan negatif seperti rasuah bermaharajalela dikalangan kepimpinannya. Orang Melayu bukan tidak sayangkan UMNO tetapi membenci sikap setengah pemimpin UMNO yang ranggi (loghat Perak).

            Perbetulkan segera sikap sedemikian.

abuhassanadam
10 Disember 2017



1 comment: