Friday, December 8, 2017

BUDAYA UMNO

            Walauapun UMNO sentiasa mengatakan bahawa perjuangannya adalah untuk Melayu dan Islam, namun pada hakikatnya UMNO telah ‘berjaya’ membentuk satu budaya baru yang hanya ‘dimiliki’ oleh ahli UMNO. Amat jelas dan ketara wujudnya budaya demikian dan hanya diamalkan oleh orang UMNO khususnya dan kadang-kadang amat bertentangan dengan budaya Melayu itu sendiri.

            Yang aku maksudkan ialah sikap ‘tak tahu malu’. Tak merasakan diri seseorang itu terhina apabila melakukan sesuatu perbuatan terkutuk. Misalnya dalam suasana dunia kini, seolah-olah seluruh dunia mengatakan bahawa Malaysia adalah antara negara yang paling tinggi tahap pengamalan rasuahnya. Dan isu IMDB hampir setiap hari diperkatakan oleh media massa dunia namun bagi pemimpin UMNO yang juga sebagai pemimpin negara semacam tidak endah langsung akan kritikan negara lain. Kita seolah-olah ‘tebal muka’ dan terus mempersetankan kritikan yang dilemparkan terhadap negara kita.

            Ramai pemimpin kita yang terpalit dengan kegiatan rasuah dan ada yang telah pun dijatuhkan hukuman oleh pentadbiran parti UMNO sendiri dan juga yang telah disabitkan kes oleh SPRM. Namun begitu para pemimpin terbabit semacam tidak mengendahkan langsung tuduhan rasuah terhadapnya dan terus ‘bermaharajalela’ seolah-olah tidak ada apa yang menggugat kehidupan mereka. Mungkin mereka ayang terlibat sudah tahu bahawa pihak berkuasa yang bertanggungjawab adalah dalam ‘genggaman’ mereka dan tidak akan ada tindakan susulan yang boleh membabitkan kesalahan yang telah mereka lakukan.

            Kebanyakan ahli dan pemimpin UMNO sememangnya ‘tebal muka’. Kebanyakannya begitulah. Ramai juga yang terperanjat apabila ada pemimpin Wanita yang masih ‘ada hati’ untuk menjadi calon pilihanraya akan datang sedangkan sudah jelas beliau terpalit dengan skandal rasuah. Bagi pemimpin UMNO seolah-olah apa yang telah berlaku ke atas mereka bukan merupakan satu kesalahan. Mereka tidak ada rasa malu. Dan yang malangnya ialah para penyokong mereka juga tidak merasakan yang mereka bersalah. Mereka tetap mendapat sokongan ‘akar umbi’ dan dalam hal ini mungkin ‘dedak’ sudah memainkan peranan yang cukup penting.

            Para perwakilan UMNO seolah-olah memberikan sokongan membuta tuli terhadap apa yang disarankan oleh pemimpin mereka. Mereka tetap ‘bertepuk’ dan ‘bersorak ria’ atas segala apa yang dikatakan oleh pemimpin mereka. Seolah-olah sokongan mereka tidak langsung berasaskan pertimbangan yang waras dan kritikal. Biarlah dikemukakan contoh-contoh bagi menjelaskan yang para wakilan UMNO ataupun ahli UMNO semacam tidak langsung berfikir sebelum memberikan sebarang sokongan terhadap sesuatu isu.

            Isu artis yang mempersoalkan tentang keruncingan keadaan di Malaysia kini. Biar aku petik kenyataan dari “Malaysiakini’ bertarikh 7 Disember 2017. “Pada Selasa, Sheila menarik perhatian orang ramai apabila beliau mengeluh mengenai kos sara hidup tinggi dan nilai ringgit lemah di Twitter.Makanan mahal, ringgit lemah, kos sara hidup tinggi & pekerjaan sukar didapati…Rakyat Malaysia semakin letih & marah kerana dihimpit hutang yang bukan kita cipta.Cukuplah beralasan & cari kesalahan. Tumpu pada tugas meletakkan negara kembali ke landasan! Mengecewakan!” demikian tulis penyanyi popular itu.

            Apa yang dikatakan oleh Dato’ Sheila Majid itu boleh dikatakan benar belaka Tanyalah siapa sahaja (kecualilah para perwakilan UMNO yang sedang bersuka ria di PWTC yang seakan-akan lupa tentang derita yang dialami oleh kebanyakan rakyat Malaysia) pasti mereka akan menganggukkkan kepala mengiakan apa yang disuarakan oleh penyanyi berkenaan.

            Suatu sikap para perwakilan UMNO yang agak unik dan berlainan dengan sikap yang diamalkan oleh orang Melayu ialah mengiakan tindakan pemimpin mereka, walaupun sesuatu tindakan itu dirasakan tidak berapa kena. Misalnya apa yang dilakukan oleh  Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Saudara Jamal bin Md Yunus yang sanggup menunjuk perasaan di hadapan sekretariat Selangor dengan hanya memakai tuala mandi merupakan sesuatu tindakan yang tidak sesuai dan tidak kena. Tetapi bagi perwakilan UMNO semacam ‘tidak apa’ perbuatan yang sedemikian.

            Tindakan yang dilakukan sedemikian tentulah tidak secocok dan sesuai mengikut pertimbangan dari apa yang diajar oleh datuk nenek kita dulu yang sentiasa menjaga budi bahasa dan adat bersopan santun. Dan apa yang dilakukan oleh Saudara Jamal itu (yang amat menghairankan!) mendapat skongan dari perwakilan UMNO yang lain, khususnya dari kaum wanita. Dan ini yang menyebabkan aku kurang faham. Apakah pada pandangan para perwakilan UMNO perbuatan yang sedemikian seharus mendapat sokongan padu dari perwakilan UMNO. Dan apakah itu bentuk budaya yang serasi dan sesuai dengan UMNO kini.

            Mungkin agaknya aku dan beberapa orang anggota masyarakat lain yang sudah ketinggalan zaman yang merasakan perbuatan sedemikian tidak secocok dengan tatasusila orang Melayu. Mungkin ahli UMNO sudah terlampau terkehadapan majunya (agaknya!) sehinggakan apa yang dirasakan tidak kena dengan tatasusila adat Melayu dianggap bersesuaian dengan zaman dan patut disokong.

            Tidak kurang mengejutkan kita ekoran daripada ucapan perwakilan UMNO di PWTC kini ialah kenyataan dari ucapan Ketua Pemuda UMNO negeri Kedah yang mahukan agar dihentikan segera penghormatan terhadap Tun Dr.Mahathir disebabkan Dr. mahathir menentang UMNO. Ini juga merupakan kenyataan yang memeranjatkan.

·      Ini merupakan kenyataan yang tidak langsung menghormati pemimpin. Tidak salah rasanya jikalau diteruskan penghormatan terhadap Tun Mahathir disamping itu terus menerus menentang dasar yang cuba diketengahkan oleh Tun Mahathir melalui parti baru yang didokongnya.
·      Dan tanpa usul periksa dan berfikir panjang terus merasionalkan tentangan terhadap Tun Mahathir yang disebabkan Tun menentang UMNO. Beliau tidak pula mempersoalakan mengapa Tun Mahathir sanggup terjun semula di arena politik tanah air yang berpunca daripada penyelewengan dan rasuah yang bermarajalela yang dilakukan oleh pemimpin kerjaan kini. dengan sebab itulah Tun Mahathir terus berjuang.

            Banyak kejayaan yang telah dicapai oleh UMNO hasil perjuangan para pemimpin yang terdahulu yang perjuangan mereka semata-mata untuk memperjuangkan orang Melayu dan agama Islam disamping berjaya mendapatkan kemerdekaan negara. Berbanding dengan yang terdahulu pemimpin kini lebih menonjolkan ‘kehandalan’ mereka dalam hal mengumpul harta dan pengamalan rasuah yang bermaharajalela disamping mewujudkan satu bentuk budaya baru yang boleh dinamakan BUDAYA UMNO.


abuhassanadam
8 Disember 2017






No comments:

Post a Comment