Monday, December 4, 2017

AHLI UMNO SEMACAM TAK MENGENANG BUDI

            Aku tidak bermaksud mengatakan semua ahli UMNO begitu. Namun demikian pada umumnya nampak begitu, khususnya apabila memperkatakan tentang hubungan ahli UMNO dengan bekas presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamed.

            Berpuluh tahun Tun Mahathir menjadi ahli UMNO dan puluhan tahun juga menjadi Presiden UMNO dan selama dua puluh tiga tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia, namun apabila sampai waktu dan ketikanya seolah-olah Tun Mahathir dianggap sebagai ‘sampah’ oleh setengah pemimpin dan ahli UMNO. Sebaliknya yang terus menerus menghormati beliau adalah golongan yang bukan dari golongan ahli UMNO. Golongan ini pula yang terus menghormati dan mengingati jasa dan sumbangan beliau ketika menjadi pemimpin negara yang tercinta ini. Dan sedikit sebanyak telah menaikan imej negara dan bangsa Malaysia.


            Betul sangat apa yang selalu disebut-sebut oleh orang tua kita bahawa ‘yang ketawa ramai tetapi yang menangis keseorangan’. Walaupun kelihatan yang Tun Mahathir tidak menangis keseorangan, namun cara beliau dikutuk, diherdik, dimalukan adalah terkeluar dari pemikiran manusia yang waras. Tidak terfikir oleh kebanyakan rakyat Malaysia bagaimana Tun Mahathir hampir setiap malam ‘dikutuk dan dihina dan dimalukan’ oleh TV milik kerajaan seolah-olah beliau tidak pernah pada suatu ketika dulu menjadi Perdana Menteri negara tercinta ini.

            Apakah begitu cara orang Melayu yang kononnya berbudi bahasa menghormati pemimpin yang pernah berjasa kepada bangsa dan negara. Tidak dinafikan yang semua pemimpin pernah melakukan kesilapan dalam menjalankan pentadbiran negara. Dan jika dibandingkan dengan sumbangan yang telah diberikan oleh beliau maka apakah kita harus melupkan sumbangan yang diberikan dan sebaliknya ‘mengenengahkan’ segala kesilapan dan kesalahan yang dilakukan.

            Aku yakin ramai ahli UMNO tahu mengenang budi pemimpin yang terdahulu. Dan hanya segelintir sahaja (yang mungkin terlalu kenyang dengan ‘dedak’ yang diterima) yang berperangai sedemikian. Golongan ini seolah-olah sudah melupakan langsung pesanan datuk nenek supaya menghormati orang tua, menghormati jasa pemimpin, menghormati golongan yang pernah berjasa kepada masyarakat terutama bangsa dan negara dan agama tercinta. Apakah Tun Mahathir tidak tergolong dalam kumpulan yang sedemikian?

            Yang menyebabkan Tun Mahthir sangat dibenci oleh setengah pemimpin dan ahli UMNO kini ialah kerana beliau menentang tindakan setengah pemimpin negara. Beliau mempersoalkan tentang wang IMDB yang tidak ketahuan tentang aliran dan arah tujunya. Beliau mempersoalkan tentang negara Malaysia yang sudah berada pada tahap ‘cukup memalukan’ di mata dunia disebabkan isu IMDB. Lantas beliau dan beberapa orang pemimpin lain bangun mempersoalkan. Dan mempersoalkan isu berkenaan sudah dianggap menentang kerajaan.

            Apakah perbuatan dan tindakan setengah pemimpin yang sedemikian dianggap sebagai penentang kerajaan?

            Para ahli UMNO harus menung dan fikirkan kewajaran setengah pemimpin yang bertindak menentang Tun Mahathir. Tolong menungkan rasional mengapa Tun Mahathir bertindak dan bersikap sedemikian. Menungkan juga bahawa sekurang-kurangnya ada pemimpin yang sedar tentang apa yang berlaku kini dan berusaha untuk membetulkan segala kesilapan yang telah berlaku. Dan apakah usaha untuk membetulkan kesilapan sedemikian sudah wajar menerima tentangan dari ahli UMNO?

            Puluhan tahun ketibaan Tun Mahathir di PWTC disambut dengan tepuk sorak keriangan dengan kehadiran beliau sebagai Presiden UMNO. Aku masih terbayang di mata melihatkan berpusu-pusu dan berebut-rebut ahli UMNO menerpa untuk mencium tangan Tun Mahathir pada ketika itu. Tetapi kini mungkin ‘pemimpin’ UMNO yang pernah mencium tangan Tun Mahathir merupakan orang yang pertama menghilangkan diri apabila terserempak dengan Tun Mahathir.

            Dulu setiap ucapan yang disampaikan oleh para perwakilan pastinya diselitkan dengan puji-pujian tentang Tun Mahathir. Kini aku amat yakin setiap ucapan akan diselitkan dengan kejian dan herdik tentang Tun Mahathir. Apakah wajar mereka bertindak sedemikian. Tidak salah mengkritik tentang dasar yang diperjuangkan oleh Tun mahathir tetapi amat salah dan silap sekiranya kritikan ditujukan kepada peribadi Tun Mahathir.

            Mungkin sikap ahli UMNO yang sedemikian sudah merupakan satu bentuk budaya orang UMNO. Pemimpin yang lepas yang sudah tidak sehaluan dengan kepimpinan UMNO kini akan dicaci dan seboleh-bolehnya dimalukan. Aku tak tahu keadaan pada zaman Dato Onn apabila cadangan beliau untuk membuka ahli UMNO kepada bukan Melayu ditolak oleh ahli UMNO yang menyebabkan beliau meletakkan jawatan dan meninggalkan UMNO. Apakah Dato Onn pada ketika itu juga menerima nasib yang sama seperti yang diterima oleh Tun Mahathir.

            Aku pernah melihat sendiri nasib yang diterima oleh Saudara Anwar Ibrahim apabila beliau sendiri dihina, dimalukan apabila beliau tidak lagi bersama UMNO. Dalam masa sekelip mata sahaja ‘golongan’ yang memuji dan memuja sebelum itu telah bertukar menjadi ‘binatang buas’ yang hanya bersedia untuk ‘menerkam dan membaham’. Seolah-olah mereka lupa bahawa ‘manusia’ yang dihina itu adalah Timbalan Perdana Menteri hanya beberapa jam sebelum itu. Aliran letrik ke kediamannya dipotong dan terpaksalah yang berada di kediaman beliau pada ketika itu bergelap. Seolah-olah sudah hilang sikap kemanusiaan setengah manusia pada ketika itu.

            Kini kelihatan bagaimana seorang lagi pemimpin negara dihina dan dimalukan pada hampir setiap malam melalui saluran TV milik kerajaan. Dan pada persidangan agung UMNO yang bakal diadakan, pastinya nama Tun Mahathir akan terus disebut-sebut, akan terus diaib dan dimalukan, satu keadaan yang amat berbeza dengan keadaan dimana Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO pada suatu ketika dahulu.

            Namun begitu yakinlah bahawa apa yang dialami oleh Tun Mahathir kini dan sebagaimana yang telah dialami oleh Saudara Anwar Ibrahim beberpa tahun dulu, pasti juga akan dialami nasib yang sama oleh para pemimpin kini yang sedang bersorak riang, seolah-olah melupakan balasan yang akan menjelang.

abuhassanadam

4 Disember 2017

1 comment: