Thursday, March 23, 2023

 


TERAWIKH DI MALAYSIA HALL LONDON

Aku tak pernah terfikir bahawa suasana hening malam di Bryanston Square di London bertukar menjadi malam yang dipenuhi dengan gema suara shalawat Terawih pada setiap malam dalam bulan Ramdhan pada tahun-tahun 1995 hingga 1998. Aku tak lupa peristiwa itu walaupun peristiwa bersejarah demikian berlaku dua puluh tahun lampau. Bagi aku seolah-olah ia berlaku hanya semalam. Apatah lagi pada bulan Ramdhan yang sebegini, ingatan akan kembali menerpa pada zaman itu.

Pada ketika itu, Pejabat Penuntut Malaysia di London terletak di 44 dan 45 Bryanston Square London. Lebih dikenali dengan MSD ( Malaysian Students Department). Dan disitulah terletaknya Dewan Malaysia ataupun yang lebih dikenali dengan Malaysia Hall. Tempat pelajar-pelajar Malaysia dari semua keturunan ‘melepak’ sambil menonton filem P.Ramlee ( pada hari Sabtu malam Ahad akan ditayangkan  filem P.Ramlee). Di Malaysia Hall jugalah tempat pelajar-pelajar dapat menikmati nasi lemak abang ‘Ard ' ( Saad) yang dijual dari kantin Malaysia Hall. Pendek kata Malaysia Hall berperanan menyatukan pelajar Malaysia yang belajar di United Kingom.

Aku mula ditugaskan di situ sebagai Pengarah pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di United Kingdom & Eire. Begitu luas kawasan yang dipertanggungjawabkan kepada aku untuk diselia. Ada lebih kurang 35,000 pelajar Malaysia ketika itu yang terpaksa ‘dijaga’. Ramai. Tetapi tentulah tidak semua dapat ‘dimanjakan’ kecualilah yang berada di London atau pun di kawasan berdekatan. Namun sekiranya timbul masalah yang memerlukan perhatian, maka dengan sedaya upaya akan diberikan pertolongan. Terutama mengenai biasiswa dan bantuan kewangan.

Seingat aku secara kebetulan pada tahun berkenaan ( 1995), bulan Ramadhan jatuh pada musim sejuk. Winter, kata orang Putih.  Amat beruntung dari segi menjalankan ibadat puasa.  Imsak pada pukul 6.00 pagi dan berbuka puasa pukul 3.45 petang. Sekiranya ada yang tidak dapat melakukan ibadat puasa sememangnya betul-betul tidak beriman ( sebagaimana yang selalu disebut oleh Pak Haji Sulaiman ketika aku belajar mengaji padanya ketika kecil-kecil dulu). Apa tidaknya. Bersahur adalah seperti ‘breakfast’ dan berbuka puasa seprti ‘late lunch’. Waktu Isyak dan terawih pula ialah pada pukul 5.00 petang.

Malam pertama Ramadhan aku sembahayang terawih di Malaysia Hall. Lebih kurang 30 orang jemaah hadir. Ini termasuklah Petugas MSD dan juga beberapa orang Arab dan Pakistan. Ringkas saja terwaikh yang dijalankan. Lapan rakaat. Pada keesokan malamnya masih sama. 30 orang. Aku tak nampak walau seorang pun pelajar Malaysia sembahayang terawikh di situ. Mungkin mereka sembahayang terawih di rumah masing-masing. Mungkin.

Mulalah aku terfikir. Surau yang terletak di tingkat pertama Malaysia Hall itu sebenarnya untuk kemudahan pelajar Malaysia. Dan apa yang dapat aku lihat pada waktu itu, tidak kelihatan pun seorang pelajar yang hadir untuk sembahayang terawih. Lantas aku mula memikirkan tentang cara bagaimana untuk ‘menarik’ pelajar-pelajar yang tinggal berdekatan untuk datang ke Malaysia Hall, menunaikan solat terawih. Tentu ramai pelajar yang ingin menyertainya.

Jawabnya ialah mengadakan MOREH. Dan bermulalah aktiviti mengadakan Moreh pada Ramdhan berkenaan walaupun sudah masuk ke malam keenam atau ketujuh. Walaupun tidak terancang, namun Moreh dapat juga diteruskan sehingga malam yang ke 29 Ramadhan. Masalah pembiayaan mengadakan Moreh tidak langsung menimbulkan masalah walaupun pada mulanya aku agak bimbang tentang punca kewangan. Peruntukan pengurusan MSD tentu sekali tidak boleh digunakan. Namun berkat bulan Ramdhan yang mulia itu, sumbangan kewangan datang ‘mencurah-curah’ sehinggakan hasil kutipan sudah berlebihan dan terpaksa dibawa untuk ke bulan Ramdhan tahun seterusnya ( 1996).

Memang seronok mengenangkan peristiwa ‘Terawih dan Moreh’ di bulan Ramadhan di MSD London. Memang seronok betul. Itulah yang merupakan ‘bekalan’ ingatan yang paling menyeronokan untuk aku dan yang akan aku bawa sehinggalah aku menghembuskan nafasku terakhir. Apa tidaknya. Sehingga kini aku masih merasa kebahgiaan dan keseronokan mengadakan Moreh dan terawikh di Malaysia Hall itu.

Jemaah yang hanya berjumlah 30 orang itu telah berkembang menjadi 200 orang lebih kurang. Ruang surau yang ada di Malaysia Hall hanya boleh menampung seramai lebih kurang 80 orang. Paling ramai 100 orang. Aku terpaksa membuka ruang-ruang yang boleh menampung jemaah yang mencecah 200 orang. Setiap malam adalah merupakan pesta Ramadhan. Dihadiri oleh sebahagian besar oleh pelajar Malaysia dan petugas-petugas dari Suruhanya Tinggi Malaysia di London. Jumlah orang luar sudah amat berkurangan, ‘ditenggelami’ oleh pelajar-pelajar Malaysia.

Juadah Moreh selepas sembahayang terawih sangat mewah. Hampir setiap malam disediakan nasi Beriani. Aku menggalakkan para pelajar datang supaya mereka dapat menikmati makanan yang disediakan dan dengan demikian dapat memnjimatkan perbelanjaan mereka pada bulan Ramadhan itu. Aku tahu memang ‘sempit’ kehidupan mereka di London. Biasiswa/ pinjaman yang diberika oleh kerajaan sememangnya tidak mencukupi. Untuk mengharapkan bantuan ibu bapa di kampung  maklum saja lah. Oleh itu sememangnya hasrat aku mengadakan jamuan Moreh yang agak ‘terada’ adalah semata-mata untuk membantu anak-anak pelajar berjimat supaya dapat mereka berbelanja lebih sedikit pada hari raya nanti.

Peruntukan mengadakan Moreh aku perolehi dari para dermawan yang berada di London dan juga dari para dermawan yang berada di Malaysia. Seingat aku, tidak langsung membebankan untuk mencari ‘sponsor Moreh’. Berlebihan. Ramai para Menteri dan Menteri Besar dari Malaysia yang menghantarkan sumbangan.  Tidak dapatlah nak dituliskan nama-nama mereka itu. Dan hanya Allah sahaja yang akan membalasnya. Dan tidak ketinggalan juga para dermawan Malaysia yang tinggal di London yang turut memberikan sumbangan.

Aku tidak tahu samada kegiatan terawih dan moreh sebegini masih dijalankan di MSD London lagi. Yang aku pastinya pejabat MSD itu sudah tidak berada di Bryanston Square lagi. Sudah berpindah ke tempat lain walaupun masih berada di kota London. Aku hanya berharap agar tradisi terawih dan moreh itu berterusan, kerana kesan yang ditinggalkannya amat berkesan di hati para pelajar sekalian.

Aku mengambil kesempatan melalui ruangan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA kepada anak-anak pelajar yang pernah bersama-sama menunaikan solat sunat Terawih dan Moreh  di Malaysia Hall pada tahun-tahun 1995 sehingga 1998 dan juga kepada ‘anak-anak’ yang pernah belajar di UK &Eire sekitar tahun-tahun 1995 sehingga 1998. 

Abuhassanadam

pakabu


Sunday, March 19, 2023

 

MEREKA BELUM 'MENGENALI' ANWAR IBRAHIM 

Jika dibandingkan perjuangan Anwar Ibrahim dengan 'tokoh-tpkoh' muda yang mendabik dada menggelarkann diri sebagai pemimpin adalah ibarat antara 'malam dengan siang'. Mereka tidak mengenali siapakah Anwar Ibrahim yang sebenar kerana mereka tidak 'hidup' di zaman itu zaman anak muda 'menendang dan menerajang'. Mereka tidak terasa akan kehangatan perjuangan anak muda pada ketika itu. Ringkasnya tahun-tahun 1970an. Itulah zaman yang amat penuh dengan cabaran, zaman anak muda (yang ramai baru sahaja tamat pengajian di university)  yang mahu membuktikan bahawa mereka ( pemuda Melayu) mahu berperanan sebagai pejuang.

Aku perhatikan kebanyakan komen-komen melalui media massa dan media sosial merasakan bahawa belum muncul Anwar Ibrahim sebenar ( yang tulin) berdasarkan tindakannya menangani serangan bertubi -tubi oleh pihak pembangkang terhadap tindakan pentadbirannya sehinggalah pada tarikh penyampaian ucapan Dasar Presiden bersempena Kongres Nasional Khas Keadilan 2023 yang berlangsung di Shah Alam  pada  18 Mac 2023. Barulah terasa puasnya hati dan perasaan OTAI dan golongan 'the unsung oldies' yang biasanya dihidangkann dengan ucapan Anwar Ibrahim sebenar.

Anwar seolah-olah membiarkan kerajaan pimpinan dicemuh, dikutuk dengan berbagai kutukan yang kadang tidak dimasuk akal manusia yang berakal namun beliau masih membiarkan keadaan sedemikiann berbertali arus. Ada jawapan yang diberikannya di Parliament, namun sedemikian bukan sebenarnya datangnya dari jiwa dan perasaan Anwar. Mungkin para ahli Keadilan (orang muda) merasakan bahawa mereka cukup berpuas hati dengan jawapan yang diberikan di Parlimen itu. Sebab itulah agaknya tidak kelihatan dan tidak begitu terdengar dan kelihatan jawapan orang muda mempertahankan boss mereka. Ada jawapan yang dikemukakan namun bagi kumpulan OTAI masih tidak berpuas hati kerana itu bukan jawapan 'tulin' mempertahankan Anwar Ibrahim!

Apa yang diperlukan oleh anak muda (yang tidak mengenali Anwar Ibrahim sebenar) kini ialah dengan cara mendampingi golongan OTAI atau 'the silence majority'yang mendapat 'didikan' dari 'The Speakers Corner' dihadapan Perpustakaan University Malaya pada awal-awal 1970an. Kini golongan 'the silence majority' ramai  yang sudah pergi meninggalkan kita tetapi aku pasti yang masih ada tidak mudah meninggalkan perjuangan sedemikian apatah lagi apabila Anwar Ibrahim sudah berada dipuncak. Sampailah masanya untuk beliau 'mengkotakan' apa yang selalu diucapkan dulu sebagai memenuhi 'the conscience of the majority'.

Musuh politik Keadilan seolah-olah 'berpesta dan bergumbira'  apabila kelihatan Anwar seolah-olah mendiamkan diri dan hanya memberikan jawapan yang hambar di parlimen seolah-olah menggambarkan bahawa sudah tidak ada Anwar di Parlimen. Golongan OTAI hampir kecewa dengan kemunculan keadaan sedemikian. Golongan OTAI merasa sungguh kecewa apabila melihat Anwar Ibrahim 'diperlakukan 'sedemikian rupa di parlimen oleh ahli Parlimen Puterajaya yang langsung tidak beradab terhadap seorang Perdana Menteri. Itu merupakan satu sikap amat biadab dan semacam 'kurang ajar'. Apakah yang telah terjadi amat merunsingkan golongan yang merasakan 'cubit peha kiri, maka peha kanan pun terasa sakitnya.. Golongan OTAI saling berhubung antara satu dengan yang lain bertanyakan apa yang telah terjadi.

Perlu juga dijelaskan bahawa golongan 'the silence majority' ini sememangnya telah tidak dapat lagi menyumbang tenaga (fizikal) untuk membantu perjuangan golongan muda kini. OTAI hanya mampu meniupkan semangat anak muda dengan slogan, 'membujur lalu melintang patah'. Tetapi aku yakin bahwa yang mengikuti  ucapan Dasar Presiden bersempena Kongres Nasional Khas Keadilan 2023  pastinya terus bersemangat dan bersedia untuk 'berjuang'

Aku mungkin bersalah apabila mahu rasanya menyalahkan ahli dan pemimpin keadalan yang semacam tidak sederap dengan perjuangan Anwar. Mahu rasanya menyampaikan 'ilmu' yang diwarisi demi penerusan perjuangan yang bertunjangkan REFORMASI. Mahu rasanya meninggalkan kerusi roda demi penerusan perjuangan yang diperjuangkan yang ramai juga yang tidak tahu jerih payah yang dilalui. Anak muda harus mentelaah terlebih dahulu dan bertanyakan selok perjuangan yang telah dilalui oleh pejang-pejuang awal REFORMASI.

Prime Minister Anwar Ibrahim telah memberikan cahaya harapan sebagaimana yang diidam-idam dan dinanti-nantikan oleh golongan REFORMASI apabila Anwar memberikan amaran agar jangan dianggap apa yang dilakukannya sebagai satu kelemahan. "Instead, Anwar said he had chosen to maintain decorum both in and out of Parliament, a stand which he discarded today when speaking as PKR president at the party's special congress in Shah Alam."This is my turf, PKR's turf... for the past four months, I have been guarded in my speeches.Today I speak as the president of PKR, as a part of the reform movements," he said in his keynote address.

Sengaja aku gunakan bahasa Inggeris. Sedap bunyinya. Puas hati benar aku mendengar kenyataan itu.

Sudah berpanjangan kerajaan Harapan  berada ' ' on the defensive'. Seolah-olah tidak ada 'pahlawan' yang berani menyerang ataupun semacam dalam ketakutan. Ini memberi peluang kepada pihak musuh untuk terus berani 'menyerang' walaupun peluru yang mereka gunakan lebih merupakan fitnah dan hujjah yang dangkal.

Lebih menyenang dan meyakinkan golongan kami ( yang sudaah lemah dan tidak berdaya) ialah dengan kenyataan Anwar yang tegas menyatakan“You want to threaten me by (conducting) an assembly? You want to threaten me from acting against corruption? You chose the wrong PM! I will not be influenced. If you want to try to attempt a coup, by all means. But it will not be easy.” - Ini rupa kenyataan yang mirip dengan slogan dan kata-kata yang diucapan samada di Speakers Corner atau pun Dewan Tunku Chancellor sekitar tahun awal 1970an.

Dalam uaha memerangi perasuah Anwar Ibrahim telah memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan bertindak zalim dan sentiasa bertindak di atas semua aspek.Telah di tegaskannya banyak kali bahawa kerajaan pimpinannya akan sentiasa berhati-hati menangani masalah rasuah dan namun demikian akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap semua rakyat dengan tidak mengambil kira kedudukan dan warna kulit. Matlamat akhirnya ialah penghapusan kegiatan rasuah dan melahirkan sebuah negara yang menangani derita rakyat.

Semoga direstui Allah.


abuhassanadam

19 Mac 2023


Saturday, March 18, 2023



DI TEPIAN TASIK MARDI

Secara kebetulan semalam ( 24 Mac 2016) aku melalui kawasan pertanian MARDI. Entah macam mana aku ‘tersesat’ ke situ. Aku tidak pernah pun memasuki kawasan pertanian yang telah wujud ‘zaman-berzaman’ ini. Namanya sememangnya biasa kedengaran. Dan aku teringat juga ada beberapa orang kawan aku yang pernah bertugas di sini. Waktu ‘muda-muda’ dulu.

Tak terfikir pula aku kawasan MARDI ini merupakan kawasan ‘kampung’ yang cantik. Dan aku ingin ‘menasihat’kan kawan-kawan yang merindui keadaan kampung, pergilah ke MARDI. Ada pokok-pokok rimbun, ada tasik yang membiru, malah para pekerja yang sempat aku jumpa dan temui juga seperti orang kampung. Maksud aku tentang ‘budi bahasa’ mereka. Dan suasana di salah sebuah kantin di MARDI ( tidak jauh dari tasik) juga seperti suasana kampung. Barang makanan yang terjual di situ juga dengan harga yang amat berpatutan. Sedap pulak tu. Terutama gulai kambingnya!...

Yang aku nak cerita bukan cerita MARDI. Cerita kantin di MARDI juga bukan. Yang menarik perhatian aku ialah tentang larian merentas desa yang dijalankan di situ ketika aku melalui kawasan itu. Aku tak tahu sekolah mana yang menjalankan larian merentas desa pada ketika aku berada di situ. Yang aku pastinya mestilah sekolah anak orang kaya-kaya. Dan sekolah berkenaan bukan dari kawasan Serdang atau Kajang. Dari jauh datangnya mereka memandangkan terdapat puluhan buah bas yang membawa anak-anak ke mari. Maknanya datang dari Kuala Lumpur atau Subang Jaya. Tentunya sekolah swasta. Sekolah orang kaya-kaya.

Suasana sebegini pastinya menghiburkan aku, seorang tua yang sebahgian dari usiaku diabdikan untuk berkecimpung bersama anak-anak ( tidak kira dan tidak mengenal bangsa, agama dan warna kulit). Alangkah gembiranya hati dan perasaan aku melihatkan anak-anak yang berada dalam lingkungan belasan tahun ini berlari dengan riang seolah-olah tidak ada apa yang merunsingkan perasaan mereka berbanding dengan ibu bapa mereka yang terpaksa memikirkan tentang bahagaimana untuk mendapatkan wang untuk membiyai persekolahan mereka yang pastinya dalam jumlah yang agak besar.

 Aku duduk di sebuah kerusi berhampiran dengan tasik biru sambil menghirup udara nyaman pagi hening. Di samping itu aku leka juga memerhatikan barisan kanak-kanak berlari. Semua bangsa. Melayu, Cina, India, dan ada juga bangsa lain. Mereka sama-sama berlari dan ketawa tanpa memikirkan yang mereka berlainan bangsa dan agama. Pastinya mereka akan memberikan pertolongan antara satu dengan yang lain sekiranya dalam arus larian mereka nanti ada yang mendapat kemalangan. Aku yakin yang mereka akan membantu antara satu dengan yang lain.

Bahagia sungguh perasaan aku pada pagi ini. Terlalu banyak perkara yang membahagiakan hati orang tua ini. Namun yang paling mengembirakan ialah melihatkan persefahaman dan keakraban ‘anak-anak’ Malaysia dari semua bangsa bersatu padu, bergembira dalam larian merentas desa. Mungkin juga wujud keadaan ‘anak’anak’ yang bersikap begini didorongkan oleh guru-guru sekolah ini yang mendorongkan agar pelajar-pelajar mereka bersikap demikian. Suatu yang jelas ‘diperlihatkan’ di depan mata aku ialah sikap guru-guru yang seolah-olah tidak menunjukkan sikap perkauman antara satu dengan yang lain. Yang bertudung kelihatan semacam begitu mesra dengan yang tidak bertudung. Yang berkulit cerah tidak menampakkan kejanggalan bergaul mesra dengan yang berkulit sawo-matang. Mungkin agaknya wujud keadaan harmoni yang sebegini disebabkan kepimpinan atasan sekolah ini yang mahukan keadaan sedemikian. Agaknya begitulah.

Betul rupanya apa yang sentiasa diperkatakan oleh masyarakat umum. Jikalau dah pernah jadi guru, selama-lamanya akan menjadi guru. Amat bahagia sekiranya dipanggil ‘Cikgu’. Anak-anak yang berderetan lari dihadapan mata aku tidak tahu bahawa aku juga pernah berlari semacam mereka berlari. Dan para guru yang ada di situ juga tidak tahu bahawa aku juga pernah seperti mereka pada suatu ketika dulu mengawasi anak-anak lari dalam larian merentas desa (X-Country).

Terbayang di mata aku bagaimana Chan Siew, Malik, Sahrifuddin, Foo Chor, Krishnan, Subba Singh (semuanya berkaki ayam) disekitar tahun-tahun awal 60an lari merentas desa melalui Malay College, Rumah Sakit Kuala Kangsar, terus ke kawasan Basong dan balik ke sekolah (Clifford School, Kuala Kangsar). Dah lama ‘ceita’ ini berlaku tetapi masih terbayang dan masih segar dalam ingatan aku. Cuma yang agak ada persamaan dengan anak-anak yang lari dihadapan mata aku itu ialah hilai dan ketawa kami dulu semacam serupa dengan hilai dan ketawa anak-anak yang berlari di hadapan aku. Ketika itu kami juga tidak mengenali warna kulit.

Satu pagi aku menghabiskan masa di tepian Tasik MARDI. Pagi itu penuh dengan sejarah dan ingatan nostalgia. Aku tunggu peserta terakhir berlalu hanya untuk ‘memuas dan membahagiakan’ hati dan perasaan yang sudah lama kontang ini. Sampai ke peserta terakhir aku perhatikan bahawa semacam tidak ada batasan perkauman antara pelajar-pelajar yang terdiri dari anak-anak Malaysia ini.

 Hanya aku mengharapkan agar guru-guru yang mendidik anak-anak ini akan terus menyemaikan perasaan persaudaraan antara kaum-kaum di Malaysia supaya benar-benar wujud bangsa Malaysia menepati ertikata sebenarnya satu ketika nanti. Persetankan anasir-anasir luar yang cuba mengeruhkan hubungan kaum di negara yang tercinta ini.

Aku renung lama-lama tasik biru MARDI. Aku ‘hirup’ puas-puas udara bersih dan hembusan bayu dipersekitaran tasik MARDI. Aku pulang dengan persaan dan hati yang ‘terubat’ sebelum aku singgah sebentar untuk menikmati gulai kambing di salah sebuah restoran di MARDI.

abuhassanadam


Sunday, March 12, 2023

 

TAK AKAN LAH RAKYAT MALAYISA NI BODOH BENAR!!

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Maknanya beliau mahu bukanlah dia sorang yang kena. Samalah seperti mana anggapan yang dikatakan oleh Pak Pandir dalam cerita jenaka zaman dulu apabila beliau mengatakan, ' bukan anak aku sorang yang kena'.

Melihat kepada keadaan sehari dua ini, mengenai pertuduhan terhadap pemimpin Bersatu ini seolah-olah rakyat sedang meraikan satu peristiwa 'kemenangan'. Dan yang hairannya juga adalah yang kena tuduh diberikan publisiti yang meluas seolah-olah semacam tidak ada perkara luar biasa berlaku kepada yang dituduh. Ini pastinya membuat anak-anak atau orang muda hairan melihat keadaan begini berlaku. Semacam tidak nampak perasaan malu terpancar di muka pemimpin yang terlibat dengan rasuah itu.

Betulah bahawa mereka belum boleh dihukum bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Tetapi jikalau mengikut 'falsafah' orang tua-tua (Melayu) 'takkan lah bergoyang pokok jikalau tidak ada angin'. Jelas. Padat, kata-kata datuk nenek kita. Dan takkanlah tak terasa malu apabila sudah dihadapkan ke mahkamah dengan berbagai tuduhan. Dan 'sebodoh-bodoh' aku dapat aku fikirkan tentang 'kehebatan' yang tertuduh sanggup menyediakan wang jamin sejumlah dua juta ringgit. Dari mana datangnya wang sebanyak itu, diukur dari pendapatan seorang bekas Perdana Menteri. Mungkin aku silap. Itu belum lagi jumlah wang yang begitu banyak terlibat dalam perbicaraan ini.

Walaubagaimana pun rakyat tidak seharusnya terikut-ikut dengan sikap sebilangan kecil rakyat yang cuba mendewa-dewakan 'wira' mereka dan sentiasa meletakkan kesalahn kepada pemerintah, khususnya Perdana Menteri pimpinan DS Saudara Anwar Ibrahim. Aku faham benar bahawa DS Anwar Ibrahim tidak akan bertolak ansur dengan penglibatan 'najis rasuah'.Menurutnya, beliau bersama Jemaah Menteri dan agensinya serius untuk membendung isu ketirisan wang negara. 

Seterusnya beliau menambah,“Tidak boleh kita izinkan dana negara, dana negeri, dana bandar raya diambil secara haram untuk memperkayakan segelintir. Tidak mungkin kita izinkan sesiapa tanpa kecuali untuk merasa bebas untuk gondol hak rakyat dana rakyat dan merasa boleh terlepas' Katanya lagi, '“Saya nak pastikan hal ini tidak berlaku dan berilah kita kesempatan dalam kerajaan perpaduan ini untuk melaksanakan program kita bersihkan negara daripada segala keterlanjuran ‘perompak-perompak besar’ dan kita tumpu sepenuhnya dalam memelihara kepentingan rakyat...Saya tak peduli apa yang disebut, ditohmahkan di luar ataupun dianggap ini satu tindakan politik, tidak.

Anak-anak muda khususnya dan rakyat Malaysia umumnya cuba menung dan teliti kenyataan ini bahawa, "Semalam, Muhyiddin Yassin yang juga bekas perdana menteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta' Apakah itu bukan satu kesalahan besar yang amat memalukan walaupun belum terbukti bersalah. Namun pengikutnya tetap 'meraikan' dengan rasa tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Tuduhan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menambahkan lagi sokongan rakyat terhadap gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti. Betulkah begitu. Apakah rakyat Malaysia sudah hilang pertimbangan dan sudah tidak boleh berfikir dengan waras dan tidak dapat membezakan yang 'baik' dengan yang 'buruk'. Malang sekali sekiranya sebahagian besar rakyat Malaysia berfikiran sedemikian.

Setiausaha Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, situasi yang berlaku ketika ini sama sebagaimana reformasi semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan pada 1998 lalu. Betulkah begitu? Aku rasa keadaan yang berlaku semalam jika dibandingkan dengan peristiwa gerakan reformasi DS Anwar Ibrahim ibarat 'jauh panggang dari api' seperti membezakan antara malam dengan siang. Sehingga kini aku merasakan tidak ada tolak bandingnya antara gerakan Reformasi Anwar Ibrahim dengan gerakan selepas itu. Aku berada di situ melihat 'gerakan Reformasi' berjalan - tahun 1998.

Tak payahlah agaknya bermimpi disiang hari.


abuhassanadam

13 Mac 2023



Monday, March 6, 2023

 

'UNTUK MEMAJUKAN MELAYU!' KONON....

Seingat aku semenjak zaman berzaman (lebih tepat lagi semenjak diadakan pilihanraya pertama ) cara yang digunakan oleh pemimpin (Melayu) untuk menawan hati para pengundi ialah dengan mengatakan bahawa nasib bangsa Melayu akan terbela sekiranya rakyat mengundi parti yang mereka perjuangkan walaupun pada ketika itu isu pmbangunan negara diutamakan juga.

Sampai kini slogan 'memajukan Melayu' ini masih digunakan. Dan yang anihnya semacam orang Melayu yakin dengan slogan sedemikian. Mereka percaya yang nasib mereka akan terbela dengan memberikan undi kepada calon yang mereka pilih. Begitulah keadaanya setiap kali diadakan pilihanraya, rakyat digula-gulakan dengan  kata-kata manis 'untuk membela bangsa Melayu'.

Kini suasana sudah agak berubaha. Tidak perlu lagi menunggu pilihanraya, malah apabila berlaku penubuhan parti baru, penaja dan pemimpin akan mengutarakan hasrat untuk membela bangsa Melayu sebagai matlamat utama. Dan ada juga pemimpin yang mewar-warkan hasrat sedemikian. Dan ada juga rakyat yang yakin dengan kata-kata demikian walaupun rakyat sedar bahawa para pemimpin yang menaja parti baru pernah mentadbir negara. Persoalannya mengapa mereka tidak melakukan sebagaimana yang dikatakan oleh mereka. Pendek kata penubuhan sesuatu parti (baru) sudah merupakan peluang untuk cari makan bagi pemimpinnya. Mungkin.

Tun Mahathir bimbang akan nasib orang Melayu sekiranya tidak diselamatkan, takut akan mengalami seperti nasib malang jatuh ke tangan Singapura. Keadaan sedemikian harus diselamatkan. Sebenarnya ‘si tidur makanan si jaga’ itu merupakan peribahasa yang dimiliki oleh orang Melayu tetapi ‘dipopular’kan oleh Saudara Lee Kuan Yew pada awal tahun 1960an dulu. Dan dengan demikian ramailah orang menggunakannya untuk menggambarkan suasana di mana sekiranya kita dalam keadaan bodoh dan pandir, maka akan senanglah kita diperbodohkan oleh golongan yang cerdik.

Lebih kurang sama dengan cerita Sang Kancil (pelanduk) yang digambarkan sebagai seorang yang cerdik yang sentiasa memperdayakan harimau (walaupun kuat dan gagah tetapi sentiasa diperdayakan oleh Sang Kancil yang kerdil tetapi cerdik) atau gajah ( yang memiliki tubuh badan yang besar tetapi lurus bendul dan bodoh) atau buaia ( yang juga merupakan sebagai ‘raja’ di air tetapi bodoh dan mudah diperdayakan oleh Sang Kancil yang cerdik).

Orang Melayu sejak zaman berzaman tidak pula mengambil iktibar daripada hikayat Sang Kancil itu dan mahu menjadi seperti Sang Kancil ( supaya menjadi manusia yang cerdik agar jangan tertipu). Malah orang Melayu sejak berzaman (mungkin pada hari ini anak-anak sudah tidak mengetahui tentang hikayat Sang Kancil disebabkan sudah ramai guru-guru tidak lagi menumpukan kepada Hikayat Sang Kancil) tidak disarankan supaya menjadi manusia cerdik seperti Sang Kancil agar tidak tertipu di negara sendiri.

Kecuali watak Sang Kancil, kebanyakan watak dalam cerita jenaka orang Melayu menggambarkan orang Melayu sebagai manusia yang bodoh, pandir dan sentiasa ditertawakan apabila membaca kisah mereka. Pak Pandir adalah kisah manusia Melayu yang bodoh, tolol. Pak Kaduk juga cerita orang Melayu yang bodoh (bodoh tak boleh diajar dan cerdik tak boleh diikut). Mat Jenin kisah orang Melayu yang suka berkhayal, ‘bermimpi di siang hari’, mengimpikan sesuatu yang tidak mungkin berlaku – berkahwin dengan tuan puteri raja. Lebai Malang pula mengkisahkan tentang orang Melayu yang tidak boleh membuat keputusan dengan tepat.

Pendek kata, hampir kesemua cerita yang dihidangkan kepada orang Melayu semenjak zaman berzaman adalah mengenai orang Melayu yang bodoh, tongong, pandir, bangang..Dan aku tidak terkecuali juga dalam kumpulan ini kerana aku juga orang Melayu tulin. Bapak aku juga adalah puterabumi, keturunan sakai di negara ini. Aku sentiasa berbangga mengatakan bahawa Tanah Melayu ini adalah kepunyaan orang Melayu walaupun amat disedari bahawa tidak banyak yang dapat dibanggakan mengenai orang Melayu. Aku yakin ramai orang Melayu kini bersikap sepertimana yang aku gambarkan itu.

Semenjak zaman berzaman orang Melayu sentiasa mencari ‘orang lain’ sebagi punca yang menyebabkan mereka gagal. Orang Melayu tidak berjaya dalam lapangan ekonomi, maka orang Cinalah yang dipersalahkan sedangkan mereka (orang Melayu ) lupa bahawa segala kekayaan yang diperolehi bangsa lain di negara ini bukanlah diperolehi oleh mereka dengan berangan-angan seperti Mat Jenin, ataupun bersikap seperti Pak Kaduk atau Lebai Malang. Mereka rajin berusaha dan tidak pernah mengenal penat lelah. Orang Melayu seharusnya mengikut contoh yang dipamerkan oleh mereka.

Ada sebilangan kecil Orang Melayu menunjukkan ‘kekuatan’ pada tempat yang salah dan ‘ketinggalan zaman’. Kurun ke 21, seluruh dunia menekankan tentang ilmu pengetahuan yang menjadi senjata dan perisai untuk maju sedangkan ramai lagi orang Melayu yang tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan penguasaan ilmu pengetahuan itu. Orang lain peka dengan perkembangan zaman dan dapat berfikir dengan waras dalam memilih arah tuju kehidupan pada zaman yang penuh mencabar ini sedangkan orang Melayu masih ditakuk lama.

Yang paling menyedihkan ialah masih ramai orang Melayu yang masih boleh ‘dibeli’ prinsip hidup dan perjuangan mereka. Dan keadaan sedemikian bukan sahaja berlaku kepada rakyat biasa di kampung-kampung tetapi berlaku juga dikalangan pemimpin Melayu yang ke hulu ke hilir, terpekik dan terlolong meneriakkan perkataan ‘perjuangan membela bangsa ‘ sedangkan mereka hanya mempamerkan slogan kosong. Ibarat kata peribahasa Melayu, ‘ ….hanya kokok yang berderai sedangkan ekor bergelumang tahi..’

Golongan sebegini bukan sahaja boleh dianggap sebagai ‘pemakan dedak’ tetapi lebih menepati apa yang sentiasa diperkatakan oleh Saudara Lee Kuan Yew pada suatu ketika dahulu ia itu, golongan ini merupakan golongan ‘yang tidur’ dan tentunya akan dimakan oleh ‘si jaga’.

Agak keterlaluan jikalau aku mempersoalkan tentang apakah kebanggan yang dimiliki oleh orang Melayu kini. Jikalau Singapura yang pada suatu ketika dahulu (1950an dan 1960an) adalah hampir sama kedudukannya dengan negara kita Malaysa ditinjau dari segenap aspek, maka kini Singapura sudah berada begitu jauh dihadapan meninggalkan negara kita Malaysia. Kejayaan yang dicapai oleh Singapura hanya ekoran kerja kuat pemimpin dan rakyatnya dalam masa 40 tahun. Dan kini mereka sudah merupakan sebuah negara yang begitu berjaya dan membanggakan.

Tun Mahathir bimbang dan takut bangsa Melayu terjadi menjadi Melayu seperti di Singapura. Apakah ketakutan sedemikian harus diwarisi oleh orang Melayu di Malaysia. Ataupun mungkin kita perlu berubah mengikut peredarann zaman.


abuhassanadam

7 Mac 2023


            

Sunday, March 5, 2023

 

'MUDAH LUPA' DAN 'MUDAH PERCAYA'

Tun Mahathir sentiasa mengatakan bahawa orang Melayu mudah lupa. Itulah merupakan dendangan Tun semenjak zaman berzaman. Asyik menyalahkan orang Melayu apabila mempersoalkan mengapa orang Melyu masih lemah. Dan begitu jugalah merupakan dendang pemimpin Melayu yang ada di negara ini yang sentiasa melepaskan 'geram' terhadap orang Melayu tanpa sedikit mahu mengaku kelemahan orang Melayu itu berpunca daripada tindakan pemimpin Melayu itu sendiri.

Tun M menyifatkan Kerajaan Perpaduan gagal membawa perubahan besar kepada rakyat, malah Anwar dianggap tidak beri apa-apa kesan untuk negara. Betulkah begitu pandangan Tun M sendiri terhadap DSAI. Bukankah sudah kelihatan jelas perubahan yang cuba dilaksanakann oleh DSAI dan cuma tentulah tidak terjelma sekelip mata. Begitu jugalah apabila beliau cuba membuat perubahan ketika zaman pemerintahannya dahulu dan tentulah menunggu buat sekian lama untuk menuai hasilnya. Tiada sebarang perubahan yang boleh dibanggap mampu ditonjolkan sepanjang 100 hari Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri dan menerajui negara, kata Dr Mahathir Mohamad.

Lantas bekas Perdana Menteri, itu mengorak langkah baru menegaskan penyertaannya dalam Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hanya untuk memperjuangkan nasib orang Melayu. Konon! Masih lagi menggunakan slogan 'memperjuangkan nasib orang Melayu'. Lagi 'memperjuangkan nasib orang Melayu' digunakan. Semenjak perjuanagan menuntut kemerdekaan lagi slogan 'memperjuangkan nasib orang Melyu ' sudah 'lunyai' digunakan. Itulah merupakan slogan paling 'laku' untuk menarik perhatian orang Melayu yang 'mudah lupa' dan 'mudah percaya'.

Orang Melayu sentiasa disogokkan dengan ketakutan Malaysia akan menjadi sebuah negara seperti Singapura pada satu ketika nanti. Salahkah kita menjadi sebuah negara seperti Singapura. Salahkah dan tidak berbanggakah kita  bangsa Malaysia, orang Melayu seperti orang Melayu Singapura. Hanya kita yang menganggap orang Melayu Singapura tidak bahagia hidupnya di negara berkenaan sedangkan mereka menikmati hidup bersesuaian dengan keadaan Kurun ke21. Berbanding dengan keadaan di Malaysia pastinya orang Melayu di Singapura lebih bahagia hidupnya dengan mendapat kemudahan-kemudahan yang sukar diperolehi di negara kita.

Aku berpeluang berbincang secara bebas dengan salah seorang orang Melayu Singapura pada suatu ketika dahulu, tahun 1986 ia itu ketika kami sama-sama menuntut di Stanford University, Palo Alto, California. Beliau ketika itu salah seorang penuntut Phd bidang Petroleum Engineering. Yaakub Ibrahim yang juga bekas seorang menteri kerajaan Singapura. Dalam perbualan kami ketika itu tidak pernah Yaakub merasa kecewa berada di bawah kerajaan Singapura. Malah dia merasa bertuah kerana dapat berada di bawah pentadbiran Lee Kuan Yew ketika itu.

Aku merasakan rakyat Malaysia  (Khususnya Melayu) harus meniru apa yang berlaku kepada orang Melayu di Singapura dan bukan menjauhkan diri. Orang Melayu harus berani menceburkan diri dalam lapangan yang sentiasa 'ditakut-takutkan' oleh pemimpin Melayu. Kadang-kadang sengaja pemimpin Melayu di Malaysia menggunakan 'fear-paradigm' untuk menakut-nakutkan orang Mlelayu, supaya orang Melayu sentiasa 'mengharapkan' pertolongan mereka. Inilah yang telah berlaku semenjak beberpa lama.

Sudah sampai masanya anak-anak muda menjauhkan diri dari pemimpin yang sebegini.


abuhassanadam

6 Mac 2023



Friday, March 3, 2023

 BERASA MEGAH SEBAGAI PENGKHIANAT NEGARA

Kadang-kadang ada diperhatikan  bahawa terdapat yang menggelarkan diri mereka 'pemimpin'  sebenarnya merupakan sebagai petualang dan pengkhianat negara. Apa tidaknya. Walaupun kelihatan tidak bertindak sebagai pengkhianat (menepati ertikata sebenarnya) namun apa yang dilakukan sebenarnya memberikan kesan negatif kepada negara.

Mungkin mereka tidak menyedari bahawa sebenarnya apa yang diucapkan oleh seseorang pemimpin itu mencalarkan imej negara yang mungkin menelurkan akibat negatif kepada negara. Mungkin mereka tidak sedar tentang kesan kesampingan sedemikian. Atau pun mungkin mereka sedar namun sengaj dilakukan untuk 'memalukan' pihak lawan.

Ada pemimpin (menggelarkan diri sebagai pemimpin) yang meramalkan bahawa kerajaan perpaduan pimpinan PM DSAI akan jatuh tumbang tidak lama lagi. Walaupun kenyataan sedemikiann tidak mudah untuk dipercayai namun pasti ada juga yang yakin dengan kenyataan sedemikian apatah lagi oleh pengikut tegar pemimpin berkenaan.

Yang paling malang sekali ialah pemimpin yang sanggup mengeluarkan kenyataan demikian lupa tentang pandangan pemimpin luar negara yang kini sedang memerhatikan perkembangan dari berbagai aspek tentang negara kita, khususnya tentang kestabilann politik yang boleh mendorong kepada kemajuan ekonomi. Para pelabur luar negara pastinya melihat aspek kestabilan politik yang boleh mendorong mereka untuk melabur di negara kita. Dan apabila dilihat bahawa negara masih lagi belum aman dan tenteram, maka amat sukar mereka menanam modal dalam negara yang sedemikian rupa..

Apakah mereka (yang boleh disifatkan sebagai pengkhianat negara) tidak memikirkan hal sedemikian. Apakah mereka sentiasa dalam keadaan 'syok sendiri' tanpa memikirkan kesan buruk yang menimpa negara. Apakah mereka berpuas hati sekiranya dapat mempengaruhi pemikiran anak muda untuk menyokong mereka dan membenci pentadbiran kearajaan yang ada.

Sudah...sudahlah. Alangkah baik dan mulianya sekiranya kita sama-sama berjuang untuk membina negara tercinta.

abuhassanadam

4 Mac 2023