Monday, November 23, 2015

BAHASA INGGRIS DI SARAWAK : APA KOMEN ‘PEJUANG’ UMNO DAN PERKASA?

            Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak amat berani. Bukan sahaja berani tetapi tegas dalam usahanya melaksanakan dasar menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi di Sarawak seiring dengan Bahasa Malaysia. Sudah dua hari pengumuman tentang hal ini dibuat namun tidak banyak komen yang diberikan terhadap tindakannya itu.

            Apakah kerajaan pusat yang terasnya diterajui oleh UMNO bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh Ketua Menteri Sarawak itu? Apakah para pejuang PERKASA yang sentiasa menitikberatkan tentang ‘Melayu’ juga akur dengan perkembangan yang berlaku di Sarawak ini. Dimanakah hilangnya ‘suara-suara’ para pejuang bahasa yang kebiasaannya akan menjerit, terpekik dan terlolong apabila ‘disentuh’ saja tentang soal bahasa dan agama di negara ini.

            Bagi aku TS Adenan Satem bukan sahaja berani dan tegas tetapi amat praktikal dalam melaksanakan dasar yang diperlukan bagi kepentingan rakyat Sarawak. “Defending his decision in making English, along with Bahasa Malaysia (BM) as the preferred official language of the state administration, he said it would be unrealistic to expect people in other countries to speak in BM when doing business here. He said this in front of the captains of the industry at the Sarawak Chambers of Commerce and Industry's 64th annual dinner” Malaysian Insider 21 November 2015.

            Tambahnya lagi, “We are not living on the moon and I am being practical…..It is not only the language of the Anglo-Saxons. It is the language of the world, not Bahasa Malaysia” Dan kenyataan yang lebih kurang sama telah diucapkan oleh Tun Mahathir pada suatu ketika dahulu. Pernah Tun menyatakan,’ “All journals on advances in science and research are in English. Therefore, if we want to make progress and stay par with the developed world, we must master the English language,” he said in his keynote address at the Malaysia-Africa Summit 2014.(Malay Mail Online 18 September 2015).
            Persoalannya sekarang ialah mengapakah setelah setengah abad kita merdeka, baru disedari tentang keadaan ini? Mungkin tidak perlu lagi menangisi keadaan ‘nila setitik yang merosakkan susu se belanga’. Dan orang putih kata, ‘don’t cry over the spilt milk’. Ataupun mungkinkah tindakan TS Adenan Satem ini amat tidak kena dalam soal untuk mewujudkan identiti bahasa dan bangsa Melayu.
            Antara pengkritik yang kurang senang dengan tindakan kerajaan Sarawak itu ialah Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia, Datuk Zainal Abidin Borhan yang menyatakan bahawa tindakan TS Adenan Satem itu bercanggah dengan artikel 152 Perlembagaan Malaysia yang berkaitan dengan kedudukan Bahasa Malaysia. Beliau menyarankan agar Ketua Menteri sarawak itu menimbangkan semula keputusan yang telah dibuat.
            Saranan beliau itu disanggah pula oleh Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Menteri Perumahan Sarawak yang mengatakan bahawa oleh kerana Dewan Undangan Negeri Sarawak tidak pernah mengesahkan Akta Bahasa Kebangsaan 1967, maka katanya Bahasa Inggeris masih lagi bahasa rasmi di negeri itu walaupun menerima Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.
            Keadaan di Sarawak berbeza dengan keadaan di Sabah. Mengikut Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Salleh Said Keruak bahahwa semenjak tahun 1971 lagi, Sabah telah melaksanakan Baasa Malaysia sebagai bahasa rasmi. Katanya lagi,In 1971, the state government announced the enactment that we recognise Bahasa Malaysia as the official language…That is why we are different from Sarawak. Sarawak did not do so. This should be emphasised to make the people understand that the official language in Sabah is Bahasa Malaysia,” (Free Malaysia Today 21 November 2015).
            Terlintas pula aku tentang pandangan Saudara Lee Kuan Yew ketika ditemui oleh Fareed Zakaria (CNN)  pada suatu ketika dahulu yang berkaitan dengan penggunaan bahasa di Singapura. Pada awal pentadbirannya selepas sahaja perpisahan dengan Malaysia, Saudara Lee merasakan bahawa Bahasa Inggeris adalah amat penting sebagai bahasa antarabangsa. Namun para pejuang bahasa Cina dan bahasa lain masih mahu menegakkan bahasa masing-masing. Beliau membiarkan keadaan sedemikian berterusan tetapi memberatkan penggunaan Bahasa Inggeris dan sekolah Inggeris sehinggakan rakyat Singapura dari keturunan Melayu, Cina dan India sedar tentang kepentingan bahasa Inggeris dan mengubah haluan dan menggantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris.
            Seingat aku di Tanah Melayu, sebelum dan selepas beberapa tahun selepas merdeka sikap rakyat Malaysia juga begitu. Ramai keluarga Cina menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris dan ‘meninggalkan’ sekolah Cina. Dan begitu juga dengan keluarga Melayu yang sedar tentang kepentingan Bahasa Inggeris telah menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris sehinggalah aliran kebangsaan diperkukuhkan bermula pada tahun 1970an.
            Kini TS Adenan Saten telah mengorak langkah dan pasti ‘mengocakkan’ air yang tenang. TS Adenan Saten berani berbuat demikian atas keyakinannya bahawa tindakannya itu akan menguntungkan rakyat Sarawak yang dipimpinnya. Apatah lagi seolah-olah beliau telah mendapat sokongan padu dari rakyat, termasuk pihak pembangkang.
            Namun begitu tindakan beliau agak bertentangan dengan hasrat kerajaan pusat sebagaimana yang dikatakan oleh Datuk Zainal Abidin Borhan. Tentunya rakyat ingin melihat reaksi dari ‘pejuang-pejuang’ UMNO dan PERKASA tentang tindakan TS Adenan Saten ini. Dan gelanggang ini amat sesuai ‘dibuka’ seiring dengan Persidangan Agung UMNO yang akan diadakan tidak berapa lama lagi.
            Selamat berjuang….

abuhassanadam
23 November 2015’

London

Sunday, November 22, 2015

LAWATAN OBAMA : SEPERTI TEMPUA BERSARANG RENDAH

Luarbiasanya hubungan Presiden Barack Obama dengan DS Mohd Najib Tun Abdul Razak tentunya ada sesuatu yang terselindung yang amat sukar dimengertikan oleh rakyat biasa. Pastinya ada sesuatu rahsia yang sedang ‘disembunyikan’ untuk ditidak diketahui secara umum oleh rakyat Malaysia. Jikalau tidak masakan Presiden Amerika Syarikat itu sanggup ‘mencemar duli’ dan ‘merendah diri’ dan sanggup pula semacam ‘berdiri sama tinggi’ dan ‘duduk sama rendah’ dengan pemimpin sebuah negara yang amat kerdil berbanding dengan negara-negara besar dunia yang lain.

            Kenyataan Maria Chin Abdullah selaku Pengerusi BERSIH yang menyatakan, ‘ He (Obama) said while the US recognised the civil liberties violation in Malaysia but at the same time they have to balance the issue with the economic ties they have with Malaysia. So that tells you quite a bit and this message was repeated not once but twice’.
           
            Maknanya ‘minat’ Obama untuk ‘bekerjasama’ dengan Malaysia dalam hal TPPA terlalu tinggi dan seolah-olah meletakkan harapan yang begitu tinggi agar Malaysia ‘tak boleh tidak’ mesti menyertai pertubuhan ini. Dan yang anihnya pula ialah pemimpin Malaysia terutamanya YB DS Mustafa Muhammad selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri semacam tidak berani ‘membuka mulut’ bagi membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan TPPA. Lantas rakyat yang perhatin tentang keadaan negara terus menerus mempersoalkan mengenai TPPA ini.

            Jikalau betul kerajaan begitu yakin dengan kebaikan pelaksanaan TPPA bagi negara, mengapa tidak dibentangkan saja dalam persidangan parlimen yang sedang berlaku sekarang supaya dapat dibahas dan dibincangkan. Dan supaya rakyat dapat menilai baik buruknya pelaksanaan TPPA ini. Mengapa pihak kerajaan terus menerus menggalakkan rakyat ‘berteka-teki’ tentang sesuatu dasar yang hendak dilaksanakan.

            Teringat pula aku tentang ketelusan pemimpin Singapura ketika mahu menyertai Persekutuan Malaysia dalam tahun 1960an dulu. Lee Kuan Yew mengadakan referendum dan meminta rakyat Singapura memberikan persetujuan mereka samada ingin menyertai Malaysia ataupun tidak. Dan hasil referendum berkenaan rakyat Singapura telah memberikan lampu hijau agar Singapura menyertai Malaysia. Itu yang dinamakan ketelusan dalam pimpinan. Justeru cadangan Parti Amanah Negara supaya diadakan referendum bagi menentukan setuju tidaknya rakyat negara ini menyertai TPPA adalah wajar.

            Dalam satu perjumpaan dengan pemimpin belia ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini, Presiden Obama ada menyatakan bahawa, ‘the governments of the 12 participating countries needed to meet behind closed doors to speed up negotiations and reach an agreement.’Otherwise we will never get it done. What we’ve done is close the initial deal and now the agreement will be reviewed by each country and it will need to be ratified by their respective parliaments. I still have to get it (the TPPA) to be passed in Congress…” (Starits Times 20 November 2015)

            Berdasarkan kenyataan berkenaan menampakkan pula tentang ‘keikhlasan’ Obama. Walaupun telah diwar-warkan oleh kebanyakan sumber berita bahawa TPPA ini akan menguntungkan Amerika dan ‘merugikan’ negara-negara seperti Malaysia, namun pihak Amerika Syarikat memberikan ruang untuk rakyat negara seperti Malaysia membincangkannnya. Parlimen Malaysia mesti membincangkannya secara terbuka sebelum dapat diterima. Dan Obama sendiri perlu menjelaskan tentang pertubuhan ini kepada Congress dan tugas beliaulah untuk meyakinkan ahli Congress Amerika tentang baik buruknya cadangan berkenaan.

            Aku teringat pula kata-kata Lee Kuan Yew dalam tahun 1960an dulu. Katanya, ‘si tidur makanan si jaga’. Dalam hal TPPA ini pemimpin Malaysia harus berhati-hati, takut tersilap langkah yang akibatnya tentulah menimpa rakyat Malaysia.Cuma yang merunsingkan kebanyakan rakyat kini ialah kemampuan ahli parlimen kita untuk menganalisis buruk baiknya TPPA yang dicadangkan oleh Amerika itu. Bolehkah ahli parlimen kita meneliti dengan secara kritikal dan memberikan pendapat yang bernas tentang keburukan dan kebaikannya.

            Rakyat sudah semacam ragu-ragu tentang kemampuan berfikir kebanyakan ahli parlimen yang memanaskan kerusi parlimen Malaysia walaupun mereka itu merupakan pilihan rakyat. Dan sekiranya ahli parlimen tidak berhati-hati dalam membuat penentuan itu berkemungkinan besar Malaysia bertembung dengan satu lagi bentuk penjajahan yang lebih hebat daripada penjajahan yang pernah kita alami pada Kurun ke 19 dan 20 dulu. Mungkin rakyat tidak sedar bahawa bentuk penjajahan Kurun 21 adalah lebih ‘sophisticated’ dan ‘complex’.

            Tentunya amat sukar difahami dan dimengertikan oleh pemikiran setengah ahli Parlimen kita. Agaknya begitu lah……

abuhassanadam
22 November 2015

London

Saturday, November 21, 2015

HAL EHWAL PELAJAR MALAYSIA LUAR NEGARA DIBAWAH YAPIEM / JAWI ???........

            Membaca tentang berbagai laporan mengenai kisah YAPEIM mengadakan berbagai kursus perkahwinan untuk pelajar di luar negara, terpanggil pula aku untuk mempersoalkan beberapa perkara yang berbangkit. Sebagai ‘orang tua’ yang pernah terlibat dalam ‘hal-hal sebegini’ suatu ketika dahulu amat memerlukan penjelasan. Sekurang-kurangnya untuk dapat dimengertikan oleh rakyat yang agak dangkal tentang isu-isu yang sebegini.

·      Membaca tentang laporan-laporan dan kenyataan yang diberikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (DS Jamil Khir Baharom) dan kenyataan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), Paimuzi Yahya menampakkan bahwa seolah-olah hal ehwal pelajar luar negara telah berada dibawah YAPEIM dan bukan lagi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Atau apakah aku tidak sedar tentang pertukaran tanggungjawab ini?

·      Dari laporan-laporan yang dipaparkan menunjukkan bahawa kursus perkahwinan adalah amat penting diberikan kepada pelajar-pelajar. Aku tidak menafikan hakikat itu tetapi apakah kursus yang sedemikian menjadi keutamaan sehinggakan sanggup berbelanja ratusan ribu ringgit semata-mata untuk mengadakan kursus sedemikian rupa.
            Izinkan aku memetik kenyataan Pengarah JAWI, Encik Palmuzi Yayaha yang mengatakan bahawa, "Dari segi ekonomi memang jimatkan bajet pelajar di luar negara untuk kursus perkahwinan……Apabila (kursus) dibuat di luar negara kita kumpulkan 150 orang dan penceramahnya dua atau tiga orang di mana belanjanya memang sedikit…..Itulah keuntungan yang akan diperolehi pelajar luar negara (tanpa perlu balik ke Malaysia untuk hadir kursus),"
            Aku tidak menafikan kepentingan kursus-kursus perkahwinan sedemikian tetapi soalnya hendaklah mengikut ‘tertib’nya. Mengikut keutamaannya. Kita harus faham bahawa keutamaan yang diberikan tumpuan kepada pelajar ialah untuk lulus dengan cemerlang dalam bidang-bidang yang diceberu oleh mereka dan bukan memikirkan soal kahwin. Aku yakin jikalau ditanyakan keutamaan ibu bapa pelajar di Malaysia, pasti mereka mahukan anak mereka lulus dengan cemerlang dalam bidang-bidang kejuruteraan (Perancis dan German)
            Dan yang ‘memeningkan’ kepala kebanyakan takyat Malaysia ialah kenyataan ‘Tuan Pengarah Jawi’ yang mengatakan bahawa, ‘…..Itulah keuntungan yang akan diperolehi pelajar luar negara (tanpa perlu balik ke Malaysia untuk hadir kursus)”. Apakah sampai begitu sekali pentingnya kursus perkahwinan sehinggakan sanggup memanggil pulang pelajar semata-mata untuk mengikuti kursus perkahwinan. Mungkin agaknya pemikiran aku sudah amat jauh menyimpang dari norma sebenar. Mungkin.
            Timbul pula pertanyaan lain yang ‘menendang dan menerajang’ benak aku ia itu tentang apakah JAWI dan YAPEIM juga mengadakan kursus perkahwinan di pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia. Apakah seluruh pelajar Islam di UITM atau di Taylors College di Subang Jaya itu telah mengikuti kursus perkahwinan? Dan aku yakin tidak dan mungkin belum lagi diadakan kursus sedemikain. Dan apakah bezanya pelajar Islam di pusat pengajian tinggi tempatan dengan pelajar Islam di Paris atau di Chicago?
            Dan yang paling malangnya lagi ialah perbelanjaan untuk menjalankan kursus berkenaan berjumlah ratusan ribu ringgit. Lebih menakjubkan lagi kononnya Kursus program yang dinamakan ‘Simposium Perdana Paris membincangkan Isu Perkahwinan, Kekeluargaan, Keusahwanan dan Pengurusan’. Persoalannya ialah apakah kepakaran YAPEIM dan JAKIM sudah boleh mengendalikan kursus-kursus yang berkaitan dengan keushawanan dan pengurusan dan tidak lagi terbatas dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam sahaja.
            Dan dinyatakan juga bahawa tujuan diadakan program berkenaan di Perancis, “ bagi memastikan pelajar Malaysia di negara itu tidak terpengaruh dengan LGBT” Aku tidak pula menafikan tentang kepentingannya untuk disampaikan kepada pelajar-pelajar. Tetapi soalnya apakah perlu satu program khas yang dinamakan ‘Simposium Perdana Paris’ untuk membincangkan isu berkenaan yang mana para peserta simposium perlu didatangkan dari Malaysia dengan perbelanjaan ratusan ribu ringgit. Apakah pegawai kedutaan di Paris tidak boleh diminta kerjasama untuk memberi penjelasan yang sedemikian. Ataupun mungkin boleh diarahkan Attache Agama Islam dari Jabatan Penuntut Malaysia di London untuk bekerjasama alam hal sedemikian.
            Aku merasakan sudah begitu lama kerajaan Malaysia membelanjakan wang yang begitu banyak untuk perkara-perkara yang bukan keutamaan. Sudah berbillion ringgit wang negara digunakan untuk perkara-perkara yang bukan ‘keutamaan’ ( yang semestinya bukan tidak penting). Para menteri dan pegawai tinggi kerajaan haruslah berhemah dan ‘bertimbang rasa’ dalam menetukan keutamaan yang perlu dilaksanakan.
            Sudah terlalu lama kita membincangkan isu-isu remeh yang kadang-kadang dirasakan kurang berfaedah dan membuang masa.

abuhassanadam
21 November 2015

London

Friday, November 20, 2015

PISANG EMAS DIBAWA BELAYAR

            Pisang Emas dibawa belayar
            Masak sebiji diatas peti
            Hutang emas boleh dibayar
            Hutang budi dibawa mati

            Artikel Datuk Zaid Ibrahim dalam The Malay Mail Online yang berjodol, ‘Zaid suggests more non-Malays get top posts to replace ‘cowards’ in power” menarik perhatian aku. Walaupun tidak aku persetujui seratus peratus, sekurang-kurangnya artikel berkenaan merupakan ‘eye-opener’ dan elok difikirkan.

            Aku pun hairan dan mempersoalkan ‘mengapa jadi begini?”
           
            Tidak keterlaluan agaknya jika dikatakan bahawa semacam sudah tidak ada langsung perasaan tanggungjawab setengah pegawai tinggi kerajaan Malaysia (kebanyakannya orang Melayu) terhadap usaha untuk membetulkan keadaan negara yang berada dalam keadaan ‘kucar-kacir’ kini ekoran daripada isu IMDB dan wang berjumlah RM 2.6 billion ringgit yang dimiliki akaun DS Mohd Najib.

            Yang menghairankan juga ialah bahawa ada sekumpulan orang Melayu yang semacam tidak peduli apa yang berlaku kepada negara dan hanya mementingkan ‘perut’ dan ‘tembolok’ keluarga mereka sendiri. Seingat aku keadaan sebegini belum pernah berlaku lagi dalam sejarah Malaysia amnya dan sejarah orang Melayu khususnya.

            Mungkinlah agaknya zaman Si Kitul dan Raja Mendeliar dalam sejarah kerajaan Melayu Melaka dulu saja yang boleh menandingi keadaan dan suasana politik di negara kita kini. Mungkin. Hendak rasanya aku bandingkan keadaan di negara kini dengan zaman Perancis di bawah pemerintahan Louis XVI dan isterinya yang bernama Marie Antionette yang berakhir dengan tercetusnya Revolusi Perancis pada tahun 1789. Mungkin keterlaluuan sekiranya aku membuat perbandingan sedemikian rupa.

            Apa puncanya keadaan di Malaysia kini jadi begitu?

            Hendak aku katakan yang pegawai-pegawai tinggi Melayu di Puterajaya yang menerajui berbagai institusi kerajaan kini sebagai ‘coward’ (istilah yang digunakan oleh Dato’Zaid Ibrahim), tentulah tidak semuanya begitu. Dan hendak aku katakan bahawa pegawai tinggi berbangsa Melayu tidak setanding dengan pegawai tinggi bukan Melayu, tidak juga aku mahu katakan begitu.

            Seingat aku pegawai Melayu yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia yang terdididik dibawah penjajah Inggeris merupakan ‘the towering Malays’ yang telah berjaya meletakkan negara ini pada kedudukan sebagaimana negara-negara lain yang telah merdeka. Lihat sajalah brisan menteri kabinet selepas merdeka yang terdiri daripada tokoh-tokoh yang bukan calang seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail, Tun Tan Siew Sin, Tun Sambanthan dan ramai lagi. Terpulanglah kepada para pembaca untuk membandingkan barisan kabinet selepas merdeka itu dengan barisan Menteri Kabinet DS Mohd Najib kini. Apakah perbandingan itu semacam membandingkan antara bumi dengan langit?

            Dari segi petugas dalam bidang kehakiman pula, negara dengan bangganya memiliki Tun Sufian Hashim, Tun Azlan Shah, Datuk Harun Hashim (yang membuat keputusan mengharamkan UMNO) dan lain-lain. Dari segi perkhidmatan awam, negara bertuah memiliki Tan Sri Abdullah Ayub, TS Ishak Tadin, Dato’ Hassan Ibrahim dan ramai lagi yang tidak dapat disenaraikan. Dalam bidang pendidikan kita memiliki Prof Ungku Aziz yang bukan sahaja terkenal dalam negara tetapi juga hampir seluruh dunia. Dengan sendirinya memberikan makna bahwa orang Melayu tidak selekeh sebagaimana yang digambarkan kini. Sememangnya pegawai Melayu yang menerajui pentadbiran kerajaan pada ketika itu mempnyai ‘tulang belakang’ yang cukup kuat dan melaksanakan tugas mereka ‘without fear or favour’.

            Tetapi persoalannya mengapa kebanyakan pegawai Melayu kini sudah tidak menyerupai ‘sikap dan perangai’ pegawai tinggi Melayu zaman lampau. Apakah sistem pendidikan yang dirangka selepas Merdeka itu yang menyebabkan orang Melayu menjadi ‘lembik dan longlai’? Atau apakah Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 1970 itu yang menyebabkan anak Melayu sentiasa mengharapkan ‘tongkat’ untuk bergerak yang kesannya melahirkan pegawai tinggi Melayu yang tidak dapat bergerak dengan sendiri.

            Terlalau banyak sangat persoalan yang perlu dipecahkan dalam catatan yang pendek ini. Sekurang-kurangnya aku cuba memberikan sedikit gambaran tentang kekecewaan yang dialami oleh kebanyakan rakyat Malaysia kini ia itu tentang keadaan negara yang tidak ketahuan tentang arah tujunya. Hendak ditangisi tentang nasib bangsa yang sedang hanyut ini, sudah agak kering air mata yang menangis namun orang Melayu masih belum sedar tentang nasib bangsa yang sedang hanyut sedangkan bangsa lain sedang bergerak maju mengukir zaman.

            Agaknya inilah rupa bangsa yang telah termakan budi. Agaknya dengan sebab sudah termakan budilah agaknya maka ramai pegawai tinggi Melayu dalam pentadbiran kerajaan kini sudah kehilangan arah dan sudah lupa akan tanggungjawab untuk membina dan membetulkan keadaan negara supaya berada di landasan yang  sebenarnya.

            Bijak sungguh datuk nenek kita mencipta pantun berikut. Biar aku ulang sekali lagi

            Pisang Emas dibawa belayar
            Masak sebiji diatas peti
            Hutang emas boleh dibayar
            Hutang budi dibawa mati

abuhassanadam
20 November 2015
London