Sunday, November 22, 2015

LAWATAN OBAMA : SEPERTI TEMPUA BERSARANG RENDAH

Luarbiasanya hubungan Presiden Barack Obama dengan DS Mohd Najib Tun Abdul Razak tentunya ada sesuatu yang terselindung yang amat sukar dimengertikan oleh rakyat biasa. Pastinya ada sesuatu rahsia yang sedang ‘disembunyikan’ untuk ditidak diketahui secara umum oleh rakyat Malaysia. Jikalau tidak masakan Presiden Amerika Syarikat itu sanggup ‘mencemar duli’ dan ‘merendah diri’ dan sanggup pula semacam ‘berdiri sama tinggi’ dan ‘duduk sama rendah’ dengan pemimpin sebuah negara yang amat kerdil berbanding dengan negara-negara besar dunia yang lain.

            Kenyataan Maria Chin Abdullah selaku Pengerusi BERSIH yang menyatakan, ‘ He (Obama) said while the US recognised the civil liberties violation in Malaysia but at the same time they have to balance the issue with the economic ties they have with Malaysia. So that tells you quite a bit and this message was repeated not once but twice’.
           
            Maknanya ‘minat’ Obama untuk ‘bekerjasama’ dengan Malaysia dalam hal TPPA terlalu tinggi dan seolah-olah meletakkan harapan yang begitu tinggi agar Malaysia ‘tak boleh tidak’ mesti menyertai pertubuhan ini. Dan yang anihnya pula ialah pemimpin Malaysia terutamanya YB DS Mustafa Muhammad selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri semacam tidak berani ‘membuka mulut’ bagi membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan TPPA. Lantas rakyat yang perhatin tentang keadaan negara terus menerus mempersoalkan mengenai TPPA ini.

            Jikalau betul kerajaan begitu yakin dengan kebaikan pelaksanaan TPPA bagi negara, mengapa tidak dibentangkan saja dalam persidangan parlimen yang sedang berlaku sekarang supaya dapat dibahas dan dibincangkan. Dan supaya rakyat dapat menilai baik buruknya pelaksanaan TPPA ini. Mengapa pihak kerajaan terus menerus menggalakkan rakyat ‘berteka-teki’ tentang sesuatu dasar yang hendak dilaksanakan.

            Teringat pula aku tentang ketelusan pemimpin Singapura ketika mahu menyertai Persekutuan Malaysia dalam tahun 1960an dulu. Lee Kuan Yew mengadakan referendum dan meminta rakyat Singapura memberikan persetujuan mereka samada ingin menyertai Malaysia ataupun tidak. Dan hasil referendum berkenaan rakyat Singapura telah memberikan lampu hijau agar Singapura menyertai Malaysia. Itu yang dinamakan ketelusan dalam pimpinan. Justeru cadangan Parti Amanah Negara supaya diadakan referendum bagi menentukan setuju tidaknya rakyat negara ini menyertai TPPA adalah wajar.

            Dalam satu perjumpaan dengan pemimpin belia ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini, Presiden Obama ada menyatakan bahawa, ‘the governments of the 12 participating countries needed to meet behind closed doors to speed up negotiations and reach an agreement.’Otherwise we will never get it done. What we’ve done is close the initial deal and now the agreement will be reviewed by each country and it will need to be ratified by their respective parliaments. I still have to get it (the TPPA) to be passed in Congress…” (Starits Times 20 November 2015)

            Berdasarkan kenyataan berkenaan menampakkan pula tentang ‘keikhlasan’ Obama. Walaupun telah diwar-warkan oleh kebanyakan sumber berita bahawa TPPA ini akan menguntungkan Amerika dan ‘merugikan’ negara-negara seperti Malaysia, namun pihak Amerika Syarikat memberikan ruang untuk rakyat negara seperti Malaysia membincangkannnya. Parlimen Malaysia mesti membincangkannya secara terbuka sebelum dapat diterima. Dan Obama sendiri perlu menjelaskan tentang pertubuhan ini kepada Congress dan tugas beliaulah untuk meyakinkan ahli Congress Amerika tentang baik buruknya cadangan berkenaan.

            Aku teringat pula kata-kata Lee Kuan Yew dalam tahun 1960an dulu. Katanya, ‘si tidur makanan si jaga’. Dalam hal TPPA ini pemimpin Malaysia harus berhati-hati, takut tersilap langkah yang akibatnya tentulah menimpa rakyat Malaysia.Cuma yang merunsingkan kebanyakan rakyat kini ialah kemampuan ahli parlimen kita untuk menganalisis buruk baiknya TPPA yang dicadangkan oleh Amerika itu. Bolehkah ahli parlimen kita meneliti dengan secara kritikal dan memberikan pendapat yang bernas tentang keburukan dan kebaikannya.

            Rakyat sudah semacam ragu-ragu tentang kemampuan berfikir kebanyakan ahli parlimen yang memanaskan kerusi parlimen Malaysia walaupun mereka itu merupakan pilihan rakyat. Dan sekiranya ahli parlimen tidak berhati-hati dalam membuat penentuan itu berkemungkinan besar Malaysia bertembung dengan satu lagi bentuk penjajahan yang lebih hebat daripada penjajahan yang pernah kita alami pada Kurun ke 19 dan 20 dulu. Mungkin rakyat tidak sedar bahawa bentuk penjajahan Kurun 21 adalah lebih ‘sophisticated’ dan ‘complex’.

            Tentunya amat sukar difahami dan dimengertikan oleh pemikiran setengah ahli Parlimen kita. Agaknya begitu lah……

abuhassanadam
22 November 2015

London

No comments:

Post a Comment