Tuesday, November 17, 2015

RAKYAT MALAYSIA HILANG KEYAKINAN

            Kadang-kadang aku terfikir bahawa seolah-olah sebahagian besar rakyat Malaysia kini telah hilang keyakinan terhadap diri disebabkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan negara. Mungkin itu hanya persepsi aku sahaja. Tetapi berdasarkan beberapa perkembangan dalam negara kini memberikan  petunjuk bahawa rakyat Malaysia umumnya merasakan ‘diri’ mereka amat ‘kecil’ berbanding dengan negara-negara lain. Jangankan untuk dibandingkan dengan negara-negara Eropah atau Amerika malah dengan negara-negara di kawasan Asia Tenggara pun kita sudah awal-awal ‘mengaku kalah’.

            Sebenarnya bangsa Malaysia bukanlah terlalu ‘lekeh’ untuk meletakkan diri di peringkat antarabangsa, walau dalam bidang apa sekali pun. Telah terbukti oleh sejarah menunjukkan bahawa bangsa Malaysia adalah bangsa yang boleh maju kehadapan setanding dengan bangsa-bangsa lain. Dalam bidang apa sekalipun. Dan sekiranya tidak ada keyakinan yang sedemikian, tentulah Dr. Mahathir, ketika menjadi Perdana Menteri telah mensasarkan yang Malaysia boleh menjadi sebuah negara maju dalam tahun 2020.

            Kini harapan untuk merealisasikan wawasan demikian semacam sudah ‘berkecai’, apatah lagi apabila melihatkan sikap kepimpinan negara yang semacam tidak mempedulikan hasrat rakyat dan negara. Seolah-olah pemimpin negara kini hanya mengamalkan apa yang dinamakan ‘pat…pat.. siku lipat, siapa cepat dia dapat’. Dan kepentingan rakyat dan negara seolah-olah diketepikan. Dan berkemungkinan juga ‘wawasan 2020’ hanya ‘tinggal kenangan’ dalam liptan sejarah.

            Hanya empat tahun sahaja lagi untuk mencapai wawasan berkenaan. Sepatutnya tahap keyakinan rakyat Malaysia untuk mencapai wawasan berkenaan sudah mula ‘memuncak’. Maknanya sudah bersedia untuk meletakkan diri sebagai rakyat sebuah negara maju. Tetapi dengan beberapa perkembangan yang berlaku dalam negara telah menyebabkan rakyat Malaysia hilang semangat dan hilang keyakinan terhadap diri.

            Pemimpin negara kini tidak harus menyalahkan rakyat yang menyebabkan keadaan sebegini. Kerenah pemimpinlah yang menyebabkan rakyat tidak bersemangat dan menjadi lemah. Terlalu banyak ‘penyakit’ yang berpunca dari pemimpin negara yang ‘dideritai’ oleh rakyat. Apabila disebut sahaja perkataan ‘LEMBU’ rakyat sudah dapat menangkap tentang apakah ‘barah’ yang dideritai oleh rakyat. Begitu juga dengan ‘2.6 billion’ telah melemah-longlaikan perasaan rakyat Malaysia. Dan baru-baru ini telah muncul satu lagi ‘imej’ baru berkaitan dengan rombongan lawatan Menteri dan Jabatan perdana Menteri ke Amerika pada tahun 2014 yang boleh melonglaikan semangat rakyat Malaysia. Terlalu bayak isu yang ‘dicetuskan’ oleh pemimpin negara yang menyebabkan rakyat Malaysia (yang sedar) begitu marah dan ‘menyinga’ sedangkan para pemimpin negara terus menerus ‘buat derk’ dan ‘mengaut’ apa sahaja yang boleh ‘dikaut’.

            Ekoran dari tindakan pemimpin yang sedemikian telah memberikan kesan amat buruk kepada rakyat dan negara. Aku ingin mengambil contoh yang paling dekat dengan hati dan perasaan rakyat Malaysia. Kekalahan pasukan bola sepak ‘Harimau Malaya’ ditangan Palestin dan negara Arab yang ‘luar biasa’ adalah satu contoh yang menunjukkan bahawa semangat pemain-pemain luntur disebabkan suasana negara yang amat muram dan tidak memberangsangkan langsung.

            Aku tidak pula mahu mengatakan yang para pemain dan pengurusan FAM tidak perlu dipersalahkan. Mereka mesti dipersalahkan.Namun untuk meletakkan kesalahan itu kepada bahu pemain dan Jurulatih semata-mata tentulah tidak adil juga tanpa mengambil suasana ‘muram’ negara kini (akibat kerenah beberapa pemimpin kerajaan) yang mempengaruhi perasaan pemain-pemain yang menyebabkan mereka hilang semangat.

            Sejarah juga menunjukkan bahawa dalam lapangan sukan bola sepak, Malaysia tidaklah ‘selekeh’ mana. Tahun-tahun 1950an kita berbangga dengan Ghani Minhat. Dan dalam tahun-tahun 1960an kita ada Abdullah Nordin, Ahmad Nazari, Yusuf Bakar dll. Tahun 1970an yang merupakan zaman kegemilangan bola sepak kita, telah muncul ‘bintang-bintang’ yang bergemerlapan seperti Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh dan ramai lagi. Kemunculan Malaysia di arena antara bangsa dalam lapangan sukan bola sepak adalah disebabkan semangat juang yang begitu tinggi terutama apabila diterajui oleh tokoh yang betul-betul gigih memperjuangkan sukan berkenaan sepertu Tunku Abdul Rahman dan Dato Harun Idris.

            Dalam lapangan badminton, nama Malaysia juga sentiasa harum dalam tahun-tahun 1940an,1950an dan 60an. Pemain Malaya (Malaysia) seperti Wong Peng Soon, Eddy Choong sentiasa digeruni. Pertengahan 1960an, 70an dunia badminton telah dikuasai oleh Indonesia. Malaysia tidak putus asa. Berpasakkan semangat juang yang berkobar-kobar yang direstui oleh Tun Siti Hasmah (isteri Perdana Menteri ketika itu) kita berjaya merampas kembali Thomas Cup pada tahun 1993. Menunjukkan bahawa semangat juang pemain dipengaruhi oleh suasana kepimpinan negara juga.

            Jelas menunjukkan bahawa semangat dan keyakinan diri merupakan elemen yang cukup penting  dalam apa juga lapangan yang diceburi. Dan untuk mengukuhkan keyakinan diri ini tentunya tertumpu kepada tindakan pemimpin negara dalam mentadbir dan menggerakkan rakyat di negara ini.

            Telah banyak kali ditegaskan melalui blog (yang tak sepertinya ) ini bahawa keyakinan rakyat begitu memuncak zaman pentadbiran Dr. Mahathir. Ke mana saja kita pergi di pelusuk dunia ini, nama Malaysia sentiasa harum. Rakyat Malaysia sentiasa ‘walking tall’ samada di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu atau di Persidangan UNESCO di Paris atau pun di persidangan KOMANWEL. Pendek kata ke mana sahaja rakyat Malaysia berada, kita sentiasa disanjungi.

            Kadang-kadang kita merasa malu juga mengenangkan sebuah negara kecil seperti Singapura telah berjaya meletakkan dirinya setanding dengan negara-negara maju lain seperti Amerika dan negara-negara Eropah lain. Malah boleh dikatakan bahawa Singapura sudah hampir mendahului negara berkenaan dalam bidang-bidang tertentu.

            Puncanya ialah kepimpinan negara yang tidak rasuah dan betul-betul menumpukan perhatian ke arah memaju dan membangunkan bangsa.

abuhassanadam
17 November 2015
London



1 comment:

  1. Umat melayu ini sukar nk marah,sukar nk panas hati, sukar nk menyinga, sukar nk memberontak melainkn ada satu bala bencana yg sgt dahsyat menimpa mereka...disitilh kelak mrka snggup menyising lengan..snggup bergadai nyawa...alter melayu yg terakhir!! AMOK.
    MOGA melayu tkkn hilng didunia.

    ReplyDelete