Friday, November 20, 2015

PISANG EMAS DIBAWA BELAYAR

            Pisang Emas dibawa belayar
            Masak sebiji diatas peti
            Hutang emas boleh dibayar
            Hutang budi dibawa mati

            Artikel Datuk Zaid Ibrahim dalam The Malay Mail Online yang berjodol, ‘Zaid suggests more non-Malays get top posts to replace ‘cowards’ in power” menarik perhatian aku. Walaupun tidak aku persetujui seratus peratus, sekurang-kurangnya artikel berkenaan merupakan ‘eye-opener’ dan elok difikirkan.

            Aku pun hairan dan mempersoalkan ‘mengapa jadi begini?”
           
            Tidak keterlaluan agaknya jika dikatakan bahawa semacam sudah tidak ada langsung perasaan tanggungjawab setengah pegawai tinggi kerajaan Malaysia (kebanyakannya orang Melayu) terhadap usaha untuk membetulkan keadaan negara yang berada dalam keadaan ‘kucar-kacir’ kini ekoran daripada isu IMDB dan wang berjumlah RM 2.6 billion ringgit yang dimiliki akaun DS Mohd Najib.

            Yang menghairankan juga ialah bahawa ada sekumpulan orang Melayu yang semacam tidak peduli apa yang berlaku kepada negara dan hanya mementingkan ‘perut’ dan ‘tembolok’ keluarga mereka sendiri. Seingat aku keadaan sebegini belum pernah berlaku lagi dalam sejarah Malaysia amnya dan sejarah orang Melayu khususnya.

            Mungkinlah agaknya zaman Si Kitul dan Raja Mendeliar dalam sejarah kerajaan Melayu Melaka dulu saja yang boleh menandingi keadaan dan suasana politik di negara kita kini. Mungkin. Hendak rasanya aku bandingkan keadaan di negara kini dengan zaman Perancis di bawah pemerintahan Louis XVI dan isterinya yang bernama Marie Antionette yang berakhir dengan tercetusnya Revolusi Perancis pada tahun 1789. Mungkin keterlaluuan sekiranya aku membuat perbandingan sedemikian rupa.

            Apa puncanya keadaan di Malaysia kini jadi begitu?

            Hendak aku katakan yang pegawai-pegawai tinggi Melayu di Puterajaya yang menerajui berbagai institusi kerajaan kini sebagai ‘coward’ (istilah yang digunakan oleh Dato’Zaid Ibrahim), tentulah tidak semuanya begitu. Dan hendak aku katakan bahawa pegawai tinggi berbangsa Melayu tidak setanding dengan pegawai tinggi bukan Melayu, tidak juga aku mahu katakan begitu.

            Seingat aku pegawai Melayu yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia yang terdididik dibawah penjajah Inggeris merupakan ‘the towering Malays’ yang telah berjaya meletakkan negara ini pada kedudukan sebagaimana negara-negara lain yang telah merdeka. Lihat sajalah brisan menteri kabinet selepas merdeka yang terdiri daripada tokoh-tokoh yang bukan calang seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail, Tun Tan Siew Sin, Tun Sambanthan dan ramai lagi. Terpulanglah kepada para pembaca untuk membandingkan barisan kabinet selepas merdeka itu dengan barisan Menteri Kabinet DS Mohd Najib kini. Apakah perbandingan itu semacam membandingkan antara bumi dengan langit?

            Dari segi petugas dalam bidang kehakiman pula, negara dengan bangganya memiliki Tun Sufian Hashim, Tun Azlan Shah, Datuk Harun Hashim (yang membuat keputusan mengharamkan UMNO) dan lain-lain. Dari segi perkhidmatan awam, negara bertuah memiliki Tan Sri Abdullah Ayub, TS Ishak Tadin, Dato’ Hassan Ibrahim dan ramai lagi yang tidak dapat disenaraikan. Dalam bidang pendidikan kita memiliki Prof Ungku Aziz yang bukan sahaja terkenal dalam negara tetapi juga hampir seluruh dunia. Dengan sendirinya memberikan makna bahwa orang Melayu tidak selekeh sebagaimana yang digambarkan kini. Sememangnya pegawai Melayu yang menerajui pentadbiran kerajaan pada ketika itu mempnyai ‘tulang belakang’ yang cukup kuat dan melaksanakan tugas mereka ‘without fear or favour’.

            Tetapi persoalannya mengapa kebanyakan pegawai Melayu kini sudah tidak menyerupai ‘sikap dan perangai’ pegawai tinggi Melayu zaman lampau. Apakah sistem pendidikan yang dirangka selepas Merdeka itu yang menyebabkan orang Melayu menjadi ‘lembik dan longlai’? Atau apakah Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 1970 itu yang menyebabkan anak Melayu sentiasa mengharapkan ‘tongkat’ untuk bergerak yang kesannya melahirkan pegawai tinggi Melayu yang tidak dapat bergerak dengan sendiri.

            Terlalau banyak sangat persoalan yang perlu dipecahkan dalam catatan yang pendek ini. Sekurang-kurangnya aku cuba memberikan sedikit gambaran tentang kekecewaan yang dialami oleh kebanyakan rakyat Malaysia kini ia itu tentang keadaan negara yang tidak ketahuan tentang arah tujunya. Hendak ditangisi tentang nasib bangsa yang sedang hanyut ini, sudah agak kering air mata yang menangis namun orang Melayu masih belum sedar tentang nasib bangsa yang sedang hanyut sedangkan bangsa lain sedang bergerak maju mengukir zaman.

            Agaknya inilah rupa bangsa yang telah termakan budi. Agaknya dengan sebab sudah termakan budilah agaknya maka ramai pegawai tinggi Melayu dalam pentadbiran kerajaan kini sudah kehilangan arah dan sudah lupa akan tanggungjawab untuk membina dan membetulkan keadaan negara supaya berada di landasan yang  sebenarnya.

            Bijak sungguh datuk nenek kita mencipta pantun berikut. Biar aku ulang sekali lagi

            Pisang Emas dibawa belayar
            Masak sebiji diatas peti
            Hutang emas boleh dibayar
            Hutang budi dibawa mati

abuhassanadam
20 November 2015
London


No comments:

Post a Comment