HASAN ARIFIN : ”CARI MAKAN…”
Walau
apa pun alasan yang diberikan oleh YB Hasan Arifin selaku Pengerusi Public Accounts Committee (PAC) mengenai
kenyataannya yang berbunyi,’ jangan la saya pun nak cari makan jugak’ masyarkat tetap memandang
yang beliau semacam tidak ‘serious’ dalam melaksanakan tugasnya sebagai
Pengerusi PAC yang mengendalikan isu IMDB yang merupakan ‘malapetaka’ yang
bukan kecil yang sedang melanda negara kini.
Sikap acuh tak acuh yang dipamerkan itu memberikan
gambaran dan makna bahawa penyelesaian masalah IMDB tidak akan sampai ke mana.
Memberikan gambaran juga bahawa isu yang amat penting kepada rakyat ini akan
‘dilenyapkan’ lambat laun. Memberikan gambaran juga bahawa pemimpin seperti YB Hasan Arifin tidak tahu menilai
yang mana isu penting dan yang mana yang tidak penting untuk ditangani.
Pemimpin negara sedar bahawa rakyat tidak mampu berbuat
apa-apa untuk membetulkan keadaan pentadbiran yang ada, apatah lagi untuk
menukar kerajaan yang memerintah. Mereka sedar bahawa rakyat hanya mampu
‘memekik dan melolong’ seperti ‘anjing menyalak bukit sedangkan bukit tidak
akan runtuh’. Mereka sedar juga bahawa rakyat luar bandar dan kawasan Felda
akan dapat ‘dijinakkan’ dengan ‘gula-gula’ BRIM yang akan diberikan untuk
‘menidur dan melenakan’ mereka.
Lantas para pemimpin negara akan membuat apa saja seperti
kata peribahasa datuk nenek kita, ‘ beraja di hati dan bersultan di mata’.
Kerajaan mengenakan cukai GST dan mendapat ‘tentangan’ yang bukan kepalang dari
rakyat yang menderita ekoran daripada pengenalan cukai berkenaan. Rakyat terus
‘menyalak dan menyalak namun bukit tidak runtuh juga’
Rakyat ‘menyalak’ lagi
apabila tol-tol di setengah lebuhraya dinaikkan. Ada beberapa tindakan
dilakukan namun hasrat kerajaan untuk menaikkan harga tol terus dilaksanakan
juga.
Kadang-kadang mahu rasanya kita mengatakan bahawa para
pemimpin negara kita semacam tidak ‘berhati perut’. Apa tidaknya. Apakah mereka
tidak sedar tentang derita yang dilalui oleh rakyat yang berpendapatan rendah
untuk ‘menyambung kehidupan’ mereka setiap hari. Dan bandingkan dengan
kehidupan yang dilalui oleh mereka yang begitu mewah kehidupannya.
Kadang-kadang aku terfikir juga tentang ke manalah arah
negara ini akan dibawa dan di manalah agaknya titik noktahnya. Dalam keadaan
negara yang menghadapi ‘tekanan’ ekonomi yang begitu meruncing, para peimpin
kita terus menerus ‘bermewah-mewahan’ dan berbelanja seolah-olah tidak ada
‘tanah tepi’nya. Istilah berjimat hanya ditujukan kepada rakyat jelata yang
menderita sedangkan golongan mereka berterusan bermaharajalela membelanjakan
wang negara.
Persidangan Agung UMNO (PAU) akan diadakan di ibu negara
tidak lama lagi. Disana nanti akan dapatlah kita melihat lagak dan sikap ‘the
rich and famous’ berbelanja dan mempamerkan kekayaan yang mereka miliki. Aku
turut ‘berbangga’ melihat tentang kekayaan yang dimilki oleh bangsa sejenis aku
(Melayu) tetapi aku merasa hiba mengenangkan hanya segelintir Melayu saja yang
dapat menikmati kekayaan di negara ini.
Akan bertumpulah para ‘pemimpin’ negara ala Hasan Arifin
di Pusat Dagangan Dunia Putera untuk membincangkan ‘isu-isu besar’ yang
membabitkan rakyat dan negara. Dan akan kedengaranlah ucapan yang berapi-rapi
disamping gelak ketawa sumbangan ‘raja lawak’. Dan akan tercetuslah beberapa
resolusi yang bertujuan untuk memajukan Melayu sedangkan keadaan orang Melayu
masih terkebelakang berbanding dengan bangsa lain di negara ini.
Namun begitu aku merasakan bahawa rakyat masih tidak
berputus asa dan mengharapkan sesuatu akan menjelma.
Tak akan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah
ia……..
abuhassanadam
19 November 2015
London
No comments:
Post a Comment