Friday, June 3, 2016

ORANG MELAYU AKAN ‘HANYUT’ JIKA…..

            Orang Melayu akan ‘hanyut’ entah ke mana sekiranya keadaan yang berlaku dalam negara kini tidak diperbetulkan dengan kadar segera. Dan kedua PRK yang akan diadakan tidak berapa lagi merupakan langkah yang awal yang paling sesuai untuk memperbetulkan keadaan sedemikian.

            Ketika ‘meniti’ usia yang sudah ‘senja’ aku sentiasa memikirkan tentang nasib masa depan orang Melayu khususnya dan nasib anak Malaysia secara umumnya, nasib anak cucu kita yang akan menempuh zaman-zaman yang mendatang. Aku amat bimbang dengan keadaan yang melanda negara kini. Jikalau pada suatu ketika dahulu kita sentiasa memperkatakan tentang ‘tidak akan hilang Melayu di dunia’ (kononnya kata-kata hikmat Hang Tuah yang pada akhir-akhir ini sudah terbukti tidak wujud dalam zaman kerajaan Melaka), tetapi aku amat bimbang sekiranya pada masa terdekat kita menangisi tentang nasib orang Melayu yang sudah ‘hanyut’.

            Aku mengharapkan tidak ada rintihan yang sedemikian terkeluar dari sanubari dan perasaan anak cucu kita pada masa akan datang. Dan aku harap juga agar anak cucu kita (pada suatu ketika nanti) tidak menyumpah dan mengutuk generasi dan pemimpin hari ini yang telah merosak-punahkan kehidupan mereka. Dan tentulah tidak perlu ditangiskan lagi oleh generasi terkemudian ‘nasi yang sudah menjadi bubur’.

            Aku tidak setuju dengan ‘dendangan’ yang sentiasa ditiupkan di telinga orang Melayu hari ini, kononnya orang Melayu sudah setaraf dengan penduduk dunia lain. Orang Melayu sudah maju setaraf dengan bangsa lain di dunia. Kononnya orang Melayu sudah boleh berdiri sama tegak dan duduk sama rendah dengan bangsa lain di dunia. Dan kononnya ‘tidak akan Melayu hilang di dunia’. Hanya ‘rhetorik’ untuk menyedapkan hati orang Melayu. Hanya kata-kata manis untuk membiarkan orang Melayu terus ‘lena’. Inilah kata-kata yang selalu ‘dinyanyikan’ oleh pemimpin kini semata-mata untuk menghayalkan orang Melayu khususnya ( sedangkan golongan bukan Melayu tidak langsung terpengaruh dengan kata-kata sedemikian)

            Aku tidak menafikan tentang kemajuan yang dicapai oleh orang Melayu. Memang ada. Memang ada perbezaan antara kampung Melayu dahulu dengan kampung Melayu kini. Jikalau dulu jalan kampung tidak bertar tetapi kini telah diperluaskan. Jikalau dulu gertak (jambatan) kampung hanya darpada batang kelapa yang dilintangkan tetapi kini sudah tidak kelihatan lagi ‘jambatan’ yang sedemikian. Jikalau dulu pelita bersumbu yang menerangi kegelapan malam maka kini cahaya letriklah yang memainkan peranan sedemikian. Jikalau dulu air telaga yang menjadi air bersih untuk minuman tetapi kini sudah bertukar kepada paip.

            Apakah itu sahaja bentuk kemajuan yang dibanggakan oleh orang Melayu? Apakah kita perlu memekik dan melolong mengatakan yang orang Melayu sudah maju hnaya dengan bersandarkan kepada kemajuan fizikal sedemikian?

            Persepsi dan anggapan ramai orang kini merasakan bahawa orang Melayu sudah hilang tempat bergantung. Maknanya semacam sudah tidak ada pemimpin yang boleh diharapkan untuk membantu dan melindungi orang Melayu khususnya dan bangsa Malaysia umumnya. Rakyat Malaysia seolah-olah merasakan bahawa pemimpin di Malaysia hanya mementingkan kumpulan yang hanya mahu dilindunginya dan mendatangkan kepentingannya dirinya sedangkan rakyat terbanyak dibiarkan begitu saja. Rakyat merasakan begitu. Semacam ada anak kandung dan ada anak tiri.

            Ada usaha untuk membantu orang Melayu tetapi usaha yang dilakukan itu semacam hanya untuk melepaskan batuk ditangga. Ada juga terdengar tohmahan yang mengatakan bahawa pihak berwajib tidak dengan sesungguhnya memajukan orang Melayu. Hanya melepaskan batuk di tangga. Alasan yang diberikan ialah bahawa pihak berwajib sengaja bertindak sedemikian dengan harapan orang Melayu akan terus daif dan senang untuk dieksploitasi dan diperkotak-katikan.

            Sampai bila agaknya kita masih memperkatakan tentang kemunduran orang Melayu? Sampai bila?

            Secara kebetulan aku berada di Singapura dua bulan lepas dan baru sahaja pulang dari Jepun. Lawatan ke dua-dua negara berkenaan yang telah ‘memanggil’ aku untuk melahirkan ‘kekecewaan’ aku apabila berada di kedua-dua buah negara itu. Aku tidak begitu ‘berkecil hati’ atau ‘cemburu’ apabila berada di Tokyo atau Osaka atau Hiroshima kerana sememangnya negara berkenaan sudah jauh lebih maju dari negara kita Malaysia. Tetapi aku merasa begitu sedih dan pilu apabila melihatkan pencapaian dan kemajuan negara Singapura.

            Kemajuan Singapura berbanding dengan Malaysia dapat dikatakan seperti langit dan bumi. Aku merasakan tidak salah sekiranya kita memuji negara lain supaya dapat menyedarkan bangsa kita (orang Melayu) tentang betapa mundurnya orang Melayu berbanding dengan orang lain. Memang betul orang Melayu sudah maju jika dibandingkan dengan keadaan orang Melayu zaman Zaaba atau zaman Abdul Rahim Kajai atau zaman Usman Awang. Tetapi orang Melayu bukan lagi hidup pada zaman berkenaan. Orang Melayu seharusnya ‘bersepak-terajang’ dengan tangkas dengan bangsa lain dalam Kurun ke 21.

            Orang Melayu belum boleh dikatakan maju sekiranya masih bertengkolok dan berdasta dan berpakaian secara pahlawan Melayu, berkeris panjang sedepa. Orang Melayu belum boleh diiktiraf maju sekiranya hanya pandai berpidato dengan ucapan yang berai-rapi sedangkan ‘cakap tidak serupa bikin’. Orang Melayu yang menggelarkan diri sebagai pemimpin belum boleh diiktiraf telah menyumbangkan jasanya kepada kemajuan orang Melayu sekiranya prinsip perjuangan dan anutan perjuangan yang sentiasa berbah-ubah.

            Peribahasa orang Perak ada mengatakan, “ cakap saja berdegar-degar, t--- sangkut digelegar’

            Apakah bangsa Melayu masih menunggu dan menanti kehadiran ‘penghuni’ dari Sungai Buluh untuk memimpin bangsa Melayu khususnya dan bangsa Malaysia amnya?

            Entahlah….

abuhassanadam

3 Jun 2016

No comments:

Post a Comment