Tuesday, May 31, 2016

SEMACAM MENGHINA ‘OGHANG KUALE’

            ‘Oghang Kuale’ tu maknanya orang dari Kuala Kangsar. Penduduk asal Kuala Kangsar. Ini termasuk aku le tu. Aku berasal dari daerah Kuala Kangsar. ‘Oghang Kuale’lah tu walaupun tempat aku sebenarnya Padang Rengas (dalam daerah Kuala Kangsar). 

            ‘Oghang Kuale’ amat berbangga dengan Kuala Kangsar. Memang hebat ‘Kuale’ ni. Untuk menunjukkan ‘hebat’ tak ‘hebatnya’ ‘Kuale’ boleh dilihat dari segi pokok getah yang pertama yang ditanam di Tanah Melayu. Masih ada lagi pokoh getah berkenaan. Terletak di hadapan pejabat tanah dan daerah Kuala Kangsar. Dari pokok getah itulah dia membiak dan memberikan rezeki kepada bapak aku untuk menanggung aku meneruskan pelajaran.

            Bukanlah itu sahaja yang menjadi kebanggaan ‘oghang kuale’. ‘Kuale’ adalah bandar diraja. Istana Sultan Perak terletak di Bukit Chandan. Cantik dan medan tempat berkenaan. Kalau datang ke ‘Kuale’ maka tak sah kalau tak pergi melawat Bukit Chandan. Itu sebenarnya ‘Damansara Height’ atau ‘Bukit Tunku’ di Kuala Kangsar. Seingat aku semenjak zaman penjajahan sehingga zaman kemerdekaan, Bukit Chandan sememangnya ‘menahului zaman’ dari segi pembangunan infrastruktur.

            Di Bukit Chandan juga terdapat sekolah Government English Girls School (GEGS). Kini namanya dah ditukar oleh Kementerian Pendidikan kepada Sekolah Menengah Raja Perempuan Kalsom. Sekolah Inggeris untuk perempuan sahaja. Itulah hebat tak hebatnya ‘Kuale’. Terdapat sekolah orang putih yang hanya untuk pelajar perempuan sahaja.

            Disamping itu ada dua buah sekolah orang putih lagi. Malay College dan Clifford School. Mana ada pada zaman penjajahan sebuah daerah kecil ( seperti ‘Kuale’) yang mempunyai tiga buah sekolah yang dianggap sebagai ‘premier school’. Dan bukan itu sahaja. Di ‘Kuale’ pada tahun 1950an sudah ada sekolah persendirian!. Public School Kuala Kangsar. Macam di England pulak…

            Atas faktor-faktor berkenaanlah maka agak ramai juga ‘oghang kuale’ yang terpelajar. Bukan disebabkan ‘oghang kuale’ pandai tetapi disebabkan terdapat kemudahan persekolahan dan pendidikan yang amat mudah diperolehi. Tidak seperti daerah-daerah lain pada zaman penjajahan, ‘Kuale’ sudah mempunyai kemudahan pendidikan yang cukup lengkap, jauh lebih maju dari daerah-daerah lain. Mungkin ‘Kuale’ pada zaman penjajahan setaraf dengan Kuala Lumpur pada ketika itu.

            Dan tidak hairanlah ramai bijak pandai yang melagang kemerdekaan negara datangnya dari daerak ‘Kuale’. Tentulah ramai yang masih ingat tentang sumbangan Tun Sufian sebagai Ketua Hakim Negara pada awal kemerdekaan. Tan Sri Jamil Rais yang memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara pertama. Dan banyak lagi ‘oghang kuale’ yang berjawatan penting dalam kerajaan Malaya selepas merdeka.

            Tetapi yang ‘menggelikan’ hati aku ialah apabila calon PRK Kuala Kangsar yang akan diadakan nanti ialah balu kepada arwah MP yang meninggal. Aku tertanya-tanya juga dalam kepala aku. ‘Oghang Kuale’ dah habis ‘hanyut’ di Sungai Perak agaknya. Dah tak ada ‘Oghang Kuale’ yang cerdik yang boleh dijadikan calon dalam PRK nanti. Koman benor rasanya ‘oghang kuale’ ni. Ke mana perginya orang Sayong, Kota Lama Kiri, Kota Lama Kanan, Talang, Sayong Lembah, sayong tak lembah…..Bukanlah aku anti orang luar tapi nampak sangatlah komannya orang ‘Kuale’ tu.

            Dengan sebab itulah agaknya sudah timbul calon bebas untuk bertanding di Kuala Kangsar. Marah sangatlah tu sebab menidakkan kebolehan dan kemampuan orang Kuala. Sudahlah calon BN bukan orang Kuala kangsar, maka calon PAS juga datang dari luar. Dari daerah Parit (kononnya)!

            Tak masuk akal apabila dikatakan bahawa tidak ada calon ( Barisan Nasional) yang boleh bertanding di PRK ini dan boleh menang kecuali Puan Mastura Yazid. Aku simpati dengan beliau yang kematian suami tercinta. Tetapi yang menghairankan ialah macam tidak ada calon lain yang boleh diketengahkan. Dan aku pasti ramai ‘oghang Kuale’ yang tidak bersetuju dengan pilihan ini. Tindakan BN sedemikian semacam ‘menghina’ ‘oghang Kuale’.

            Dari segi pembangkang sepatutnya mengalu-alukan pemilihan sedemikian. Pucuk dicita ulam mendatang. Sebagai ‘oghang kuale’ aku tidak nampak langsung kewarasan dan kecerdikan pihak yang memilih calon BN berkenaan. Mungkin aku silap kerana aku tak pandai tentang hal ini tetapi yang jelasnya aku yakin ramai ‘oghang kuale’ tak suka tindakan sedemikian. Menghina ‘oghang kuale’

            Agaknya mungkin juga sengaja pihak BN nak ‘main-main’ dengan PRK yang bakal diadakan ini. Telah ditegaskan banyak kali oleh kepimpinan BN bahawa kemasukan mereka dalam PRK ini adalah sebagai ‘underdog’. Samada di Kuala Kangsar ataupun di Sungai Besar. Mereka merasakan bahawa peluang BN untuk menang dalam PRK ini agak tipis memandnagkan BN yang sarat dengan masalah negara yang sedang dipikul. ‘Ogahng Kuale’ hanya menunggu masa saja untuk menunjukkan kepada pemerintah negara bahawa ‘ogang kuale’ tahu dan sedar tentang apa yang berlaku terutama hal-hal yang berkaitan dengan IMDB dan GST.

            ‘Ogahng Kuale’ mungkin sedang menanti saat yang sesuai untuk menunjukkan yang mereka sedar dan tahu apa yang sedang berlaku dalam negara ini. Jangan ingat mereka ‘tengin’ sangat….

abuhassanadam

31 Mei 2016

3 comments:

  1. Teman setuju dgn Mike. Teman oghang kuale juga merasa pelik dgn pemilihan calon2 MP prk kkgsor. Udoh tak ade ke gamoknye calon2 yg berwibawa di kuale ni..oghang kuale perlukan calon dari anak tempatan yang lebih mudah didekati x kire mase.. Mcm calon tgkp muat je parti yg satu tu..

    ReplyDelete
  2. orang kuale nampak beno koman spana...

    ReplyDelete
  3. orang kuale nampak beno koman spana...

    ReplyDelete