Thursday, May 19, 2016

APABILA WANG MEMPENGARUHI KEPUTUSAN DAN PERTIMBANGAN

            Rakyat Malaysia sudah ‘muak’ mendengar cerita rasuah di sana-sini yang dilakukan oleh pihak tertentu di negara ini, samada oleh pemimpin politik ataupun oleh para pegawai tinggi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan pentadbiran negara. Ungkapan yang berbunyi ‘cash is king’ bukan sahaja  sentiasa ‘dilagu’ dan ‘didendangkan’ oleh ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, malah ‘budak sekolah’ yang ‘berhingus’ ( yang tinggal di Lembah Kelang ) juga sudah mula memperkatakannya. Mungkin yang tidak memperkatakannya ialah golongan yang masih dalam ‘kegelapan’ yang tinggal di kampung-kampung pingitan atau pun oleh peneroka FELDA yang hanya memikirkan tentang harga kelapa sawit dan getah yang semakin menurun. Mungkin…

            Kesan ‘cash is king’ amat buruk sekali. Ada juga rakan-rakan yang menyamakan sebagai ‘harima mengaum’. Dan apabila ‘harimau’ sudah ‘mengaum’, maka mata yang celik boleh tertutup, telinga yang boleh mendengar akat ‘terpekak’ dengan sendirinya, mulut yang boleh bersuara akan terus ‘dibisukan’, tenaga fikiran yang boleh berfikiran secara kritikal dan rasional terus ‘dibodohkan’. Golongan yang bertenaga kuat dan gagah akan dapat dilemahkan apabila ‘harimau mengaum’.

            Rakyat merasa hairan dan bingung melihatkan keadaan yang berlaku dalam negara kini. Apa tidaknya. Tentulah tidak pernah dirasakan keadaan yang sedemikian berlaku dalam negara Malaysia yang dicintai ini. Para pemimpin (jikalau boleh digelar sebagai pemimpin) yang menjadi wakil rakyat samada di Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri hampir keseluruhannya (wakil rakyat BN) ‘terkedu’ dan tidak dapat berkata-kata, menyatakan sesuatu yang bertentangan dengan ‘arahan’ pemimpin di atas.

            Ada pihak yang mengatakan sikap yang sebegini sebagai ‘herd mentaliti’ ia itu mengikut saja apa yang diarahkan oleh pimpinan dengan tidak memikirkan tentang baik buruknya. Tidak pernah lagi berlaku keadaan sebegini samada pada zaman Tunku Abdul Rahman ataupun zaman Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan malah pada zaman Tun Mahathir juga tidak berlaku keadaan sedemikian walaupun sudah kelihatan ‘bunga-bunga’ yang keadaan akan bertukar menjadi keadaan seperti yang dialami kini.

            Agak pelik dan amat menghairankan melihatkan tindakan kepimpinan negara yang melarang sebarang kritikan dan penentangan terhadap kepimpinan kerajaan. Larangan ke Sarawak misalnya merupakan seuatu tindakan yang langsung ‘tak masuk akal’ bagi sesiapa yang berfikiran waras. Kita tahu bahawa tercatatnya syarat berkenaan telah pun termaktub dalam perjanjian penubuhan Malaysia dulu, tetapi tentulah ada kekecualiannya dan terpulanglah kepada para pemimpin untuk memberikan pentafsiran yang sesuai.

            Falsafah ‘cash is king’ dan ‘harimau mengaum’ mungkin juga sudah menular ke dalam parti-parti politik dan kepimpinan parti politik. Kita kadang-kadang hairan bagaimana sesebuah parti politik  yang dengan senang boleh menukar prinsip perjuangan. Kita tidak menuduh tentang wujudnya pengaruh wang dalam penentuan sesuatu keputusan, tetapi melihatkan kepada cara tindakan kepimpinan menampakkan sesuatu yang amat tidak kena. Yang menyebabkan kita berfikiran sedemikian ialah apabila kita cuba membandingkan keadaan yang terdahulu dengan keadaan kini.

            Rakyat kini sudah betul-betul keliru melihatkan kepimpinan yang agak keliru. Rakyat betul-betul kecewa melihatkan tindakan segelintir pemimpin parti pembangkang yang tidak dapat dikesan langsung arah tujunya. Kelihatan tindakan pemimpinnnya dalam keadaan ‘kacau kena’ (loghat negeri Perak) yang bermaksud ‘tidak tentu arah’ ‘seperti cacing kepanasan’. Apa yang diputusakan tidak dihormati keputusan yang dibuat, seolah-olah ada sesuatu yang mempengaruhi keputusan yang dibuat. Seolah-olah falsafah ‘cash is king’ sudah ‘membelit’ lehernya untuk membuat keputusan dan sudah ada ‘harimau yang mengaum’ di hadapan mata.

            Amat malang bangsa ku Malaysia. Dulu kita sentiasa memperkatakan tentang negara orang yang menempuh zaman gelap dan merbahaya. Dulu kita sentiasa meperkatakan tentang tindakan Marcos di Filipina dan isterinya Emilda (yang memiliki ratusan pasang kasut berjenama). Kita juga memperkatakan tentang tindakan Suharto dari Indonesia yang memiliki harta berbilion. Kita katakan juga bahawa Robert Muggabe dari Zimbabwe tidak mempedulikan  kesejahteraan rakyatnya dan kita kutuk pemerintahan Idi Amin dari Uganda yang sentiasa ‘memerah’ kantong kewangan negaranya. Rupa-rupanya kini keadaan sedemikian sudah semacam ‘menimpa’ kepala kita.

            Antara sepuluh orang yang ditanya tentang keadaan negara Malaysia kini, mungkin kesemuanya yang akan mengatakan bahawa negara ini sudah berada dalam keadaan yang amat membimbangkan. Mungkin ada yang terus terang mengatakan bahawa negara ini sudah jelas dalam keadaan yang mendukacitakan. Teruk.

            Aku ingin pula memperkatakan tentang PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang dirasakan bahawa ‘harimau’ akan terus menerus mengaum dan falsafah ‘cash is king’ akan terus diamalkan tanpa segan silu. Rakyat mengharapkan sesuatu yang boleh dibanggakan akan muncul, ekoran daripada kepuutusan PRK yang akan tercetus. Tetapi persoalannya dapatkan ‘keputusan’ yang diharapkan itu akan tercetus.

            Kemelut yang berlaku kini menjelang PRK berkenaan amat membimbangkan. Perebutan untuk menjadi calon sudah merupakan ‘gelanggang’ untuk melihat pertarungan yang amat sengit disamping semacam suatu usaha untuk mencari ‘kekayaan’. Pengalaman sejarah pilihan raya di negara ini telah membuktikan bahawa sekiranya ada pertandingan tiga penjuru, pastinya kemenangan akan dimiliki oleh Barisan Nasional. Dan begitu jugalah ramalan yang berlegar kini mengatakan sekiranya ada pertandingan tiga penjuru tidak mungkin, BN akan kecundang.

            Sekiranya BN tidak kecundang maka rakyat akan kecundang. Perasaan rakyat akan hancur lebur menerima keutusan yang sedemikian. Rakyat dan pengundi di kedua-dua tempat ini akan dilihat sebagai pengundi yang terpengaruh dengan ‘cash is king’ walaupun pada hakikatnya tidak semuanya begitu. Terlalu banyak kesan negatif yang akan menimpa rakyat di Malaysia sekiranya PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar memihak kepada Barisan Nasional.

            Oleh itu Rakyat mengharapkan kepada kebijaksanaan para pemimpin Pakatan Harapan untuk menentukan calon yang sesuai dan menentukan perasaan dan harapan rakyat Malaysia terbanyak terubat.

abuhassanadam

19 Mei 2016

No comments:

Post a Comment