Thursday, May 5, 2016

MACAM SUASANA MENUNTUT KEMERDEKAAN PULA….

            Ketika rakyat Tanah Melayu sibuk berjuang menuntut kemerdekaan aku masih kanak-kanak. Sekolah rendah. Tidak begitu memahami apa erti menuntut kemerdekaan pada ketika itu. Yang aku tahu dan aku dengar nama Tunku Abdul Rahman sentiasa diperkatakan oleh penduduk kampung seiring dengan dendangan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh P.Ramlee.

            Ketika itu, awal tahun 1950an, negara Tanah Melayu di bawah cengkaman penjajah British. Semua orang tahu. Walaupun di bawah pemerintahan British aku tidak merasakan keperitan hidup di bawah British walaupun pejuang-pejuang kemerdekaan merasakan bahawa British perlu meninggalkan negara ini dan memberikan kemerdekaan kepada rakyat negara ini. Bagi kami ( anak-anak) tidak ada perkara yang menyusahkan (hati dan perasaan) walaupun dalam agak sedikit kesusahan.

            Berbanding dengan keadaan kini aku merasakan wujud satu keadaan yang agak kurang selesa tinggal di negara ini. Tentulah agak keterlaluan aku mengatakan demikian. Tetapi itulah hakikatnya yang aku rasakan dan mungkin juga dirasakan oleh ramai rakyat Malaysia. Mungkin seorang sahaja yang merasakan begitu. Mungkin…

            Mungkin apa yang aku rasakan dan sebagaimana yang dialami oleh rakyat Malaysia lain tidak dirasakan oleh anak-anak yang hidup pada zaman ini yang tidak tahu apa erti hidup dan kehidupan. Maknanya serupalah dengan apa yang aku rasakan ketika di alam kanak-kanak di bawah pentadbiran British dulu. Sebagai kanak-kanak yang belum mengenali erti kehidupan yang sebenar, aku merasakan cukup bahagia berada pada zaman British. Itulah pemikiran seorang kanak-kanak. Tidak pula bererti bahawa aku merestui pemerintahan British agak berterusan menjajah di negara ini. Dan tentu sekali berbeza pandangan golongan nasionalis yang berjuang membebaskan negara pada ketika itu

            Tetapi apabila melihatkan keadaan yang wujud dalam negara kini seolah-olah muncul satu perjuangan ‘menuntut kemerdekaan’ dalam negara yang telah merdeka. Dengan adanya ‘Deklarasi Rakyat’ yang menuntut agar rakyat Malaysia menandatanganinya semacam sudah wujud suatu keadaan yang semakin tidak menyenangkan dalam negara yang tercinta ini. Jikalau dulu Dato Onn Jaafar yang ke hulu ke hilir meminta sokongan rakyat, khususnya orang Melayu untuk ‘menghalau’ penjajah Inggeris dari negeri ini, kini Tun Muhathir pula mengepalai kumpulan untuk menukar kepimpinan yang ada kini.

            Bezanya perjuangan Dato Onn dengan yang diusahakan oleh Tun Mahathir ialah dari segi sasaran. Dato Onn yang kemudiannya diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman berjuang untuk menentang dan menukar kerajaan pimpinan penjajah British sedangkan apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir ialah bukan menukar kerajaan tetapi ialah menukar Perdana Menteri melalui tindakan yang sesuai dengan perlembagaan negara. Walaupun ada pihak yang mengatakan tindakan sedemikian tidak sesuai namun apa lagilah ruang yang ada bagi rakyat untuk menyatakan rasa tidak puas hati kepada kepimpinan sekarang.

            Dalam bahasa yang senang dan mudah difahami ialah
‘ kepada siapa lagi hendak mengadu’. Boleh dihujjahkan bahawa rakyat dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi berparlimen harus menunggu ketibaan pilihanraya yang akan datang untuk menukar seseorang Perdana Menteri. Betul. Tetapi apakah jaminan yang boleh menyenangkan hati rakyat untuk menunjukkan bahawa pilihanraya umum yang akan diadakan nanti itu bersih dari segala noda yang boleh mencacat-celakan proses pilihanraya berkenaan.

            Rakyat dapat melihat dengan mata kepala sendiri tentang bagaimana PRU13 yang lepas telah dijalankan. Walaupun dinafikan tentang cacat celanya oleh pihak tertentu, namun bagi rakyat yang merasakan dan melihat sendiri tentang  ‘kecelaruannya’, tentulah tidak dapat melupakan persitiwa ‘malang’ yang dilalui oleh rakyat dalam negara yang tercinta ini.

            Kini pilihanraya negeri Sarawak sedang berjalan. Tentulah rakyat negeri itu khususnya dan rakyat Malaysia umumnya tertanya-tanya tentang peranan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang menjalankan peranan demikian. Apakah pihak SPR merasakan yang tugas yang mereka jalankan itu sesuai dengan kehendak perlembagaan negara? Apakah pada pandangan pihak SPR tidak ada langsung cacat celanya pilihanraya yang dijalankan di sarawak kini.

            Seingat aku terdapat larangan-larangan tertentu yang dikenakan kepada pegawai-pegawai kerajaan untuk tidak mengambil bahagian dalam sesuatu pilihanraya. Tentulah agaknya ada juga larangan tertentu yang dikenakan kepada para Menteri atau Timbalan Menteri ataupun Perdana Menteri sendiri jika mahu terlibat dalam sesuatu pilihanraya. Agaknyalah.

            Melihat kepada keadaan pilihanraya di sarawak kini seolah-olah negara sudah tidak ada peraturan tertentu untuk diikuti oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri atau para Menteri yang turut terlibat dalam kempen pilihan raya berkenaan. Dan yang malangnya pula ialah berbagai sekatan dan tekanan yang dikenakan ke atas pihak pembangkang yang cuba menegakkan keadilan dan proses demokrasi yang mantap dalam pilihanraya berkenaan. Semacam ‘padang tidak sama dan rata’ yang wujud dalam pilihanraya di sarawak kini.

            Sekiranya apa yang dipraktikkan di Sarawak itu, akan dipraktikkan juga pada PRU ke 14 nanti, maka apakah jaminan yang rakyat akan dapat menjalankan proses demokrasi yang bersih dan tulin dalam negara yang kononnya mengamalkan proses demokrasi ini.

            Keadaan sebegini yang amat membimbangkan rakyat Malaysia kini. Agaknya ler…..

abuhassanadam

5 Mei 2016

1 comment:

  1. https://belajarpkndenganhendri.wordpress.com/2011/04/16/demokrasi-sistem-politik/

    ReplyDelete