PRK SUNGAI BESAR DAN KUALA KANGSAR:
MEMBUJUR LALU MELINTANG PATAH
Bagi
aku yang tidak mahir dalam ‘sepak terajang politik’ jelas yang akan bertanding
di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah calon dari PKR untuk Sungai Besar
dan Parti Amanah bagi PRK Kuala Kangsar. Aku merasakan tidak banyak ‘simpang–siornya’
untuk memilih calon bagi kedua-dua kawasan PRK ini. Walaupun kedua-duanya
merupakan kawasan yang pernah ditandingi oleh PAS, namun PAS bukan lagi dalam
Pakatan Rakyat. Maknanya PAS tidak perlu mengadakan apa-apa rundingan dengan
Pakatan Rakyat. Terpulanglah kepada kepimpinan PAS samada untuk bertanding atau
tidak bertanding dalam PRK berkenaan. PAS tidak harus meletakkan sebarang
syarat dan cadangan bagi menentukan calon di PRK ini.
Pengalaman
pahit yang dicetuskan oleh kepimpinan tertinggi PAS dalam mengharungi kemelut
politik di Selangor dalam menentukan kedudukan Menteri Besar satu waktu dulu,
sudah cukup ‘menyedarkan’ kepimpinan Pakatan tentang sikap kepimpinan PAS
ketika ‘rakan’ dalam keadaan yang amat memerlukan. PAS bukannya ‘a friend in
need is a friend indeed’. Malah kepimpinan tertinggi telah menunjukkan
‘belangnya’ dengan cuba ’menangguk di air keruh’.
Lantas
kepimpinan Pakatan seharusnya bertindak bijak dalam menentukan calon dari
Pakatan dalam menentukan ‘hidup-matinya’ parti berkenaan. PRK yang akan
diadakan tidak lama lagi adalah merupakan deklarasi rakyat dalam erti kata yang
sebenar-benarnya. Rakyat akan membuat penentuan dalam menetukan bukan sahaja
wakil rakyat dalam satu-satu kawasan itu malah akan menentukan juga jatuh
bangunnya negara ini. Jatuh bangunnya kepimpinan tertinggi negara. Rakyat akan
membuat keputusan dan penentuan. Pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan
menyuarakan hasrat hati mewakili rakyat Malaysia.
Justeru
Pakatan Rakyat tidak harus mempersoalkan isu kecil yang membelenggu pemikiran
ahli. Pakatan Rakyat harus memikirkan kehendak rakyat dan bukan kehendak
segolongan kecil individu yang sentiasa mencari kepentingan diri. Kepimpinan
dalam Pakatan harus memikirkan perjuangan dalam kerangka yang lebih besar yang
merangkumi persoalan penerusan bangsa Malaysia yang boleh dianggap telah
tergugat kini.
Dilihat
sepintas lalu sememangnya kedua-dua RPK (Sungai Besar dan Kuala Kangsar) ini
amat ditunggu-tunggu oleh rakyat terbanyak. Pucuk dicita ulam mendatang.
Seperti orang yang mengantuk disorongkan bantal. Rakyat terbanyak
menunggu-nunggu untuk memberikan ‘jawapan’ tentang rasa tidak puas hati mereka
terhadap berbagai ‘salah laku’ yang telah dilakukan oleh pemimpin kerajaan kini
yang kesannya amat menyusahkan rakyat.
Rakyat
terbanyak bukan tidak faham dan bukan tidak sedar tentang apa yang berlaku
dalam negara kini. Rakyat sedar bahawa negara kita ‘sudah tidak serupa dengan
negara orang lain’. Apa lagi yang hendak dibanggakan jikalau setiap hari dan
setiap ketika akhbar dan majalah luar negara menceritakan tentang keburukan
Malaysia yang berkaitan dengan IMDB. Rakyat Malaysia sudah merasa begitu malu
dan sudah tidak tahu dimana ‘muka’ untuk disorokkan.
Pengundi
di Sungai Besar dan di Kuala Kangsar bukan tidak tahu hal yang berlaku dalam
negara kini. Bukan mereka tidak tahu kerenah yang dilakukan oleh kepimpinan
dalam negara. Tahu. Tetapi apalah daya mereka untuk membetulkan keadaan
sedemikian. Mereka tahu tentang berbagai tekanan dikenakan untuk ‘menutup’
segala ‘pekung dan kudis yang sedang berulat’. Mereka tahu juga. Dan sudah
sampai masanya para pengundi akan melahirkan ketidakpuasan mereka terhadap
pentadbiran yang dijalankan dalam negara kini.
Tentulah
masih ada juga yang berada di Sungai Besar dan di Kuala Kangsar yang digelarkan
sebagai ‘pemakan dedak’. Sudah sampai masa dan ketikanya golongan ini
disedarkan. Sekiranya selama ini mulut mereka ‘ditutup’, mata mereka
‘dirabunkan’ dan telinga mereka ‘dipekakkan’ maka inilah saat dan ketikanya
golongan ini disedarkan. Maruah mereka dipulihkan. Semangat dan perjuangan Dato
Maharaja Lela dibangkitkan semula agar golongan pemakan dedak ini adalah
merupakan bangsa dan titih keturunan pejuang yang sanggup bergadai nyawa
menentang penjajah British ( J.W.W Birch) demi mepertahankan maruah bangsa.
Kepimpinan
Pakatan harus berteraskan keyakinan ‘membujur lalu melintang patah’ demi untuk
menegakkan keyakinan rakyat terhadap perjuangan Pakatan. PAS tidak boleh
berbangga dengan kekalahan tipis yang dilaluinya dalam PRU 13 yang lalu. PAS
harus sedar ‘perkongsian’ yang telah terjalin antara parti-parti pembangkang
terutamanya DAP yang bukan kecil sumbangannya dalam kemenangan PAS berkenaan. Dan
harus disedari juga bahawa peratusan orang Cina bukan kecil di kawasan PRK
berkenaan. Reailitinya perkiraan bangsa dan kaum perlu diperhitungkan dalam
pemilihan calon untuk sesuatu pilihan raya. Dan telah jelas bahawa DAP sudah
menyatakan yang parti berkenaan tidak berminat untuk bertanding di PRK
berkenaan. Mereka sedar tentang kemampuan mereka untuk memenangi kawasan
berkenaan di mana peratusan kaum Cina adalah kurang daripada 40%. Tetapi
peranan kaum Cina dan India itu penting dalam menentukan kemenangan. Fikirkan
juga.
Justeru
amat terbuka luas peluang untuk calon PKR dan Amanah menjadi calon di kawasan
berkenaan. Tentang persoalan dan ‘ancaman’ PAS untuk meletakkan calon di
kedua-dua kawasan berkenaan, adalah menjadi tugas dan peranan Pakatan Rakyat
untuk memberikan kesedaran kepada para pengundi di kedua-dua kawasan tentang
kepentingan PRK berkenaan.
Rakyat
harus disedarkan sepertimana yang dilakukan oleh Saudara Anwar Ibrahim
menyedarkan rakyat tentang pentingnya kerjasama Melayu-Cina-India-Iban-Kadazan
demi mewujudkan bangsa Malaysia yang sejati. Sebenarnya sudah wujud pakatan
yang murni ketika Tuan Guru Haji Nik
Aziz masih ada. Malangnya setelah arwah meninggalkan kita, keadaan sudah tidak
menentu di bawah kepimpinan baru.
Walau
apa pun, matlamat PRK ini adalah merupakan titik-tolak dan jatuh-bangunnya
bangsa Malaysia.
abuhassanadam
15 Mai 2016
No comments:
Post a Comment