Saturday, May 14, 2016

ULU MENGKUANG….

            Sumbangan yang aku berikan di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang, Selama Perak tentunya tidak sama dan tidak setanding dengan sumbangan Cikgu Samad kepada anak muridnya di Malay Boys School, Padang Rengas disekitar tahun 1950an dulu. Sememangnya setiap kali menjelangnya 16 Mei (Hari Guru) pasti aku tidak dapat melupakan Cikgu Samad. Dia seorang guru yang paling kami sayangi. Sehingga kini nama Cikgu Samad akan sentiasa bermain dibibirku terutama apabila mengenangkan tentang sumbangan murni dan amat bermakna kepada diri kami.

            Aku cuba ‘membalas’ sumbangan yang diberikan oleh Cikgu Samad kepada kami dengan cara melakukan apa yang telah dilakukan oleh Cikgu Samad kepada murid-murid. Hasratku terkabul apabila cita-citaku untuk menjadi seorang guru juga termakbul. Dengan demikian aku telah ‘menggunakan’ Cikgu Samad sebagai ‘role model’ aku untuk memdidik anak-anak didikan aku.

            Cikgu Samad suka bercerita. Macam-macam cerita tetapi yang disukai oleh murid-murid pada ketika itu ialah mengenai Sang Kancil. Cerita Sang Kancil dengan buaiya, Sang Kancil dengan harimau dan cerita Sang Kancil berjumpa Raja Sulaiman pun ada!!..(mungkin rekaan Cikgu Samad agaknya…kah, kah,kah).

            Pantun yang diberikan oleh Cikgu Samad yang mana sehingga kini menjadi pegangan hidup aku ialah,
           
            Dalam semak ada duri,
            Ayam Kuning buat sarang
            Orang tamak selalu rugi,
            Seperti anjing dengan bayang-bayang.

            Sudah setengah abad dilafazkan oleh Cikgu Samad, namun masih terngiang-ngiang di telinga dan masih kelihatan wajah Cikgu Samad menuliskan rangkap pantun itu di papan hitam, didalam kelas Darjah 3, Malay Boys School, Padang Rengas tahun 1953.

            Pada 3 Januari 1965, aku melapor diri di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang, Selama Perak. Untuk menjadi seorang guru, berhasrat membawa ‘obor’ perjuangan Cikgu Samad untuk ‘membalas jasa baik’ Cikgu Samad mendidik aku. Dengan hanya berbekalkan kelulusan LCE ( Lower Certificate of Education) yang pada ketika ini setaraf dengan PMR (Penilaian Menengah Rendah) aku membawa cita-cita menggunung untuk mendidik anak bangsa. Entah tercapai entah pun tidak…

            Aku pernah menceritakan tentang keadaan Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang yang terletak di Kampung Ulu Mengkuang, ia itu sebuah desa pingitan (pada ketika itu), lebih kurang lima kilometer dari pekan Rantau Panjang dan tiga kilometer dari pekan Selama Perak.

            Ramai rakan-rakan guru tidak percaya apabila aku katakan bahawa aku amat bahagia dan gembira berada di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang. Jikalau untuk mencari kesenangan dan keseronokan (berhibur) memang Ulu Mengkuang bukan tempatnya, tetapi untuk mencari kepuasan mendidik dan memberi sumbangan, maka Ulu Mengkuanglah tempatnya terutama dari segi penghaargaan yang diberikan oleh penduduk kampung tentang jasa dan sumbangan yang diberikan oleh guru.

            Walaupun sudah agak lama aku tidak menjenguk Ulu Mengkuang, namun ‘Ulu Mengkuang’ masih segar dalam ingatan aku. Malah ke mana saja aku pergi, nama ‘Ulu Mengkuang’ tetap bermain di bibirku. Bagi aku Ulu Mengkuang merupakan sumber inspirasi dan tapak bermula bagi aku untuk melakar kehidupan baru. Lantas nama ‘Ulu Mengkuang’ perlu disemadikan dalam ingatan dan dilafazkan apabila perlu.

            Ketika aku membentangkan thesis aku di Stanford University, California pada suatu ketika dulu, nama Ulu Mengkuang aku lafazkan disana. Ketika bertugas di London, nama Ulu Mengkuang sentiasa juga aku lafazkan dihadapan para pelajar di sana. Di Paris ketika bertemu dengan pelajar-pelajat Asia Tenggara disana, nama Ulu Mengkuang aku sebut juga. Di Seoul, Korea Selatan ketika menghadiri COTI (Central Official Training Institute) nama Ulu Mengkuang aku sebut juga. Malah ketika berada di Princeton, USA juga aku sebut tentang kisah aku mencurahkan jasa bakti di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang.

            Aku masih mendapat berita daripada anak murid aku yang mengatakan bahawa orang kampung Ulu Mengkuang masih ‘mengenali’ aku dan masih menyebut-nyebut namaku walaupun sudah setengah abad aku meninggalkan Ulu Mengkuang. Ramai anak murid aku sudah pun berkahwin dan berkeluarga. Aku masih ingat nama-nama hampir kesemua mereka ketika itu. Dan pada ketika itu hanya terdapat 68 orang murid sahaja yang belajar di sekolah berkenaan. Guru Besarnya ialah Cikgu Ismail Ahmad (Pak Da, panggilan orang kampung ).

            Aku masih ingat lagi nama-nama anak murid aku pada ketika itu. Isa Md Noor, Hashimah Yusuf, Nab Pak Su Man, Mat Zain Haji Nawi, Radzi Pak Teh Derani, Rokiah Pak Ngah Ahmad dan ramai lagi. Mampu aku menyebutnya satu persatu tetapi disebabkan kesempitan ruangan, cukup sekadar itu saja. Malah aku boleh senaraikan nama-nama mereka yang telah terpahat dalam ingatan aku dan tidak akan aku lupakan. Dan mungkin mereka juga tidak melupakan aku terutama tentang apa yang telah aku lakukan kepada mereka.

            Dan ramai juga pelajar Ulu Mengkuang yang telah menjejakkan kaki ke menara gading dan memegang jawatan penting. Syukur. Didoakan agar guru-guru yang masih mengajar di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang kini tidak mengecewakan harapan penduduk Kampung Ulu Mengkuang yang sangat baik hati.

            Selamat Menyambut Hari Guru cikgu!....

abuhassanadam
14 Mei 2016
           


No comments:

Post a Comment