Wednesday, May 4, 2016

SAHABAT DARI LUAR NEGARA ASYIK BERTANYA….

            Kawan-kawan dari luar negara asyik bertanya tentang keadaan negara Malaysia kini. Mereka dengar macam-macam cerita yang pelik-pelik melalui akhbar-akhbar, majalah dan media sosial lain. Mereka tidak terfikir begini jadinya negara Malaysia yang pada suatu ketika dulu adalah merupakan antara ‘harimau yang sentiasa mengaum di Asia’ baik dari segi politik ataupun ekonomi.

            Kini mereka sungguh merasa hairan bagaimana sebuah negara yang dianggap cemerlang dan gemilang bertukar menjadi sebuah negara yang hampir terkebelakang ditinjau dari apa segi pun. Jikalau suatu ketika dulu nama Malaysia sentiasa ‘meniti’ di bibir para pemimpin dunia sehinggakan di persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu juga nama Malaysia sentiasa harum. Pemimpin Malaysia sentiasa ‘didekati’ untuk mendapatkan panduan dan bimbingan. Tetapi kini Malaysia seolah-olah sudah jauh ‘tersorok’ dan kadang-kadang teras amat malu untuk menonjolkan diri di mata dunia.

            Mereka bertanya tentang pilihanraya negeri yang sedang berjalan di Sarawak kini. Mereka mengikuti perkembangan yang agak luar biasa yang berlaku di sarawak ketika ini ia itu berkaitan dengan larangan dan halangan yang dikenakan ke atas pemimpin parti pembangkang yang hendak memasuki Sarawak. Kawan-kawan dari Silicon Valley, terutama dari Standford University California merasa cukup hairan tentang tindakan yang dilakukan oleh pemimpin Sarawak itu. Mereka ‘sanggup’ mempersoalkan tentang ‘faham-tidak’nya pemimpin berkenaan tentang erti demokrasi yang diagung-agungkan oleh mereka juga.

            Tidakkah para pemimpin yang bertanggungjawab merasa malu dengan tindakan yang mereka lakukan itu. Apakah mereka tidak berasa bersalah walau sedikitpun dengan tindakan yang mereka lakukan itu. Rakyat Sarawak tentunya mengharapkan mereka dibekalkan dengan berbagai maklumat bagi membolehkan mereka membuat keputusan yang tepat mengenai calon yang aka mereka pilih dalam pilihan raya itu nanti. Dan sekiranya mereka tidak mendapat maklumat yang tepat bermakna bahawa mereka telah membuat keputusan yang ‘membabi-buta’ yang tidak harus diamalkan oleh sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi.

            Sahabat dari Seoul, Korea Selatan yang sama-sama berkursus di COTI (Central Official Training Institute, Seoul) pada suatu ketika dahulu mengeluarkan kata-kata yang agak pedas mengenai kepimpinan negara Malaysia kini. Mereka membandingkan sekiranya keadaan yang berlaku kepada negara Malaysia kini (terutama yang berkaitan dengan IMDB)  dengan keadaan sekiranya keadaan yang serupa berlaku kepada negara mereka. Dengan tegas mereka mengatakan bahawa pastinya pemimpin negara berkenaan akan ‘membunuh diri’ ataupun dibicarakan dengan secara adil.

            Mereka merasa hairan mengapa keadaan yang berkaitan dengan penyelewengan dalam IMDB ini telah berlalu terlalu lama. Mereka tahu sebab-sebab yang terjadi demikian berdasarkan laporan-laporan yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar dana majalah disamping yang dihebahkan oleh media sosial. Dan mereka hampir tidak percaya mengapa keadaan sedemikian boleh berlaku kepada sebuah negara seperti Malaysia yang terkenal dengan rakyatnya yang berbudi dan berbahasa.

            Secara sopan (walaupun pedas bunyinya) mereka telah menyamakan negara kita Malaysia seperti negara Zimbabwe dari Africa dan menyamakan pemerintahan di Malaysia kini dengan zaman pemerintahan Idi Amin di Uganda pada suatu ketika dulu yang terkenal dengan sifat boros dan tidak pedulikan kesejahteraan rakyat yang dipimpinnya.

            Rakan-rakan dari luar negara sebelum ini memang tidak pernah memburuk-burukkan negara kita Malaysia walaupun mereka tahu ada juga cact dan celanya. Bagi mereka keadaan sedemikian adalah biasa dalam melaksanakan sesuatu pemerintahan. Namun dengan munculnya keadaan yang ‘luar biasa’ yang berlaku di Malaysia kini telah menyebabkan mereka juga turut simpati dengan rakyat Malaysia yang terpaksa mengalami nasib derita disebabkan tindakan pemimpin yang tidak bertanggungjawab.

            Tindakan pemimpin negeri Sarawak yang dengan sewenang-wenangnya menghalang kemasukan para pemimpin pembangkan ke negeri berkenaan tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Dan yang anih dan menghairankan para pemimpin (yang berani menggelarkan diri mereka sebagai pemimpin) tidak segan silu melakukan tindakan yang terkutuk itu. Mereka tidak merasa malu kepada negara luar yang melihat diri kita sebagai sebuah negara yang memiliki ‘pemimpin rimba’ yang melaksanakan pentadbiran ‘ala rimba’ itu.

            Apakah ‘kepimpinan rimba’ ini akan berterusan sehingga Pilihanraya Umum ke 14 nanti.

abuhassanadam

4 Mei 2016

No comments:

Post a Comment