Monday, May 30, 2016

PAS PIMPINAN TG NIK AZIZ MENAWAN HATI BUKAN MELAYU...

            Pemimpin PAS rata-rata merasakan bahawa PAS boleh memenangi kerusi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Mungkin itu merupakan angan-angan atau pun merupakan sebuah ‘mimpi di siang hari’. Yang berfikiran kritis dan ‘berpijak di bumi nyata’ merasakan bahawa peluang PAS untuk memenangi kerusi berkenaan bukan sahaja tipis malah boleh dikatakan tidak ada peluang langsung untuk menawan kerusi berkenaan.

            Di kawasan pilihan raya Sungai Besar, PAS mendabik dada mengatakan bahawa keputusan PR 13 telah menunjukkan bahawa PAS boleh memenangi PRK kali ini dengan menggunakan hujah bahawa calon PAS  (Mohammed Salleh M Hussein) hanya tewas dengan majoriti 399 di tangan Noriah Kasnon. Dan mengikut perkiraan kasar ( yang dianggap tidak berapa cerdik) merasakan bahawa PAS boleh terus menggungguli kawasan berkenaan pada kali ini.

            Agak keterlaluan jika dikatakan kemenangan PAS di kedua-dua kawasan ini ibarat ‘jauh panggang dar api’. Keadaan pada tahun 2013 dengan keadaan 2016 amat jauh perbezaannya walaupun jarak masanya hanya tiga tahun. Perkembangan yang berlaku kini samada politik atau ekonomi amat jauh menyimpang dari keadaan pada tahun 2013. Suatu faktor yang amat penting ialah faktor Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

            Ketika hayatnya Tuan Guru merupakan tenaga penting yang menyatukan rakyat (keturunan Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dll) dalam pasukan ‘pembangkang’ bagi menentang Barisan Nasional disamping kekadiran Saudara Anwar Ibrahim. Kini kedua-dua tokoh ini sudah tidak ada lagi. Dan perlu disedari juga bahawa ‘kehadiran’ Saudara Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz merupakan tenaga yang menggerakkan golongan bukan Melayu untuk bersama-sama dalam Pakatan Rakyat pada ketika itu ( Keadilan, DAP dan PAS) untuk menumbangkan BN.

            Kini kedua-dua tokoh berkenaan sudah tidak ada. Dan apakah PAS sedar bahawa yang menyebabkan golongan bukan Melayu untuk menyokong calon PAS pada ketika itu adalah berpunca daripada peranan yang dimainkan oleh kedua-dua tokoh ini. Dan dalam hal mengapa golongan bukan Melayu menyokong PAS adalah disebabkan oleh ketokohan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan dasar perjuangan PAS yang amat jelas pada ketika itu.

            Kini dasar perjuangan PAS dibawah kepimpinan baru amat diragui oleh bukan sahaja golongan bukan Melayu tetapi oleh golongan Melayu sendiri. Apakah pemimpin PAS tidak sedar tentang ‘blunder’ yang sedang dilakukan oleh kepimpinan mereka. Apakah mereka mahu menafikan hakikat bahawa rakyat Malaysia melihat PAS sedang bersekongkol dengan Barisan Nasional. Apakah kepimpinan PAS mahu menafikan tentang ‘keakraban’ Tuan Guru Haji Hadi dengan DS Mohd Najib Tun Abdul Razak. Apakah para pemimpin PAS masih tidak mahu mengaku tentang keakraban itu. Apakah mereka masih mahu mengatakan bahawa PAS hanya mahu menasihati BN dalam hal-hal tertentu yang berkaitan dengan agama Islam.

            Walau apa pun alasan yang digunakan persepsi rakyat Malaysia ialah bahawa PAS sedang ‘dipergunakan’ oleh BN atau pun mungkin BN sedang dipergunakan oleh PAS. Tak tahulah yang mana satu. Tetapi persepsi rakyat Malaysia kini ialah bahawa PAS tidak boleh diharap lagi untuk menjadi wadah memperjuangan apa yang sepatutnya diperjuangkan oleh mereka.

            Baru-baru ini, PAS cuba ‘mengenengahkan’ tentang undang-undang Hudud di parlimen melalui ‘kerjasama’ dengan BN. Dan dijangkakan strategi yang sedmikian boleh membawa ‘keuntungan’ kepada kedua-dua parti berkenaan sekiranya undang-undang demikian dilulsakn oleh Prlimen. Tidak pula disangkakan oleh ‘strategis’ kedua-dua buah parti ini bahawa strategi demikian akan ‘memakan tuan’. Dan terbukti rancangan itu meleset malah mungkin akan membawa ‘kehancuran’ kepada Barisan Nasional jika tidak ditangani dengan cermat.

            Kepimpinan BN ‘siang-siang’ telah mengaku bahawa mereka adalah merupakan ‘the underdog’. BN sudah mula merasakan bahawa ‘kekalahan’ mereka sudah berada di hadapan mata dan menakutkan sekali. Persepsi rakyat mengatakan bahawa BN sudah amat tidak kredible untuk terus memerintah negara ini memandangkan berbagai-bagai ‘kerenah’ yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Jikalau seluruh dunia sudah memeperkatakan tentang IMDB dan masalah yang ditimbulkan olehnya kepada rakyat, maka takkanlah pengundi di Sungai Besar dan di Kuala Kangsar tidak fahama tentang ‘susah’ dan ‘derita’ yang ditimbulkannya yang terpaksa diderita oleh rakyat.

            Maka seolah-olah apa yang aku katakan di atas seolah-olah aku akan menyebelahi Pakatan Rakyat. Seolah-olah kemenangan akan memihak kepada Pakatan Rakyat. Tidak juga. Sekiranya parti-parti Keadilan, DAP dan Amanah terus ‘bercakaran’ maka besar kemungkinannnya akan ditolak oleh rakyat juga. Namun begitu sekurang-kurangnya rakyat masih menaruh harapan kepada pakatan pembangkang ini berbanding dengan Barisan Nasional dan PAS yang sudah amat jelas tidak menentu hala tujunya.

            Rupanya ketiadaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terus menerus menghilangkan keyakinan golongan bukan Melayu kepada PAS apatah lagi apabila kelihatan dengan jelas ‘kerjasama’ yang cuba ‘dilagang’ oleh kedua-dua pemimpin parti Barisan Nasional dan PAS.

abuhassanadam
30 Mei 2016


No comments:

Post a Comment