Tuesday, April 26, 2016

BETUL KATA LEE KUAN YEW: “SI TIDUR MAKANAN SI JAGA’

            Sebenarnya ‘si tidur makanan si jaga’ itu merupakan peribahasa yang dimiliki oleh orang Melayu tetapi ‘dipopular’kan oleh Saudara Lee Kuan Yew pada awal tahun 1960an dulu. Dan dengan demikian ramailah orang menggunakannya untuk menggambarkan suasana di mana sekiranya kita dalam keadaan bodoh dan pandir, maka akan senanglah kita diperbodohkan oleh golongan yang cerdik.

            Lebih kurang sama dengan cerita Sang Kancil (pelanduk) yang digambarkan sebagai seorang yang cerdik yang sentiasa memperdayakan harimau (walaupun kuat dan gagah tetapi sentiasa diperdayakan oleh Sang Kancil yang kerdil tetapi cerdik) atau gajah ( yang memiliki tubuh badan yang besar tetapi lurus bendul dan bodoh) atau buaia ( yang juga merupakan sebagai ‘raja’ di air tetapi bodoh dan mudah diperdayakan oleh Sang Kancil yang cerdik).

            Orang Melayu sejak zaman berzaman tidak pula mengambil iktibar daripada hikayat Sang Kancil itu dan mahu menjadi seperti Sang Kancil ( supaya menjadi manusia yang cerdik agar jangan tertipu). Malah orang Melayu sejak berzaman (mungkin pada hari ini anak-anak sudah tidak mengetahui tentang hikayat Sang Kancil disebabkan sudah ramai guru-guru tidak lagi menumpukan kepada Hikayat Sang Kancil) tidak disarankan supaya menjadi manusia cerdik seperti Sang Kancil agar tidak tertipu di negara sendiri.

            Kecuali watak Sang Kancil, kebanyakan watak dalam cerita jenaka orang Melayu menggambarkan orang Melayu sebagai manusia yang bodoh, pandir dan sentiasa ditertawakan apabila membaca kisah mereka. Pak Pandir adalah kisah manusia Melayu yang bodoh, tolol. Pak Kaduk juga cerita orang Melayu yang bodoh (bodoh tak boleh diajar dan cerdik tak boleh diikut). Mat Jenin kisah orang Melayu yang suka berkhayal, ‘bermimpi di siang hari’, mengimpikan sesuatu yang tidak mungkin berlaku – berkahwin dengan tuan puteri raja. Lebai Malang pula mengkisahkan tentang orang Melayu yang tidak boleh membuat keputusan dengan tepat.

            Pendek kata, hampir kesemua cerita yang dihidangkan kepada orang Melayu semenjak zaman berzaman adalah mengenai orang Melayu yang bodoh, tongong, pandir, bangang..Dan aku tidak terkecuali juga dalam kumpulan ini kerana aku juga orang Melayu tulin. Bapak aku juga adalah puterabumi, keturunan sakai di negara ini. Aku sentiasa berbangga mengatakan bahawa Tanah Melayu ini adalah kepunyaan orang Melayu walaupun amat disedari bahawa tidak banyak yang dapat dibanggakan mengenai orang Melayu. Aku yakin ramai orang Melayu kini bersikap sepertimana yang aku gambarkan itu.

            Semenjak zaman berzaman orang Melayu sentiasa mencari ‘orang lain’ sebagi punca yang menyebabkan mereka gagal. Orang Melayu tidak berjaya dalam lapangan ekonomi, maka orang Cinalah yang dipersalahkan sedangkan mereka (orang Melayu ) lupa bahawa segala kekayaan yang diperolehi bangsa lain di negara ini bukanlah diperolehi oleh mereka dengan berangan-angan seperti Mat Jenin, ataupun bersikap seperti Pak Kaduk atau Lebai Malang. Mereka rajin berusaha dan tidak pernah mengenal penat lelah. Orang Melayu seharusnya mengikut contoh yang dipamerkan oleh mereka.

            Ada sebilangan kecil Orang Melayu menunjukkan ‘kekuatan’ pada tempat yang salah dan ‘ketinggalan zaman’. Kurun ke 21, seluruh dunia menekankan tentang ilmu pengetahuan yang menjadi senjata dan perisai untuk maju sedangkan ramai lagi orang Melayu yang tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan penguasaan ilmu pengetahuan itu. Orang lain peka dengan perkembangan zaman dan dapat berfikir dengan waras dalam memilih arah tuju kehidupan pada zaman yang penuh mencabar ini sednagkan orang Melayu masih ditakuk lama.

            Yang paling menyedihkan ialah masih ramai orang Melayu yang masih boleh ‘dibeli’ prinsip hidup dan perjuangan mereka. Dan keadaan sedemikian bukan sahaja berlaku kepada rakyat biasa di kampung-kampung tetapi berlaku juga dikalangan pemimpin Melayu yang ke hulu ke hilir, terpekik dan terlolong meneriakkan perkataan ‘perjuangan membela bangsa ‘ sedangkan mereka hanya mempamerkan slogan kosong. Ibarat kata peribahasa Melayu, ‘ ….hanya kokok yang berderai sedangkan ekor bergelumang tahi..’

            Golongan sebegini bukan sahaja boleh dianggap sebagai ‘pemakan dedak’ tetapi lebih menepati apa yang sentiasa diperkatakan oleh Saudara Lee Kuan Yew pada suatu ketika dahulu ia itu, golongan ini merupakan golongan ‘yang tidur’ dan tentunya akan dimakan oleh ‘si jaga’.

            Agak keterlaluan jikalau aku mempersoalkan tentang apakah kebanggan yang dimiliki oleh orang Melayu kini. Jikalau Singapura yang pada suatu ketika dahulu (1950an dan 1960an) adalah hampir sama kedudukannya dengan negara kita Malaysa ditinjau dari segenap aspek, maka kini Singapura sudah berada begitu jauh dihadapan meninggalkan negara kita Malaysia. Kejayaan yang dicapai oleh Singapura hanya ekoran kerja kuat pemimpin dan rakyatnya dalam masa 40 tahun. Dan kini mereka sudah merupakan sebuah negara yang begitu berjaya dan membanggakan.

            Apakah yang boleh dibanggakan oleh kita sebagai rakyat Malaysia? Apakah isu IMDB yang diperkatakan oleh hampir seluruh negara dunia itu akan menjadi tonggak ‘kejayaan’ negara kita?

            Entahlah…

abuhassanadam

26 April 2016

2 comments:

  1. Pak.

    Peribahasa English,
    Time PM Pak Lah is > Tidur King,
    Time PM Najib is > Cash is King.
    Now people Is > Bankrupt Is rakyat.

    ReplyDelete
  2. Pak.

    Peribahasa English,
    Time PM Pak Lah is > Tidur King,
    Time PM Najib is > Cash is King.
    Now people Is > Bankrupt Is rakyat.

    ReplyDelete