Saturday, April 16, 2016

TAHNIAH DATO AZNIL!

            Akhir-akhir ini jarang sangat aku menghabiskan masa menonton TV, khususnya rancangan yang berbentuk hiburan. Bukan kerana rancangan TV yang tidak menarik tetapi berkemungkinan sudah tidak begitu sesuai dengan ‘selera’ orang tua agaknya. Dan penerbit rancangan TV tentunya tidak begitu mementingkan ‘selera’ orang tua dalam menerbitkan rancangan terbitan TV mereka berbanding dengan kepentingan selera orang muda.

            Secara kebetulan semalam setelah selesai makan malam aku ‘tereserempak’ lagi dengan sebuah rancangan nyanyian menampilkan persembahan kanak-kanak yang dihoskan oleh Dato’ Aznil dan Nabil terbitan ASTRO. Minggu lepas aku telah pun menonton rancangan ini dan tidak aku menyangka pula bahawa rancangan ini disiarkan pada tiap-tiap hari Jumaat (malam Sabtu). Minggu lepas aku amat tertarik dengan persembahan seorang kanak-kanak yang menyanyikan lagu ‘Seri Mersing’. Hampir ‘gila’ aku dibuatnya dengan persembahan beliau. Hebat betul..

            Terus terang aku katakan bahawa apa saja yang dilakukan oleh kanak-kanak bagi aku semuanya ‘betul dan indah’ belaka. Walaupun kanak-kanak itu melakukan kesilapan. Bagi aku tidak ada silapnya. Kanak-kanak ler katakan...

             Dalam hal ini aku terpaksa memuji sikap pengendali pertandingan ini. Samada Dato Siti Nurhaliza, Awi, Dato Aznil atau Nabil. Bagi aku mereka memiliki sikap ‘keibu-bapaan’ yang agak mantap yang memahami betul-betul perasaan anak-anak. Panggilan ‘ibu’ dan ‘bapa’ kepada mereka cukup untuk menyuburkan suasana kekeluargaan pada rancangan berkenaan. Apatah lagi komen-komen yang diutarakan amat sesuai untuk diterima oleh kanak-kanak. Maknanya mereka faham perasaan dan hati nurani anak-anak. Syabas !...

            Peranan Dato Aznil sebagai ‘moderator’ patut dipuji. Ada dua peristiwa yang aku perhatikan dimana beliau telah memainkan peranan yang cukup ‘hebat’ membelai perasaan anak-anak. Apabila Awi memberikan komen profesionalnya kepada seorang peserta perempuan yang mencadangkan agar diperiksa vokalnya, maka Dato Aznil terus mengatakan bahawa suara anak itu sememangnya unik dan sememangnya begitu. Di situlah terletaknya keaslian penyanyi berkenaan. Hati yang terluka pasti terubat dengan kata-kata sedemikian.

            Dan yang betul-betul menarik perhatian aku ialah apabila selepas sahaja peserta yang menyanyikan lagu asli menamatkan persembahannya, salah seorang juri menyatakan ‘kebimbangan’nya kalau-kalau peserta ‘asli’ berkenaan tidak adapt menyanyikan dengan baik lagu rock. Maka terus dijelaskan oleh Dato Aznil bahawa, sekiranya seseorang peserta dapat menyanyikan lagu asli dengan baik dan mantap, maka tidak ada sebab mengapa peserta demikian tidak dapat menyanyikan lagu Rock dengan baik. 

            Sebagai orang tua (yang agak ketinggalan zaman), aku tertanya-tanya diri ku. Apakah masyarakat zaman ini begitu mementingkan lagu ‘Rock’ sehingga mengenepikan lagu-lagu Melayu tradisional?. Aku tidak pulah menentang lagu-lagu modern yang berbentuk ‘rock’ ataupun ‘Rapping’ dan lain. Aku hanya merasakan bahawa lagu-lagu tradisonal Melayu harus ‘dijunjung’ dan lagu-lagu ‘lain’ hanya ‘dikelek’.

            Aku amat bangga melihat persembahan peserta yang menyanyikan lagu asli berkenaan. Dari ‘body language’ para juri dan penonton menunjukkan bahawa lagu tradisional masih berpaut di hati dan perasaan masyarakat kita sehinggakan Awi yang amat tebal ‘pegangan’nya dengan lagu-lagu rock pun masih terpegun dan terpesona dengan lagu asli yang dipersembahkan.

            Ini yang dikatakan oleh orang Melayu bahawa lagu asli yang ‘tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas’. Aku dapat juga rasakan bahawa sebenarnya masyarakat Melayu ‘berpura-pura’ meminati lagu-lagu modern yang ada sekarang. Sebenarnya hati dan perasaan orang Melayu masih terlalu sayang kepada lagu-lagu asli. Cuma masalah yang dihadapi oleh orang Melayu ialah ketiadaan dan ketandusan lagu-lagu Melayu asli dan sudah tidak ramai pencipta lagu yang condong ke arah itu.

            Agak berbeza dengan lagu-lagu Hindi yang terus menerus mengenengahkan lagu-lagu tradisonal mereka disamping mereka terus menyanyikan lagu-lagu modern. Lagu-lagu tradisional mereka terus diminati bukan sahaja oleh masyarakat India tetapi juga masyarakat antarabangsa. Aku dapat sahkan bahawa filem Hindi amat popular di Britain ketika ini.

            Berdasarkan kepada keadaan sedemikian tidak mustahil sekiranya filem-filem P.Ramlee akan diubahsuai dan disesuaikan dengan keadaan sekarang dan menjadi tontonan masyarakat dunia pada suatu ketika nanti. Aku telah melihat dengan ‘mata kepala’ aku sendiri bagaimana masyarakat barat khususnya di Great Britain meminati tarian-tarian Melayu asli apabila dipersembahkan oleh pelajar-pelajar Malaysia di beberapa buah university di Great Britain melalui ‘Malaysia Night’ yang dianjurkan oleh mereka tidak berapa lama dulu. Meyakinkan aku bahawa lagu asli Melayu dan tarian-tarian Melayu sememangnya hebat dan boleh diketengahkan. Mungkin setaraf dengan tarian-tarian asli bangsa lain. Cuma bangsa Melayu agak kurang tenaga dan tidak ada dorongan yang diberikan untuk mencipta karya-karya besar.Mugkin!...

            Kesimpulannya aku akan menunggu siaran akan datang dan terus menunggu agar peserta kecil ini menyanyikan lagu ‘Sayang Sarawak’ pada masa-masa yang akan datang dan aku mendoakan beliau akan terus ke peringkat akhir. Aku menunggu seni kata lagu ‘Sayang Sarawak’ yang amat kagumi,‘Hendak ku bawa perahu ku sempit, hendak ditinggal tak sampai hati..” 

             Hebat betul seniman yang menciptakan senikata berkenaan.

abuhassanadam

16 April 2016

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. wow... hebat... peminat seni yang sebenar ialah seseorang yang boleh mendangar semua jenis genre lagu

    ReplyDelete