‘THE SWAMPERS’ DI PELANG
Setelah
dua kali van yang kami naiki berhenti (muntah disebabkan jalan bengkang
bengkok) akhirnya kami sampailah ke pekan Gerik, Perak. Ketika itu (1960an)
perjalanan ke Gerik agak sukar disebabkan jalanya yang sempit dan bengkang
bengkok. Entah berapa selekoh yang perlu ditempuh sebelum sampai ke pekan
Gerik. Memang sukar sekali untuk sampai ke Gerik dari Kuala Kangsar. Lebih
kurang 100km dari Kuala Kangsar.
Sebenarnya
pada ketika itu kami hendak pergi ke Pelang, lebih kurang 20 km dari pekan
Gerik menghala ke Klian Intan dan boleh terus ke Baling Kedah. Kami singgah di
pekan Gerik terlebih dulu untuk makan tengah hari. Dan kami diberitahu oleh
Alias dan Rosli ( kedua-duanya adik beradik dan telah meninggal dunia dan
kedua-duanya juga mengajar di Sekolah Kebangsaan, Pelang pada ketika itu )
bahawa di kampung Pelang tidak ada kedai makan. Oleh itu terpaksa berhenti di
Gerik terlebih dulu untuk makan tengah hari.
Kugiran
‘The Swampers’ akan membuat persembahan di Pelang dan kami adalah anggota
kumpulan kugiran berkenaan yang akan membuat persembahan itu. ‘The Swampers’
itu mengambil nama sempena kampung tempat tinggal pengasas kugiran ini, Mat Ha
(ketika itu dia mengajar di Sekolah Kebangsaan Paya Salak, Padang Rengas) ia
itu Kampung Paya Panjang. Dia tinggal di Paya Panjang, Padang Rengas. Kebetulan
juga ramai anggota kugiran ini tinggal di Paya Panjang. Antaranya Rasma
(arwah), Adam Suhaimi, Amir tinggal di kampung berkenaan.
Rasma
(Cikgu yang ketika itu mengajar di Kenering, Gerik) bermain drum. Adam Suhaimi
mengajar di Sekolah Menengah Tun Perak bermain organ. Amir anak Pak Ngah Pawang
masih bersekolah pada ketika itu adalah penyanyi kugiran ‘The Swampers’
disamping seorang penyanyi perempuan, Norul namanya. Norul tinggal di Karai,
Kuala kangsar. Entah macam mana dia ‘terpelanting’ untuk jadi penyanyi kugiran
‘ The Swampers’.
Aku
perhatikan sepanjang jalan dari Gerik ke Pelang, sudah kelihatan poster-poster
tertampal di pokok-pokok tepi jalanraya, mengatakan yang kugiran ‘The Swampers’
akan mengadakan persembahan di Padang Sekolah Kebangsaan Pelang pada malam
Sabtu (aku lupa tarikhnya). Taklah banyak. Ada ler dua tiga.
Sementara
menunggu malam untuk mengadakan persembahan, kami berehat sebentar di rumah
guru, yang didiami oleh Alias dan Man. Lebih kurang macam pondok durian.
Bertiangkan batang pinang dan beratap rumbia, berdindingkan buluh yang dianyam.
Pastinya terdirinya rumah guru berkenaan atas kerjasama orang kampung Pelang.
Pastinya. Untuk mandi manda kami ke telaga yang tidak berapa jauh dari rumah.
Pada ketika itu mana ada paip air dan kuasa letrik.
Setibanya
kami di Padang Sekolah Kebangsaan Pelang, pada sebelah malamnya, dapat aku
lihat ‘lautan’ manusia yang membanjiri kawasan padang sekolah berkenaan untuk
menyaksikan persembahan kami. Takut pun ada apabila melihatkan penonton yang
begitu ramai. Dan aku faham benar ‘kemampuan’ kugiran yang dipimpin oleh Mat
Ha. Bukannya bagus sangat. Namun disebabkan ketandusan hiburan di kawasan ini agaknya,
maka mereka akan ‘melayan’ apa juga bentuk hiburan yang dihidangkan kepada
mereka.
Lebih
kurang pukul 8.30 malam, aku ‘diarahkan’ oleh Mat Ha memulakan persembahan.
Sememangnya dimana saja persembahan yang diadakan aku disuruh jadi juruacara.
Bukan kerana kepandaian aku mengendalikan majlis tetapi disebabkan aku tidak
boleh bermain alat muzik. Mengatuk gendang pun tak boleh. Menyanyi langsunglah.
Oleh itu ‘jawatan’ yang terbuka untuk aku bersama dengan kumpulan kugiran ini
ialah sebagai juruacara. Tidak ada rotan akar pun boleh digunakan. Itulah tugas
aku.
Memang
seronok mengendalikan majlis sekiranya mendapat sambutan hangat dari penonton.
Itulah yang berlaku di Pelang pada malam itu. Tepukan bergemuruh setiap kali
Amir atau Norul selesai mendendangkan lagu pilihan mereka. Amir tetap dengan
lagu kesukaan ramai pada ketika itu. Lagu ‘wajib’. ‘Oh Fatimah’ dan Norul pula
dengan lagu ‘Si Baju Hijau’. Pendek kata lagu-lagu itu sememangnya ‘pecah
kepala’ pada ketika itu. Jikalaulah tidak dimainkan lagu berkenaan, maka
‘kepunan’ penonton tidak akan kehabisan.
Sampai
kepada satu peristiwa yang tidak dapat aku lupakan. Menyiarkan lagu permintaan.
Ramai sungguh yang meminta lagu-lagu pada malam itu. Satu lagu bayarannya 30
sen. Samada dinyanikan oleh penyanyi ‘The Swampers’ ataupun dinyanykan oleh
penyanyi jemputan. Aku siarkan ikut giliran. Tiba-tiba datang seorang pemuda
memanggil aku.
“Bila
Cikgu nak siarkan permintaan saya?” tanya dia pada aku. Dia main ‘rambang’ saja
panggil aku ‘Cikgu’
“Siapa
nama saudara?” tanya aku.
“
Musafir Kelana’ jawabnya. Sambil tersenyum sendirian aku membelek-belek kertas
lagu permintaan yang ada di tangan aku. Aku tahu itu hanya nama ‘glamour’ dia
di kampung. Akhirnya terjumpalah aku kertas permintaannya.
“Ada’
kataku. “Musafir Kelana menujukan lagu ‘TERMENUNG” kepada Melati Desa….”
sambungku lagi dengan membacakan langsung permintaannya.
“
Itulah permintaan saya cikgu. Bila nak disiarkan...?” Dia merayu.
“Kena
tunggu giliran tu…ada tiga empat lagu sebelum giliran saudara tu” aku menenangkan
pemuda itu.
“
Tak boleh Cikgu… nanti dia balik..dia memang nak balik tu” Rupa-rupanya beliau
merayu pada aku disebabkan si ‘Melati Desa’ (kekasihnya agak aku) akan pulang
awal. Oleh itu beliau berhasrat benar agar gilirannya untuk menyanyikan lagu
“TERMENUNG’ dipercepatkan supaya dapat di dengar dan dinikmati oleh ‘Melati
Desa’ akan nyanyiannya. Begitulah agakan aku.
Akhirnya
aku memenuhi permintaannya. Hampir lima kali dia mengucapkan terima kasih
kepada aku.
Mungkin
kini sudah berbelas orang cucu mereka agaknya. Mungkin.
abuhassanadam
17 April 2016
No comments:
Post a Comment