Sunday, April 10, 2016


SIFAT 20

            Setelah semuanya selesai membaca Quran atau Mukaddam, Pak Haji pun memukul rotan ke atas lantai memberikan isyarat bahawa sudah sampai masanya untuk ‘Q&A’ mengenai perkara asas mengenai agama Islam. Bersoal jawa mengenai Fardhu Ain. Kebiasaannya Ngah Ariffinlah yang paling akhir seklai membaca Quran di hadapan Pak Haji. Bukan kerana dia bodoh atau tak berapa ‘terang hati’, tetapi disebabkan dia gagap. Oleh itu Pak Haji meletakkan dia di ‘barisan belakang’ setelah semua orang selesai membaca. Bacaan Ngah Ariffin agak lambat. Kadang-kadang sebutannya juga tidak terang. Maklumlah dikurniakan Tuhan dia gagap.

            Kawan-kawan sentiasa mentertawakan Ngah Ariffin. Kasihan dia… Puas Pak Haji menasihatkan agar jangan bersikap demikian. Kadang-kadang Pak Haji sendiri pun tertawa juga mendengar ‘bacaan’ Ngah Ariffin. Tak tahan. Terlalu geli hati dibuatnya.

            Pak Haji akan suruh kami menghafal ‘Sifat 20’. Seorang demi seorang. ‘Wujud’, “Qidam’, “Baqa’ dan seterusnya. Aku masih ingat. Lancar… sampai ke sifat yang ke 20. Tetapi jangan tanya aku maknanya. Pada ketika itu aku tidak diajar tentang apa maksudnya. (kini dah tahu ler..) Kami disuruh oleh Pak Haji Sulaiman menghafal dengan lancar. Tutup mata…Dan kami pun ‘melancar’lah Sifat 20 dengan lancar. Macam baca sifir kali-kali di sekolah. Dengan ‘irama’nya sekali.

            Seingat aku pada ketika itu masyarakat Melayu Islam ‘gila’ dengan Sifat 20. Di mana-mana surau dan masjid tumpuan para alim ulama adalah ‘Sifat 20’. Di masjid Keroh Hilir, Ustaz Seman Kembal Batu mengajar ‘Sifat 20’. Di surau Ekor Dusun, Ustaz Jidin Kampung Pulau juga mengajar ‘sifat 20’. Di Madrasah Seberang, Pak Alang Jawa ( Ustaz) juga mengajar ‘sifat 20’.

            Aku tahu tentang pelajaran ‘sifat 20’ yang diajar oleh para tuan guru di surau dan masjid persekitaran disebabkan aku juga turut serta bersma ibu atau bapa hadir ‘mengaji’ di masjid berkenaan. Kadang-kadang mengekori Atuk aku. Dan aku juga tahu Pak Alang Jawa mengajar ‘sifat 20’ di madrasah Seberang disebabkan aku mengekori emak aku mengaji di situ. Walaupun aku tidak tahu ‘biji buah’nya secara jelas, namun aku tahu ustaz-utaz bekenaan mengajar ‘sifat 20’.

            Masih aku ingat juga cara-cara ustaz pada ketika itu menyampaikan ceramahnya. Misalnya dalam memperkatakan mengenai sifat 20, si Ustza mengatakan bahawa yang pertama ialah ‘Wujud’ ertinya ‘ada’, lawannya ‘tiada’ dan dalilnya ‘seru sekalian alam’. Haram sepatah aku faham pada ketika itu. Dan huraian yang diberikan oleh para ustaz pula mengikut nahu bahasa Arab yang berbelit-belit. Tidak hairanlah mengapa ramai ‘anak murid’ Pak Alang Jawa yang terus menerus bersembang ketika Pak Alang jawa menyampaikan pelajaran. Dan ramai juga yang melakukan kegiatan mengunyah sirih ketika Pak Alang Jawa mengajar.

            Aku terpanggil untuk menyentuh tentang ‘Sifat 20’ adalah disebabkan isu ‘sifat 20’ amat menyentuh perasaan dan kehidupan aku. Telah aku katakan tadi bahawa aku mula belajar ‘sifat 20’ semenjak aku berumur tujuh atau lapan tahun lagi. Dan kami disuruh menghafal dan tidak pula diberikan makna dan huraiannya. Mengapa perlu belajar ‘sifat 20’. Sifat siapa yang perlu dikaji ini? Apa maknanya setiap satu sifat yang dipelajari. Apakah kepentingannya sifat-sifat yang dipelajari itu. Kami tidak diberitahu langsung. Oleh itu kami sentiasa dalam ‘kegelapan’. Yang kami tahu ‘menyanyikan’ lagu ‘Sifat 20’ dengan ‘senikatak’ yang telah disediakan.

            Ketika aku berumur tujuh tahun emak juga belajar sifat 20. Dan ketika aku berada di sekolah menengah emak masih juga belajar sifat 20. Dan setelah aku ‘meninggalkan’ kampung dalam usia 20an, untuk bekerja di luar, aku tidak tahu samada emak masih belajar ‘Sifat 20’ dengan Pak Alang Jawa. Ketika pulang bercuti, tidak pula aku bertanya emak atau bapa samada mereka masih lagi belajar ‘sifat 20’. Aku tidak pula bertanya bapa samada Ustaz Jidin Kampung Pulau masih mengajar ‘sifat 20’.

            Hampir empat tahun aku berada di luar negara. Dan selama empat tahun itu juga aku tidak pulang ke kampung. Aku ada berutus surat dan memanggil emak melalui telefon. Tidak pula aku bertanyakan tentang hal-hal lain seperti pengajiannya di surau. Maklumlah panggilan dari jauh. Tentulah hal-hal keluarga saja yang diperkatakan. Anak Mak Cik Munah nak kahwin. Anak Mak Cik Lamah nak bertunang. Durian di Cangkat Ponggin lebat buahnya.

            Setelah empat tahun berada di luar negara, aku pulanglah ke kampung. Aku tak beritahu emak pukul berapa aku dan keluarga sampai ke kampung. Kebetulan aku sampai lebih kurang pukul 3.00 petang. Hanya bapak yang ada di rumah. Aku bertanya ke mana emak pergi.

            Ke mana lagi…ke surau lah. Masih ‘mengkaji Sifat 20”. Aku hanya tersenyum.

abuhassanadam

10 April 2016

No comments:

Post a Comment