Wednesday, April 6, 2016

MEMANG TUGAS RAFIZI MEMBETULKAN ‘YANG TAK BETUL’

            Seperti zaman ‘Singapura di langgar todak’ maka kini ‘budak pintar’ yang bernama Rafizi Ramli telah ditangkap dan akan disoal dan akan dibicarakan. Jikalaupun tidak dibunuh akhirnya sekurang-kurang usaha ‘membunuh’ semangat dan kerjayanya sedang berjalan dengan rancak. Namun sepertimana yang diramalkan oleh banyak orang tidak mudah untuk ‘membunuh’ semangat manusia yang bernama ‘Rafizi Ramli’. Dan inilah manusia yang merupakan ‘salinan’ kepada manusia yang bernama ‘Anwar Ibrahim’.

            Rafizi ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah disebabkan beliau mempersoalkan sesuatu yang dirasakan tidak kena berlaku. Beliau mempersoalkan tentang kegiatan pihak pentadbiran MARA dalam soal penjualan bangunan MARA di Australia. Dan dirasakan ada yang tidak kena dari segi penjualannya. Beliau mempersoalkan tentang urusan Tabung Haji yang dirasakannya juga tidak kena dalam hal pentadbiran kewangannya. Dan yang akhir seklai ialah mengenai Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang dirasakannnya tidak patut berlaku di mana ada para pesara yang terlambat menerima wang yang sepatutnya diterima.

            Salahkah beliau membangkitkan perkara sedemikian. Jikalau mengikut pihak polis tentulah salah tentang apa yang disuarakan oleh Rafizi. Mengikut OSA ( Official Secret Act ) memang salah dan boleh dikenakan hukuman penjara sekurang-nya setahun dan selebihnya tujuh tahun.

            Memang aku tak pandai nak mengulas hal-hal yang berkaitan dengan pentadbiran kewangan ataupun yang berkaitan dengan undang-undang negara. Aku hanya merasakan bahawa apa yang telah berlaku kepada Rafizi semangnya tidak patut berlaku. Rafizi tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian. Sebagai orang biasa, tentulah aku merasakan bahwa aku amat simpati dengan beliau terutama kepada keluarganya, kepada isteri dan anaknya yang masih kecil yang merindui seorang ayah yang dikatakan bersalah sedangkan beliau dirasakan tidak melakukan kesalahan (mengikut pandangan orang biasa).

            Jikalau pihak-pihak tertentu seperti LTAT atau Tabung Haji atau MARA merasakan apa yang dituduh oleh Rafizi itu tidak betul dan hanya sebagai fitnah semata-mata, maka adalah amat wajar mereka menyanggah dan membetulkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Rafizi. Aku yakin Rafizi akan bersedia bila-bila masa untuk sudi berdebat dengan siapa sahaja bagi membetulkan keadaan. Dan bukan dengan membuat laporan polis. Dengan membuat laporan polis sudah menandakan bahawa negara kita sudah undur ke belakang dan seolah-olah sudah tidak ada lagi tokoh yang berfikiran waras untuk berdebat untuk membetulkan sesuatu yang tidak betul.

            Aku merasa yakin bahawa rakyat Malaysia begitu tidak senang dengan tindakan yang dilakukan pihak tertentu terhadap Rafizi. Bagi aku tak banyak bezanya dengan tindakan pemerintah Singapura suatu ketika dulu untuk membunuh Hang Nadim dalam kisah Singapura Dilanggar Todak. Kesalahan Hang Nadim hanyalah memberikan pandangan dan buah fikiran tentang bagaimana seharusnya dilakukan bagi mengahalang serangan todak yang bertalu-talu terhadap rakyat di Singapura pada ketika itu.

            Pemerintah memerintahkan rakyat berkubukan betis untuk menahan serangan todak. Dan pada pandangan Hang Nadim merupakan tindakan yang tidak waras lalu dicadangkan agar rakyat menggunakan batang pisang mempertahankan serangan todak. Cadangan Hang Nadim berjaya menyekat serangan todak kerana serangan todak terlekat pada batang pisang. Kesannya bukan sahaja pihak pemerintah mengucapkan terima kasih kepada Hang Nadim tetapi sebaliknya Hang Nadim dihukum bunuh kerana takut kalau-kalau ‘budak cerdik’ itu akan bertambah akalnya apabila besar nanti. Hang Nadim duhukum bunuh akhirnya.

            Dalam keadaan negara kita yang sebegini ‘popular’ di mata dunia kini sehinggakan seolah-olah seluruh dunia membicarakan hal negara kita, amat perlu rakyat bersandar kepada tokoh-tokoh seperti Rafizi Ramli yang sanggup menyatakan sesuatu dengan jelas dan berani. Seharusnya ramai tokoh pemimpin negara yang berani menyuarakan demi kepentingan negara seperti apa yang dilakukan oleh Rafizi.

            Malangnya tidak ramai pemimpin negara terutama yang menjadi wakil parlimen di Malaysia yang berani menyatakan sesuatu yang betul dan benar mengenai keadaan negara kini walaupun mereka sendiri merasakan ada yang tidak kena yang berlaku kini.  Bukan mereka tidak tahu dan tidak faham dan tidak melihat bagaimana negara kita dan kepimpinan negara kita dikutuk , dihina dari negara luar mengenai apa yang berlaku kepada negara kita. Dan bukan mereka tidak tahu bahawa sebenarnya keadaan sedemikian berlaku dan memalukan negara dan bangsa Malaysia. Dan yang lebih malangnya pemimpin negara kita masih mengatakan bahawa tidak ada apa yang berlaku kepada negara kita. Para pemimpin masih mengatakan bahawa negara kita Malaysia masih aman dan sejahtera, kaya dan makmur dan rakyat dalam keadaan sejahtera walupun sebahagian  rakyat merintih dalam keadaan yang hampir papa kedana.

            Kita bersyukur kerana adanya tokoh muda seperti Rafizi Ramli yang sanggup menyatakan sesuatu walaupun membahayakan diri beliau sendiri. Amat sukar mencari tokoh sedemikian yang sanggup menjadi ‘lilin menerangi orang lain’. Kini beliau sudah tidak ada lagi ‘diluar’. Dan kita tidak tahu tentang berapa lamalah agaknya beliau berada ‘di dalam’.

            Rakyat Malaysia hanya mampu berdoa akan kesejahteraan beliau dan keluarga beliau. Semoga Tuhan akan mempamerkan keadilannya terhadap hambanya.

abuhassanadam
6 April 2016


            

No comments:

Post a Comment