Saturday, April 23, 2016

DEMI ‘DEDAK’ – TERMAKAN BUDI DAN TERGADAI ‘BODY’

            Sebenarnya aku pun dah lama benar tidak diketemukan dengan perkataan ‘dedak’. Bukan aku tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan dedak, malah aku lebih mengenali dedak daripada kebanyakan rakyat Malaysia. Orang kampung yang membela ayam dan itik pastinya biasa dengan dedak. Dedak adalah kulit padi yang ditumbuk halus untuk makanan ayam dan itik.

            Apabila perkataan ‘dedak’ menjadi semakin popular dalam negara pada akhir-akhir ini, maka tak dapat tidak fikiran aku terpaksa menerawang, merenung kembali  keadaan di kampung yang aman damai ketika masih kecil-kecil. Tentulah tidak terlepas pandangan aku kepada keadaan bagaimana ayam dan itik yang kelaparan (setelah keluar dari reban masing-masing) berlari-lari menuju emak yang sedang menaburkan dedak untuk diagih-agihkan. Kedengaran jugalah ‘hiruk-pikuk’ suara ayam dan itik ketika menikmati dedak yang diberikan oleh emak. Apabila sudah hampir kenyang, mereka akan senyap.

            Oleh kerana emak yang memberikan dedak itu kepada mereka (itik dan ayam) maka sang ayam dan itik merasa ‘terhutang budi’, lantas terus merasakan diri dipunyai oleh emak. Maka itik ayam berkenaan tidaklah pergi ke rumah Mak Cik Jah ( jiran aku), kerana dia tahu bahawa yang memberikan mereka dedak adalah emak aku. Lantas timbullah ‘ikatan’ yang cukup kukuh antara emak dan binatang peliharaannya.

            Maka semacam amat sesuai pula senario di Malaysia kini yang diibaratkan ‘seperti ayam diberikan dedak’ kepada situasi di mana ada segolongan pemimpin yang diberikan ‘dedak’ oleh tuannya untuk membolehkan mereka mengikut sahaja apa yang disuruh arah. Sama seperti keadaan ayam yang amat bising sebelum diberikan dedak, maka sama jugalah dengan keadaan manusia yang sentiasa bising sebelum diberikan ‘dedak’ Dan setelah ‘dedak’ diberikan maka akan senyaplah mereka dan akan terus mematuhi apa saja yang diarahkan kepada mereka.

            Suasana negara yang wujud kini, aku lihat semacam  lebih kurang sama dengan keadaan ayam yang diberikan dedak. Ramai pemimpin kini yang sudah ‘meletakkan jawatan’ sebagai seorang manusia dan meletakkan diri mereka sebagai ayam. Aku mengatakan demikian kerana semacam sudah tidak ada langsung suara-suara kritikan terhadap pemberi dedak walaupun ada tindakan-tindakan pemberi dedak yang dirasakan tidak kena dan tidak bersesuaian dengan hasrat rakyat di negara ini.

            Aku ingin menarik perhatian tentang satu tajuk berita dalam Malaysiakini bertarikh 19 April 2016 yang berjodol, “ Ketua PAC sunting kenyataan Bank Negara’. Diceritakan bahawa anggota pembangkang Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menuduh pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Hasan Arifin menyunting laporan PAC mengenai IMDB tanpa kelulusan jawatankuasa berkenaan.

            Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa Hasan mengeluarkan ayat dalam laporan itu mengenai firma Good Star Ltd yang dikaitkan dengan Jho Low. Pua berkata ayat yang dikeluarkan berbunyi,” Bank Negara Malaysia dimaklumkan secara sukarela oleh pihak berkuasa negara itu bahawa Good Star Limited adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh individu yang tidak mempunyai kaitan dengan PetroSaudi Group”

            Ayat berkenaan, katanya diluluskan oleh semua anggota PAC dalam draf kerja mereka, namun ia tidak muncul dalam laporan ahkir yang diterbitkan.

            Maknanya apa yang dilakukan oleh Datuk Hasan Ariffin selaku Pengerusi PAC itu amat menyalahi undang-undang. Dan sepatutnya tindakan yang tegas perlu diambil terhadap beliau yang berfungsi sebagai penjaga amanah rakyat dan negara. Rakyat meletakkan setinggi harapan kepada badan seperti PAC ini untuk menjaga wang dan khazanah negara dari ‘dirompak dan dicerobohi’. Kini sudah semacam ‘harapkan pagar (peger) pagar makan padi’

            Yang anihnya pula ramai pula pemimpin ‘pemakan dedak’ di negara kita yang cuba mempertahankan tindakan Pengerusi PAC dan menuduh pihak-pihak tertentu sebagai usaha untuk mempolitikkan keadaan. Dengan tidak ada rasa segan dan silu golongan ‘pemakan dedak’ ini mengemukakan berbagai ‘hujah’ yang kadang-kadang amat memalukan sesiapa sahaja apabila membaca hujah yang diutarakan. Seolah-olah golongan ‘pemakan dedak’ yang sebegini merasakan bahawa mereka sahaja yang cerdik dan menganggap orang lain semuanya bodoh-bodoh belaka.

            Beginilah keadaan pemimpin yang ada di Malaysia kini jika sudah termakan ‘dedak’. Nampak jelas bahawa segala tindak tanduk mereka sudah semacam ‘tidak siuman’ dan sering ditertawakan oleh masyarakat umum sedang mereka tidak sedar yang mereka sedang ditertawakan. Mereka juga mungkin tidak sedar bahawa anak-anak mereka sedang ‘menangis’ di sekolah disebabkan selalu diejek oleh rakan-rakan yang mereka berketurunan pemimpin yang ‘makan dedak’.

            Golongan pemimpin ‘makan dedak’ ini juga mungkin tidak tahu yang ibu bapa mereka (sekiranya masih ada lagi) sudah tidak tahu di mana ‘nak letak muka’ ekoran daripada tindakan mereka yang sentiasa ‘makan dedak’. Dan yang paling malang bagi golongan ini mereka sudah ‘dicap dan dimetrai’ oleh masyarakat sebagai ‘pemimpin dedak’.

            Ke mana saja mereka pergi, masyarakat akan berkata, ‘ itu dia pemimpin dedak sudah datang…’

abuhassanadam
23 April 2016


No comments:

Post a Comment