IMDB DAN KISAH SEORANG BENDAHARI
Sudah
banyak kali arwah bapak mohon supaya
beliau tidak lagi dilantik semula sebagai Bendahari Masjid di kampung kami.
Namun ‘rayuan’ bapak tidak dipedulikan oleh ahli qariah masjid Al-Diniyah.
Bapak tetap akan dipilih untuk menjadi Bendahri dalam mesyuarat yang akan
diadakan, kata mereka. Tidak ada calon lain, kata kebanyakan orang kampung
kepada aku, seolah-olah minta sokongan aku agar arwah bapak terus di pilih. Dan
aku tidak pula menentang jikalau arwah bapak dipilih. Dan aku menyokong sangat
pun tidak. Terpulanglah kepada ‘yang empunya badan’.
Aku
tak ingat sejak bila bapak mula-mula memegang jawatan Bendahari masjid
Al-Diniyah Kampung Keroh Hilir. Seingat aku semenjak aku ‘mengenali’ masjid (
maknanya semenjak aku mula menjejakkan kaki di masjid ketika berumur tujuh
tahun) bapak dah mula memainkan peranan penting dalam urusan masjid. Tidak pula
aku tahu apa jawatan yang dipegangnya. Yang aku tahu dan dapat aku perhatikan
bahawa setiap malam, bapak akan bersolat jemaah di masjid dari Maghrib sehinggalah ‘Isya.
Hampir setiap malam kecuali beliau tak sihat.
Secara
kebetulan aku bercuti di kampung dan secara kebetulan juga Masjid Al-Diniyah akan
mengadakan mesyuarat agungnya. Memang sudah lama aku tidak menghadiri mesyuarat
agung masjid di kampung aku. Aku hanya mendengar sayup-sayup tentang
pentadbiran masjid yang dipengerusikan oleh sepupu aku juga, Ngah namanya. Cikgu
Ngah atau Cikgu Radzi (arwah).Beliau seorang guru di kampung aku ketika itu (
Sekolah kebangsaan Paya Salak). Jadi oleh kerana beliau juga anak jati kampung
itu maka amat sesuailah beliau dilantik sebagai Pengerusi Masjid.
Olehkerana
aku tidak berada di kampung, maka aku tidak pernah hadir mesyuarat agung masjid
berkenaan. Tetapi disebabkan aku sudah berada di kampung secara kebetulan
bercuti, maka aku menghadirkan diri pada malam itu. Lagipun disitulah juga
dapat aku bertemu muka dengan ramai sahabat handai dan orang kampung lain.
Aku
‘takut’ untuk bertanya arwah bapak tentang ura-ura yang ahli qariah kampung
mahu memilihnya semula sebagai Bendahari. Bapak aku tidaklah segarang mana
orangnya dengan anak-anak. Olehkerana hormat yang melampau kepada bapak maka,
segan pula aku nak bertanya tentang hal itu. Cuma aku ada ‘merisik-risik’,
bertanyakan hal demikian dengan emak. Dan mengikut kata emak sememangnya bapak
dah tak ‘larat nak jaga duit masjid’. Terlalu berat tanggungjawabnya. Entah
berapa puluh tahun bapak ‘menyandang’ jawatan itu. Aku pun dah lupa.
Yang
aku ingat sepanjang hayatnya ‘menjaga’ duit masjid, bapak amat berhati-hati
amanah yang diberikan kepadanya. Wang masjid tidak disimpan dalam bank seperti
sekarang. Bapak simpan duit dalam kain sapu tangan. Aku masih ingat lagi warna
sapu tangan, tempat bapak menyimpan wang masjid. Kemerah-merahan warnanya.
Bapak menyimpan sapu tangan (berserta dengan wang) dicelah-celah lipatan kain
dalam almari buruk di rumah kami. Dan bapak sentiasa mengingatkan aku dan adik
aku agar jangan ‘didekati’ bungkusan wang berkenaan. Amanah orang, katanya.
Selepas
solat ‘Isyak, mesyuarat bermula. Ramai orang kampung hadir. Ustaz Seman
(arwah)selaku imam tetap di masjid kami
memulakan ucapan. Selepas Ustaz Seman berucap, giliran Cikgu Ngah pula.
Semenjak dari kecil kami berkawan dan aku tahu Ngah tak banyak cakap. Pendiam.
Dan mesyuarat bermula. Apabila sampai kepada agenda membentangkan tentang
kedudukan kewangan masjid, hati aku mula berdebar. Tentulah arwah bapak yang
akan membentangkan kira-kira wang keluar masuknya. Dan setahu aku bapak tidak
pun membuatkan ‘balance sheet’nya.
Aku
beranggapan sedemikian mungkin sudah begitu terpengaruh dengan
mesyuarat-mesyuarat yang diadakan di pejabat di Kuala Lumpur. Aku semacam sudah
‘tidak faham’ dan ‘ketinggalan’ yang mesyuarat yang aku hadiri itu adalah
mesyuarat masjid di kampung aku pada awal tahun 1980an. Memang aku sudah begitu
lama tidak menghadiri mesyuarat seperti itu. Aku merasa malu kepada diri aku
sendiri…
Dengan
tidak berkata panjang, bapak membuka bungkus sapu tangan tempat beliau
menyimpan segala wang masjid untuk ditonton oleh para jemaah. Aku anggarkan
wang yang tersimpan dalam bungkusan itu adalah dalam RM 160.00. Kebanyakannya
note RM 1.00 dan duit syiling. Dan sememangnya wang yang tersimpan dalam
bungkusan sapu tangan bapak adalah ‘wang asli’ penderma yang menderma untuk
masjid. Maknanya sekiranya sipolan menderma kepada masjid pada bulan Januari
1982 sebanyak RM 1.00 dan wang itu akan disimpan oleh bapak dalam bungkusannya
dan wang itu tidak akan hilang. Maknanya wang RM 1.00 itu tetap akan ada tersimpan.
Selepas
membukan bungkusan sapu tanganya yang berisi wang masjid, bapak hanya
menyerahkan majlis kepada Cikgu Ngah. Dan Cikgu Ngahlah yang menjelaskan
tentang kira-kira kewangan masjid. Bapak hanya memerhatikan saja. Itulah
peranannya sebagai Bendahari masjid.
Dalam
mesyuarat pada malam itu majlis memilih sekali lagi bapak sebagai Bendahari.
Tetapi bapak memberitahu majlis yang dia hanya sanggup hanya setahun lagi. Dah
tua katanya. Aku begitu bangga memiliki seorang bapak yang betul-betul amanah
yang sentiasa berhati-hati menjaga wang yang telah diamanhkan kepadanya. Dan
aku dan adik aku sentiasa diingatkan oleh arwah bapak agar sentiasa amanah.
Sekiranya
bapak masih ada lagi, apalah agaknya reaksinya terhadap kegiatan yang tidak
beramanah yang dilakukan oleh para pemimpin di negara kita kini berkaitan
dengan IMDB. Dan aku yakin bukan bapak aku sahaja yang begitu marah dengan
perangai yang ditunjukkan oleh anak-anak kini, namun aku yakin bapak-bapak yang
lain juga berperasaan begitu. Aku amat yakin..
Kepada
yang melakukan kegiatan tidak beramanah itu, ingat-ingatlah ibu bapa yang telah
pergi. Ingatlah pesananmereka…
abuhassanadam
8 April 2016
No comments:
Post a Comment