MARA BERTINDAK ‘DI LUAR PERADABAN SEORANG MANUSIA’
Seorang
hamba Allah menunjukkan kepada aku pesanan ringkas yang dihantar oleh pihak
MARA kepada anaknya ( 18 April 2016) yang meminta anaknya supaya menjelaskan
hutang pelajarannya pada HARI INI JUGA SEBELUM PUKUL 4PM. Dan hutang yang perlu
dijelaskan itu adalah dalam jumlah puluhan ribu ringgit. Dan mengikut
penghantar SMS itu “SEKIRANYA GAGAL LAWATAN KE PREMIS PEKERJAAN &PERUMAHAN
BAGI PEMINJAM/PENJAMIN”. Dan bukan itu sahaja “TINDAKAN PERUNDANGAN AKAN
DIJALANKAN”.
Tentulah
aku terpegun dan termenung melihatkan SMS yang sedemikian dihantar oleh pihak
yang mengakui mewakili MARA
(yang aku faham benar tugas dan peranan MARA untuk
menolong dan membantu orang Melayu) bertindak sedemikian yang pada anggapan aku
sudah ‘terkeluar dari batasan seorang manusia’. Dan yang menyedihkan lagi ialah
semacam tidak ada langsung ‘tolak ansur’ dari pihak ‘tuan pegawai MARA’ yang
bertindak sebagai ‘ROBOT” yang kononnya mahu membela nasib orang Melayu.
Sipeminjam
bukan lari dari membayar hutang dan tidak juga cuba melarikan diri dari membayar hutang
pelajarannya. Malah sipeminjam terus menerus membayar hutangnya sebanyak lebih
kurang RM 200 setiap bulan (dan mungkin ada ketikanya tidak menjelaskan
sebagaimana biasa). Dan si peminjam telah menjelaskan kepada ‘tuan pegawai’
bahawa telah ada persetujuan dari pihak MARA tentang bayaran yang sepatutnya
disumbangkan pada setiap bulan itu.
Penjelasan
yang diberikan itu tidak diendahkan oleh ‘Tuan Pegawai MARA” yang bongkak dan
sombong itu. Masih mahu berkeras mengambil tindakan terhadap peminjam dan
penjamin. Setahu aku tidak akan berlaku perkara sebegini sekiranya perkara yang
serupa dijelaskan kepada pihak mana-mana bank di Malaysia. Bank-bank di
Malaysia lumrahnya memahami keadaan yang dihadapi oleh peminjam dan amat
bertimbang rasa dengan penjelasan yang diberikan.
Aku
yakin dasar MARA tidak begitu. Seingat aku MARAlah satu-satunya institusi yang
betul-betlul mahu meonolong orang Melayu dalam apa perkara dan situasi mana
sekali pun. Mungkinkah dasar MARA sedemikian telah berubah dengan ada
kepimpinan baru dalam MARA. Mungkinlah MARA akan menjaga kepentingan segolongan
kecil orang Melayu sahaja dan mengabaikan kepentingan orang Melayu lain.
Mungkin begitu agaknya. Aku harap tidak begitu.
Aku
dapat bayangkan tentang perasaan ibu bapa lain yang menerima SMS yang sama
sepertimana yang ditunjukkan kepada aku.
Dalam keadaan ekonomi negara yang begitu rupa, dengan keadaan barang-barang
keperluan yang terus menerus menjunam naik, dengan keadaan GST yang terus
‘mengganas’ bagaimanalah agaknya penerimaan seorang bapa sekiranya anaknya
menerima SMS yang sedemikian. Jangankan untuk menjelaskan hutang yang berjumlah
puluhan ribu ringgit, hendak membeli makanan keperluan hari-hari pun terpaksa
berkira-kira.
Kenyataan
‘Tuan Pegawai MARA’ yang berbunyi, ‘SILA JELASKAN BAYARAN ANDA HARI INI SEBELUM
JAM 4PM. SEKIRANYA GAGAL LAWATAN KE PREMIS PEKERJAAN &PERUMAHAN BAGI
PEMINJAM/PENJAMIN SERTA TINDAKAN PERUNDANGAN AKAN DIJALANKAN. adalah kenyataan
yang ‘tidak berhati perut’. Kenyataan sedemikian adalah merupakan ugutan. Dan
pastinya ramai orang Melayu yang tersentak kehidupan mereka dengan ugutan
sedemikian. Dari manalah agaknya mereka hendak mencari wang sejumlah itu.
Hendak mencari sesuap pagi dan sesuap petang mereka masih sukar mencarinya.
Mungkin
ada yang mengatakan bahawa tugas untuk menjelaskan hutang pelajaran adalah
merupakan tugas si peminjam. Maksudnya si pelajar itu sendirilah. Masih ramai
lagi pelajar (Melayu) yang masih belum mendapat pekerjaan ataupun bekerja
dengan pendapatan yang amat rendah dan menyukarkan mereka untuk melangsaikan
hutang mereka. Lagi pun kebanyakan peminjam bukan mereka tidak mahu membayar
hutang mereka dan mereka sanggup membayar secara nasuran tetapi bukanlah
sebagaimana yang disyaratkan oleh ‘Tuan Pegawai MARA’ ia itu, ‘SILA JELASKAN
BAYARAN ANDA HARI INI SEBELUM JAM 4PM (18 April 2016). SEKIRANYA GAGAL LAWATAN
KE PREMIS PEKERJAAN &PERUMAHAN BAGI PEMINJAM/PENJAMIN SERTA TINDAKAN
PERUNDANGAN AKAN DIJALANKAN’.
Dengan
‘arahan’ ini juga menampakkan bahawa MARA sudah begitu cekap dan effiisen dalam
urusannya mengutip hutang daripada peminjam-peminjam. Agaknya tindakan
sedemikian juga dilakukan oleh ‘Tuan Pegawai MARA” untuk mengutip hutang
peminjam yang jumlahnya ratusan ribu sepertimana yang dilakukan oleh golongan
ahli politik misalnya. Dan mungkin ‘Tuan Pegawai MARA’ juga tentunya dengan
tegas bertindak terhadap peminjam-peminjam sedemikian tanpa takut dan bimbang.
Mungkin..
Akhirnya,
orang Melayu miskin bukan tidak terhutang budi kepada MARA diatas sumbangan
MARA yang begitu besar kepada orang Melayu, khususnya dalam bidang
pendidikan.Orang Melayu sedar tentang hakikat ini. Dan bukanlah hasrat untuk
lari dari membayar hutang MARA. Mungkinlah ada juga yang bersikap demikian,
namun kebanyakannya bersedia untuk membayar hutang pinjaman yang telah mereka
buat. Mungkin keadaan kini tidak memungkinkan mereka membayar secara sekali
gus.
Hasrat
MARA adalah murni. Orang Melayu amat menyanjung sumbangan MARA. Cuma kemurnian
MARA itu tidak ‘dinodai’ oleh ‘tuan-tuan pegawai’ yang tidak bertanggungjawab
dan tidak berperikemanusiaan…
abuhassanadam
18 April 2016
No comments:
Post a Comment