RINDUNYA PADA AWAN YANG
BERARAK……
Waktu mengaji quran di rumah Pak Haji Sulaiman bermula
pukul 8.00 malam. Tapi pada pukul 5.00 petang aku dan beberapa orang kawan dah
‘bertolak’ dari rumah untuk pergi ke tempat mengaji di kampung Seberang. Tak
jauh pun Kampung Seberang. Hanya ‘sepelaung’. ‘Seberang’ tu bermakna seberang
bendang. Kampung Keroh Hilir itu
terbahagi dua; dibahagi oleh sawah padi milik orang kampung. Tak luas pun. ‘Sekankang
kera’. Terdapat sebatang jalan kecil (sebenarnya batas bendang dijadikan jalan)
menuju ke kampung Seberang. Sebelah kanan jalan, sawah kepunyaan Pakcik Talib .
Sebelah kiri jalan pula milik Pak Man Alang Noh.
Lebih kurang pukul 5.15 petang, kami dah pun berada di
pertengahan jalan. Di tengah bendang. Ani, Ngah, Mat Ropek, Basir, Toha
semuanya dah berada di situ. Itu pun jikalau hari tak hujan. Jikalau hari hujan
ataupun mendung, kami terus ke rumah Pak Haji Sulaiman. Tak singgah di tengah
bendang dekat dengan pokok Dedalu berhampiran dengan kolam ikan Pak Ngah Tengin.
Emak tak pernah tanya mengapa aku terlalu awal pergi
mengaji di rumah Pak Haji Sulaiman sedangkan emak dan bapak tahu yang waktu
mengaji bermula lepas Maghrib. Wan Meriam, emak saudara aku (ibu Ani, Ngah, Mat
Ropek) juga tak pernah tanya. Agaknya mereka begitu yakin bahawa apa saja yang
berkaitan dengan mengaji quraan ( hal yang berkaitan dengan agama Islam) tak
perlu ditanya-tanya. Agaknya ler…
Anak murid Pak Haji Sulaiman agak ramai. Lebih kurang 60
orang. Dari sekecil aku (yang berumur lapan tahun ketika itu) hinggalah Abang
Manap (arwah) yang pada ketika itu berumur lingkungan 16 tahun. Pendek kata
seluruh kanak-kanak di kampung itu bergurukan Pak Haji Sulaiman. Malah ada yang
datang dari Kampung Tanjung dan Kampung Pulau yang lebih kurang 2 kilometer
jauhnya dari tempat mengaji. Pak Haji Sulaiman seorang sahaja yang mengajarnya.
Di tangan Pak Haji Sulaiman sentiasa ada rotan. Sebesar
jari kelingking. Gunanya rotan itu untuk merotan kami yang nakal dan juga untuk
memberi isyarat. Biasanya isyarat pertama rotan dipukul ke atas lantai ialah
untuk memberitahu ‘sesi’ akan bermula. Dan beraturlah kami (bersila) melalui
tiga saluran dengan quran di tangan masing-masing, bersedia untuk membaca
dihadapan Pak Haji. Tiga orang membaca sederap. “Triple tasking’ untuk Pak Haji
Sulaiman. Rotan akan dipukul ke lantai sebagai isyarat kedua untuk semua
pelajar duduk rapat dengan dinding dan bersoal jawab mengenai agama. Rukun
Islam, Rukun Iman, hal-hal yang membatalkan sembahayang dan lain-lain.
Tidak ada yuran pengajian dikenakan oleh Pak Haji
Sulaiman. Percuma. Tidak sepertimana yang berlaku kini. Para ‘ulamak’
mengenakan bayaran ratusan ringgit untuk satu sesi pengajian. Ditambah pula
dengan bayaran penginapan hotel sekiranya seseorang itu perlu bermalam. Dan
tentunya hotel bertaraf empat atau lima bintang!...Tetapi Pak Haji Sulaiman
tidak mengenakan sebarang bayaran. Sebagai balasan di atas tenaga yang
diberikan oleh Pak Haji Sulaiman kepada kami, maka ibu bapa di kampung akan
menghulurkan pertolongan kepada beliau dalam hal mengerjakan sawahnya atau
apa-apa tugas yang dirasakan beliau memerlukan pertolongan.
Apabila sampai sahaja kami di tengah bendang, berhampiran
dengan pokok Dedalu, maka di situlah merupakan stesen perhentian kami. Di situ
juga ada sebuah kolam ikan kepunyaan Pak Ngah Tengin. Sambil memerhatikan
ikan-ikan berkeliaran di kolam Pak Ngah Tengin, kami juga sedang menghirup bayu
petang yang sepoi-sepoi bahasa di tengah sawah yang terbentang itu.
‘Permainan’ yang paling kami sukai ialah memerhatikan
awan berarak di langit sambil mebentuk berbagai-bagai bentuk. Ada awan yang
merupakan seperti seekor anjing atau harimau atau manusia. Maka
‘berlumba-lumba’lah kami menganalisis bentuk-bentuk yang terbentu di langit itu.
Amat menyeronokkan. Dan besar kemungkinannya anak-anak zaman ini tidak faham
dan tidak dapat langsung memahami dimana terletakknya ‘keseronokan’ yang aku
gambarkan itu. Mereka tidak faham dan tidak akan faham.
Sebenarnya kanak-kanak (seperti aku dan yang sama ‘waktu’
dengan aku) pada ketika itu sentiasa ‘bergelumang’ dengan alam. Kami amat
sebati dengan peredaran alam dan seolah-olah alam juga ‘simpati’ dengan keadaan
anak-anak pada zaman itu. Hiburan aku pada ketika itu adalah apabila melihat
daun kelapa yang melintuk liuk ditiup angin petang; mencium bau jerami padi
yang terbakar hasil titik peluh Pak Ngah Manap. Dan hati ini pula akan merasa
pilu dan hiba bercampur sayu meilhatkan matahari terbenam menjelang senja. Dan
akan menjelma pula perasaan romantis apabila muncul sinaran bulan pada malam ‘bulan
empat belas’.
Apabila terdengar saja bunyi kerantung ( ada yang disebut
sebagai beduk) dari surau Seberang yang menandakan masuknya waktu Maghrib, maka
kami pun sudah bersedia untuk bersama-sama Pak Haji Sulaiman untuk menunaikan
fardhu Maghrib bersama beliau.
Aku doakan agar roh Pak Haji Sulaiman ditempatkan
dikalangan golongan yang beriman. Amin.
abuhassanadam
3 April 2016
best la Abu..Membaca ceritamu membawa aku pun terkenang zaman bahariku ketika aku masih kecil macam kau .Kira kira sekitar tahun 1957,hingga tahun 1967.Kampung aku namanya kampung Berapit di Tikam Batu, Kedah.Usiaku pun kini dah 64 tahun..
ReplyDeletebest la Abu..Membaca ceritamu membawa aku pun terkenang zaman bahariku ketika aku masih kecil macam kau .Kira kira sekitar tahun 1957,hingga tahun 1967.Kampung aku namanya kampung Berapit di Tikam Batu, Kedah.Usiaku pun kini dah 64 tahun..
ReplyDeleteSaudara Sahari,
ReplyDeleteTerima kasih kerana sudi membaca coretan saya yang tak sepertinya itu. Mari kita pakat ramai-ramai tulis cerita kita zaman dulu-dulu supaya dapat dibaca oleh anak cucu kita.
abuhassanadam
Salam Pak Abu,
ReplyDeleteSaya juga seronok bila baca kisah lama Pak Abu.Kisah macam ni patutnya kita berkongsi beramai ramai agar dapat juga di jadikan terapi atau untuk anak anak zaman moden ni mendengar kisah yang boleh di jadikan tauladan atau sekurang kurangnya mereka boleh bayangkan susah senang orang dahulu kala menjalani kehidupan yang amat sederhana.Kan bagus kalau ibu bapa yang lahir era sebelum dan selepas baru merdeka ni ..bercerita kisah silamnya pada anak anak.sekurang kurangnya mereka dapat merenungi susah senang orang terdahulu.
Kenangan masa kanak-kanak memamg menyeronokkan dan semacam ingin kembali semula ke waktu itu.Terutama suasana di zaman 60an..Tiada satu permainan pun yang dapat ayah belikan...walaupun ayah kerja kerajaan tapi gaji hanya cukup untuk makan pakaian sahaja.Itu pu barangan dapur terpaksa berhutang.cukup bulan bayar dan masing masing membawa buku tiga lima. Tapi syukur,berkat hidup secara sederhana ,tiada hutang yang di tinggalkan.Begitulah kehidupan orang dahulu kala.Gaji kecik ,anak ramai..tapi hidup di berkati.
Walaupun zaman telah berlalu..
Masih dalam ingatan saya bahawa Sumber alam sekeliling lah yang jadi bahan mainan , Upih kelapa,daun teh,kulit kerang,biji saga,biji asam jawa,biji pokok rhu, bunga bingan, anak ikan sungai, kotak ,botol kosong ,getah,tanah liat,dahan kayu..ish mcm mcm lg semua boleh jadi barang mainan.Sangat menyeronokan dan saya sangat bersyukur di lahirkan di zaman Malaysia penuh dengan kesederhhanaan waktu itu.Aman damai dan madyarakatnya sangat berbudi bahasa dan perihatin.
Yang paling tidak boleh di lupakan pergi mengaji rumah ustaz beramai ramai waktu tu saya pun baru berumur 4 tahun..tiada bayaran di kenakan.Bila masuk darjah tiga dah khatam.Bila berkhatam Quran..masing masing emak menghadiahkan juadah masakan sendiri dan sepersalinan pakaian dan sedekah wang untuk ustaz dan keluarganya.Sungguh meriah.Lepas berkhatam,Ustaz ajar bertilawah, bernasyid,berzanji dan masjid menjadi tempat kami berkumpul malam selasa dan jumaat bermore dan mendengar syarahan.
Tidak pernah ada rasa ketakutan sedikit pun tatkala berjalan jalan , bermain main di mana mana pun.Tidak ada orang jahat yang nak di takuti.Pintu dan tingkap rumah sentiasa terbuka luas.Amat berbeza suasana dulu dan sekarang. Saya amat rasa bersyukur dapat merasai suasana aman damai di sekitar tahun 60an dan 70an.Bagi saya dunia kanak kanak di zaman saya tiada tolok bandingnya walau pun suasananya tidak secanggih dunia moden zaman kini