Tuesday, April 12, 2016

BANGSA MALAYSIA DIHINA – KERAJAAN HARUS BERTINDAK

            Bangsa dan negara Malaysia terus dihina dan dikutuk dari segenap penjuru dan dimalukan di luar negara ekoran daripada isu IMDB yang dikatakan berpunca daripada penyelewengan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, DS Mohd Najib Tun Abdul Razak. Dan DS Najib terus menerus menafikan juga tentang adanya penyelewengan yang dilakukan oleh beliau. Lantas akhbar-akhbar dan majalah luar negara terus menerus mengutuk tindakan negara Malaysia yang seolah-olah cuba mempertahan dan menegakkan benang basahnya. DS Najib terus menafikan berita-berita berkenaan. Dan para ‘pengikut’nya juga terus  menerus memberikan sokongan.

            Yang menanggung malu tentunya rakyat Malaysia khususnya yang sentiasa berada di luar negara. Para pegawai kedutaan Malaysia di seluruh dunia hampir tidak tahu dimana nak ‘disorokkan muka’ apabila isu IMDB ini dibangkitkan. Dan apabila sesebuah negara di pandang rendah dan ‘hina’ oleh negara-negara di dunia lain, maka tentulah bangsa Malaysia juga dipandang ‘sebelah mata’ oleh negara luar.

            Kerajaan Malaysia harus bertindak dengan drastik dan segera ‘menyelamatkan’  bangsa dan negara Malaysia. Imej negara kita kini sememangnya berada ditahap yang cukup memalukan. Kepimpinan negara, khususnya Perdana Menteri dan para Menteri harus memikirkan secara kritikal tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk memulihkan imej negara dan bangsa Malaysia.

            Kepimpinan negara merasakan bahawa apa yang dipaparkan oleh akhbar-akhbar luar negara mengenai IMDB adalah suatu fitnah yang sengaja mahu memburuk-burukkan imej negara Malaysia. Sekiranya kita betul yakin bahawa sebenarnya apa yang dikatakan oleh pihak-pihak yang memburukkan negara kita suatu fitnah, maka sudah sewajarnya pihak kerajaan mengambil tindakan sewajarnya terhdap pihak yang bertanggungjawab. Sudah sampai masa dan ketikanya pihak kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap majalah dan akbar berkenaan.

            Rakyat seolah-olah sudah hilang sabar terhadap kerajaan yang terlalu berlembut dengan media asing yang kononnya sentiasa memburuk-burukkan DS Mohd Najib, Perdana Menteri Malaysia. Sudah sewajarnya pemimpin negara kita di pertahankan kerana memburuk-burukkan Perdana Menteri kita adalah juga bermakna ‘menghina’ rakyat Malaysia.

            Seeingat aku belum pernah berlaku lagi dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri dihina sebegini rupa. Belum pernah. Inilah kali pertama dalam sejarah bangsa Malaysia pemimpin negara Malaysia yang dipilih melalui proses pilihanraya berdasarkan prinsip demokrasi dihina dan dinista begitu rupa.

            Para menteri kabinet Malaysia mengatakan bahawa tidak berlaku sebarang penyelewengan yang dilakukan oleh DS Mohd Najib berkaitan dengan IMDB. Peguam Negara juga mengatakan tidak ada kes berkaitan dengan salah laku DS Mohd Najib. Dan baru-baru ini PAC pula menjelaskan bahawa semacam tidak ada penyelewengan yang dilakukan dalam kes IMDB.

            Rakyat seluruh negara (kecuali beberapa kerat ahli UMNO) tentunya tertanya-tanya bahawa sekiranya tidak ada apa yang dilakukan oleh kepimpinan negara, menagapa tidak diambil tindakan terhadap pihak yang menuduh. Tuduhan yang dilemparkan bukan calang-calang, dan membabaitkan maruah bangsa dan negara Malaysia. Apabila pemimpin sesuatu bangsa itu sudah tidak dihormati lagi maka apakah ertinya bangsa yang dipimpin oleh pemimpin berkenaan. Tidak ada ertinya kita mendabik dada mengatakan bahawa bangsa Malaysia adalah bangsa terhormat yang disegani.

            Dulu ada kedengaran mengatakan bahawa DS Mohd Najib akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah akhbar luar negara yang dikatakan memaparkan isu fitnah berkaitan dengan isu IMDB. Dan sehingga kini belum lagi terdengar tindakan yang sedemikian diambil terhadap akhbar berkenaan. Dan semakin banyak akhbar-akhbar dan majalah luar negara yang ‘berpesta’ memaparkan berita-berita yang disifatkan sebagai fitnah oleh kerajaan Malaysia itu.

            Pemimpin kerajaan Malaysia harus bertindak dengan segera untuk memulihkan keyakinan rakyat. Jangan hendaknya rakyat Malaysia hilang keyakinan terhadap kepimpinan dan kewibawaan pemimpin negara kita. Pemimpin negara janganlah hendaknya hanya menjadi seperti ayam jantan yang ‘kokoknya berderai-derai tetapi ekornya bergelumang tahi’. Rakyat Malaysia sudah begitu lama menunggu ‘kejantanan’ pemimpin negara ini untuk membela maruah bangsa Malaysia.

            Bangsa Malaysia bukan tidak pernah mengalami zaman emasnya di bawah kepimpinan sebelumnya. Bangsa Malaysia pernah disanjung oleh bangsa-bangsa di dunia. Bangsa Malaysia pernah ‘walking tall’ di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu memperkatakan isu-isu antarabangsa. Bangsa Malaysia dan negara Malaysia pernah diikitiraf sebagai sebuah negara maju yang setaraf dengan negara-negaar maju lain di Asia Tenggara pada suatu ketika dulu.

            Kini negara dan bangsa Malaysia seolah-olah berada diambang kehancuran dan hanya menunggu masa untuk hancur berderai.

abuhassanadam
12 April 2016




No comments:

Post a Comment