PENIPU…
Orang yang suka
dan selalu menipu orang lain dipanggil penipu. Lawan perkataan ‘menipu’ ialah
‘amanah’. Nabi Muhammad adalah sebagai simbol manusia yang amanah sehinggakan
baginda dipanggil Muhammad al-Amin. Setakat itu saja aku ‘berani’ memperkatakan
hal yang berkaitan dengan agama. Takut. Nanti aku dituduh oleh para ‘ulama’
dengan berbagai tuduhan.
Seingat aku,
ketika masih kecil seluruh masyarakat merasakan bahawa anak-anak perlu diingat
dan ‘dibekalkan’ supaya jangan menipu. Jangan bercakap bohong. ‘Siakap Senohong,
Gelama, Ikaln Duri; bercakap bohong lama-lama mencuri’. Pak Haji Sulaiman (Guru agama aku) hampir
setiap malam ( ketika mengaji Quran) menasihatkan anak muridnya supaya jangan
menipu. Mesti selalu bercakap benar. Di Sekolah Pondok Bawah Gunung juga, Pak Alang Samad dan Ustaz Md Noor juga
sentiasa menasihati anak murid supaya jangan menipu. Di Sekolah Melayu Padang
Rengas pula, Cikgu Yunus hampir setiap hari ‘berpesan’ supaya jangan bercakap
bohong. Di rumah pula, emak dan bapak hampir setiap waktu menyemaikan nilai-nilai
yang baik kepada anak-anak.
Pendek kata
melakukan satu penipuan adalah merupakan satu dosa besar. Memang tak berani
untuk berbohong atau menipu seolah-olah
wajah-wajah Pak Haji Sulaiman, Ustaz Md Noor, Cikgu Yunus sentiasa berada
memerhatikan kegiatan kita. Hampir tidak ada kanak-kanak yang ‘panjang tangan’
walaupun rata-rata kami pada ketika itu dalam keadaan kemiskinan. Kanak-kanak
pada ketika itu tidak pandai berbohong apatah lagi mencuri.
Aku tidak pula
mengatakan bahawa kanak-kanak pada ketika itu baik-baik belaka. Ada juga yang
jahat. Ada juga yang suka berbohong dan menipu tetapi bilangannya tidak
sebagaimana yang berlaku pada hari ini. Kegiatan berbohong dan menipu yang
berlaku pada hari ini, yang diamalkan oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia
adalah amat membimbangkan. Kesan kepada keadaan yang sedemikian tentunya amat
membimbangkan juga.
Aku terpanggil
untuk menyentuh tajuk ‘PENIPU’ kerana amalan menipu dan penipuan seolah-olah
sudah menjadi budaya masyarakat Malaysia pada hari ini. Sudah tidak ramai di
Malaysia kini yang takut untuk menipu. Dari pemimpin negara sampailah ke
peringkat pertengahan dan sampai keperingkat akar umbi. Hampir kesemuanya
mengamalkan penipuan. Seolah-olah sesiapa yang tidak menipu, maka boleh
dianggap semacam tidak sesuai berada di negara ini. Tidak sesuai ‘bernafas’
dalam Kurun ke 21!!.
Mungkin agak
keterlaluan aku menyatakan begitu. Tetapi kelihatan begitulah hakikat yang
wujud di Malaysia kini. Pegawai kerajaan ada yang menipu dan mengamalkan
rasuah. Polis, Kastam, pegawai rendah, pegawai tinggi terlibat dengan penipuan
dan rasuah. Disebabkan ‘manusia’ kini sudah cekap dan licik melakukan kegiatan
terkutuk ini, maka terlalu sukar pihak berwajib untuk mengambil tindakan. Namun
yang jelasnya kegiatan sedemikian berlaku. Mungkin terlalu ramai yang melakukan
dan sangat sedikit bilangan yang masih takut untuk melakukannya. Mungkin.
Para pemimpin
negara sudah tidak segan dan silu lagi berkata bohong dan melakukan penipuan.
Kenyataan yang dikeluarkan pada waktu pagi sudah tidak boleh digunakan lagi
pada waktu petang. Kenyataan mereka dihadapan masyarakat bandar berbeza dengan
kenyataan mereka dihadapan masyarakat FELDA dan luar bandar. Kenyataan mereka
dihadapan khalayak masyarakat Melayu berbeza dengan kenyataan mereka di hadapan
khalayak golongan bukan Melayu.
Pemimpin-pemimpin
sebegini sudah tidak ada lagi perasaan malu kerana hampir kesemuanya
mengamalkan sikap menipu dan penipuan. Peribahasa Melayu mengatakan bahawa .
jikalau anjing sudah biasa makan tahi, jikalau tidak dimakan diciumnya juga’.
Begitulah keadaanya kini. Para pemimpin kita sudah tidak merasa segan silu
untuk berbohong kepada rakyat.
Yang paling
menyedihkan lagi ialah segala pembohongan dan penipuan yang dilakukan itu
ditolong-sebarkan pula oleh media massa arus perdana – akhbar dan TV. Maka
bertambah meluaslah kenyataan-kenyataan yang berbentuk penipuan disebarkan
kepada rakyat. Apakah kegiatan sebegini akan berterusan dan bilakah agaknya
akan terjumpa dengan titik noktahnya.
Aku tidak pula
mengatakan bahawa setiap kenyataan pemimpin itu merupakan penipuan. Bukan
begitu. Ada juga yang kenyataan yang betul tetapi disebabkan kegiatan penipuan
yang begitu lumrah dan biasa dilakukan oleh para pemimpin kita seolah-olah
setiap yang dikatakan itu merupakan satu penipuan. Rakyat semacam sudah hilang
kepercayaan tentang apa yang diperkatakan oleh pemimpin. Maksud aku rakyat yang
‘celik’ pasti tidak menerima bulat-bulat tentang apa yang diperkatakan.
Mungkin agaknya
kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin negara itu ditujukan kepada
golongan yang kurang cerdik sahaja. Mungkin begitu agaknya.
abuhassanadam
14 April 2016
No comments:
Post a Comment