Wednesday, April 20, 2016

MULLER MERAJUK?...

            Muller akan menamatkan kontreknya dua tahun lebih awal. Maknanya beliau hanya mampu ‘bertahan’ hanya selama satu tahun. Apabila begitu keadaannya, bermakna ada sesuatu yang tak kena. Mungkin keadaan ‘tak kena’ itu di pihak Muller ataupun di pihak Malaysia Airlines Berhad (MAB) ataupun di pihak Khazanah Nasional. Ataupun mungkin Muller merajuk disebabkan sesuatu keadaan yang mengguris hatinya.

            Aku tak tahu samada sikap ‘merajuk’ ini masih diamalkan oleh masyarakat Melayu kini. Sudah amat jarang sekali diketemukan dengan keadaan merajuk. Yang aku tahu sikap yang unik ini hanya berlaku dikalangan masyarakat Melayu lama. Bolehlah dikatakan bahawa ‘merajuk’ hampir sama maksudnya dengan ‘menunjuk perasaan’. Bezanya antara ‘merajuk’ dengan ‘menunjuk perasaan’ ialah tentang kesan yang ditimbulkan.

            Orang yang merajuk akan terus ‘memendam rasa’ dan menyimpan perasaan. Dalam masyarakat Melayu pernah digambarkan bahawa seseorang yang merajuk akan mengasingkan diri dan ‘membawa diri ke hutan rimba’. Banyak hasil seni Melayu yang menggambarkan keadaan sebegini. Samada cerita bangsawan atau senikata lagu banyak menggambarkan tentang manusia yang merajuk hati.

            Apakah Christopher Muller juga tergolong dalam golongan yang merajuk apabila mengambil sikap untuk tidak meneruskan perkhidmatannya dalam MAB. Aku tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam syarikat berkenaan. Yang dapat diperhati dan didengar ialah tentang usaha Muller untuk memperbetulkan keadaan di MAB sudah semacam menampakkan hasil. Dengan berbagai tindakan drastik yang dilakukannya sudah menampakkan hasil yang memuaskan.

            Jikalau begitu mengapa beliau mengambil keputusan yang begitu drastik dan mengejutkan?

            Seeingat aku MAS (sebelum ini) ia itu ketika dibawa pentadbira Dato’ Abdul Aziz bin Abdul Rahman sememangnya sebuah syarikat penerbangan yang amat membanggakan Malaysia di mata dunia. Bukan sahaja menguntungkan tetapi telah mengharumkan  nama Malaysia dalam arena penerbangan. Dan sekali gus memberikan erti bahawa tidak mustahil seorang anak Malaysia boleh megemudikan sebuah syarikat besar yang boleh mendapat keuntungan yang membanggakan.

            Dan selepas itu mulalah suasana ‘pudar’ dan ‘malap’ menyelubungi syarikat penerbangan ini. Tidak seorang pun selepas Dato’ Aziz yang mengemudikan syarikat ini yang boleh membanggakan. Malah terus menerus merudum sehinggalah kemunculan Muller yang dikatakan diharap dapat membawa kecemerlangan pada syarikat ini berdasarkan pengalamannya yang luas dalam memajukan syarikat penerbangan Airlingus.

            Aku tak mengatakan pentadbiran Muller baik dan berkesan dan tidak juga aku mengatakan bahawa tidak ada kesan baiknya dengan kehadiran Muller dalam syarikat berkenaan. Cuma yang dapat dirasakan oleh masyarakat Malaysia ialah perasaan kecewa sekiranya ‘merajuk’ yang menjadi punca maka Muller meninggalkan MAB ini. ‘Merajuk’ yang aku maksudkan itu mungkin kerana tidak tahan dengan kerenah orang politik di Malaysia yang selalu mengganggu gugat perjalanan syarikat yang boleh menuntungkan mereka secara peribadi.

            Sebelum Muller dilantik untuk meneraju MAB dulu sudah terdengar suara-suara ‘sumbang’ dari kalangan orang politik yang semacam tidak puas hati dengan pelantikan Muller. Mereka mungkin sedar bahawa Muller akan mengenepikan kepentingan diri golongan ini apabila beliau menjalankan pentadbirannya membetulkan syarikat yang tempang ini.

            Apabila mendengar perkahabaran yang Muller akan menamatkan kontreknya tidak lama lagi, mungkin golongan politik yang sedemikian akan bertepuk tangan gembira. Dan pastinya pihak kerajaan semacam sudah tidak ada masa untuk memikirkan tentang keadaan yang melanda MAB ini disebabkan kemelut yang berbagai-bagai menghari-birukan negara kini. Sudah tentulah pihak pemerintah lebih menumpukan perhatian kepada persoalan IMDB daripada memikirkan tentang MAB. Dan disamping IMDB, isu kereta nasional juga dan kejatuhan harga minyak juga memerlukan perhatian segera.

            Kita tidak mengatakan bahawa tanpa Muller, MAS tidak akan berjaya memulihkan perniagaannya. Tida begitu. Tetapi sekurang-kurangnya melalui perkhabaran yang didengar menampakkan sudah ada sedikit ‘cahaya’ yang boleh menerangi dan meyakinkan rakyat tentang pemulihan MAB itu. Dan kini perasaan dan keyakinan rakyat terus menguncup kerana rakyat amat bimbang takut-takut pihak kerajaan akan melantik orang yang tidak berpengalaman dalam penerbangan menerajui syarikat penerbangan Malaysia ini.

            Orang politik biasanya akan memikirkan tentang ‘perut’ diri dan keluarganya sahaja dengan tidak memikirkan tentang kepentingan rakyat dan negara.

abuhassanadam
20 April 2016


No comments:

Post a Comment