Friday, April 22, 2016

MUELLER ‘CABUT’ KERANA ‘LANGIT NAK RUNTUH’!...

            Hikayat Sang Kancil sentiasa menarik perhatian aku. Walaupun cerita mengenai Sang Kancil ( pelanduk) ini diceritakan oleh Cikgu Yunus sudah bertahun-tahun lamanya namun masih terbayang dimata aku bagaimana Cikgu Yunus menceritakan dengan penuh aksi. Dan kami (pada ketika itu dalam Darjah IV ) ternganga mendengar cerita yang diceritakan.

            Kebiasaannya Cikgu akan mula bercerita selepas rehat. Pengajaran dan pembelajaran yang ‘berat-berat’ sudah dijalankan pada waktu pagi. Pelajaran ‘Ilmu Hisab’ (sekarang dipanggil Matematik) biasanya dijalankan pada waktu pagi kerana itu merupakan matapelajaran ‘berat’. ‘Bacaan’ ‘Karangan’ dijalankan pada waktu pagi (sebelum rehat – pukul 10.00 pagi). Selepas waktu rehat cikgu akan mengajar pelajaran yang ‘ringan-ringan’ (pada pandangan pendidik waktu itu) seperti Ilmu Alam ( kini dipanggil ‘Geografi”), Sivik. Kebiasaannya cikgu akan bercerita yang boleh mengembirakan kami pada ketika itu (pertengahan tahun 1950an).

            Dan antara ‘hikayat’ yang paling menyeronokkan kami ialah cerita mengenai Sang Kancil, tentang kisah binatang kerdil yang pintar. Kami merasa amat gembira sekiranya Sang Kancil selaku ‘hero’ dapat memperdaya atau melepaskan diri dari sebarang kemelut yang berlaku. Yang sentiasa menjadi ‘crook’ dalam hikayat Sang Kancil biasanya Sang Harimau atau buaia atau gajah. Pada pengakhiran cerita pastinya Sang Kancil yang berjaya dan sang harimau atau sang buaia atau sang gajah yang kecundang.

            Kadang-kadang berlaku juga ‘ulang-tayang’ dimana Cikgu akan mengulangi cerita yang telah pun diceritakan beberapa kali. Tak apa. Kami akan terus ‘menikmatinya’ dengan penuh minat walaupun kami sudah tahu apakah kesudahan ceritanya. Yang pentingnya kami begitu puas selepas cerita itu tamat kerana Sang Kancil itu mewakil golongan yang lemah ( seperti kami yang miskin dan hidup melarat) dapat menewaskan Sang Harimau atau Buaia (yang mewakili golongan yang kuat).

            Antara kisah yang terus ‘melekat’ di hati aku ialah cerita mengenai Sang Kancil dengan Gajah ( yang dianggap bodoh dan ‘betul-bendul). Sang Kancil selalu menggunakan isu yang ‘langit akan runtuh’ untuk menakut-nakutkan musuhnya. Banyak peristiwa dalam siri Sang Kancil dimana beliau menggunakan isu ini untuk ‘memberi amaran’ kepada para sahabat atau musuhnya.

            Dan terpanggil pula aku untuk meninjau tentang mengapa Christopher Muller (dalam suasana ‘hujan tidak dan ribut pun tidak) tiba-tiba mahu menamatkan kontreknya dengan MAB. Apakah beliau juga telah terdengar dan ‘terperasan’ yang ‘langit juga akan runtuh’ yang menyebabkan beliau mengambil tindakan untuk ‘lari’ terlebih dulu sebelum apa-apa berlaku ke atas dirinya.

            Samada betul atau tidak kata-kata Sang Kancil yang ‘langit akan runtuh’ di Malaysia, tidaklah dapat aku pastikan. Dan harap-harap janganlah berlaku seperti yang ‘diramalkan’ oleh Sang Kancil itu. Namun bersandarkan kepada beberapa keadaan sebagaimana yang digambarkan oleh akhbar-akhbar atau majalah luar negara (terutama yang berkaitan dengan IMDB) semacam akan berlaku seperti yang diramalkan oleh Sang Kancil itu – ‘langit akan runtuh’.

            Banyak cerita dan perkhabaran yang aku dengar tentang hal-hal yang tidak ‘sedap’ telinga mendengarnya. Ramai golongan bijak pandai (golongan professional) sudah mula meninggalkan negara ini untuk bekerja di luar negara. Dan sudah tentu negara-negara luar sentiasa menunggu-nunggu kehadiran golongan profesional dari Malaysia. Bak kata peribahasa Melayu, ‘ kurang tapak tangan nyiru ditadahkan’.

            Ramai yang ‘mengeluh’, merasakan tentang ‘tidak selesa’nya tinggal di Malaysia kini dalam suasana yang amat tidak menyenangkan dari berbagai sudut. Bagi golongan tua yang sudah pernah mengalami berbagai keadaan dalam negara ini, dapat dirasakan bahawa keadaan yang wujud kini adalah merupakan zaman yang tidak pernah dilalui oleh golongan ini. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia dimana keadaan sebegini ‘malang’ berlaku kepada rakyat Malaysia.

            Mungkin ada dikalangan rakyat Malaysia merasakan bahawa mahu rasanya meninggalkan negara ini dan berhijrah ke negara yang sudi menerima mereka. Mahu rasanya melupakan peribahasa Melayu yang mengatakan, ‘ hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri lebih baik di negeri sendiri’. Kini semacam sudah tidak tepat peribahasa Melayu berkenaan. Lagi pun negara manalah yang dengan senang menerima kemasukan rakyat Malaysia.
           
            Tentunya bagi rakyat Malaysia yang tinggal di Britain, atau di Singapura atau di Australia, New Zealand atau di Amerika Syarikat merasakan bahawa peribahasa berkenaan sudah tidak boleh dipakai lagi. Aku dapat merasakan bahawa ramai rakyat Malaysia yang mahu meninggalkan negara ini (dalam keadaan negara kini) untuk berhijrah ke negara lain, tetapi disebabkan berbagai kekangan yang ada, terpaksalah dideritakan apa yang dialami kini.

            Aku dapat merasakan bahawa telah ramai golongan profesional di negara ini yang mahu bertindak sepertimana yang dilakukan oleh Muller, terutama dari kalangan golongan yang berada dan berkepentingan. Mereka harus mempersiapkan diri untuk menghadapi berbagai-bagai kemungkinan. Mereka juga tentunya dapat merasakan yang ‘langit berkemungkinan akan runtuh’ sebagaimana kata Sang Kancil yang diceritakan oleh Cikgu Yunus berapa puluh tahun yang lampau.

            Rakyat Malaysia yang lemah, miskin, papa-kedana seperti aku, hanya mampu berdoa agar negara ini terselamat dari sebarang mala-petaka. Semacam sudah tidak ada tempat untuk mengadu…

abuhassanadam
22 April 2016


No comments:

Post a Comment