Friday, April 15, 2016

MOTOSIKAL ‘TRIUMPH’ TUAN SYED ALI

            Pada ketika itu, (pertengahan tahun 1950an) tidak ramai yang memiliki kenderaan bermotor seperti sekarang. Di kampong aku, Kampung Keroh Hilir tidak seorang pun yang memiliki kenderaan bermotor. Jangankan untuk memiliki kereta, motosikal pun tidak ada yang mampu untuk memilikinya. Kalau pun ada orang kampung yang sanggup memberli sebuah kereta, tidak ada pula jalan raya yang menyambungkan kampung aku dengan pekan Padang Rengas.

            Jalan raya bertar hanya sampai ke kawasan yang berdekatan dengan Sekolah Arab Alyahyawiyah sahaja. Dan selepas itu disambungkan dengan jalan tanah merah ‘bersulamkan’ batu-batu sungai. Pada hari hujan dan musim tengkujuh, pastinya jalan berkenaan berselut dan amat mengotorkan. Pada ketika inilah akan kelihatan ‘kasut’ naik ‘orang’. Maknanya kasut terpaksa dipikul di atas bahu dan hanya apabila sampai ke sebuah sungai yang berdekatan dengan ‘gate’ keretapi ( sudah tidak ada lagi) barulah kaki dibasuh dan kasut dipakai. Seksa dan menyedihkan mengenangkan keadaan begini. Mengenangkan zaman di bawah penjajahan British.

            Untuk pergi ke Kampung Lalang atau ke Kampung Keroh Hlir atau ke Sungai Hati, Keroh Hulu, Paya Lintah, Laneh terpaksalah menggunakan jalan tanah merah. Untuk ke Laneh dan Paya Lintah atau Labu Kubung ada jalan tanah merah seluas enam kaki. Hanya boleh dilalui oleh kereta lasak sahaja. Dan seingat aku hanya ada sebuah sahaja kereta Jeep yang dimiliki oleh Encik Ton dari Paya Lintah. Itu pun sebenarnya digunakan untuk membawa hasil pertanian dari kampung Paya Lintah. Tetapi kemudian digunakan juga sebagai ‘bas ekspress’ oleh orang kampung yang hendak ke pekan Padang Rengas atau ke Kuala Kangsar.

            Sebagaimana yang telah aku jelaskan pada awal-awal tadi, tidak terdapat walau sebuah pun kenderaan bermotor di kampung aku. Jalan yang menghubungkan kampung aku ke Padang Rengas hanyalah jalan laluan basikal. Itupun terpaksa berhenti sekiranya berselisih. Sempit. Salah seorang mesti berhenti dan memberi laluan. Banyak orang kampung kami yang jarang-jarang dapat melihat kenderaan bermotor. Untuk melihat kenderaan bermotor terpaksa pergi ke pekan Padang Rengas.

            Ada dikalangan orang kampung aku yang sampai setahun tidak melihat kenderaan kerana mereka tidak ‘bergerak’ dari kampung. Apakah perlunya mereka ke pekan Padang Rengas? Mereka tidak perlu membeli beras kerana beras diperolehi dengan cara tumbuk sendiri dengan lesong mereka. Jika kelapa diperlukan, maka mereka hanya perlu kait saja kelapa di belakang rumah mereka. Jika memerlukan ikan, tangkap sahaja ikan yang telah tersedia di kolam. Hendakkan sayuran pucuk paku, kangkung petik sahaja yang tersedia di tepi bendang mereka. Justeru mereka tidak perlu ke pekan Padang Rengas.

            Sebenarnya kami begitu gembira sekiranya ada kenderaan bermotor yang datang ‘melawat’ kampung kami. Pada ketika itu hanya sekali dalam seminggu kampung kami dilawati oleh kenderaan bermotor. Motosikal ‘Trumph’ milik Tuan Syed Ali dari Karai, Kuala kangsar. Tuan Syed Ali adalah seorang jurugambar. Dia akan datang ke kampung kami seminggu sekali untuk menangkap gambar sesiapa yang ingin bergambar. Pada ketika itu tidak seorang pun di kampung kami yang ada memiliki kamera. Oleh itu terpaksalah bergantung kepada Tuan Syed Ali untuk perkhidmatan sedemikian.

            Kamera Tuan Syed Ali hanya menyediakan gambar hitam putih. Mana ada gambar yang berwarna pada ketika itu. Yang banyak ‘terlibat’ dalam hal ‘gambar-menggambar’ ini tentu orang muda dan anak-anak gadis di kampung aku. Masih terbayang di mata aku bagaimana Kak Milah (ketika masih gadis dan kini sudah memiliki berbelas orang cucu) ‘posing’ di hadapan pokok bunga raya di halaman rumahnya. Kak Siah pula yang berdandan dua ‘posing’ dengan kucing kesayangannya. Abang Yeop Pandak Wahab pula ‘posing’ dengan fesyen rambut ala P.Ramlee – berjambul dihadapan.

            Kami kanak-kanak akan berhenti bermain guli atau bermain gasing apabila kelihatan motosikal Tuan Syed Ali. Apabila Tuan Syed Ali memberhentikan motosikalnya di hadapan rumah Tokki Pandak, untuk menangkap gambar Kak Siah, kami mengerumuni motosikal ‘Triumph’ Tuan Syed Ali. Pegang sana, pegang sini. Jakun!.. Beginilah keadaannya setiap minggu, setiap kali memberhentikan motosikalnya di halaman Tokki Pandak.

            Setelah selesai mengambil gambar Kak Siah dan Kak Milah, Tuan Syed Ali akan beredar ke rumah orang lain pula, untuk mengambil gambar orang lain yang memerlukan perkhidmatannya. Pastinya kami akan berlari mengekori motosikal Tuan Syed. Aku tak tahu mengapa kami berbuat demikian. Seronok..Agaknya tidak ada kegiatan lain yangg boleh dilakukan pada ketika itu selain dari main gasing, main guli, main polis-sentri.

            Motosikal Tuan Syed tidak bergerak dengan laju kerana jalan yang tidak rata di kampung aku. Lagi pun dengan keadaan jalan yang sempit menyebabkan Tuan Syed Ali terpaksa berhati-hati mengemudikan motosikalnya. Dengan demikian dapatlah kami terus menerus ‘mengejar’ dan mengekori Tuan Syed Ali ke serata pelusuk kampung.

            Dari rumah Tokki Pandak, motosikal Tuan Syed terus melalui rumah Wan Haji Jekmah bersebelahan dengan rumah Pak Usup Haji Kassim dan terus ke Kampung Tanjung melalui batas bendang Pak Haji Kassim. Terus ke kampung Seberang dan singgah di kedai Pak Haji Jawi. Di situ Tuan Syed berhenti seketika kerana untuk menyampaikan gambar abang Hamid
( yang telah dicuci) yang memiliki style rambut ala P. Ramlee.

            Tak jauh dari kedai Pak Haji Jawi adalah rumah Pan Jemah. Pada ketika itu Pan Jemah ada ‘memiliki’ tiga orang anak daranya. Kak Nisah, Kak Sirah dan Kak Aishah. Memang tidak ada tolak bandingnya di mata orang kampung aku pada ketika itu. Ramai anak muda di kampung itu yang tergila-gilakan mereka. Akhirnya Kak Nisah berkahwin dengan Abang Yeop. Kak Sirah dijodohkan dengan Abang Mokhtar dan Kak Aishah berkahwin dengan Abang Kia. Menurut kata emak ( ketika berbual-bual dengan bapak) mereka itu suka sama suka. “Berhendak-hendak’ kata emak. Bermain cintalah agaknya….

            Tuan Syed terus menerus menggerakkan motosikalnya melalui rumah Pak Anjang Judah, rumah Pan Hendon Seberang, rumah Tokki Anjang Dahaman dan kemudiannya melalui batas bendang Pak Man Alang Noh berhampiran dengan kolam ikan Pak Ngah Tengin.

            Dan apbila sampai semula ke kampung Ekor Dusun, kami pun ‘melepaskan’ Tuan Syed Ali pergi dengan motosikal ‘Triumph’nya. Semakin lama semakin hilang motosikal Tuan Syed dan semakin hilang bau minyak motosikal Tuan Syed. Kami pun meneruskan permainan gasing semula dengan perasaan yang cukup menyeronokkan. Hanya menunggu minggu hadapan apabila Tuan Syed akan menjelma semula dengan motosikal ‘Triumph’nya.

            Aku tak dapat melahirkan tentang keseronokan mengekori motosikal Tuan Syed. Dan kami akan berbuat demikian apabila datang pula Cikgu Mansor dari Kampung Lalang ke kampung kami dengan motosikal ‘Norton’nya. Kami akan mengekori motosikalnya, seolah-olah meraikan kedatangannya ke kampung kami.

            Jangan tanya mengapa kami (anak-anak ketika itu ) bersikap demikian. Jangan tanya…Tidak ada jawapannya..

abuhassanadam


15 April 2016

No comments:

Post a Comment