WAWASAN
2020 HAMPIR ‘BERKECAI’
Aku masih ingat lagi pada
suatu makan malam anjuran The Harvard Club di sebuah hotel terkemuka di Kuala
Lumpur pada tahun 1992, Dr. Mahathir Mohamed menyampaikan satu ucapan agung
yang berjodol ‘The Way Formard’. Idea
dalam ‘The Way Formard’ itu telah ‘diterjemahkan’ sebagai ‘Wawasan 2020’. Dan
semenjak dari saat itu ‘Wawasan 2020’ sentiasa bermain di bibir rakyat
Malaysia.
Harapan menggunung bagi rakyat
Malaysia yang ingin melihat agar Malaysia menjadi sebuah negara maju setanding
dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Sekurang-kurangnya buat sementara waktu
Malaysia ingin berdiri sama tegak dan duduk sama rendah dengan masyarakat di
Singapura, Jepun, Korea, Hong Kong. Bangsa Malaysia pada ketika itu seolah-olah
begitu yakin yang rakyat Malaysia juga boleh melakukan apa yang telah dilakukan
oleh masyarakat lain yang telah menempa kejayaan.
Cogan kata dan lagu ‘Malaysia
Boleh’ menjadi ‘laungan’ dan nyanyian anak muda pada ketika itu. Falsafah
‘memandang ke timur’ sebagaimana yang dipantakkan oleh Dr. Mahathir ke dalam
benak rakyat Malaysia seolah-olah menjadi kenyataan apabila seluruh jentera
kerajaan bergerak sederap untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju
mencontohi apa yang telah dilakukan oleh negara Jepun dan Korea Selatan. Bangsa
Malaysia seolah-olah tidak mahu menoleh ke belakang pada ketika itu dan begitu
yakin dengan hasrat yang terpancar dalam ‘Wawasan 2020’ itu. Ringkasnya
kepimpinan negara yang diketuai oleh Dr. Mahathir dan digandingi oleh Saudara
Anwar Ibrahim mahu menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang
tahun 2020 dalam semua lapangan. Namun kemajuan yang kita capai seharusnya
tidak mengorbankan nilai-nilai murni yang sepatutnya dihayati oleh bangsa
Malaysia.
Satu hakikat yang jelas
mengenai harapan untuk merealisasikan ‘Wawasan 2020’ ini ialah tentang
keyakinan rakyat Malaysia. Hampir tidak ada yang meragui tentang pencapaiannya,
walaupun ada yang merasakan bahawa tahun 2020 itu merupakan terlalu awal
tentang tarikh pencapaiannya. Namun masih tidak berganjak tentang pencapaiannya
walaupun ‘diganggu’ oleh keadaan kemelesetan dunia pada pertengahan tahun-tahun
1990an.
Rupanya ‘panas tidak sampai ke
petang. Hujan pula di tengah hari’. Pelaksanaan ‘wawasan 2020’ terencat apabila
negara berpindah pentadbiran dari Dr Mahathir kepada Tun Abdullah Badawi dan seterusnya apabila
dipimpin oleh DS Najib Tun Abdul Razak. Seolah-olah hasrat ‘Wawasan 2020’ terus
dikesampingkan. Seolah-olah apa yang dihasratkan oleh Dr. Mahathir itu tidak
perlu diteruskan. Seolah-olah ‘Wawasan 2020’ semacam dilupakan dan tidak lagi
menjadi ‘siulan dan dendangan’ rakyat.
‘Wawasan 2020’ seolah-olah
terus dilenyapkan zaman pentadbiran DS Mohd Najib. Malah beliau memperkenalkan
pula TN50 satu-satunya hasrat kerajaan yang hampir serupa dengan ‘Wawasan 2020’
yang ditunda tarikhnya. Hasrat untuk menjadikan bangsa Malaysia sebuah bangsa
dan negara yang modern terus disebut dan dicanangkan oleh pemimpin zaman ini
tetapi tidak dihayati tentang apa yang diucapkan. Usaha sebenar ke arah
merealisasikannya semacam dijalankan sambil lewa. Kepimpinan negara pada ketika
itu seolah-olah telah menggantikan ‘Wawasan 2020’ dengan slogan ‘Cash is King’.
Kepimpinan UMNO di semua peringkat sudah hampir melupakan ‘Wawasan 2020’ dan
hanya mementingkan perjuangan memenuhi matlamat ‘Cash is king’.
Lantas isu IMDB merupakan isu
yang cukup penting yang telah ‘mewarnai’ kehidupan segelinitr masyarakat
Malaysia pre-PRU14. Usaha menjadikan
bangsa Malaysia sebagai sebuah bangsa maju seperti yang terkandung dalam
‘Wawasan 2020’ terus dikesampingkan. Sememangnya usaha kepimpinan negara adalah
untuk meningkatkan pendapatan rakyat. ‘Cash is King’ masih lagi merupakan
intipati perjuangan pada ketika itu.
Dan bermulalah satu era baru
dalam sejarah bangsa Malaysia yang seolah-olah meletakkan ‘wang’ sebagai ‘Raja’
segala-galanya. Budi bahasa, moral
diketepikan. Yang penting ialah bagaimana untuk mendapatkan wang
sebanyak mungkin demi untuk terus hidup di negara Malaysia yang maju. Lantas
dapat diperhatikan kegiatan rasuah terus menerus bermaharaja-lela bukan sahaja dari
kalangan ahli politik kerajaan tetapi juga dikalangan setengah pegawai tinggi
kerajaan yang merasakan bahawa melakukan
rasuah sudah merupakan satu budaya masyarakat Malaysia Pra-PRU14.
Apa yang dikatakan di atas
mungkin dapat dibuktikan oleh SPRM pada hari-hari muka yang dapat kita
perhatikan sekiranya mereka betul-betul mahu bertindak membersihkan negara ini
dari segala gejala negatif yang telah menular merosakkan peribadi bangsa
Malaysia zaman Pra-PRU14.
‘Wawasan 2020’ hampir ‘berkecai’.
Tidak dapat dipastikan apakah Tun Mahathir mahu terus merealisasikan wawasan
yang murni itu. Sama-sama kita tunggu.
abuhassanadam
6 Jun 2018
Agen Judi Online Terpercaya Dan Gampang Menangnya Hanya Ada Di Sini Tempatnya Yang Memberikan Bonus "Tersebsar" Di Indonesia.
ReplyDeleteagen poker
agen domino
domino online
agen qq
qq online
bandarq
sakong